Proton AMA02, AMA05, AMA06 – model SUV, MPV dan hibrid baru guna platform modular, bawah RM80k?

Selepas pelancaran Saga MC3 2026 yang dikenali secara dalaman sebagai AMA01, Proton kini mengesahkan hala tuju model-model baru yang akan dibangunkan menggunakan platform sama, Advanced Modular Architecture (AMA). Platform ini bakal menggantikan barisan model PIES ? Persona, Iriz, Exora dan Saga generasi lama ? dengan tiga model baru yang dirujuk sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06.

Melihat kepada pembentangan rasmi Proton, sebuah MPV hibrid dan dua SUV hibrid akan dihasilkan. Satu daripadanya dipercayai adalah eMas 7 PHEV yang bakal tiba, berdasarkan penggunaan transmisi DHT160. Dua model hibrid lain ? satu SUV dan satu MPV ? akan menggunakan transmisi DHT120 yang menawarkan kuasa lebih rendah.

Menariknya, satu lagi slaid berkaitan AMA menyatakan sasaran Proton untuk menembusi segmen bawah RM80,000 dengan ?siri kereta mampu milik nasional.? Jika semua model AMA benar-benar dipasarkan bawah harga tersebut, kedudukan Chery Tiggo Cross Hybrid sebagai hibrid paling murah di Malaysia pada harga RM89,000 mungkin akan tergugat.

Proton AMA02, AMA05, AMA06 – model SUV, MPV dan hibrid baru guna platform modular, bawah RM80k?

Dalam pada itu, Proton turut menunjukkan sebuah SUV baru bukan hibrid. Dalam pembentangan, kedudukannya yang diletakkan bersebelahan Saga memberi petunjuk bahawa model ini berasaskan Saga ? menggunakan enjin 1.5 liter i-GT tanpa turbo bersama transmisi 4AT, bukannya CVT. Memandangkan platform AMA boleh diubah suai mengikut saiz, besar kemungkinan ini ialah SUV kecil saiz segmen A dengan asas casis daripada Saga.

Untuk SUV seterusnya yang menggunakan transmisi DHT120, model ini dijangka menjadi SUV hibrid dengan output lebih rendah berbanding eMas 7 PHEV. Ia berpotensi menjadi versi hibrid kepada ?Saga SUV? atau mungkin sebuah model baru bersaiz lebih besar ? mungkin dalam kategori segmen B.

Ini membawa kita kepada MPV AMA. Walaupun idea MPV berasaskan Saga boleh menimbulkan tanda tanya, kemampuan AMA untuk dipanjang atau dipendekkan membuka ruang kepada sebuah MPV keluarga bersaiz praktikal. Harapannya, model ini akan ditawarkan dalam dimensi yang sesuai untuk pasaran tempatan.

Berdasarkan petunjuk yang ada, kemungkinan terbesar untuk AMA02, AMA05 dan AMA06 ialah sebuah SUV kecil, sebuah SUV yang sedikit lebih besar dan sebuah MPV. Persoalannya, ke mana hilangnya AMA03 dan AMA04? Spekulasi paling logik ialah salah satunya mungkin sebuah hatchback, manakala satu lagi mungkin diketepikan kerana faktor budaya dan nombor yang dianggap kurang bernasib baik.