
Mitsubishi Triton 2024 yang baru saja dilancarkan pada Oktober lalu kini ditawarkan dengan servis percuma selama dua tahun serta ganjaran minyak untuk masa terhad, selagi stok masih ada. Ini adalah tawaran tambahan kepada hadiah percuma beg simpanan boleh lipat bernilai RM450 untuk 500 pelanggan yang membuat tempahan terawal secara dalam talian yang diberikan sejak pelancarannya.
Baru saja dinobatkan anugerah Rekaan Kereta Tahunan Terbaik Jepun 2024-2025, Triton terbaru ini tampil dengan imej yang lebih ranggi dan segar luar dan dalam berbanding model terdahulu. Pasaran menerima lima varian semuanya: Single Cab (RM101,980), MT GL (RM114,980), AT GL (RM116,980), AT Premium (RM145,980) dan yang paling lengkap Athlete (RM165,980).
Bagi Athelete, ia dilengkapi dengan enjin baru Hyperpower 4N16 2.4 liter turbodiesel yang menjana sebanyak 204 PS dan 470 Nm. Untuk varian lain, enjinnya menghasilkan 184 PS dan 430 Nm. Semua menggunakan kotak gear enam-kelajuan, manual atau automatik bergantung varian.
Antara kelengkapan selamatan yang ada termasuk tujuh-beg udara, Active Stability & Traction Control (ASTC) yang memberikan lebih keyakinan ketika melalui jalan berliku. Ini termasuklah ciri Active Yaw Control, selain Hill Descent Control (HDC) dan Hill Start Assist (HSA).
