Kesan dari perang harga model-model EV di China kini sudah mendatangkan kesan terhadap industri automotif di negara berkenaan. Terbaharu, Jiyue iaitu jenama EV kerjasama antara Geely dan Baidu diwujudkan pada 2021 sebagai Jidu Auto, dilaporkan akan mengecilkan operasinya dan mencari modal baharu bagi bertahan dalam persaingan sengit tersebut.
Dalam laporan South China Morning Post (SCMP), syarikat yang terdiri dari 55% saham Baidu dan 45% milik Geely tersebut mengeluarkan kenyataan semalam menyatakan bahawa ia akan membatalkan projek-projek yang tidak memperbaiki keadaan kewangannya serta menggabungkan beberapa unit perniagaan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan.
“Kami akan berusaha sehabisnya untuk fokus terhadap sasaran kami untuk memperbaiki keberkesanan dalam operasi dan pengurusan. Kesemua langkah akan diambil bagi disesuaikan dengan situasi baharu bagi kelahiran semula syarikat,” tulis kenyataan itu.
Ada spekulasi di media sosial tempatan China menyebut bahawa Jiyue sedang melihat untuk mencairkan asetnya kerana jualan lembab dicatatkan dalam pasaran domestik. China kini merupakan pasaran EV terbesar di dunia dan mempunyai lebih dari 50 jenama utama yang bersaing.
Dalam surat kepada pekerja yang telah dilihat oleh SCMP, CEO Jiyue iaitu Xia Yiping mengakui bahawa syarikat itu kini sedang tertekan untuk terus bertahan dan ia perlu segera dirombak.
?Pihak pengurusan akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Pelan penstrukturan semula telah mendapat pemahaman dan sokongan penuh daripada para pemegang saham,? kata surat dari Xia tersebut, tanpa mendedahkan unit perniagaan mana yang akan ditutup atau bilangan pekerja yang terjejas.
Menurut SCMP, Jiyue telah menjual sebanyak 2,485 kenderaan di tanah besar China pada November (turun 20% berbanding bulan sebelumnya) dan hanya 14,000 unit terjual untuk 11 bulan pertama tahun ini. Jumlah berkenaan dilihat teruk kerana hanya pengeluar yang mampu untuk menjual 10,000 unit kenderaan sebulan barulah dikira sebagai kuat dalam pasaran tersebut.
Buat masa sekarang Jiyue hanya menjual satu model iaitu SUV EV 01 yang diperkenalkan sejak 2023. Ia baru sahaja mengumumkan model keduanya iaitu sedan EV 07 pada Ogos lalu.
Jiyue merupakan pengeluar EV kedua China yang mengambil langkah drastik bulan ini dalam keadaan kedudukan kewangannya yang semakin tenat. Bulan lalu pengasas dan pengerusi Hozon New Energy Automobile (pemilik jenama Neta) Fang Yunzhou memberitahu kaki tangannya menerusi satu surat bahawa syarikat akan menjalani fasa pengoptimuman, penyusunan semula dan usaha untuk meringkaskan struktur pengurusannya.
Menurut Persatuan Kereta Penumpang China, jualan kereta elektrik penuh dan hibrid plug-in di China menyumbang 65% daripada jumlah jualan global pada separuh pertama 2024.
Manakala Persatuan Pengilang Automobil China pula menjangkakan jualan EV di negara itu akan melebihi 11 juta unit tahun ini, menyumbang kira-kira 55% daripada jumlah kapasiti pengeluaran EV China sebanyak 20.2 juta unit – hampir tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.



