Husqvarna Norden 901 Expedition 2023 diperkenal

Selepas beberapa tahun Norden 901 diperkenalkan kepada pasaran, Husqvarna kini memperkenalkan versi yang lebih ekstrem bagi motosikal adventure tersebut, dinamakan sebagai Norden 901 Expedition. Menggunakan asas daripada model Norden 901 standard, ia pertamanya dinaik taraf dengan suspensi WP boleh laras sepenuhnya yang mempunyai jarak gerak 240 mm di hadapan (+20 mm berbanding model standard).

Ciri keselesaan penunggang ditambah baik dengan penghadang angin yang lebih tinggi, sementara aksesori katalog yang sebelum ini dijual secara berasingan diberi secara terus termasuk pemanas bahagian pemegangn tangan dan tempat duduk yang boleh dilaras beberapa tahap, serta beg barangan jenis lembut dengan kapasiti 36 liter setiap satu.

Casis asal masih lagi sama, dan begitu juga dengan enjin, iaitu unit dua silinder selari 889 cc yang mampu menghasilkan 105 hp dan tork 100 Nm. Pelindung enjin telah direka semula, sementara tongkat tengah baru memberikan stabiliti apabila motosikal diletakkan di kawasan mencabar.

Penunggang Norden 901 Expedition disediakan dengan pilihan empat mod tunggangan iaitu Street, Rain, Offroad dan Explorer. Sistem brek ABS datang dengan mod Offroad dan boleh ditutup sepenuhnya, sementara quickshifter Easy Shift disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem kawalan cengkaman motosikal ini mempunyai larasan sembilan tahap dan juga boleh ditutup sepenuhnya.

Di bahagian kokpit terdapat panel instrumen TFT-LCD yang datang dengan sistem yang boleh disambung kepada telefon untuk memberikan pelbagai fungsi tambahan seperti kawalan muzik dan panggilan, serta paparan arah navigasi. Norden 901 Expedition datang dengan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 19 liter.