Bulan Januari 2025 sudah pun berakhir, nak tahu 20 model kereta apa yang paling laris di Malaysia sepanjang bulan pertama tahun ini? Ini dia data yang kami ambil berdasarkan pendaftaran dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kami rumuskan untuk anda.
Untuk Januari 2025, nampaknya Perodua Axia berjaya naik ke tempat pertama di mana hatchback segmen-A tersebut terjual sebanyak 7,096 unit. Manakala sedan segmen-A juga dari Perodua iaitu Bezza yang berada pada takhta tersebut sejak sekian lama jatuh ke tempat kedua dengan jualan sebanyak 5,106 unit.
Satu lagi model popular Perodua iaitu Myvi berada di tempat ketiga dengan pendaftaran sebanyak 4,464 unit, hanya tiga unit di hadapan model paling laris Proton iaitu sedan segmen-A Saga dengan pendaftaran sebanyak 4,461 unit untuk berada di tempat keempat.
Carta Top 5 ini dilengkapkan dengan MPV Perodua Alza yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 3,214 unit sepanjang bulan lalu, manakala tempat keenam milik satu lagi jenama Perodua iaitu SUV segmen-A Ativa dengan jualan sebanyak 2,526 unit.
Tempat ketujuh pula dihuni oleh Toyota Vios, membolehkan ia menjadi model bukan nasional paling laris untuk Januari 2025 dengan jualan sebanyak 1,605 unit. Ia diikuti oleh model kedua terlaris Proton dalam carta ini iaitu X50 dengan merekodkan pendaftaran sebanyak 1,402 unit.
Dan tidak disangka-sangka, model bukan nasional kedua terlaris bagi bulan ini adalah Toyota Alphard dengan jumlah jualan sebanyak 1,397 unit. Jumlah tersebut agak memberangsangkan memandangkan Alphard merupakan model yang agak premium dan mahal berbanding model-model lain yang berada dalam carta Top 10. Jumlah pendaftaran Alphard berkenaan adalah sepenuhnya unit CBU baharu yang dijual secara rasmi oleh UMW Toyota Motor, bukan unit ‘recond’ yang dibawa oleh pengimport persendirian.
Alphard juga turut mengalahkan model-model Toyota yang lain termasuk Corolla Cross (1,335 unit) dan Hilux (1,294 unit), malah ia lebih laris dari model-model mampu milik seperti Proton Persona (1,218 unit), Honda City (sedan dan hatchback, 1,195 unit) dan Proton S70 (1,133 unit).
Terdapat juga model-model MPV lain dalam carta Top 20 ini, termasuk Mitsubishi Xpander (963 unit) berada di tempat ke-15 dan Perodua Aruz (839 unit) di tempat ke-17. Untuk SUV yang agak ‘sensasi’ kebelakangan ini iaitu Jaecoo J7, momentumnya nampak mula menurun dengan pendaftaran 765 unit untuk berada di tempat ke-18.
Namun ia tetap lebih laris dari Honda Civic (642 unit) yang berada di tempat ke-19 walaupun baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift yang lebih segar, dan juga Proton X70 (568 unit) yang berada di tempat ke-20.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
myvi dah hilang mahkota king