Proton sahkan X70 MC3, X90 MC dan S70 MC akan diperkenal guna enjin 1.5L empat-silinder turbo i-GT

Baru-baru ini Proton telah dilihat menguji lagi sedan segmen-C Proton S70 dengan pelekat penyamaran, yang ramai jangkakan ia adalah unit ujian bagi model kemaskini menggunakan enjin 1.5 liter empat-silinder i-GT bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder pada model sedia ada.

Nampaknya jangkaan itu benar kerana ketika berlangsungnya acara Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) yang bermula hari ini, Proton sendiri mendedahkan bahawa ia bakal melancarkan S70 dengan enjin berkenaan. Malah bukan hanya S70, enjin baharu tersebut turut akan menggantikan semua enjin tiga-silinder yang ada pada X70 dan juga X90.

Proton memberikan nama ‘MC’ yang bermaksud ‘Minor Change’ pada ketiga-tiga model ini, jadi kami jangkakan selain dari enjin, ia mungkin hanya menerima tingkat taraf kecil pada bahagian rupa luaran dan dalaman serta perincian-perincian lain.

Walau bagaimanapun tiada sebarang garis masa bila model-model ini akan dilancarkan. Namun boleh dijangka ia mungkin akan dibuat seawal tahun hadapan – ini kerana lebih cepat semua model beralih menggunakan enjin empat-silinder, fasiliti pengeluaran enjin Proton akan lebih efisien dari segi kos dan masa kerana ia hanya mengeluarkan satu jenis enjin dengan pelbagai varian bergantung pada keperluan model.

Proton sahkan X70 MC3, X90 MC dan S70 MC akan diperkenal guna enjin 1.5L empat-silinder turbo i-GT

Buat masa sekarang enjin i-GT tersebut telah digunakan pada Proton X50 facelift 2025 dan juga Saga MC3 2026. Pada X50 facelift, enjin dengan kod BHE15TD tersebut menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm dengan diberikan pengecas turbo dan juga sistem suntikan bahan api terus. Varian ini akan ditawarkan pada S70 MC, X70 MC3 dan X90 MC.

Manakala pada Saga ia dikenali dengan kod BHE15PFI, datang tanpa pengecas turbo serta sistem suntikan bahan api konvensional, menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Varian ini turut akan digunakan oleh model-model Proton yang menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) termasuk eMas 7 PHEV, dengan beberapa perubahan kecil berbanding enjin yang digunakan pada Saga, serta akan digandingkan dengan transmisi khas hibird (DHT) dari siri DHT120 atau DHT160.

Dalam slaid pembentangan yang ditunjukkan, Proton turut mendedahkan bahawa enjin BHE15PFI ini turut akan digunakan pada sebuah SUV baharu yang bakal diperkenalkan selepas ini dan ia dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan 4AT – mungkin ia adalah Saga Cross yang digembar-gemburkan sebelum ini? Lebih perincian berkenaan enjin dari keluarga BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.