
Sempena dengan acara Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung selama tiga hari pada hujung minggu lalu di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip perolehan sebanyak RMRM5,614,100 hasil pembayaran saman trafik.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada hari pertama penganjuran acara terbabit iaitu 8 Disember 2023, sebanyak RM1,365,940 bayaran saman trafik telah diterima oleh pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Jumlah tersebut meningkat pada hari kedua penganjuran iaitu mencecah RM1,977,210. Manakala pada hari terakhir penganjuran acara pula, sebanyak RM2,270,950 telah berjaya dikutip.
Menurut KDN, diskaun saman PDRM sebanyak 50% mendapat sambutan yang hangat serta dapat memudahkan orang awam untuk melakukan semakan dan pembayaran saman. Sebanyak 14 kaunter bayaran saman telah dibuka pada acara berkenaan. Malah untuk kelancaran, PDRM turut memberikan baucar kepada orang ramai yang mahu membayar saman secara dalam talian dengan kadar diskaun melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM.
