Petronas hari ini mengumumkan bahawa inisiatif pelesenan pertamanya dengan kerjasama SIM Distribuidora (SIM) telahpun secara rasmi dilancarkan, menyaksikan tiga stesen minyak perintis Petronas akan beroperasi di Brazil.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Petronas menyatakan bahawa tiga stesen minyak perintis itu terletak di lokasi urban yang strategik, dan bukan sahaja menawarkan bahan api Petronas Primax, malah turut menjual barisan produk pelincir Petronas Syntium serta menyediakan pelbagai perkhidmatan lain yang direka perkhidmatan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan yang menjadi pemandu setiap hari di jalan raya.
“Untuk julung kalinya, pelanggan di Brazil boleh merasai produk yang dihasilkan menerusi Teknologi Bendalir kami dan memenangi anugerah Solutions yang telah menjadi juara dalam Formula Satu. Selain itu, dengan flit kenderaan Brazil yang besar di rantau Amerika Latin memberi kami peluang untuk memanfaatkan pangkalan pelanggan yang lebih luas,” kata Naib Presiden, Penapisan, Perdagangan dan Pemasaran Petronas, Ahmad Adly Alias.
“Kami teruja untuk mempunyai pelanggan sendiri di Brazil, yang mungkin telah melihat logo kami di Autodromo Jose Carlos Pace atau litar Interlagos, alami sendiri kepakaran penyelesaian termaju kami, dan bukan sekadar pelincir,” tambahnya.
Menurut Petronas, model kerjasama ini merupakan pendekatan pelesenan jenama pertamanya untuk masuk ke segmen peruncitan baharu dalam pasaran global, di mana rakan kerjasamanya akan bertanggungjawab dari segi kewangan dan aspek operasi stesen-stesen minyak tersebut.
“Bersama-sama dengan rakan kongsi, kami komited untuk memberikan nilai dalam mencapai cita-cita bersama untuk bertumbuh,” tambah Ahmad Adly.
Ini bukan kali pertama Petronas bekerjasama dengan SIM kerana syarikat tersebut sudahpun menjadi pengedar minyak pelincir bertauliah Petronas. SIM juga telah mempunyai jaringan 540 stesen runcit merentas tiga negeri di bahagian selatan Brazil.
“Kami berbangga untuk melancarkan tiga stesen pertama ini dan membangunkan perkongsian strategik ini dengan Petronas di Brazil ini. Kami percaya bahawa ini akan menjadi pilihan baharu yang menakjubkan untuk pengguna dan pengedar kami,” kata Neco Argenta, Presiden Kumpulan Argenta, iaitu syarikat induk bagi SIM.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.