Ketika berlangsungnya Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya pagi ini, Eksekutif Program Kenderaan Proton Desmond Pinto mendedahkan bahawa model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton berasaskan platform Advance Modular Architecture (AMA) bakal di’rebadge’ oleh Geely dan dijual pada pasaran-pasaran tertentu.
Menurutnya ini kerana Geely tidak mempunyai model-model yang lebih kecil, kompak dan mampu milik dari model-model yang di’rebadge’ oleh Proton buat masa sekarang seperti siri-X dan siri-S. Jadi model-model yang bakal dibangunkan dan diperkenalkan oleh Proton berdasarkan platform AMA kelak akan dipilih oleh Geely untuk di’rebadge’ bagi ditawarkan pada pasaran-pasaran yang memerlukan model-model sedemikian.
Platform AMA yang dibangunkan oleh Proton adalah versi yang ditambah baik berdasarkan platform model-model yang dibangunkannya sendiri sebelum ini. Model pertama yang menggunakan platform tersebut iaitu Saga MC3 telah pun dilancarkan baru-baru ini.
AMA merupakan platform modular yang boleh menghasilkan pelbagai model dengan saiz dan bentuk badan berbeza. Menurut Pinto dalam pembentangannya hari ini, platform AMA direka bersedia untuk pasaran global dengan penawaran terus dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan kiri (LHD), dan ia akan mewarisi penawaran model-model pembangunan sendiri Proton seperti Iriz, Persona, Exora dan Saga.
Jarak roda platform ini boleh dihasilkan secara bervariasi sehingga 290 mm manakala lebar jarak trek roda pula sehingga 43 mm. Model-model yang dihasilkan juga bukan hanya disasarkan untuk menerima penarafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ANCAP) dalam protokol 2026-2030, malah struktur binaannya turut direka mengambil kira Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).
Manakala untuk unit rangkaian kuasa, model-model ini akan menggunakan padanan enjin 1.5 liter empat-silinder i-GT baharu sama ada dengan kotak gear automatik empat-kelajuan 4AT dari Aisin atau CVT dari Punch Powertrain, dan ia juga boleh menerima unit rangkaian kuasa hibrid (HEV) di mana enjin i-GT tersebut akan digandingkan dengan transmisi khas hibrid 1 DHT.
Turut tidak ketinggalan, model-model berasaskan platform AMA ini juga akan mengekalkan karekteristik ride & handling Proton, dengan mengambil kira keseimbangan antara prestasi pengendalian dan keselesaan.
Tiada sebarang petunjuk model apa yang diperkenalkan menerusi platform AMA ini selepas Saga, namun Proton ada mendedahkan sekurang-kurangnya akan ada tiga lagi model baharu berasaskan platform tersebut yang kini dikenali sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06. Namun boleh dijangka antara model-model yang akan dihasilkan kelak termasuk SUV kompak, hatchback kompak dan juga MPV, bagi menggantikan tempat model seperti Iriz dan Exora.
Sebelum ini pengerusi Proton Holdings Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar ada menyatakan bahawa Proton akan menghasilkan lebih banyak model pembangunan tempatan yang bukan rebadge dari Geely, berasaskan platform AMA pada masa akan datang, dan ia bukan hanya disasarkan untuk menguasai pasaran tempatan, malah ia akan menjadi ‘senjata’ utama Proton pada pasaran global.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



