
Honda City sedan kini menerima kamera pandangan 360-darjah, yang diberikan untuk varian RS petrol dan RS e:HEV sahaja. Menariknya, sistem kamera ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan, bermakna City RS petrol kekal pada harga RM99,900 dan RS e:HEV hybrid pula berharga RM111,900, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.
Walau bagaimana pun, tiada perubahan yang dilakukan untuk ciri-ciri lain termasuk mekanikal. Ini bermakna kamera terbabit merupakan satu-satunya ciri tambahan yang diberikan untuk City sedan, yang dipertingkatkan pada Ogos 2023. Ketika dilancarkan, City sedan ditawarkan dengan tiga lagi versi petrol iaitu S,E dan V yang berharga dari RM84,900 hingga RM94,900.
Kesemua varian petrol, termasuk RS, dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm.
Sementara itu, RS e:HEV dipadankan dengan motor elektrik 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 253 Nm, yang dijanakan oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm. Di mana enjin tersebut bertindak sebagai generator, yang juga boleh memacu kereta dalam kelajuan tinggi (di mana ia lebih menjimatkan) menerusi transmisi kelajuan-tunggal dan lock-up clutch.
Enam warna ditawarkan untuk City bagi pasaran Malaysia iaitu rona baharu Phoenix Orange Pearl (di mana ia diperkenalkan untuk versi sedan pada Mac lalu dengan kos tambahan RM400), Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic, Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Di mana dua pilihan warna terakhir itu hanya ditawarkan untuk varian petrol sahaja.
