Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan terkini yang menunjukkan sebanyak 1,901 unit Perodua Traz didaftarkan pada bulan lalu. Angka ini tepat dengan sasaran pengeluaran bulanan sebanyak 1,900 unit yang ditetapkan oleh kilang Perodua di Sungai Choh.
Sebelum itu, sebanyak 393 unit telah didaftarkan pada bulan Disember, susulan pelancaran rasmi SUV berkenaan pada pertengahan bulan tersebut. Secara keseluruhan, jumlah pendaftaran setakat ini adalah sebanyak 2,294 unit.
Pencapaian 1,901 unit pada bulan lalu berkemungkinan besar dipengaruhi oleh perancangan pengeluaran Perodua sendiri. Setakat ini, pengeluar automotif nasional itu masih belum mendedahkan jumlah tempahan sebenar bagi Traz. Oleh itu, tahap permintaan sebenar untuk model kembar kepada Toyota Yaris Cross ini masih belum dapat dipastikan, namun ia sekurang-kurangnya melebihi sasaran atau kapasiti pengeluaran bulanan yang ditetapkan.
Perkembangan bagi bulan Februari bakal menjadi petunjuk penting. Sekiranya angka pendaftaran kekal sekitar 1,900 unit, ia mungkin menunjukkan pengeluaran masih dikawal mengikut pelan asal. Jika jumlahnya menurun, ia boleh memberi gambaran permintaan yang kurang memberangsangkan.
Sebaliknya, jika angka meningkat, ia mungkin hasil pelarasan jadual pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang lebih tinggi, walaupun perubahan seperti ini biasanya memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.
Dalam barisan model Perodua, Traz berada di antara Ativa dan Aruz jika melihat kepada saiznya. SUV ini ditawarkan dalam dua varian iaitu X pada harga RM76,000 dan H pada harga RM82,000. Kedua-duanya menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-VE dengan teknologi dwi VVT-i yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm tork, digandingkan bersama transmisi CVT.


Perodua Traz
dari RM76,100
Perodua QV-E
dari RM80,000
Perodua Axia
dari RM38,600
Perodua Alza
dari RM62,500
Perodua Myvi
dari RM46,500
Perodua Ativa
dari RM62,500
Perodua Bezza
dari RM34,580
Perodua Aruz
dari RM72,900