SST 8% bermula hari ini — kos selenggara, insurans kenderaan dan cas EV di rumah antara yang naik

SST 8% bermula hari ini — kos selenggara, insurans kenderaan dan cas EV di rumah antara yang naik

Bermula hari ini, 1 Mac 2024, cukai perkhidmatan (SST) mula dikenakan pada kadar 8% berbanding 6% sebelum ini. Ia selari dengan perkara yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu. Ada banyak kategori perkhidmatan yang terkecuali daripada pelaksanaan ini — termasuk F&B, telekomunikasi, air dan parkir kenderaan. Namun secara umumnya, pengguna akan membayar lebih tinggi disebabkan kenaikan ini.

Penyelenggaraan kenderaan — servis dan baik pulih akan dikenakan kadar baru 8% SST

Bagi sektor berkaitan automotif, servis dan baik pulih kenderaan akan terkesan dengan kenaikan ini. Maka, pengguna akan dikenakan bayaran yang sedikit lebih tinggi bermula hari ini — walaupun dalam kes ini cukai perkhidmatan ini dikenakan hanya untuk upah pekerja dan bukannya alat ganti.

SST 8% bermula hari ini — kos selenggara, insurans kenderaan dan cas EV di rumah antara yang naik

Insurans kenderaan — SST naik kepada 8%

Satu lagi kenaikan harga adalah untuk mereka yang memperbaharui insurans kenderaan — termasuk insurans lainnya seperti takaful, tetapi yang dikecualikan ialah insurans/takaful kesihatan — semuanya dikenakan kadar baru 8% SST.

Sebelum ini, ada penyedia insurans yang mendakwa cukai ini turut akan dikenakan secara sebahagian mengikut tempoh matang polisi yang ada, yang mungkin merentang dalam tarikh 1 Mac ini, misalnya bagi tempoh pelindungan Julai 2023 hingga Jun 2024 (kerana ketika diperbaharui tahun lalu, ia masih dikenakan SST kadar lama 6%).

Namun, berdasarkan maklumat terkini, itu tidak akan berlaku. Insurans kenderaan yang dibayar penuh bagi tempoh itu mengikut tempoh polisi kadar lama 6%, tidak akan dikenakan penilaian semula untuk sebahagian yang mungkin terlibat dengan kadar baru tersebut. Hanya polisi insurans yang diperbaharui bermula hari ini akan dikenakan kadar baru 8%, yang dikenakan ke atas premium yang dibayar, iaitu selepas ditolak NCD (jika ada).

SST 8% bermula hari ini — kos selenggara, insurans kenderaan dan cas EV di rumah antara yang naik

Sewaan kereta dikenakan kadar SST baru, cas EV di rumah akan lebih mahal

Selain itu, sewaan kereta dan pemandu juga akan dikenakan kenaikan SST 8% ini. Begitu juga dengan mereka yang menggunakan EV, kadar baru ini turut terpakai untuk tenaga elektrik bagi segmen penggunaan yang melebihi 600 kWj. Ini bermakna, mereka yang ketika ini membayar bil elektrik melebihi RM232 sebulan boleh jangkakan akan ada peningkatan terhadap bil mereka bermula bulan ini.

Bagi pengguna EV yang mengecas di rumah, ini kemungkinan besar situasi yang akan dihadapi, terutama jika dengan mengecas kenderaan akan meningkatkan kadar penggunaan anda melebihi 600 kWj. Namun, peningkatan ini tidaklah ketara atau melibatkan jumlah yang terlalu besar.

SST 8% ini menurut kerajaan akan menjana sebanyak RM3 bilion pendapatan tambahan untuk negara, yang merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan cukai untuk memperkukuh kewangan negara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required