Daripada 14 pengedar Peugeot yang sedia ada sekarang, Stellantis Malaysia memberitahu, mereka akan meningkatkan rangkaian pengedar kepada 30 menjelang hujung tahun ini. Penambahan ini turut akan melibatkan negeri Sabah, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.
Dalam laporan itu juga tertulis bahawa pengedar akan diberi sedikit fleksibiliti tahun ini bagi melengkapkan ubah suai serta penambah baikan yang perlu, bagi mencapai standard yang sama dengan imej korporat yang akan digunakan tahun depan.
“Kami percaya ia akan menguatkan lagi kehadiran jenama ini di Malaysia, serta memberikan pelanggan keyakinan bahawa Stellantis dan Peugeot akan tinggal lama di sini,” pengarah urusan Stellantis Malaysia, Jamie Morais memberitahu Business Times.
“Kami berbesar hati untuk berkongsi bahawa pasukan selepas jualan kami telah berjaya mengurangkan senarai open part dari 7,000 ke 499 unit bersamaan pengurangan 93%. Kami juga mengambil alih 2,500 kes terbuka dan telah berjaya menyelesaikan 95% daripadanya,” kata Morais.
Pusat hubungan pelanggan syarikat itu terus dikembangkan bagi memenuhi keperluan pelanggan dan pekerja pusat panggilan telah ditambah dari lima orang kepada 13 orang bagi memperbaiki kadar panggilan tidak terjawab dari 53% kepada 2%, tambah Morais.
Stellantis Malaysia memulakan operasi sebagai pengedar rasmi Peugeot Mac lalu, dan di bawah kendaliannya, mereka telah melancarkan Peugeot 408 2024. Ketibaan jenama lain di bawah kumpulan yang sama juga sedang dirancang, termasuk Jeep, Citroen serta Leapmotor.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.