Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

Selepas pelbagai khabar angin bertiup, akhirnya pasukan lumba rasmi Proton, Race.Rally.Research atau Proton R3 akhirnya dilaporkan telah ditutup sepenuhnya. Perkara ini diberitahu oleh bekas ahli pasukan berkenaan yang masih rapat dengan ahli pasukan sedia ada iaitu Suriya Sankaran bahawa divisi tersebut secara rasminya telah ditutup semalam, 11 Julai 2025.

Menurut Suriya yang juga merupakan pengasas bersama Dream Street Restoration (DSR) iaitu pakar restorasi model-model lama Proton, beberapa kakitangan Proton R3 yang masih lagi berkhidmat telah menamatkan tugas mereka di fasiliti R3 di Shah Alam semalam, dan mereka diserapkan dalam operasi kilang pengeluaran di Shah Alam, sebelum berpindah ke kilang Tanjung Malim pada 1 Januari 2026.

Sebelum ini Proton telah dilaporkan akan berpindah sepenuhnya ke Tanjong Malim tahun ini, selepas berakhirnya produksi model terakhir yang di buat di Shah Alam iaitu Saga MC2, manakala model terbaharu Saga yang sedang dibangunkan menerusi platform AMA dan dijangka akan dilancarkan lewat tahun ini akan terus dipasang di Tanjung Malim.

Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

Rancangan Proton untuk berpindah sepenuhnya ke Tanjung Malim sudah disebut ketika 2017 lagi, ketika proses berkenaan dirancang untuk dilengkapkan selewat-lewatnya pada 2022. Namun rancangan tersebut tergendala kerana berlakunya pendemik Covid-19 pada 2020.

Proton R3 ditubuhkan pada 2003 untuk meneruskan legasi pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang membawa nama Proton dalam sukan permotoran selepas pasukan berkenaan dibubarkan. Menerusi R3, nama Proton terus menyinar dalam sukan permotoran tak kira dalam disiplin rali dan litar, dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Dengan jentera Satria Neo S2000, Proton pernah berlumba dalam Intercontinental Rally Challenge bermula tahun 2009 hingga 2011, S-WRC pada tahun 2012 dan Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) pada tahun 2010 hingga 2012.

Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

Kejayaan terbesar yang dicatatkan oleh Neo S2000 ini adalah pada APRC musim 2011 apabila pemandu mereka Alister McRae (adik kepada lagenda WRC mendiang Colin McRae) dinobatkan sebagai juara keseluruhan, tempat kedua keseluruhan juga disandang pemandu Proton Motorsport Chris Atkinson (bekas pemandu Subaru World Rally Team), dan secara tidak langsung Proton Motorsport juga dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar.

Untuk perlumbaan litar, Proton R3 merupakan juara Merdeka Millennium Endurance untuk tahun 2004 dan 2005 menggunakan Lotus Exige 300RR, juara Kejohanan Asia Touring Car Championship 2008 kategori 1500 Max dengan Satria Neo.

R3 juga kuasa besar dalam kejohanan Malaysia Super Series kategori Malaysia Touring Car (MTC) dengan menjadi juara musim 2007,2008, 2012, 2013, 2015 dan 2019, serta juara perlumbaan Endurance Sepang 1000km (S1K) untuk tahun 2012, 2014, 2017, 2018 dan 2019. Semua ini dicapai menerusi barisan kereta lumba R3 yang dibangunkan mengikut undang-undang MTC termasuk Satria Neo, Preve, Suprima S dan juga Iriz.

Tahun lalu Proton R3 kembali semula ke perlumbaan S1K selepas lima tahun menyepi dari sebarang perlumbaan, mempertaruhkan dua sedan Proton S70 baharu yang turut dibina berasakan undang-undang MTC. Nampaknya perlumbaan tersebut merupakan penampilan terakhir S70 R3 MTC berkenaan di bawah panji Proton R3.

Suriya turut memberitahu selepas ini dia akan bertemu dengan pihak pengurusan Proton untuk menentukan nasib kereta-kereta lumba di bawah jagaan Proton R3. Kereta yang masih kompetitif berlumba mungkin akan dijual ke pasukan-pasukan yang berminat, manakala kereta lumba yang bersejarah akan diusahakn untuk disimpan mungkin di muzium.

Selain dari berlumba, sebelum ini Proton R3 turut mempunyai divisi yang membangunkan serta menjual peralatan prestasi untuk kereta-kereta Proton, serta jabatan pembangunan model-model prestasi edisi terhad yang telah memperkenalkan model-model legenda seperti Proton Satria R3, Satria Neo R3, Satria Neo R3 Lotus Racing dan banyak lagi. Divisi berkenaan telah ditutup lebih awal iaitu pada Mei 2017.

Di bawah Geely, Proton R3 diletakkan di bawah Proton Global Service (PGS) dan dirancang untuk memulakan semula penghasilan barangan serta peralatan prestasi serta aksesori R3 untuk kereta Proton. Ia telah dimulakan dengan pengenalan minyak enjin serta penapis minyak R3 dan juga pelbagai barangan R3, namun dengan perkembangan terbaharu ini nampaknya rancangan tersebut masih lagi dalam keadaan tidak menentu. Mungkin kita perlu menunggu kenyataan rasmi dari Proton sendiri berkenaan perkara ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required