Semasa Tokyo Auto Salon (TAS) 2024, Lexus telah memperkenalkan RZ 450e F Sport Performance, yang hanya akan dibuat sebanyak 100 unit dan pembelinya akan dipilih melalui cara cabutan. Penghantaran pula dijangka berlaku pada bulan Mac tahun ini.
Model yang ditunjukkan awal melalui RZ Sport Concept pada TAS tahun lepas ini menerima pelbagai ubah suai yang menjadikannya lebih sporty, dengan bantuan daripada juruterbang aerobatik, Yoshihide Muroya serta pelumba kereta, Masahiro Sasaki.
Hasilnya, SUV elektrik ini dipasang dengan 17 panel aerodinamik, termasuk spoiler depan serta turning vane (berhampiran lengkung roda) gentian karbon yang dikatakan mendapat inspirasi daripada kapal terbang. Bersama dengan sayap belakang bertingkat dan bahagian-bahagian lain, daya tolak ke bawah (downforce) dikatakan telah bertambah baik.
Bahagian lain yang diubah suai adalah suspensi, yang menerima spring serta penyerap talaan khas, dan rim 21 inci. Dengan semua ubah suai ini, RZ keluaran istimewa ini menjadi lebih panjang 55 mm, lebih lebar 70 mm dan lebih rendah 10 mm. Jarak antara roda kiri dan kanan di hadapan dan belakang juga telah bertambah lebar masing-masing 50 dan 40 mm berbanding RZ biasa.
Sebagai pelengkap, RZ 450e F Sport Performance dicat dengan warna Hakugin, bersama kemasan kontras warna biru dan hitam. Di dalam, rekannya masih lagi sama seperti RZ biasa tetapi ditambah dengan kemasan biru, roda stereng F Sport serta tempat duduk yang dibalut Ultrasuede.
Meskipun model ini datang dengan nama F Sport Performance, tiada sebarang peningkatan dibuat pada penggeraknya dan ia masih mengekalkan pakej bateri lithium ion 71.4 kWh dengan dua motor elektrik yang berkuasa masing-masing 204 PS/266 Nm di hadapan dan 109 PS/169 Nm di belakang. Jumlah kuasa keseluruhan adalah 313 PS/435 Nm.


Lexus RZ
dari RM 429,888
Lexus GX
dari RM 780,000
Lexus LBX
dari RM 238,888
Lexus LM
dari RM 1,228,000
Lexus RX
dari RM 468,888
Lexus NX
dari RM 395,888
Lexus ES
dari RM 320,888
Lexus UX
dari RM 250,688
Lexus LS
dari RM 1,188,000