Mercedes-Maybach S-Class kini hadir ke pasaran Malaysia dengan edisi baru Night Series, yang tampil lebih gelap dan eksklusif bersama trenkuasa S580 4Matic. Model istimewa ini dijual pada harga RM2,404,888 tanpa insurans, iaitu sekitar RM209,000 lebih tinggi berbanding Maybach S580 4Matic versi biasa yang bermula daripada RM2,195,888.
Seperti namanya, S580 4Matic Night Series menampilkan kemasan shadow gloss gelap pada bahagian luaran, termasuk pada gril dan bampar depan, logo Mercedes, kemasan, pemegang pintu serta lencana Maybach pada tiang C. Kemasan hitam berkilat turut digunakan pada garisan tingkap, keliling tingkap, tiang B dan penutup cermin sisi, manakala muncung ekzos tampil dalam kemasan krom gelap dan hitam.
Lampu utama Digital Light menerima sentuhan krom metalik gelap bersama elemen rose gold, sementara tepi pintu terdapat lampu dengan tulisan ?Maybach Night Series? dan rim aloi 20 inci tujuh jejari dalam kombinasi hitam serta shadow gloss menjadi tarikan tambahan. Kunci pintar juga diserikan dengan warna hitam berkilat bersama bingkai shadow gloss.
Pembeli boleh memilih pelbagai warna luaran, termasuk pelbagai tona kelabu, hitam dan putih. Bagi mereka yang mahukan sesuatu lebih menonjol, pilihan dua tona juga ditawarkan seperti onyx black/Mojave silver dan Manufaktur opalite white bright/obsidian black.
Masuk ke kabin, suasana mewah diteruskan dengan balutan kulit Nappa dalam gabungan Black/Black Pearl bersama kemasan kelabu keemasan. Lampu suasana aktif hadir dengan tema ?Garnet Glow? yang memberikan suasana hangat dan moden, manakala panel kayu walnut gelap bertona matte dari katalog Manufaktur menampilkan corak herringbone.
Konsol tengah pula dihiasi motif Maybach dan kemasan seakan kristal hitam, manakala corong pendingin hawa turut dipadankan dengan sentuhan shadow gloss. Pemilik Night Series juga akan disambut dengan animasi permulaan UI yang digambarkan sebagai ?mistik?.
Di bawah hud, trenkuasa S580 4Matic menampilkan enjin petrol 4.0 liter V8 biturbo dengan 503 PS dan 700 Nm, disokong sistem hibrid ringkas EQ Boost 48 volt yang menambah 23 PS dan 205 Nm. Dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic, model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Turut melengkapi sistem mekanikalnya ialah stereng gandar belakang serta suspensi udara Airmatic dengan E-Active Body Control 48 volt untuk kestabilan maksimum.
Senarai kelengkapan lain adalah sama seperti S580 4Matic standard, termasuk bumbung panoramik, tempat duduk hadapan dan belakang berpengudaraan, tempat duduk Multicontour, konfigurasi empat tempat duduk First-Class di belakang, karpet lantai tebal, kawalan suhu empat zon, skrin sentuh OLED 12.8 inci untuk MBUX, paparan digital 12.3 inci dengan efek 3D, bidai elektrik belakang, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem hiburan belakang MBUX lengkap dengan skrin dan tablet.
Tambahan nilai untuk edisi Night Series termasuk sistem audio Burmester 3D surround, yang merupakan pilihan tambahan untuk model standard. Aspek keselamatan terdiri daripada 14 beg udara, pakej Driving Assistance yang merangkumi AEB, adaptive cruise control, bantuan kekal lorong dan banyak lagi, selain sistem Pre-Safe dan Pre-Safe Impulse Side.









