
Pemasangan Landasan Pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah pun dirasmikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AI-Musta’in Billah di tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng, Kuantan, Pahang. Turut mengiringi baginda, Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Perasmian yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah itu menandakan titik permulaan yang penting untuk pemasangan landasan sepanjang 94 kilometer dari stesen Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) di Gebeng, di sini ke Dungun, Terengganu.
Pemasangan landasan itu dijangka mengambil masa antara tiga dan empat bulan untuk dilengkapkan. Selepas itu, projek itu akan disambung untuk memasang landasan dari stesen KPC ke Temerloh dan menuju ke arah utara di Dungun ke Kota Bharu, dan diakhiri dengan Temerloh ke Jalan Kastam, Selangor, laporan Berita Harian.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) secara tidak langsung turut terlibat dalam projek ini melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan, penambatan, pemasangan cerucuk selain pembinaan stesen-stesen ECRL.
Manakala Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula memaklumkan sehingga kini 23,000 pekerja terbabit dalam melaksanakan kerja di 1,900 tapak pembinaan sepanjang jajaran, manakala kerja pengorekan terowong menggunakan kaedah gerudi dan letup, telah mencapai penembusan 26 terowong sehingga kini.
“Pengorekan Terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) dengan kombinasi kaedah gerudi, letup serta mesin pengorek terowong, telah mencapai kedalaman hampir enam kilometer bagi kedua-dua bahagian terowong dan dijangka mencatat penembusan pada suku kedua 2025,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Tambahnya, bagi peringkat kerja jejambat ECRL yang meliputi panjang 145 km, sehingga kini pemasangan rasuk jejambat telah disempurnakan pada jarak lebih 60 km.
Landasan ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan pembinaan 20 stesen, merangkumi 10 stesen penumpang serta 10 stesen gabungan penumpang dan kargo, dengan tujuh di Pahang, Terengganu (enam stesen), Kelantan (dua stesen) dan Selangor (lima stesen). Jajaran ECRL ini bermula di Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang,Selangor. Projek ini menelusuri empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Setakat Oktober 2023, pembinaan projek mega ECRL ini telah mencapai kemajuan sebanyak 56% dan menurut Loke, perkembangan ini adalah selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.
Laluan rel sepanjang 665 km yang dianggarkan bernilai RM50.27 bilion menghubungkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.








