Selepas didedahkan dan tempahannya dibuka 1 Ogos lalu, Proton hari ini membuat pengumuman bahawa versi kemaskini X70 facelift 2025 bakal dilancarkan pada 15 Ogos ini.
Ini merupakan versi perubahan paling besar diberikan pada model yang pertama kali diperkenalkan pada 2018 ini, dimana ia bukan hanya diberikan tingat taraf perincian, malah model 2025 ini turut menerima rombakan muka yang berbeza.
Secara asasnya, X70 baharu ini menerima muka yang disadur dari Geely Boyue facelift 2022 menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis. Ia tidak lagi menerapkan rekaan ukiran kayu rumah tradisional infinite weave pada gril, tetapi menerima corak rekaan inspirasi kain songket seperti model-model baharu Proton yang lain seperti S70 dan X90.
Manakala pada sebelah dalam, X70 facelift ini menerima tingkat taraf yang bukan sahaja hadir dengan skrin lebih besar, malah kini diberikan fungsi yang paling ditunggu-tunggu iaitu sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga kini menerima lampu suasana dan tema warna kabin yang baharu.
Ia masih digerakkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDi) yang menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT yang telah dikemaskini. Kuasa dari enjin hanya memacu roda hadapan, tanpa sebarang pilihan sistem pacuan semua roda untuk kali ini. Varian yang dijana enjin 1.8 liter T-GDi juga tidak lagi ditawarkan.
Menurut Proton unit rangkaian kuasa yang dikemaskini ini memberikan penggunaan bahan api 7.3 liter setiap 100 km, atau 4% lebih rendah dari model MC 2022. Ia dapat dicapai menerusi penambahbaikkan dibuat pada keberkesanan pembakaran, pengurusan haba dan pengurangan geseran, secara tidak langsung turut memberikan kadar NVH yang lebih rendah.
Proton X70 bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Premium X, di mana varian ‘X’ merupakan versi Premium yang ditambah dengan bumbung suria panaromik. Harga hanya akan diumumkan ketika pelancaran rasminya nanti.
Buat masa sekarang model sedia ada dijual dengan harga RM98,800 bagi Standard, RM110,800 bagi Eksekutif, RM116,800 bagi Eksekutif AWD, RM123,800 bagi Premium dan RM126,800 bagi Premium X. Kami sebenarnya telah diberi peluang untuk membelek model ini dengan lebih terperinci sebelum ini, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
GALERI: Proton X70 2025 Premium X
GALERI: Proton X70 2025 Premium
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.