TVS iQube skuter janaan elektrik dengan tork 140 Nm

Pengeluar motosikal dari India, TVS Motor Company melancarkan sebuah skuter elektrik untuk pasaran sana, yang dinamakan sebagai iQube. Ia dikuasakan oleh bateri lithium ion yang memberi kuasa kepada motor elektrik 4.4 kW, dan tork maksimum 140 Nm.

Bateri pada iQube boleh dicas penuh dalam masa sekitar lima jam, dan selepas itu, ia boleh bergerak untuk jarak sehingga 75 km. Laju maksimum adalah 78 km/j manakala pecutan 0-40 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.2 saat.

Kelengkapan lain yang terdapat pada motoikal ini adalah termasuk rim 12 inci dengan tayar 90/90, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, serta panel instrumen TFT dengan sistem sambungan Smart X Connect.

Melalui sistem ini, yang boleh disambungkan kepada telefon bimbit, pengguna boleh pelbagai fungsi seperti navigasi, status bateri, geofencing, pemberitahuan panggilan dan mesej, amaran lebih kelajuan, kedudukan motosikal serta statistik tunggangan.

Selain daripada ciri yang disebutkan ini, iQube juga datang dengan fungsi unik Q-Park Assist iaitu bantuan kuasa untuk bergerak ke hadapan dan belakang apabila hendak meletakkan kenderaan. Ia juga datang dengan dua mod tunggangan. Di India, iQube dijual pada harga 115,000 Rupee (RM6,579).