Beijing 2024: Radar Horizon — trak pikap EV AWD, kabin baru, sedia untuk RHD; ganti Proton Arena?

Ketika Beijing Motor Show 2024, jenama trak pikap bagi Geely, iaitu Radar turut menunjukkan model terbarunya, Horizon. Ini merupakan model dengan dua motor elektrik pacuan semua roda yang dipertingkatkan dari RD6 yang diperkenalkan pada November 2022.

Dengan tambahan motor elektrik depan untuk melengkapi motor belakang dengan janaan 272 PS/385 Nm tersebut, gabungan janaan keseluruhan sistemnya kini ialah 428 PS (315 kW) dan 590 Nm tork. Ini menjadikan pecutan 0-100 km/j trak pikap ini dicapai dalam masa 4.5 saat, serta kelajuan maksimumnya ialah 190 km/j.

Horizon diberikan pilihan bateri 73 kWh lithium iron phosphate (LFP) atau 86 kWh nickel manganese cobalt (NMC), masing-masing memberikan jarak perjalanan antara 460 km hingga 520 km berdasarkan kitaran CLTC China. Trak pikap ini mempunyai tujuh mod pemanduan, termasuk tambahan terbaru bagi Snow, Mud, Cross-Country dan meredah air ? dengan kedalaman 815 mm.

Beijing 2024: Radar Horizon — trak pikap EV AWD, kabin baru, sedia untuk RHD; ganti Proton Arena?

Tampungan beban juga telah dipertingkatkan kepada 800 kg untuk semua variannya. Kapasiti menunda pula ialah 3,000 kg. Model ini menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) oleh Geely untuk kenderaan elektrik. Ia juga mempunyai ukuran 5,260 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,880 mm tinggi, trak ini hanya sedikit lebih pendek berbanding Toyota Hilux yang panjangnya 5,330 mm.

Ruang kargo di belakang bagaimanapun sama dengan Hilux, dengan ukuran 1,545 mm panjang dan 1,450 mm lebar, dan untuk Horizon mampu menampung sehingga 1,200 liter barang. Turut ada ialah but depan dengan kapasiti 70 liter. Kelebihan lainnya ialah output V2L sebanyak 22 kW, termasuk 15 kW melalui port pengecasan, 6 kW melalui outlet 230-volt di ruang barangan belakang dan 2.2 kW melalui dua lagi soket 230-volt di but depan dan kabin.

Beijing 2024: Radar Horizon — trak pikap EV AWD, kabin baru, sedia untuk RHD; ganti Proton Arena?

Rekaan luar Horizon masih mengekalkan penampilan yang sama dengan RD6, termasuk wajah depan yang mirip Proton X90. Yang sedikit diubah hanyalah lencana nama Radar dengan pencahayaan di gril, serta pilihan untuk bumbung hitam. Di dalam pula, semuanya dirombak dan tiada lagi rekaan kabin ala Proton X90/Geely Okavango.

Semuanya rekaan serba baru dengan corong pendingin berkelebaran penuh, papan instrumen digital 10.25-inci dan skrin sentuh infotainmen sebesar 14.6-inci. Konsol tengah kini juga tampil dengan rekaan terapung dengan pengecas tanpa wayar Qi. Mungkinkah kita akan melihat model ini dibawa masuk ke Malaysia untuk Proton? Sebagai ganti Proton Arena, mungkin?