Ikuti kami:
Carian lanjutan
           
Jual kereta andaBayaran dalam 24 jam Jual sekarang Jadikan paultan.org sumber pilihan anda di Google Tambah
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam

Kandungan terkini

  • Cyclone RT5 tiba di pasaran Malaysia – 247 cc, RM16,888

    Cyclone RT5 tiba di pasaran Malaysia – 247 cc, RM16,888

    Selain Cyclone RT2S, model lebih besar daripada jenama itu, Cyclone RT5, kini turut dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM16,888. Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Model ini diedarkan oleh Cyclone Malaysia di bawah MForce Bike Holdings dan diletakkan sebagai skuter yang menggabungkan praktikaliti untuk kegunaan harian, keselesaan perjalanan jauh serta pelbagai ciri teknologi.

    Untuk pasaran tempatan, Cyclone RT5 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Prestige Black, Strong Grey dan Alabaster White. Seperti RT2S, skuter ini hadir dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dahulu, bagi melindungi pemilik daripada kecacatan yang berpunca daripada proses pembuatan.

    Dari segi mekanikal, RT5 menggunakan konfigurasi enjin yang sama seperti RT2S, iaitu unit satu silinder 247 cc dengan penyejukan cecair, menghasilkan jumlah kuasa sama, 26 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 24.5 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat.

    Cyclone RT5 tiba di pasaran Malaysia – 247 cc, RM16,888

    Salah satu kelebihan utama RT5 berbanding RT2S ialah kapasiti tangki bahan api yang jauh lebih besar. Jika RT2S mempunyai tangki 12.6 liter, RT5 menggunakan tangki berkapasiti 18 liter, sekaligus membolehkan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan sekali isian. Berat keringnya pula ialah 190 kg, manakala ketinggian tempat duduk berada pada 780 mm.

    Dari aspek kelengkapan, RT5 hadir dengan pelbagai sistem bantuan tunggangan termasuk kawalan cengkaman, kamera hadapan dan belakang serta sistem pemerhati tekanan angin tayar. Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin TFT-LCD, sementara penghadang angin hadapan boleh dilaraskan secara automatik. Turut menjadi kelengkapan standard ialah tongkat tengah bermotor dan cermin sisi.

    RT5 turut dilengkapi sistem pengesanan titik buta, selain ciri sambungan telefon pintar Carbit Ride yang menggunakan Bluetooth. Di bahagian belakang, skuter ini sudah mempunyai tapak yang disediakan untuk pemasangan kotak barangan. Ia menggunakan roda 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar bersaiz 120/70 dan 140/60.

    Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan serta dua penyerap hentak di belakang. Sistem brek pula menggunakan cakera pada kedua-dua roda dengan sistem ABS dual-channel. Untuk aspek praktikaliti, RT5 turut menyediakan ruang simpanan di bawah tempat duduk serta ruang tambahan pada bahagian kiri dan kanan panel hadapan.

     
  • Cyclone RT2S dilancar di Malaysia – 247 cc, RM13,888

    Cyclone RT2S dilancar di Malaysia – 247 cc, RM13,888

    Cyclone RT2S 2026 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM13,888, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Skuter itu membuat kemunculan tempatan pada Malaysia Bike Show Mei lalu, sebelum pelancarannya diadakan sempena pembukaan pengedar Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor di Langgar, Alor Setar.

    RT2S dikuasakan enjin satu silinder 247 cc penyejukan cecair, DOHC empat injap yang menghasilkan kuasa maksimum 26 hp pada 8,500 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat, menjadikannya lebih mudah untuk tunggangan harian.

    Untuk perjalanan lebih jauh, skuter ini dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 12.6 liter. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, manakala sistem membrek menggunakan cakera hidraulik 270 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, lengkap dengan ABS dual-channel sebagai kelengkapan standard.

    RT2S menggunakan roda 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar 110/80 dan 140/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 750 mm, manakala berat keringnya ialah 179 kg. Kelengkapan standard termasuk paparan instrumen TFT, kunci pintar, lampu LED sepenuhnya, soket USB Type-A dan suis keselamatan tongkat sisi.

    Dari segi bantuan tunggangan, RT2S dilengkapi sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup mengikut keperluan penunggang, selain sistem pemantauan tekanan angin tayar. Ia turut menerima kamera hadapan dan belakang, cermin penghadang angin boleh laras serta tapak kotak barangan belakang.

    Sambungan telefon pintar turut disediakan menerusi aplikasi Cyclone Store, membolehkan beberapa fungsi berkaitan motosikal diakses melalui peranti pengguna. Untuk pasaran Malaysia, Cyclone RT2S ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Prestige Black dan Strong Grey.

     
  • Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

    Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

    Jardine Cycle & Carriage (JC&C) merancang untuk menjual perniagaan Cycle & Carriage miliknya di Malaysia dan Singapura kepada PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia dengan harga S$265 juta (RM844 juta), lapor The Edge Singapore.

    Setakat 30 Jun, Cycle & Carriage yang menjalankan pelbagai perniagaan termasuk pengedaran kenderaan pelbagai jenama, kini dinilai berharga US$292 juta (RM1.2 bilion), dan menyumbang kira-kira US$16 juta (RM65 juta) pada separuh pertama tahun fiskal 2026. Laporan itu turut menyebut bahawa hasil daripada penjualan yang akan dibuat ini bakal digunakan untuk mengurangkan hutang.

    Ketika mengumumkan pendapatan separuh tahunnya pada 30 Julai lalu, JC&C mengumumkan bahawa ia akan menukar namanya kepada Jardine Matheson Southeast Asia untuk mencerminkan fokusnya dengan lebih baik sebagai divisi Asia Tenggara bagi kumpulan Jardine yang berpangkalan di Hong Kong, dan perjanjian ini akan membolehkannya “menghablur nilai” daripada perniagaan Cycle & Carriage, seterusnya menumpukan pada pasaran teras Indonesia dan Vietnam serta “memberikan hasil positif kepada para pemegang saham”.

