Tesla akan keluarkan fungsi Full Self Driving di Eropah dan China bermula Q1 2025, diikuti pasaran RHD

Tesla, melalui akaun X Tesla AI memberitahu bahawa fungsi bantuan pemandu Full Self Driving kini sudah bersedia untuk diperkenalkan kepada pengguna di Eropah dan China pada suku pertama tahun hadapan, dan kini cuma menunggu kelulusan di bahagian undang-undang dan peraturan.

CEO Tesla, Elon Musk turut meletakkan komen dalam muatan tersebut dengan mengharapkan Full Self Driving ini akan tiba pula di pasaran pemanduan sebelah kanan pada hujung Q1 2025 atau awal Q2, bergantung kepada kelulusan undang-undang.

Pengenalan fungsi ini menjadi sebahagian daripada rancangan pengeluaran kemas kini perisian yang didedahkan oleh Tesla AI dengan antaranya termasuk Actually Smart Summon, Autopark dan FSD untuk Cybertruck, pengesan mata semasa memakai cermin mata dan pelbagai lagi.

Turut sudah bersedia untuk dikeluarkan pada bulan Oktober adalah fungsi Unpark, Park dan Reverse untuk Full Self Driving, serta versi 13 bagi perisian tersebut.

Dalam laman web Tesla, fungsi Full Self Driving dijual pada harga RM32,000, manakala Enhanced Autopilot pula RM16,000. Walaubagaimanapun, FSD masih belum dibenarkan untuk diguna di Malaysia pada masa ini.