VIDEO: Lagi budak tercampak keluar dari kereta, kali ini akibat perlanggaran kereta yang sedang berlumba

Macam-macam perkara yang tidak dijangka boleh berlaku atas jalan raya. Dalam kes terbaru yang tular dalam media sosial, seorang budak kelihatan tercampak keluar dari kereta tertiarap di atas lorong paling kanan, berlaku di Kilometer 235.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Pedas Linggi petang semalam.

Melalui video yang dimuat naik oleh Alan Chang, insiden ini bermula dengan dua kereta yang sedang berlumba, iaitu sebuah Honda Jazz biru dan juga sebuah lagi Perodua Myvi putih. Semasa mereka berada di lorong kanan, dua kereta ini terhalang oleh sebuah Honda Civic yang berada di depan dan Myvi tersebut cuba memotong dari sebelah kiri.

Pemandu Myvi tersebut masuk semula ke lorong paling kanan, tetapi telah melanggar sedikit bahagian depan Jazz itu dan bahagian tepi Civic, seterusnya membuatkan Civic tersebut terbabas ke penghadang jalan dan kemudiannya melantun semula ke lorong tengah.

Semasa perlanggaran itulah seorang budak telah tercampak keluar dan dia sebenarnya berada dalam Civic yang dilanggar oleh Myvi tersebut. Menurut laporan Astro Awani, ketua polis daerah rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam memberitahu budak tersebut cuma mengalami kecederaan ringan dan kini sedang dirawat di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

?Ekoran dari maklumat orang awam dan video tular adegan kejar-mengajar itu, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pemandu kenderaan biru untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987″ kata Anuar.

Walaupun Anuar memberitahu pemandu kenderaan biru (Jazz) yang dicari, kami merasakan pemandu Myvi putih yang menjadi penyebab utama kepada perlanggaran ini dan memandu secara melulu juga sepatutnya diburu sama.

Satu lagi perkara yang kita boleh ambil sebagai pengajaran adalah penggunaan tali pinggang keledar atau tempat duduk kanak-kanak untuk penumpang. Sudah banyak kali kami naikkan artikel kepentingan perkara ini dan nampaknya masih ramai juga yang belum sedar. Mereka patut tahu, kemalangan boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja, dan tidak semestinya bergantung pada kita sahaja.