    Kumpulan Chandra Asri merupakan penyedia penyelesaian tenaga, kimia dan infrastruktur di Asia Tenggara, yang membekalkan produk dan perkhidmatan kepada industri perkilangan di pasaran domestik dan antarabangsa. Baru-baru ini syarikat itu memperoleh rangkaian stesen minyak runcit berjenama Esso di Singapura, dengan pemegang sahamnya termasuk PT Barito Pacific Tbk, SCG Chemicals Public Company dan Thai Oil Public Company.

    Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

    “Kami berpandangan bahawa Cycle & Carriage akan berada pada kedudukan yang baik dalam ekosistem Chandra Asri Group untuk memanfaatkan sinergi dan peluang kerjasama yang dapat memperkukuh daya saing dan menyokong pertumbuhan masa depan,” kata JC&C.

    Presiden pengarah dan CEO Chandra Asri, Erwin Ciputra pula berkata, “cadangan pengambilalihan Cycle & Carriage akan mewakili satu lagi peristiwa penting dalam transformasi Chandra Asri Group menjadi penyedia penyelesaian tenaga dan kimia, infrastruktur dan mobiliti serantau yang terkemuka.”

    “Cycle & Carriage mempunyai warisan yang kukuh, jenama yang dipercayai dan pasukan yang berpengalaman. Kami berharap dapat menyokong perniagaan untuk fasa pertumbuhan seterusnya sambil terus melayani pelanggan dan rakan kongsi dengan kualiti dan kebolehpercayaan yang mereka harapkan,” tambahnya lagi.

    Cycle & Carriage yang berusia hampir 130 tahun dikenali di menerusi kerjasama selama 75 tahun dengan Mercedes-Benz (pernah memiliki 49% saham Mercedes-Benz Malaysia). Buat masa sekarang C&C juga turut menjual dan menyelenggara kenderaan dari jenama Fuso, Peugeot, Leapmotor dan Kia di Malaysia.

     
  • Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Genesis semakin serius untuk mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kereta mewah, dan usaha terbarunya hadir menerusi GV90. SUV perdana ini diperkenalkan sebagai model ultra-mewah yang bakal bersaing dengan nama besar seperti Mercedes-Benz GLS, BMW X7 dan Audi Q9, selain Bentley Bentayga serta Rolls-Royce Cullinan.

    Diperlihatkan terlebih dahulu menerusi Neolun Concept pada 2024, GV90 akan ditawarkan dalam versi standard dan Neolun. Versi Neolun hadir dengan kelengkapan lebih mewah serta ciri unik seperti pintu belakang jenis suicide yang dibuka secara elektrik. Berbeza daripada kebanyakan pesaingnya, GV90 menggunakan sistem pacuan elektrik sepenuhnya.

    Dari segi reka bentuk, Genesis memilih pendekatan yang lebih kemas berbanding penggunaan gril besar untuk menonjolkan saiz SUV ini. Reka bentuknya diinspirasikan daripada pasu porselin putih Korea, dengan grafik lampu Two-Line di hadapan yang membentuk reka bentuk segi tiga sebagai sebahagian daripada bahasa reka bentuk Wing Face baru Genesis.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Bahagian belakang pula tampil ringkas dengan bentuk badan yang membulat, lampu Two-Line, tulisan Genesis berukir dan sedikit kemasan krom. Lengkuk roda yang tidak terlalu menonjol menempatkan rim berukuran 22 atau 24 inci, manakala versi Neolun boleh dikenal pasti menerusi tiang B aluminium anodized yang menggantikan kemasan kaca hitam.

    Versi Neolun menjadi lebih istimewa menerusi pintu suicide berkuasa elektrik dengan tiang B bersepadu. Genesis turut mereka bentuk semula struktur badan untuk memastikan ketegaran yang mencukupi, termasuk penggunaan palang besi berkekuatan tinggi dan sangkar keselamatan yang lebih kukuh bagi mengekalkan tahap perlindungan penumpang.

    Dengan panjang 5,285 mm, lebar 2,030 mm dan tinggi 1,815 mm, GV90 sememangnya sebuah SUV yang besar. Jarak rodanya pula mencapai 3,245 mm, manakala ruang kabinnya mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang. Bagi versi Neolun, tempat duduk hadapan boleh dipusing 180 darjah ketika kenderaan tidak bergerak untuk mewujudkan suasana seperti ruang santai.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Kabin GV90 pula menampilkan kemasan mewah dengan papan pemuka berlapis, lampu suasana tersembunyi dan pilihan bahan seperti kayu, batu serta cashmere. Skrin OLED utama berukuran 23.6 inci menjalankan sistem Pleos Connect berasaskan Android Automotive, selain boleh dipanjangkan kepada 24.6 inci apabila kenderaan diparkir untuk kegunaan hiburan.

    Sistem hiburan turut merangkumi kawalan suara Gleo AI dan sistem audio 3D Bang & Olufsen Premier dengan 25 pembesar suara. Setiap tempat duduk mempunyai fungsi urutan 15 titik serta getaran berdenyut, manakala versi empat tempat duduk Executive Suite menerima kerusi kulit semi-aniline, peti sejuk dan meja lipat pada konsol belakang.

    GV90 juga tidak menggunakan butang penghidup seperti kebanyakan kereta moden. Pemilih gear dipasang pada tiang stereng dan akan berubah kedudukan selepas pintu ditutup, manakala sfera kristal pada konsol tengah berpusing untuk mendedahkan pengawal bersepadu. Kenderaan dihidupkan hanya dengan menekan pedal brek.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Dibina menggunakan platform elektrik khusus eMP, GV90 menggunakan sistem dua-motor, pacuan semua roda. Motor hadapan menghasilkan 326 PS (240 kW) dan 350 Nm, manakala motor belakang menghasilkan 340 PS (250 kW) dan 450 Nm. Jumlah keseluruhan ialah 666 PS (490 kW) dan 800 Nm, menjadikannya antara model paling berkuasa dalam rangkaian Hyundai.

    Kuasa elektrik itu dibekalkan bateri berkapasiti 123.5 kWh, iaitu yang terbesar pernah digunakan oleh Kumpulan Hyundai. Bagaimanapun, saiz dan berat GV90 mengehadkan jarak perjalanan kepada sekitar 500 km berdasarkan ujian pembangunan dalaman. Sistem 800 volt turut digunakan, dengan pengecasan 10 hingga 80% mengambil masa 22 minit menggunakan pengecas 350 kW.

