
KTM Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa penguatkuasaan koc wanita bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang tidak akan dilaksanakan pada 30 Januari hingga 2 Februari 2026 ini. Ia adalah bagi memastikan keselesaan penumpang sempena sambutan Thaipusam yang bakal disambut pada 1 Februari ini.
Pada tempoh berkenaan juga KTMB akan menyediakan perkhidmatan KTM Komuter 24 jam selama empat hari tiga malam. Sebanyak 28 stesen akan terlibat dengan operasi 24 jam ini iaitu Batu Caves, Taman Wahyu, Kampung Batu, Batu Kentonmen dan Sentul.
Ia juga melibatkan stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Senawang, Sungai Gadut, Rembau dan Tampin/Pulau Sebang, Petaling, Kg Datuk Harun, Seri Setia, Subang Jaya, Batu Tiga, Shah Alam, Padang Jawa, Bukit Badak, Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang.
Selain itu, juga sempena Thaipusam, KTMB mengumumkan pemberian tambang percuma kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang selama dua hari iaitu pada 31 Januari dan 1 Februari ini.
