Wuling Air EV – bermula RM74k, kereta elektrik paling murah di Indonesia, jarak gerak 200 km hingga 300 km

Wuling Air EV – bermula RM74k, kereta elektrik paling murah di Indonesia, jarak gerak 200 km hingga 300 km

Kita tahu bahawa Indonesia kini antara negara dalam rantau Asia Tenggara yang begitu agresif dalam pelan peralihan terhadap penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) selain dari Thailand dan Singapura. Namun, adakah anda pernah terfikir, kereta elektrik yang mana merupakan model EV yang paling mampu milik di negara tersebut buat masa sekarang?

Ini dia Wuling Air EV – dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang sedang berlangsung sekarang, kereta ini diumumkan merupakan EV paling murah di negara tersebut ketika ini, menurut laporan Autonetmagz. Wuling mengesahkan bahawa Air EV dijual pada harga atas jalan untuk Jakarta bermula 238 juta rupiah (RM74k) untuk varian asas dengan bateri 18 kWj sehingga 295 juta rupiah (RM89k) untuk varian paling tinggi dengan bateri 27 kWj.

Seperti yang kita ketahui Wuling merupakan jenama dari China, namun untuk Air EV ini kemunculan sulung globalnya dibuat di Indonesia terlebih dahulu dalam versi pemanduan sebelah kanan pada 1 Jun lalu, sementara versi pemanduan sebelah kiri didedahkan di China pada 3 Jun 2022.

Ini kerana Wuling Air EV versi pemanduan sebelah kanan tersebut dipasang di kilang produksi Wuling di Cikarang, Bekasi, Jawa Barat, yang telah pun menerima insentif dari kerajaan Indonesia kerana menghasilkan kereta elektrik secara pemasangan tempatan. Oleh itu, Air EV pasaran Indonesia ini juga turut sistem arahan suara yang diberikan secara standard untuk semua varian menggunakan Bahasa Indonesia.

Wuling Air EV – bermula RM74k, kereta elektrik paling murah di Indonesia, jarak gerak 200 km hingga 300 km

Air EV ini sebenarnya merupakan model tingkat taraf berdasarkan kereta elektrik mikro yang popular China, Wuling Hongguang Mini EV. Ia dihasilkan dalam dimensi panjang 2,974 mm, lebar 1,505 mm, tinggi 1,631 mm dan jarak roda hanya 2,010 mm. Dengan saiz ini, ia hanya dipadankan dengan rim berdiameter 12-inci.

Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Air EV ini adalah 666 mm lebih pendek, 115 mm kurang lebar serta jarak roda 445 mm lebih dekat berbanding Perodua Axia. Namun ia mungkin menerima ruang kelegaan kepala yang lebih dari Axia kerana Air EV ini adalah 121 mm lebih tinggi.

Kabin Air EV ini menerima empat tempat duduk dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 50:50. Antara perincian standard lain yang diberikan termasuk skrin paparan berkembar 10.25-inci, hubungan internet, brek parkir elektrik dengan sistem auto hold, dan suis putar yang menggantikan fungsi tombol gear konvensional. Ia juga turut ditawarkan dengan upholsteri kulit sintetik.

Manakala untuk unit rangkaian kuasa, Air EV ditawarkan dalam dua versi motor elektrik iaitu 31 KW (41 PS) atau 50 kW (68 PS). Model dengan bateri 18 kWj mempunyai jarak gerak sejauh 200 km, manakala versi dengan bateri 27 kWj pula boleh bergerak sejauh 300 km. Lima warna ditawarkan untuk pasaran Indonesia ini iaitu Peach Pink, Pristine White, Galaxy Blue, Avocado Green dan Lemon Yellow.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required