    Bagi pengendalian, GV90 dilengkapi limited-slip differential elektronik di hadapan dan belakang, suspensi udara berbilang ruang, penyerap hentak adaptif serta sistem stereng roda belakang sehingga lima darjah. Sistem brek berkapasiti besar dengan angkup empat piston di hadapan turut digunakan, manakala kaca akustik dan penebat tambahan membantu memastikan kabin lebih senyap.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Aspek keselamatan pula merangkumi 12 beg udara, termasuk beg udara bumbung yang direka untuk melindungi penumpang sekiranya berlaku kemalangan terbalik. Terdapat juga beg udara pada kusyen tempat duduk bagi mengelakkan penumpang tergelincir di bawah tali pinggang keledar, selain sistem pemantauan kabin yang boleh mengenal pasti posisi penumpang.

    Dengan saiz besar, kuasa 666 PS, kabin ultra-mewah dan teknologi yang agak unik, GV90 jelas menjadi taruhan Genesis untuk mencabar pengeluar premium Eropah. Lebih menarik, versi Neolun menawarkan pendekatan yang berbeza menerusi pintu suicide dan kabin yang boleh diubah menjadi ruang lounge, menjadikannya antara SUV elektrik mewah paling unik setakat ini.

     
  • Rapid KL lanjut waktu operasi 24 jam perkhidmatan rel, bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Hari kebangsaan

    Rapid KL lanjut waktu operasi 24 jam perkhidmatan rel, bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Hari kebangsaan

    Sempena dengan Hari Kebangsaan 2026, Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih kepada 24 jam bermula 30 hingga 31 Ogos 2026 bagi memudahkan pergerakan orang ramai.

    Operasi 24 jam ini melibatkan semua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL, merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur. Pelanjutan waktu operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar, khususnya mereka yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos serta acara sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada pagi 31 Ogos 2026.

    “Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, kekerapan tren akan dipertingkatkan di beberapa laluan utama dan diselaraskan berdasarkan permintaan serta keadaan semasa di stesen. Tren tambahan juga akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan terhadap jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform.

    “Manakala perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand (ROD) turut beroperasi selama 24 jam, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada orang ramai sepanjang tempoh sambutan,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, bagi menyokong pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma melibatkan 103 buah bas menerusi dua laluan iaitu dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 yang beroperasi dari jam 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang pada keesokan harinya. Laluan kedua pula dari PICC ke Jalan Tun Hussein, Presint 3 yang beroperasi dari jam 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.

    “Perkhidmatan bas perantara percuma ini bertujuan memudahkan akses kepada orang ramai untuk ke kawasan sambutan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas
    di sekitar Putrajaya.

    “Bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh sambutan, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan pada 30 dan 31 Ogos mengikut syif bagi menyokong operasi perkhidmatan, mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan lokasi tumpuan berjalan lancar dan selamat,” katanya lagi.

    Rapid KL menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas. Penumpang turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi dan mematuhi arahan petugas, khususnya ketika berada di stesen dan kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi.

    Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, telah mengeluarkan kenyataan bahawa Prasarana akan perkhidmatan pengangkutan awam selama 24 jam iaitu bermula tengah malam 30 Ogos sehinggalah 31 Ogos sempena Hari Kebangsaan.

     
  • Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition dilancarkan – rai Merdeka ke-69, rupa lebih lasak, hanya 69 unit, RM168k

    Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition dilancarkan – rai Merdeka ke-69, rupa lebih lasak, hanya 69 unit, RM168k

    Jetour Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model edisi khas Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM167,600, atau RM10,800 lebih mahal dari versi biasa yang berharga RM156,800, dan hanya dihasilkan sebanyak 69 unit sahaja.

    Dengan harga lebih mahal, model edisi terhad ini menerima perincian unik termasuk gril hadapan baharu yang nampak lebih lasak bersama tambahan rel pelindung di bawahnya, skrip ‘Jetour’ hadapan di alih pada muncung bonet, rel dan rak bumbung bersama tangga modular berada pada cermin sisi belakang sebelah kanan, serta plat penyangkut sisi pada bahagian cermin sisi belakang kiri.

    Ia juga datang dengan angkup brek yang dilayangkan dengan warna merah, manakala warna badan hanya ditawarkan dengan satu pilihan iaitu hitam matte.

    Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition dilancarkan – rai Merdeka ke-69, rupa lebih lasak, hanya 69 unit, RM168k

    Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa, di mana ia masih dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm, yang dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Kuasa dialirkan menerusi sistem pacuan semua roda yang memberikan lapan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, Rock dan X-Mode iaitu mod yang mengaktifkan sistem AWD pintar XWD. Ia juga datang dengan Hill Hold Control, Kawalan Menurun Cerun dan mod Crawl Control yang membolehkan SUV ini ‘merangkak’ kerita meredah laluan off-road.

    Kelengkapan kit juga masih sama dengan versi standard dengan diberikan lampu hadapan LED automatik, bumbung suria panaromik, paparan instrumen digital dengan skrin 10.3-inci, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan pengalir udara, sistem pendingin hawa dua zon, lampu suasana, skrin infotainmen 15.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara.

    Untuk keselamatan pula ia dilengkapi dengan enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan sistem pemantau tekanan angin tayar, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan kawalan stereng, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.

    Setiap pembelian diberikan perlindungan waranti tujuh tahun atau 150,000 km, waranti unit rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1,000,000 km serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos buruh sebanyak lima kali.

     
  • Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series diperkenal di M’sia – roadster 4.0L V8 biturbo; dijangka dari RM2.25j

    Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series diperkenal di M’sia – roadster 4.0L V8 biturbo; dijangka dari RM2.25j

    Sempena dengan pelancaran Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di TRX Exchange, Kuala Lumpur, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan model super mewah, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Serie. Untuk pasaran Malaysia, harga atas jalannya bermula RM2,250,000 tanpa insurans.

