Proton eMas 7 PHEV – teaser disiar, bakal muncul di Proton Tech Showcase di CoE 5 hingga 7 Disember ini

Proton eMas 7 PHEV – <em>teaser</em> disiar, bakal muncul di Proton Tech Showcase di CoE 5 hingga 7 Disember ini

Selepas ‘kelibat‘ unit ujian Proton eMas 7 PHEV dilihat berkeliaran di atas jalan raya awam untuk diuji kebelakangan ini, nampaknya model tersebut akan dipamerkan kepada awam tidak lama lagi – Proton akan mengadakan acara Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan (CoE) Proton di Subang Jaya hujung minggu ini bagi memperlihatkan teknologi-teknologi terkininya kepada orang awam, dan menerusi teaser yang disiar di laman sosial rasminya, eMas 7 PHEV turut akan dipamerkan pada acara tersebut!

Proton tidak menyatakan dengan terus bahawa eMas 7 PHEV ini akan dipamerkan di acara yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Disember itu nanti. Sebaliknya ia menunjukkan sebuah SUV dengan bentuk badan yang seiras dengan eMas 7 tetapi digelapkan, kecuali pada lampu belakang. Lampu tersebut sememangnya sama dengan Geely Galaxy Starship 7 (atau dikenali sebagai Starray EM-i di Australia dan Indonesia), iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) untuk Geely EX5/Proton eMas 7.

Versi PHEV ini digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai EM-i yang menggandingkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA dan dipadankan bersama transmisi hibrid khas (E-DHT). Ya, ia merupakan enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder yang dikenali sebagai i-GT, yang kini sudahpun berada dalam perut Saga MC3 didakwa boleh mencapai kecekapan haba sehingga 46.6%. Namun untuk versi ini, enjin tersebut hanya menjana kuasa 99 PS serta tork 125 Nm, manakala transmisi E-DHT yang disebut tadi turut mempakejkan sekali dua motor elektrik 12-dalam-1 yang membekalkan kuasa keseluruhan 218 PS dan tork 320 Nm.

Menerusi sistem ini enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri, manakala roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik. Namun ada masa-masa tertentu enjin turut akan bersama-sama menggerakkan roda bersama motor elektrik, seperti sistem hibrid e:HEV Honda.

Tetapi apa yang tidak sama, bateri pada sistem PHEV EM-i ini turut boleh dicas semula seperti sebuah EV sebenar. Di Australia Starray EM-i dibekalkan dengan bateri LFP berkapasiti 18.kWj. Ini memberikan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin dihidupkan sejauh 84 km, dan dengan satu tangki petrol penuh bersama satu cas penuh bateri membolehkan ia bergerak sejauh 943 km – kedua-dua angka ini dikira berdasarkan kitaran WLTP. Ia turut boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat serta mencapai kelajuan maksima 170 km/j.

Untuk mengecas pula Geely Starray EM-i mampu menerima pengecas AC 6 kW dan pengecas pantas DC sehingga 30 kW. Malah fungsi vehicle-to-load (V2L) juga boleh digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain sama seperti EV sebenar.

Proton sebenarnya sudahpun memfailkan nama eMas 7 PHEV ini di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada September 2024. Malah kilang EV baharu Proton di Tanjong Malim yang telah mula beroperasi sejak September lalu juga sememangnya direka membolehkan ia memasang model dengan unit rangkaian kuasa PHEV ini. Dengan kemnuculannya dikhalayak ramai akan dibuat hujung minggu ini, mungkin eMas 7 yang mempunyai enjin petrol ini boleh dilancarkan oleh Proton tahun depan?

GALERI: Geely EX5 EM-i 2025 pasaran Australia

GALERI: Geely Starray EM-i versi pemanduan sebelah kanan di GIIAS 2025

GALERI: Geely Galaxy Starship 7 versi pemanduan sebelah kiri pasaran China di Auto Shanghai 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required