Bangkok 2024: Changan Lumin sedia jarak gerak 301 km, cas DC, badan dua pintu, harga dari RM62k

Bangkok 2024: Changan Lumin sedia jarak gerak 301 km, cas DC, badan dua pintu, harga dari RM62k

Satu perkara yang jelas semasa Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024 adalah pengeluar China seakan mendominasi tapak pameran dan ini termasuk juga jenama Changan, yang membawa Deepal, Avatr dan Lumin. Dalam muatan ini, anda dapat melihat model Lumin, yang merupakan sebuah kereta EV bandar kecil dan turut dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah untuk pengunjung BIMS 2024.

Anda boleh bayangkan Lumin ini seperti Wuling Air EV, tetapi dengan muka yang lebih lucu seperti kartun dan mata bulat yang sepet. Changan mengikuti bentuk kereta petak dua pintu yang dipopularkan oleh Wuling, sementara saiznya pula sedikit lebih besar.

Secara tepat, ukurannya adalah 3,270 mm panjang dan 1,700 mm lebar, menjadikannya 296 mm lebih panjang dan 195 mm lebih lebar berbanding Wuling Air, sementara jarak roda 1,980 mm pula adalah 30 mm lebih pendek. Ruang simpanan belakang yang disediakan cuma 104 liter, tetapi apabila tempat duduk belakang dilipat, ia menjadi 580 liter.

Lumin digerakkan oleh motor elektrik 48 hp yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion CATL. Unit 27.98 kWh ini boleh memberi jarak gerak 301 km (NEDC) dan mencapai kelajuan maksimum 101 km/j. Untuk pengecasan AC ia boleh menerima sehingga 3.3 kW, sementara apabila menggunakan DC, versi 28.08 kWh boleh menerima sehingga 50 kW dan bateri boleh naik 30-80% dalam masa 35 minit.

Ini adalah satu spesifikasi EV yang sederhana dan harganya juga sederhana. Lumin versi AC dijual pada harga 479,000 baht (RM62,332), manakala versi yang boleh menerima pengecasan DC dijual pada harga 499,000 baht (RM64,935). Ini juga sebenarnya berada dalam lingkungan yang sama seperti Wuling Air.

Dengan harga ini juga anda akan mendapat kelengkapan seperti lampu projector halogen, lampu penunjuk arah LED, rim 14 inci dengan tayar 165/70, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, panel meter digital 7.0 inci, skrin tengah 10.25 inci, sambungan bluetooth, tempat duduk fabrik, kamera dan pengesan undur, pemerhati tekanan angin tayar, ESP dan dua beg udara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required