    Roadster dua-tempat duduk berprestasi tinggi ini menggabungkan gaya sporty SL dengan kemewahan ultra-premium Maybach. Ia merupakan model yang sangat eksklusif dan lebih menekankan kemewahan, gaya serta pengalaman pemanduan yang jitu. Dari segi mekanikal, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series berasaskan SL tetapi ditala khusus oleh Maybach untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.

    Ia diberikan enjin 4.0 liter V8 biturbo yang mampu menghamburkan kuasa hingga 585 hp (430 kW) dan tork maksima 800 Nm, dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift 9G-Tronic sembilan-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4MATIC+. Gabungan mekanikal yang padu ini membolehkan SL 680 Monogram Serie ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan mampu mencapai kelajuan maksima hingga 260 km/j.

    Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series diperkenal di M’sia – roadster 4.0L V8 biturbo; dijangka dari RM2.25j

    Apa yang menariknya tentang SL 680 ini, ia bukan sekadar SL 63 dengan logo Maybach. Sebaliknya sistem mekanikal dan talaan casisnya telah diubah untuk memberikan karakter yang lebih santai dan selesa. Maybach turut mengubah talaan suspensi, stereng dan sistem kawalan untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih lembut dan pengendalian yang cukup sporty.

    Ia digandingkan dengan sistem suspensi AMG Active Ride Control dengan penstabilan olengan, brek berprestasi tinggi AMG, dengan cakera komposit seramik serta AMG electronic rear-axle limited-slip differential.

    Dari sudut dimensi, SL 680 berukuran 4,705 mm panjang, 1,915 mm lebar, 1,359 mm tinggi dengan jarak roda pula 2,700 mm.

    Untuk reka bentuknya, ia ditampilkan gaya yang lebih elegan, eksklusif dan mewah berbanding SL biasa, tetapi masih mengekalkan bentuk sporty sebuah roadster. Wajahnya diberikan gril radiator spesifik Maybach dengan jalur krom menegak dan logo Maybach. Ia diserlahkan dengan lampu utama LED yang tajam, bampar hadapan yang lebih kemas dengan penggunaan elemen krom yang menyerlahkan identiti Maybach dan bonet dengan warna kontra.

    Imej luarannya lebih seksi pada bahagian sisi dengan siluet roadster yang rendah dan panjang. Memantapkan lagi gayanya, ia diberikan pemegang pintu rata dan rim tempaan Maybach 21-inci. Untuk belakangnya pula, rekaannya lebih rendah dan lebar, menampilkan lampu LED berbentuk nipis, paip ekzos berkembar dengan kemasan krom pada diffuser dan soft top.

    Istimewanya, ia juga diberikan corak monogram Maybach double-M (MM) yang menjadi elemen utama pada bahagian badan tertentu yang merupakan identiti utama bagi Monogram Series. Selain itu, model ini juga ditawarkan pilihan cat dua tona, yang memang sinonim dengan model Maybach. Kombinasi warna badan sama ada pilihan merah metalik atau putih metalik dengan bahagian hitam pada bonet dan beberapa elemen luaran memberikan rupa yang lebih eksklusif.

    Bagi bahagian kabinnya, bentangan kemewahan, eksklusiviti dan sporty yang dihamparkan pada segenap ruang. Eksklusif untuk model ini, corak monogram Maybach “MM” diadaptasikan pada beberapa bahagian kemasan kabin, malah kemasan logam dan krom juga digunakan untuk memberikan sentuhan premium.

    Pada bahagian papan pemukanya, diberikan skrin infotainmen tengah 11.9-inci yang menggunakan sistem MBUX dan boleh dilaraskan sudutnya untuk mengurangkan pantulan cahaya ketika bumbung dibuka, dan juga paparan instrumen digital 12.3-inci yang memberikan maklumat pemanduan secara digital. Ia juga diberikan roda stereng AMG Performance yang dibaluti material premium dan menampilkan kawalan pelbagai fungsi termasuk sistem bantuan, navigasi dan kawalan kelajuan.

    Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah tempat duduk kulit Nappa dengan kemasan dan jahitan khas Maybach, pencahayaan ambien yang membantu mewujudkan suasana kabin yang lebih mewah terutama pada waktu malam, sistem audio Burmester® 3D Surround Sound, penyaman udara automatik dengan kawalan suhu berasingan untuk pemandu dan penumpang, sistem Airscarf yang meningkatkan keselesaan ketika memandu dengan bumbung terbuka dan bumbung fabrik elektrik yang boleh dibuka atau ditutup dengan kawalan elektrik.

    Bagi sistem bantuan pemanduan dan ciri keselamatan, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series dilengkapi dengan ciri termasuk Bantuan Brek Aktif, Bantuan Jarak Aktif DISTRONIC, Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta, Bantuan Parkir Aktif, kamera 360, Bantuan Isyarat Trafik, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Bantuan Lampu Tinggi Adaptif, serta pelbagai sensor, kamera dan sistem bantuan pemanduan bersepadu untuk meningkatkan keselamatan ketika memandu.

     
  • JPJ eBid: DFS dan JF_J bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari nombor pendaftaran baharu untuk kenderaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri terkini dari Kelantan dan Johor bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DFS, bakal dibuka bidaan mulai 26 Ogos ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 30 Ogos. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Ogos 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JF_J, pula akan dibuka bidaan bermula 27 Ogos ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 31 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 1 September 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
  • Projek pelebaran Lebuh Raya KL-Karak akan disiapkan setahun lebih awal, tiada kenaikan tol dalam 2-3 tahun

    Projek pelebaran Lebuh Raya KL-Karak akan disiapkan setahun lebih awal, tiada kenaikan tol dalam 2-3 tahun

    Projek pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dijangka dapat disiapkan pada 2029, iaitu setahun lebih awal daripada jadual asal, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    Pada asalnya, projek berkenaan dijadualkan siap pada 2030 berdasarkan tempoh kontrak pembinaan selama empat tahun. Bagaimanapun, AFA Prime memberi jaminan bahawa kerja-kerja pelebaran lebuh raya itu boleh disiapkan lebih awal pada 2029, kata Nanta.

    Projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh AFA Prime dan melibatkan pelebaran jajaran sepanjang 45.3 km di antara Gombak dan Bentong. Ia turut merangkumi pembinaan terowong ketiga sepanjang 999 meter di Genting Sempah, menurut laporan berkenaan.

    Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), jumlah trafik di Lebuh Raya KL-Karak telah meningkat dengan ketara daripada sekitar 41,000 kenderaan sehari pada 1997 kepada lebih 135,000 kenderaan sehari pada masa kini. Peningkatan itu menjadi antara faktor yang mendorong pelaksanaan projek pelebaran berkenaan.

    Sebagai sebahagian daripada projek itu, jajaran antara Gombak dan Genting Sempah akan dilebarkan daripada tiga kepada empat lorong. Sementara itu, laluan antara Genting Sempah dan Bentong pula akan dilebarkan daripada dua kepada tiga lorong bagi meningkatkan kapasiti lebuh raya tersebut.

    Menurut Nanta, terowong baru berkenaan akan dibina menggunakan kaedah New Austrian Tunneling Method (NATM), yang lebih sesuai dengan keadaan fizikal di lokasi projek. Kaedah tersebut akan digunakan dalam pembinaan terowong ketiga sepanjang 999 meter di Genting Sempah.

    Dari segi kadar tol pula, Nanta berkata tiada kenaikan serta-merta akan dikenakan selepas projek berkenaan siap. “Ia tidak akan berlaku serta-merta. Akan ada kenaikan kemudian, tetapi kita masih belum tahu bila. Terma berkenaan telah diperuntukkan dalam kontrak, tetapi tiada kenaikan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,” kata Menteri Kerja Raya itu.

     
  • Proton S70 R3 kembali berlumba – Axle Sport bangunkan semula; enjin 1.5L 4-silinder turbo untuk MTCC dan S1K!

    Proton S70 R3 kembali berlumba – Axle Sport bangunkan semula; enjin 1.5L 4-silinder turbo untuk MTCC dan S1K!

    Ok, ini satu perkara yang mengejutkan untuk peminat-peminat sukan permotoran tempatan – kereta lumba Proton S70 yang dibina pada tahun 2024 sudah kembali ‘bernyawa’ dan bakal berlumba semula dalam Malaysian Touring Car Championship (MTCC) dan juga perlumbaan ketahanan Sepang 1000 km (S1K) tahun ini!

    Namun kereta yang hanya sempat berlumba di S1K 2024 ini bukan lagi berlumba di bawah pasukan R3 di mana pasukan lumba rasmi Proton berkenaan sudahpun dibubarkan pada 2025. Sebaliknya ia kini diambil alih oleh pasukan yang diasaskan bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong iaitu Axle Sport.

    Menurut Alex Yoong dalam video pendedahan jentera lumba berkenaan yang disiarkan mulai malam tadi di laman Facebook rasmi Axle Sport, Proton S70 ini akan bertanding dalam kategori tertinggi MTCC iaitu MT1600 bermula pusingan keempat yang akan berlangsung hujung minggu ini, dan seterusnya akan menyertai S1K yang dijadualkan pada bulan November nanti.

    Dan bagi membolehkan jentera ini bertanding menggunakan undang-undang baharu MT1600 yang telah mula digunakan sejak tahun lalu, S70 ini telah dibangunkan semula dengan menukar enjin Campro 1.6L NA yang digunakan pada S1K 2024 kepada enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang sememangnya digunakan oleh S70 yang dijual dibilik pameran!

    Menurut undang-undang baharu berkenaan, semua jentera yang berlumba dalam kelas MT1600 ini perlu menggunakan enjin turbo dengan kapasiti tidak melebihi 1,600 cc, dan enjin tersebut perlulah enjin produksi kilang dari jenama yang sama tanpa sebarang ubahsuai termasuk perlu mengguna sistem turbo standard dari kilang yang sama.

    Enjin-enjin produksi berkenaan masih perlu menggunakan restrictor udara pada pengecas turbo berdasarkan Balance of Performance (BoP) yang ditetapkan oleh penganjur, bagi memastikan prestasi semua kereta adalah setara walaupun berlainan kapasiti dan berat.

    Sebab itulah untuk kategori ini kita boleh lihat Honda City yang bertanding menggunakan enjin 1.5 liter turbo yang diambil dari Honda Civic, dan bagi pasukan Honda Malaysia Racing Team (HMRT) sendiri mereka berlumba dengan Honda Civic FE dengan enjin 1.5 liter turbo asal.

    Walaupun enjin yang digunakan adalah enjin produksi kilang, pasukan-pasukan lumba dalam kategori MT1600 ini masih boleh menggunakan kotak gear perlumbaan manual dengan gear straight-cut sehingga enam-kelajuan bersama LSD, dan penggunaan penukar gear jenis pedal pada stereng juga dibenarkan – namun S70 ini masih menggunakan tombol gear H-pattern.

    Proton S70 R3 kembali berlumba – Axle Sport bangunkan semula; enjin 1.5L 4-silinder turbo untuk MTCC dan S1K!

    Dan dengan undang-undang baharu ini juga kita boleh lihat kereta lumba S70 ini sudahpun menggunakan set rim 17-inci dengan tayar standard yang sama untuk semua pasukan iaitu tayar Hankook 225/45R17, berbanding rim 15-inci bersama tayar 195/50R15 ketika menggunakan enjin 1.6L NA sebelum ini. Ia juga ditambah dengan liang udara yang besar pada penutup bonet hadapan untuk pengudaraan lebih baik ruang enjin yang kini didesak dengan unit turbin.

    Lain-lain perincian aerodinamik seperti spoiler bawah bampar hadapan dan juga spoiler belakang nampaknya masih lagi sama. Pasukan Axle Sport juga mendapat sokongan teknikal sepenuhnya dari Proton ketika membangunkan semula kereta lumba ini, dan ia turut mendapat sokongan dari EON Berhad yang pastinya menaikkan nostalgia pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) sebelum wujudnya pasukan R3.

