LPT2_PTBM

Kepada mereka yang baru pulang beraya ke kampung di Pantai Timur menggunakan lebuhraya LPT2, itu mungkin kali terakhir anda melalui laluan berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran. Hal ini kerana bermula 15 Julai nanti, bayaran tol di laluan LPT2 akan mula dikutip setelah beroperasi percuma sejak 31 Januari 2015.

Memetik laporan Berita Harian, kadar tol yang akan dikenakan kepada pengguna pada peringkat awal adalah sebanyak 12 sen bagi setiap kilometer bagi kenderaan kelas 1 (kereta). LPT2 sepanjang 184 km yang bermula dari Jabor, Pahang hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu melibatkan 10 plaza tol disepanjang laluan berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh, kutipan tol LPT2 yang dibuat hanya selepas cuti Hari Raya Aidilfitri adalah untuk mengambil kira kepentingan rakyat. “Kutipan tol di lebuhraya ini perlu dilakukan untuk membiayai kos penyenggaraan dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuhraya,” jelasnya.

10 plaza tol yang terlibat adalah Plaza Tol Cheneh, Plaza Tol Chukai, Plaza Tol Kijal, Plaza Tol Kerteh dan Plaza Tol Paka di Pahang manakala lima lagi plaza tol di Terengganu ialah Plaza Tol Kuala Dungun, Plaza Tol Bukit Besi, Plaza Tol Ajil, Plaza Tol Telemong dan Plaza Tol Kuala Terengganu.

Syarikat Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd yang merupakan milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad) telah dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan operasi, penyenggaraan dan kutipan tol di lebuhraya berkenaan.