Anda rasa Volvo tidak akan mengeluarkan sedan lagi? Ini dia, syarikat dari Sweden itu membuktikan sebaliknya apabila mengeluarkan teaser pendek ES90 semasa acara 90/90 yang berlangsung semalam, sebelum ia didedahkan secara penuh Mac tahun hadapan.
Melalui huruf E yang terdapat pada namanya, kita boleh mengetahui ia adalah sedan elektrik yang terletak tinggi dalam barisan model Volvo, dan merupakan pengganti kepada S90 yang sudah berusia lapan tahun. Namun disebabkan permintaan untuk kenderaan elektrik sedang menurun sekarang, S90 mungkin masih boleh bertahan sedikit masa lagi sebelum dihentikan untuk jualan.
Tiada maklumat terperinci yang dikeluarkan untuk ES90 ini, kecuali beberapa imej gelap yang menunjukkan susun atur serta bentuk cermin sama seperti S90. Turut boleh dilihat adalah pembuka pintu yang boleh tenggelam sama rata dengan badan serta cermin sisi tanpa bingkai – kedua-dua ciri ini diambil daripada EX90.
Bukan setakat itu, ada lagi bahagian lain yang dikongsi dengan SUV tersebut – ES90 akan dibina atas platform Scalable Product Architecture (SPA2) generasi kedua sama seperti EX90, dan ini menunjukkan ia juga akan mendapat pilihan motor penggerak dan bateri yang sama.
Ini termasuklah model Single Motor pacuan roda belakang berkuasa 279 PS (205 kW)/490 Nm, Twin Motor pacuan semua roda 408 PS (300 kW)/770 Nm dan Twin Motor Performance 517 PS (380 kW)/910 Nm.
Berkenaan jarak gerak, model RWD EX90 dengan bateri 104 kWh dapat mencatat 580 km, manakala pek 111 kWh yang diberikan pada model AWD dapat membawa kenderaan sehingga 614 km. Dengan badan yang lebih ringan dan aerodinamik berbanding EX90 (2.8 tan), ES90 sepatutnya dapat memberi jarak gerak lebih baik melalui pakej yang sama.
Sementara EX90 dikeluarkan di South Carolina, Amerika Syarikat, ES90 ini pula dikatakan akan dibuat di kilang kerjasama Geely dan Volvo di Zhejiang, China. Ini mungkin kerana ES90 direka untuk negara itu dan jualan sedan di sana juga masih lagi kuat. Bagaimanapun, ia masih akan memasuki pasaran sedunia lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.