Ducati Multistrada V4 RS tiba di Malaysia – RM285k

Ducati Multistrada V4 RS yang diperkenalkan kali pertama pada tahun lepas kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM285,900 tidak termasuk insurans. Ini adalah sebuah model keluaran terhad, dan setiap satunya datang dengan plet nombor keluaran di atas bahagian pemegang.

Ia juga dijadikan lebih sporty berbanding Multistrada V4 dan V4 S biasa, bermula dengan rim yang ditukar daripada unit 19/17 inci kepada 17/17, daripada Marchesini. Rim ini dikatakan adalah 2.7 kg lebih ringan berbanding rim Multistrada biasa.

Kemudiannya bar pemegang serta getahnya diubah kepada jenis yang lebih sporty, supaya dapat memberikan lebih maklum balas kepada penunggang dan meningkatkan rasa pengendalian. Ekzos Akrapovic diberikan secara standard.

Keluar daripada kilang, Multistrada V4 RS terus dipasang dengan pelbagai komponen gentian karbon, termasuk fender hadapan, pelindung tangan, pelindung haba serta “paruh” hadapannya. Bahagian belakang pula melibatkan kerangka titanium serta panel technopolymer, yang mengurangkan lagi 2.5 kg berat motosikal ini.

Menggerakkan Multistrada versi prestasi ini adalah enjin V4 Desmosedici Stradale 1,103 cc yang diambil daripada Panigale V4, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac kering STM EVO-SBK dan quickshifter, mampu menghasilkan 180 hp pada 12,250 rpm dan tork 118 Nm pada 9,500 rpm.

Selain mod tunggangan Low, Medium dan High, Multistrada V4 RS ini juga disediakan dengan mod Full Power, yang dapat memberikan kuasa maksimum pada setiap gear secara pantas. Brek hadapan menggunakan angkup Brembo Stylema berwarna merah, bersama pad daripada Panigale V4. Sama seperti Panigale V4 S dan Streetfighter V4 S, Multistrada V4 RS ini didatangkan dengan suspensi Ohlins Smart EC 2.0.