UMW Toyota hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual ‘hampir 8,400 unit’ kenderaan sepanjang November 2024. Namun tidak seperti kebiasaan pengumuman prestasi jualan yang diumum oleh syarikat itu, kali ini ia tidak memperincikan pecahan jualan antara dua jenama utamanya iaitu Toyota dan Lexus dari jumlah keseluruhan yang diumum tersebut.
Manakala untuk jumlah jualan tahunan sehingga kini iaitu 11 bulan pertama tahun ini, UMW Toyota mengumumkan bahawa angka jualan tersebut kini berada ‘sekitar 89,500 unit’.
Untuk November 2024, syarikat itu menyatakan bahawa prestasi jualan berkenaan disumbang oleh ‘prestasi yang kuat’ dari model seperti Vios, Hilux dan Yaris sebagai model-model paling laris. Juga tiada pecahan jelas berkenaan jumlah sebenar jualan model-model tersebut, yang membayangkan prestasi jualan kali ini mungkin menurun.
Menerusi semakan yang kami buat berdasarkan laporan tahun lalu, UMW Toyota menjual sebanyak 10,263 unit kenderaan pada November 2023, dengan jualan kumulatif tahunan ketika itu telah mencecah 97,795 unit. Jadi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, prestasi jualan UMW Toyota untuk November tahun ini sebenarnya turun 18.2% (jika kami guna angka 8,400 unit yang diberikan) manakala jualan kumulatif tahunan pula adalah 8.4% lebih rendah.
Dalam kenyataaan yang sama, UMWT turut mengumumkan bahawa ia baru sahaja memuktamadkan pertandingan kemahiran antara kakitangan Toyota seluruh negara iaitu Toyota Skill Contest 2024 yang berlangsung di ibu pejabatnya di Shah Alam. Pertandingan ini disasarkan untuk menaikkan kepercayaan dan kesetiaan pelanggan dengan mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan dikalangan kakitangan bahagian jualan dan servis pengedar-pengedarnya.
Pertandingan tersebut berlangsung selama dua hari dan ia berasaskan dari Toyota Technical Education Program (T-TEP) yang diterap untuk operasi pengedar-pengedarnya, serta pendekatan pelbagai hala dalam mencapai neutraliti karbon. Secara keseluruhan lebih RM100,000 wang tunai ditawarkan untuk pemenang-pemenang pertandingan tersebut.

