2,500 unit Perodua Axia E 2023 habis dijual, dihantar ke pelanggan dalam masa 48 jam selepas dilancar

Dalam kenyataan pengumuman prestasi jualan untuk separa pertama 2023 yang dikeluarkan hari ini, Perodua turut memberitahu bahawa model Axia E MT generasi pertama yang dilancarkan semula bulan lalu menerima sambutan yang begitu menggalakkan.

Menurut presiden dan CEO Perodua Dato? Sri Zainal Abidin Ahmad, sebanyak 2,500 unit awalan model berkenaan yang disediakan sewaktu hari pelancarannya habis dijual dalam masa dua hari, dan kesemua unit tersebut dapat dihantar kepada pelanggan dalam masa 48 jam!

Perodua Axia E MT generasi pertama ini diproduksi semula oleh Perodua selepas mendapat permintaan dari pelanggan. Ini kerana model generasi kedua yang dilancarkan pada Februari lalu hanya ditawarkan dengan varian G sebagai varian paling asas serta tidak mempunyai versi dengan kotak gear manual.

2,500 unit Perodua Axia E 2023 habis dijual, dihantar ke pelanggan dalam masa 48 jam selepas dilancar

Ia diperkenalkan semula dengan harga baharu yang lebih murah iaitu harga atas jalan tanpa insuran RM22,000 (berbanding harga terakhirnya sekitar RM24,090 bagi model yang diperkenalkan pada 2019 dahulu), menjadikan ia kekal sebagai kereta baharu paling murah di Malaysia buat masa sekarang. Harga tersebut adalah RM16,600 lebih murah berbanding Axia G 2023 yang dijual pada harga RM38,600.

Dengan harga yang begitu rendah tersebut, Axia E yang diperkenalkan semula ini datang dengan perincian seperti rim besi, dua beg udara dan juga enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga silinder NA berkuasa 68 PS/91 Nm yang digandingkan hanya dengan kotak gear manual, tanpa pilihan transmisi automatik.

Ia juga tidak dipadankan dengan radio dan pembesar suara, tiada brek ABS dan tiada sistem kestabilan elektronik (ESC).

Dari segi penampilan, tidak banyak yang berubah untuk Axia E terbaru ini dan ia hampir sama dengan rupa Axia E versi 2017 dan 2019. Sedikit perubahan yang dibuat cuma bahagian hadapan dilihat mengenakan imej ringkas yang sama dengan versi tahun 2017, manakala bahagian belakang dan spesifikasinya mengikut model E yang terakhir ditawarkan pada 2019

GALERI: Perodua Axia E MT 2023