APAD umum had usia teksi dan kenderaan e-hailing di Malaysia kini 15 tahun, perlu lulus Puspakom

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengumumkan bahawa had usia bagi teksi dan kenderaan e-hailing di negara ini dinaikkan kepada 15 tahun. Ini merangkumi semua kenderaan bagi tujuan sewa di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam, agensi berkenaan memaklumkan lanjutan tempoh itu selari dengan hasrat Kementerian Pengangkutan untuk memperkukuhkan industri teksi dan e-hailing dalam usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam negara.

Bagaimanapun, lanjutan tempoh usia teksi dan kenderaan e-hailing itu datang dengan tiga syarat. Pertama, kenderaan terbabit mencapai had usia maksimumnya dalam tempoh bermula 1 Januari tahun ini. Kedua, semua kenderaan yang akan diberi kelulusan itu perlu lulus pemeriksaan berkala Puspakom untuk memastikan keadaannya cukup baik untuk berada di atas jalan raya.

Syarat ketiga pula adalah ia perlu memenuhi syarat operasi lain yang telah ditetapkan untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pelanggan serta imej industri terjamin dalam keadaan baik. Agensi berkenaan memaklumkan yang dengan pengumuman itu, penggiat industri teksi dan e-hailing boleh menambahbaik kualiti servis yang ditawarkan.