Pembangun hartanah Sunsuria telah umumkan syarikat itu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan IAT Automobile dari China untuk mewujudkan pusat operasi di Malaysia bagi pembangunan kenderaan elektrik (EV).
Dalam failnya di Bursa, syarikat itu memaklumkan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) bagi EV dan produk berkaitannya, serta untuk mewujudkan dan mengeluarkan jenama EV Malaysia sendiri. Ini akan dicapai menerusi sebuah syarikat usaha sama, Sunsuria IAT, yang mana 51% pegangannya dimiliki oleh Sunsuria, dan 49% lagi oleh IAT.
Usaha sama tersebut turut merancang untuk mewujudkan sebuah eko-sistem automotif dengan kepelbagaian, membina dan membangunkan taman inovasi EV dan menubuhkan Pusat Rekaan dan Inovasi Automotif ASEAN secara bersama. Kerjasama itu akan menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi, dengan lanjutan ke negara lain di rantau ini turut dirancang.
MoU Sunsuria-IAT ini merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan luar secara langsung bernilai RM170 bilion dari China yang telah diraih oleh Malaysia minggu lalu sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sana.
Ditubuhkan pada 2007, perniagaan utama IAT yang berpangkalan di Beijing adalah dalam R&D dan pengilangan bahagian utama. Tinjauan ke laman web syarikat itu menunjukkan beberapa portfolio rekaan konsep, termasuk trak pikap elektrik saiz penuh Truck Mad, sebuah EV dalam bandar C-Mute dan sebuah platform dikenali sebagai Rubik.X.






















