Park & Ride di LRT Ampang dan Gombak kini guna pengimbas plat lesen – bayar parkir dengan Pay & Go

Rapid KL telah mengumumkan mulai 1 April 2023, fasiliti Park & Ride di stesen LRT Ampang dan Gombak kini menggunakan sistem pengesan plat nombor automatik (ANPR).

Kaedah ini sama seperti yang digunakan oleh Sunway Smart Parking dan Kiple Park di mana pengguna tidak lagi perlu mengambil tiket dan hanya membayar kadar parkir menerusi telefon bimbit.

Bagi Park & Ride di stesen LRT yang disebut ini, pengguna perlu memuat turun aplikasi Pay & Go (boleh didapati menerusi peranti iOS dan Android). Ia menawarkan pembayaran tanpa tunai termasuk penggunaan e-wallet seperti Touch ?n Go, Grab Pay dan Boost; pembankan FPX; kredit Pay & Go; atau kad kredit/debit.

Menurut Rapid KL, terdapat 1,200 petak parkir di Park & Ride Stesen LRT Gombak, dan 1,140 petak parkir di Stesen LRT Ampang.