Aveta International Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik dengan Peugeot Motocycles untuk memperkenalkan jenama premium Eropah ini ke dalam segmen motosikal dua roda di Malaysia. Perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak telah ditandatangani hari ini, menandakan langkah penting dalam usaha Aveta untuk mengembangkan pasaran motosikal di negara ini.
Dalam siaran akhbar dinyatakan bahawa pelancaran rasmi Peugeot Motocycles di Malaysia akan dibuat pada suku pertama 2026 dan sebelum itu, kita boleh menjangkakan terdapat pra tonton untuk model yang akan dijual. Melalui kerjasama ini, Aveta International, yang merupakan syarikat motosikal Malaysia akan mengendalikan jenama Peugeot Motocycles sepenuhnya di negara ini.
Pemilihan Aveta adalah berdasarkan kepimpinan yang kukuh, pemahaman mendalam tentang pasaran, rekod pelaksanaan yang terbukti, serta ekosistem selepas jualan yang mantap. Kerjasama ini bertujuan untuk memberikan pengalaman menunggang yang premium dan mudah diakses dengan rekaan dan kejuruteraan Perancis, disokong oleh rangkaian selepas jualan yang kuat melalui jaringan perkhidmatan Aveta yang telah ditubuhkan.
Terdapat juga perancangan untuk membuka kedai flagship di kawasan-kawasan utama di seluruh negara. Peugeot Motocycles, yang ditubuhkan pada tahun 1898, merupakan pengeluar motosikal dan skuter tertua di dunia, dengan lebih dari satu abad pengalaman dalam kejuruteraan Perancis dan falsafah rekaan “Allure”.
Jenama ini memiliki lebih daripada 3,000 pusat jualan di seluruh dunia, di mana 67 peratus jualannya datang dari pasaran antarabangsa. Model-model premium seperti Peugeot Metropolis, XP400, dan Pulsion dihasilkan di kilang canggih mereka di Perancis.

