Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya – jalan di sekitar Subang Parade ditutup pada Ahad ini, 7-11 pagi

Klik untuk besarkan

Untuk warga Subang Jaya dan kawasan berhampirannya, dimaklumkan bahawa pada Ahad ini, 5 Mac 2023, iaitu Ahad pertama bagi setiap bulan, bakal diadakan Program Selamat Pagi Subang Jaya: Hari Tanpa Kenderaan MBSJ.

Untuk itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menguumkan sebahagian daripada Jalan Kemajuan akan ditutup untuk laluan trafik, iaitu dari persimpangan Jengka ke persimpangan Persiaran Kewajipan. Manakala Jalan SS16/1 pula akan ditutup untuk satu pusingan di sekeliling Subang Parade, Aeon Big dan barisan bangunan berdekatan Mesianiaga.

Klik untuk besarkan

Walau bagaimana pun, jika diteliti peta yang dikongsikan MBSJ seperti di atas, Jalan SS16/1 masih boleh dilalui oleh kenderaan. Di mana jalan terbabit akan digunakan untuk menjayakan acara terbabit dan dalam masa yang sama untuk laluan trafik. Jadi, para pengguna jalan berkenaan diminta untuk memandu perlahan dan berhati-hati.

Ini merupakan kali ke-lapan penganjuran Program Selamat Pagi Subang Jaya: Hari Tanpa Kenderaan MBSJ, seperti mana yang dianjurkan menerusi program KL Car Free Morning (KLCFM), tetapi membabitkan laluan yang lebih pendek dan lebih banyak aktiviti. Antaranya perlawanan bola sepak jalanan, pasar karat, pemeriksaan kesihatan secara percuma, acara larian, tarian, persembahan pemuzik jalanan (busker), memanah dan food truck.