
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan bersetuju dengan perluasan stesen minyak tanpa subsidi secara berfasa di kawasan sempadan negara bagi menangani ketirisan diesel bersubsidi.
Katanya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) yang dipengerusikannya, lokasi stesen minyak tanpa subsidi itu dicadangkan di Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli) di Kelantan serta Tebedu, Ba’kelalan dan Lundu (Sarawak).
Lokasi lain yang turut dicadangkan termasuklah di Pengkalan Hulu (Perak), Tambak Johor dan Second Link (Johor), Padang Besar dan Wang Kelian (Perlis) dan Bukit Kayu Hitam (Kedah), laporan Bernama.
Dalam masa yang sama, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menguatkuasakan OPS TIRIS selama enam bulan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini bagi membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Setakat 31 Mac lepas, sebanyak 3,424 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara yang melibatkan 92 kes dengan jumlah 88 tangkapan dan nilai rampasan RM3.02 juta membabitkan 41 kes serahan menerusi OPS TIRIS itu.
“Penyelewengan minyak diesel bersubsidi menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan mengakibatkan bekalan diesel tidak sampai kepada yang layak,” katanya.
Mulai 1 Februari 2023, KPDN melarang semua kenderaan dengan nombor pendaftaran asing daripada mengisi diesel bersubsidi di seluruh stesen minyak di Perlis. Sebelum ini, hanya petrol RON 95 bersubsidi yang dilarang penjualannya kepada kenderaan asing manakala penjualan diesel bersubsidi pula hanya dihadkan kepada 20 liter sahaja.