    Proton S70 MTC ini akan berlumba hujung minggu ini dengan dipandu oleh pelumba tempatan Azriel Azhar dan seorang lagi pelumba dari Filipina iaitu Inigo Anton. Alex Yoong turut memberitahu bahawa pasukannya akan membawa S70 ini untuk berlumba di Thailand tahun hadapan – walaupun masih belum diberitahu secara spesifik perlumbaan mana yang akan disertai, spesifikasi S70 ini sebenarnya sudah layak untuk bertanding dalam kelas Super Touring dalam siri perlumbaan Thailand Super Series.

     
  • Puspakom GiCheck Auto Weekend di Aeon Bukit Tinggi 5-6 Sept – pemeriksan kenderaan dan pelbagai aktiviti

    Puspakom GiCheck Auto Weekend di Aeon Bukit Tinggi 5-6 Sept – pemeriksan kenderaan dan pelbagai aktiviti

    Puspakom akan menganjurkan acara GiCheck Auto Weekend 2026 selama dua hari pada 5 dan 6 September ini di AEON Bukit Tinggi, Klang. Bertemakan semangat Merdeka, acara berkenaan menggabungkan pendidikan berkaitan keselamatan kenderaan, kesedaran mengenai kelayakan berada atas jalan raya serta pelbagai aktiviti mesra keluarga dalam satu lokasi yang mudah dikunjungi orang ramai.

    GiCheck Auto Weekend akan berlangsung di kawasan letak kereta terbuka berhampiran pusat beli-belah berkenaan dan stesen LRT Bandar Bukit Tinggi. Acara akan dibuka kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada kedua-dua hari, manakala aktiviti pemeriksaan kenderaan yang disediakan di lokasi akan beroperasi sehingga jam 6 petang.

    Menurut Puspakom, penganjuran acara ini bertujuan membantu orang ramai mengenal pasti potensi masalah pada kenderaan lebih awal, selain memahami kepentingan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan layak digunakan di jalan raya. Usaha tersebut akan disokong menerusi demonstrasi secara langsung, aktiviti pendidikan serta pengalaman automotif yang lebih praktikal.

    Puspakom GiCheck Auto Weekend di Aeon Bukit Tinggi 5-6 Sept – pemeriksan kenderaan dan pelbagai aktiviti

    Pada masa sama, Puspakom berkata acara berkenaan turut menjadi platform untuk pihaknya berinteraksi dengan orang ramai dan pelbagai pihak berkepentingan secara lebih dekat. Selain demonstrasi keselamatan yang interaktif dan aktiviti untuk seisi keluarga, pengunjung juga berpeluang melihat pasaran kereta terpakai serta mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai inovasi dalam industri automotif.

    Bagi pemilik kenderaan yang memenuhi syarat, pemeriksaan turut boleh dilakukan di lokasi menerusi perkhidmatan Mobile Truck Service (MTS) Puspakom. Perkhidmatan berkenaan membolehkan pemeriksaan kenderaan dijalankan menggunakan trak mudah alih yang disediakan sepanjang acara, sekaligus memberi kemudahan tambahan kepada pengunjung yang ingin memeriksa keadaan kenderaan mereka.

    Puspakom memaklumkan maklumat lanjut mengenai program penuh, rakan kerjasama yang terlibat, hadiah cabutan bertuah serta pengumuman khas akan didedahkan dalam beberapa minggu akan datang. Orang ramai yang berminat disaran mengikuti perkembangan terkini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang GiCheck Auto Weekend 2026.

     
  • Penggunaan lampu amaran dan siren bukan ‘tiket’ untuk abaikan keselamatan di jalan raya – JSPT

    Penggunaan lampu amaran dan siren bukan ‘tiket’ untuk abaikan keselamatan di jalan raya – JSPT

    Penggunaan lampu amaran khas (beacon light) dan siren oleh kenderaan kerajaan termasuk penguatkuasa dan kecemasan haruslah dilaksanakan dengan mengutamakan aspek keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali penggunaan lampu amaran khas itu pada sesebuah kenderaan tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, laporan Bernama.

    Mohammed Hasbullah berkata, mana-mana kenderaan yang tiba di lampu isyarat perlu memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum meneruskan perjalanan, walaupun menggunakan lampu amaran khas atau siren.

    “Kenderaan penguatkuasa dan kecemasan yang menjalankan tugas sekalipun perlu memastikan keadaan laluan benar-benar selamat sebelum meneruskan perjalanan, termasuk ketika melintasi persimpangan atau lampu isyarat,” katanya yang meninjau lokasi kemalangan maut yang melibatkan sebuah kenderaan milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mengorbankan tiga sekeluarga di persimpangan Maju Junction awal pagi semalam.

    “Mengikut Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959, pengguna jalan raya perlu memberi laluan kepada kenderaan penguat kuasa atau kecemasan yang sedang menjalankan tugas rasmi. Pada masa sama, tindakan sengaja menghalang, block atau mengikut rapat (tailgating) kenderaan pasukan yang sedang menjalankan tugas dalam mod kecemasan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Penggunaan lampu amaran dan siren bukan ‘tiket’ untuk abaikan keselamatan di jalan raya – JSPT

    Dalam perkembangan berkaitan, Muhammed Hasbullah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), mempunyai kuasa berkaitan pengurusan lalu-lintas merangkumi kuasa mengatur, mengawal dan memelihara ketenteraman lalu lintas, termasuk mengarahkan pengguna jalan raya mematuhi arahan atau isyarat pegawai polis bertugas.

    “PDRM juga mempunyai peranan eksklusif dalam tugas pengiringan (escort), membuka laluan atau menahan lalu lintas bagi kenderaan pembesar, VIP atau konvoi di jalan awam. Sehubungan itu, agensi lain atau pihak awam tidak boleh bertindak menyekat, menahan atau mengarahkan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada konvoi mereka sendiri tanpa kuasa atau kebenaran sewajarnya,” katanya.

    Beliau berkata, PDRM sebelum ini turut mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguat kuasa pada 23 Jun lalu bagi memastikan pemahaman dan penyelarasan berkaitan undang-undang jalan raya, termasuk pematuhan Kaedah 24B serta penggunaan warna lampu beacon mengikut spesifikasi ditetapkan.

