Pemandu Nissan Almera tabur paku atas jalan sudah ditangkap – pengaruh dadah, bukan dari bengkel

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden menabur paku di kawasan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Pusing dekat Batu Gajah di mana videonya telah tular di laman-laman sosial minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Basri dalam laporan Bernama, perbuatan khianat itu dilakukan lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. Hasil siasatan polis juga mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan perkhidmatan menunda atau bengkel kenderaan.

?Lelaki itu berjaya ditahan polis Sabtu lepas. Hasil siasatan mendapati lelaki itu bukan bekerja sebagai mekanik atau bersekongkol dengan mana-mana bengkel kenderaan dan perkhidmatan penunda kenderaan,? katanya.

Sebelum itu Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif sudah memaklumkan bahawa lelaki berkenaan sudah ditahan di sekitar Changkat Larang, Lahat, pada pukul 3 pagi, Sabtu lepas. Beliau menyatakan bahawa lelaki tersebut ditahan susulan satu laporan daripada pengguna jalan raya yang memaklumkan tayar keretanya bocor selepas melalui jalan berkenaan.

Mohamad Roy turut memberitahu bahawa lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah serta ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, dan dia direman selama empat hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Perbuatan menabur paku dipersimpangan jalan raya dilakukan oleh lelaki yang memandu Nissan Almera tersebut sempat dirakam oleh pemandu kenderaan lain dalam satu video berdurasi 24 saat dan telah ditularkan di internet