
Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke mengesahkan pihaknya sedang meneliti untuk mewajibkan pemandu khususnya yang mempunyai rekod kesalahan atau lesen digantung untuk mengikuti kursus pemanduan defensif, laporan Bernama.
Katanya, antara perkara yang diteliti ialah penambahbaikan kurikulum sedia ada dengan tumpuan terhadap aspek kemahiran sebenar serta teknik mengelak kemalangan berbanding hanya fokus untuk lulus ujian lesen semata-mata.
“Ini satu pendekatan baharu yang kita nak bawa, supaya nak wajibkan ataupun nak menggalakkan mereka (pemandu) yang ada kes-kes lesen digantung dan sebagainya. Kita nak mereka untuk balik kepada kursus pemanduan defensif ataupun mengambil kursus bagaimana memandu dengan lebih berhemah dan mengelak daripada kemalangan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai cadangan semakan semula kurikulum latihan ujian lesen motosikal pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Berkaitan dengan penunggang motosikal pula, Loke berkata MOT dan Kementerian Pendidikan bersetuju melaksanakan intervensi lebih bersasar terutama dalam kalangan pelajar sekolah yang menunggang motosikal ke sekolah.
Beliau juga berkata Program MyLesen B2 yang menawarkan latihan percuma kepada golongan B40 secara am sebelum ini akan disasarkan kepada sekolah menengah bagi memastikan pelajar yang menunggang motosikal mendapat latihan formal dan berstruktur, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan akibat kurang pengalaman dan latihan menunggang.
“Penunggang motosikal mencatatkan 66.4% jumlah mangsa kemalangan maut pada tahun lepas dengan kumpulan umur 16 hingga 30 tahun menjadi mangsa utama,” katanya bagi menjawab soalan asal Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai punca utama peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia terutamanya melibatkan penunggang motosikal dan langkah yang diambil untuk menangani masalah itu.
Tambahnya, berdasarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), antara faktor utama kemalangan jalan raya terutama melibatkan motosikal adalah tingkah laku berisiko, interaksi trafik bercampur antara kenderaan berat dan motosikal, kurang kemahiran menunggang secara selamat serta tahap kesedaran keselamatan rendah.
