Proton jual 16,995 unit kenderaan pada Mei – jualan lima bulan pertama 2026 kini capai 84,294 unit

Proton telahpun mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan Mei 2026 di mana secara keseluruhan ia telahpun menjual sebanyak 16,995 unit kenderaan sepanjang bulan berkenaan. Jumlah berkenaan dilihat menurun sebanyak 6.8% berbanding jumlah 18,156 unit yang dicatatkan pada April, namun ia masih mengatasi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan menurun sebanyak 15.4% berbanding bulan sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah jualan kumulatif tahunan Proton kini mencapai 84,294 unit bagi lima bulan pertama tahun ini, naik 38% berbanding tempoh sama tahun lalu. Dengan jumlah ini Proton menganggarkan pegangan pasarannya kini adalah pada 26.7% ketika TIV dianggarkan menguncup sebanyak 1.4% bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan ini juga Proton mendakwa bahawa Saga berjaya menjadi model paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2026 dengan jualan sebanyak 7,398 unit. Ini bermakna jualan yang dicatatkan Saga pada Mei semestinya lebih tinggi dari Perodua Bezza – kita perlu rujuk data yang bakal dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tak lama lagi untuk lebih perincian angka-angka ini.

Jadi untuk lima bulan pertama tahun ini sebanyak 37,375 Saga telah diserahkan kepada pelanggan, naik 41% berbanding tempoh sama tahun lalu. Manakala untuk lain-lain model dengan enjin pembakaran dalaman, S70 terjual sebanyak 2,350 unit sepanjang Mei menjadikan jumlah jualan tahunannya kini sebanyak 10,525 unit (naik 32.5%), X50 masih SUV paling laris di Malaysia dengan 2,793 unit terjual sepanjang Mei menjadikan jualan kumulatifnya mencapai 12,967 untuk tahun ini (naik 33.6%), manakala Proton X90 terjual sebanyak 402 unit bulan lalu membolehkan jualan tahunannya meningkat sebanyak 38.6% setakat lima bulan pertama tahun ini.

Proton juga telah menjual sebanyak 3,022 unit (termasuk eksport) model-model elektrifikasi yang dijual dengan sub-jenama Proton eMas sepanjang bulan lalu, menjadikan jumlah jualan tahunan sehingga Mei mencapai 14,687 unit. Dari jumlah tersebut, eMas 7 PHEV terjual sebanyak 1,181 unit sepanjang Mei, menjadikan jualan tahunannya kini mencapai 2,936 unit dan masih merupakan model PHEV paling laris di Malaysia.

Manakala eMas 7 EV terjual sebanyak 958 unit sepanjang Mei, menjadikan jumlah jualan kumulatif 2026 kini mencapai 2,394 unit. Model EV paling mampu milik eMas 5 pula telah terjual sebanyak 958 unit bulan lalu, menjadikan jualan lima bulan pertama tahun ini mencapai 9,357 unit.

Menurut Proton, produksi eMas 7 CKD di Tanjong Malim kini sudahpun stabil, manakala produksi bagi eMas 5 CKD pula akan bermula ini di mana ia akan menggantikan versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China selepas ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.