GALERI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 ? harga dari RM367k, 2.0L turbo, 306 PS / 400 Nm

Dilancarkan Jun lalu, Mercedes-AMG A 35 4Matic W177 diposisikan di bawah A 45 S 4Matic+ dan menjadi model dengan lencana 35 yang kedua A-Class untuk pasaran tempatan, selepas A 35 Sedan V177. Ia dijual pada harga RM366,785 (atas jalan tanpa insurans) dengan pengecualian SST hingga hujung tahun nanti – ini RM30,507 lebih mahal dari versi sedannya. Jika dibandingkan dengan versi A 45 pula, model ini RM76,485 lebih murah.

Model ini dilengkapi enjin M260 2.0 liter empat-silinder petrol dengan turbocas twin-scroll yang menjana 306 PS (302 hp) dari 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan 400 Nm dari 3,000 rpm hingga 4,000 rpm. Ia juga dilengkapi dengan transmisi AMG Speedshift tujuh-kelajuan klac berkembar serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, dan mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat dan laju maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Lain-lain kelengkapan termasuk suspensi AMG Ride Control, rim AMG 19-inci, sementara brek menggunakan jenis angkup kekal monoblok empat-omboh dan cakera 350 mm di depan. Di belakang, brek angkup dengan omboh tunggal dan cakera 330 mm digunakan. A 35 ini menggunakan kit Edition 1, dengan tambahan pakej AMG Aerodynamics dan Night.

GALERI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 ? harga dari RM367k, 2.0L turbo, 306 PS / 400 Nm

Di dalam, kerusi AMG Performance adalah standard dengan balutan kulit buatan Artico serta gentian mikro Dinamica. Kelengkapan lain termasuk dua paparan 10.25-inci, antaramuka Mercedes-Benz User Experience (MBUX), head-up display, pengecas tanpa wayar serta servis Mercedes me connect.

Bagi ciri keselamatan, A 35 ini datang sekali dengan ciri seperti bantuan brek aktif (AEB), bantuan mengekalkan lorong, bantuan titik buta, Pre-Safe, sistem peninjau tekanan tayar, bantuan parkir aktif dan kamera undur. Teliti galeri lengkap yang kami sediakan ini untuk melihat perincian lanjut yang ditawarkan oleh kereta hatchback ini.