    Beliau berkata, penggunaan lampu amaran khas itu adalah eksklusif untuk kenderaan penguat kuasa dan kecemasan yang dibenarkan ketika menjalankan tugas rasmi. Enam agensi yang mempunyai kuasa eksklusif menggunakan lampu berkenaan adalah PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ambulans, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

     
  • Toyota Camry 2026 di China – bahagian dalam diubah, skrin sesentuh 15.6 inci, tempat duduk boleh urut

    Toyota Camry 2026 di China – bahagian dalam diubah, skrin sesentuh 15.6 inci, tempat duduk boleh urut

    Seperti kebanyakan pengeluar automotif lama yang lain, Toyota perlu menyesuaikan produknya dengan perubahan pantas dalam pasaran China. Perkara itu jelas kelihatan pada Toyota Camry versi terkini yang diperkenalkan menjelang Pameran Motor Chengdu. Walaupun reka bentuk luarannya hampir tidak berubah berbanding model semasa, bahagian kabin menerima perubahan besar bagi memenuhi cita rasa pengguna China.

    Camry yang dipasang oleh GAC di Guangzhou itu masih mengekalkan rupa luaran sedia ada. Varian LE menggunakan gril corak honeycomb sama warna dengan badan yang khusus untuk pasaran China, manakala versi SE dan XSE tampil dengan bampar lebih agresif serta kit badan yang dipasang secara tempatan. Secara keseluruhannya, perbezaan pada bahagian luaran adalah amat minimum.

    Perubahan paling ketara boleh dilihat pada ruang kabin yang kini tampil dengan reka bentuk lebih moden dan minimalis. Susun atur papan pemuka asimetri serta kawalan pendingin hawa jenis sentuhan kapasitif pada model sebelum ini telah dibuang, digantikan dengan reka bentuk yang lebih sekata dan kemas. Pendekatan baru ini menjadikan Camry lebih hampir dengan model sedan tempatan China.

    Toyota Camry 2026 di China – bahagian dalam diubah, skrin sesentuh 15.6 inci, tempat duduk boleh urut

    Aspek teknologi turut memainkan peranan utama dalam perubahan tersebut. Skrin sistem infotainmen 12.3 inci kini digantikan dengan panel besar berukuran 15.6 inci yang menggunakan interface khas untuk pasaran China. Skrin sama turut menempatkan kawalan pendingin hawa serta sistem arahan suara dibantu kecerdasan buatan (AI). Paparan meter pula dikecilkan sedikit kepada 8.8 inci, namun pembeli boleh memilih head-up display berasaskan Augmented Reality.

    Tempat duduk hadapan dengan pelarasan kuasa enam arah kini menawarkan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan 10 titik. Tempat duduk belakang juga boleh dipanas serta disejukkan, selain boleh dilaras secara elektrik sehingga lapan darjah. Kelengkapan lain termasuk lampu suasana 64 warna, tombol gear kristal, penggunaan lebih banyak kemasan kulit lembut serta bumbung kaca panoramik dengan kemasan siling suede tiruan.

    Senarai teknologi tambahan pula merangkumi fungsi kunci digital, pengecas tanpa wayar Qi 50 watt, sistem pewangi kabin, cermin pandang belakang digital serta sistem audio JBL dengan 14 pembesar suara. Toyota turut menggunakan interface aksesori daripada Xiaomi yang membolehkan peranti tambahan seperti tablet untuk penumpang belakang dipasang dengan lebih mudah.

    Dari segi rangkaian kuasa, tiada perubahan besar dilakukan. Camry masih ditawarkan dengan enjin petrol 2.0 liter M20C-FKS VVT-iE suntikan terus berkuasa 173 PS dan tork 206 Nm, yang dipadankan dengan transmisi Direct-Shift CVT. Pilihan hibrid pula terdiri daripada enjin 2.0 liter M20F-FXS dengan kuasa sistem 197 PS serta enjin 2.5 liter A25D-FXS yang menghasilkan 230 PS. Toyota mendakwa penggunaan bahan api boleh mencapai sehingga 23.8 km bagi setiap liter.

    Toyota juga tidak menawarkan fungsi pemanduan autonomous bandar dan lebuh raya yang semakin banyak pada model baru di China. Sebaliknya, Camry terus menggunakan rangkaian Toyota Safety Sense 3.0 yang menawarkan ciri bantuan pemanduan separa autonomous Tahap 2. Antara tambahan yang ketara ialah fungsi pertukaran lorong secara autonomous, manakala ciri bantuan lain kekal seperti yang ditawarkan sebelum ini.

    Menariknya, perubahan besar pada bahagian dalaman tanpa banyak mengubah aspek lain membolehkan Camry kekal pada harga yang agak rendah di China. Model ini ditawarkan pada harga bermula 171,800 yuan, bersamaan kira-kira RM103,200. Varian hibrid 2.5 liter paling tinggi spesifikasi dengan kelengkapan lengkap pula berharga 259,800 yuan atau sekitar RM155,900, jauh lebih rendah berbanding harga Camry di Malaysia.

     
  • Mazda CX-5 2026 dilancarkan di Filipina – model generasi baru dengan enjin 2.5L NA, hibrid ringkas, AWD, RM164k

    Mazda CX-5 2026 dilancarkan di Filipina – model generasi baru dengan enjin 2.5L NA, hibrid ringkas, AWD, RM164k

    Mazda CX-5 generasi ketiga telah pun dilancarkan secara rasmi ke pasaran Filipina selepas setahun SUV tersebut membuat kemunculan sulung globalnya. Di sana, CX-5 2026 ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu 2.5L AT AWD HEV Premium Plus, dijual pada harga PHP2.495 juta (sekitar RM164k).

    Varian berkenaan menampilkan unit rangkaian kuasa e-Skayactiv G yang merangkumi enjin petrol 2.5 liter empat-silinder NA kitaran Miller berkuasa 181 PS dan tork maksima 242 Nm, serta unit motor starter-generator bersepadu untuk sistem hibrid ringkas 24-volt berkuasa 6.5 PS/60.5 Nm yang mampu memberikan bantuan tork tambahan apabila diperlukan, dan juga memberikan fungsi i-Stop (sistem auto on-off untuk enjin) yang lebih lancar.

