Susulan daripada pengesahan Proton bahawa ciri Apple CarPlay dan Android Auto (AACP) akan mula ditawarkan dalam kenderaan keluaran syarikat itu bermula tahun ini, ada seperkara lagi yang penting untuk diambil perhatian oleh pemilik kenderaannya.
Proton turut mengesahkan bahawa jika pengguna memasang sendiri fungsi AACP tersebut ke dalam sistem Atlas atau GKUI IHU, jaminan kenderaan mereka juga turut akan terkesan. “Jika mereka lakukan itu, ia adalah tanggungjawab mereka sepenuhnya,” jelas Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.
Pemilik bagi model seperti X50 dan X70 mungkin tahu ada sebahagian daripada pemilik kereta itu memuatkan sendiri AACP ke dalam sistem infotainmen Atlas atau GKUI pada kenderaan mereka. Ini kerana ciri berkenaan tidak ditawarkan untuk mana-mana model Proton sebelum ini, bahkan untuk model X90 flagship sekali pun.
Bagaimanapun, ciri berkenaan akan hadir dalam masa terdekat, bermula dengan X90 yang akan menerima kemaskini OTA. Menurut Proton, pengenalan AACP dalam kenderaan keluarannya akan mengikut “protokol”.

