Jika anda mengintai untuk memiliki Honda City, bulan lalu Honda Malaysia telah mengadakan promosi khusus penjawat awam dengan penjimatan keseluruhan hingga RM8,000. Kini, sebagai sebahagian daripada tawaran jualan hujung tahunnya, potongan RM8,000 itu diberikan untuk “semua” pelanggan dan tidak hanya terhad kepada penjawat awam sahaja.
Menurut Honda Malaysia, promosi berkenaan kini diberikan juga untuk pekerja SME (industri kecil dan sederhana). Walaupun bukanlah untuk semua, pekerja sektor awam dan SME mengisi sebahagian besar sektor pekerjaan di Malaysia, jadi rujuk perunding jualan anda untuk mengetahui sama ada anda layak atau tidak untuk menikmati promosi ini.
Apa pun, promosi ini hanya untuk model City E dan V sahaja. Jumlah penjimatan RM8,000 ini datang dalam bentuk rebat tunai serta filem penapis haba Ecotint percuma bernilai RM2,200 untuk kedua-dua varian tersebut.
Ini diskaun yang agak besar juga untuk kereta popular segmen B berkenaan, dan tawaran seperti ini belum pernah diberikan untuk model Honda City. Tawaran yang perlu dimanfaatkan sekiranya anda ingin memiliki Honda City. Untuk melayakkan anda, mudah sahaja ? kereta tersebut perlu didaftarkan sebelum 31 Disember 2023. Jadi, jangan tunggu lagi.