    Ia digandingkan dengan kotak gear automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD i-Activ Mazda. Pemandu turut disediakan dengan pemilih mod pemanduan terdiri dari Normal, Sport dan Off-Road, serta dibantu dengan Off-Road Traction Assist dan G-Vectoring Control Plus.

    Antara kelengkapan yang diberikan termasuk rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam metalik bersama tayar 225/55R19, perapi luaran kemasan hitam berkilat, lampu hadapan LED adaptif, bumbung suria panaromik bantuan kuasa, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, upholsteri kulit Nappa, tempat duduk hadapan larasan kuasa, skrin infotainmen bersaiz 15-inci, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, paparan head-up dipancarkan ke cermin hadapan serta sistem penghawa dingin dua zon bersama liang udara kabin belakang

    Untuk keselamatan pula, CX-5 pasaran Filipina ini diberikan enam beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, pemantau 360 darjah, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) merangkumi fungsi seperti Mazda Radar Cruise Control, Smart Brake Support (AEB) hadapan dan belakang, amaran keluar laluan dengan bantuan kekal lorong, pemantau titik buta bersama amaran keluar kenderaan, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang serta pemantau pemandu dengan amaran.

    Pembeli CX-5 2026 di Filipina boleh memilih SUV ini dalam warna Rhodium White, Navy Blue Mica, Soul Red Crystal, Machine Gray, Aero Gray dan Jet Black. Manakala untuk kabin ia boleh dipilih dengan pilihan skema warna Sport Tan dan Hitam yang digandingkan dengan perapi kayu sen Jepun. Setiap pembelian datang dengan waranti selama tiga-tahun serta pelan servis percuma selama lima-tahun.

    Sebagai perbandingan, spesifikasi Mazda CX-5 pasaran Filipina ini adalah sama dengan versi pasaran Jepun, tetapi berbeza dengan model pasaran Indonesia yang menerima unit rangkaian kuasa Skyactiv-G 2.5 tanpa sistem hibrid ringkas, menghasilkan kuasa 179 PS/240 Nm dan hanya memacu roda hadapan. Di Indonesia, ia ditawarkan dalam varian Sport dengan harga Rp599 juta (RM136k) dan Kuro berharga Rp689.9 juta (RM157k).

    Di Malaysia, Mazda CX-5 ini telah pun didedahkan oleh Bermaz Motor ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show pada Jun lalu. Ia sudah pun boleh ditempah dengan pelancaran yang akan dibuat pada suku ketiga tahun ini. Bermaz turut mengumumkan bahawa CX-5 generasi baharu ini akan dilancarkan pada sekitar suku ketiga tahun ini, dengan harga anggaran RM170k.

    Bermaz menyatakan bahawa CX-5 2026 pasaran Malaysia kelak akan menerima enjin petrol 2.5 liter empat silinder, namun belum memprincikan sama ada ia akan menerima sitem hibrid dan juga sistem pacuan semua roda atau tidak.

     
  • Xpeng panggil semula X9 di Malaysia — masalah sistem suspensi udara, pemilik diberi lanjutan jaminan 8-tahun

    Xpeng panggil semula X9 di Malaysia — masalah sistem suspensi udara, pemilik diberi lanjutan jaminan 8-tahun

    Bermaz Xpeng telah mengumumkan kempen panggilan semula untuk model Xpeng X9 kerana potensi masalah di bahagian gegelung udara depan MPV berkenaan. Menurut syarikat itu, ini adalah susulan daripada panggulan semula serupa yang dibuat di China untuk unit X9 yang dikeluarkan sebelum 11 Ogos 2025.

    Satu laporan Reuters pada Julai tahun ini memberikan lebih banyak maklumat mengenai panggilan semula Xpeng ini, yang melibatkan 33,473 unit model X9 yang dibuat antara 8 Ogos 2023 dan 11 Ogos 2025. Unit yang terjejas didakwa mempunyai gegelung udara hadapan dengan kekedapan udara yang dikurangkan, yang boleh menyebabkan kebocoran udara secara beransur-ansur melalui penggunaan berpanjangan dalam keadaan panas dan lembap. Ini boleh mencetuskan amaran kerosakan atau, dalam keadaan ekstrem, menjejaskan pengendalian kenderaan, jelas Xpeng dalam satu kenyataan.

    Di Malaysia, kenderaan yang disahkan terjejas akan diberikan unit gantian bagi pemasangan suspensi udara hadapan yang terkesan sepenuhnya. Ini akan dilakukan tanpa sebarang caj kepada pemilik, dan sistem suspensi udara hadapan yang diganti akan dilanjutkan tempoh perlindungan jaminannya sehingga lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu), bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan — ini boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya.

    Bermaz Xpeng memaklumkan dalam kenyataannya bahawa syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi serantau dan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal dan kapasiti servis mampu menampung panggilan semula ini. Syarikat itu juga menyatakan bahawa kenderaan daripada kelompok pengeluaran lain model yang sama bagaimanapun tidak terjejas – ini bermakna model facelift-nya tidak terkesan. Bagaimanapun, tidak dinyatakan berapa banyak kenderaan X9 lama yang terlibat dalam panggulan semula ini.

    Pelanggan boleh menghubungi talian hotline khidmat pelanggan Xpeng Malaysia di +603 7627 3883 untuk pertanyaan lanjut. Pelanggan dengan unit yang terkesan dengan panggilan semula ini perlu boleh menjadualkan temu janji dengan pusat servis sah melalui aplikasi mudah alih Xpeng.

     
  • Pemilik Zeekr di Malaysia diberi keahlian JomCharge Platinum percuma sehingga 31 Dis, diskaun cas 25%

    Pemilik Zeekr di Malaysia diberi keahlian JomCharge Platinum percuma sehingga 31 Dis, diskaun cas 25%

    Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) mengumumkan kerjasama dengan pengendali pengecasan kenderaan elektrik (EV), JomCharge, yang memberikan keahlian JomCharge Platinum secara percuma kepada pemilik Zeekr sehingga 31 Disember tahun ini.

    Menerusi tawaran tersebut, pemilik Zeekr yang menjadi ahli JomCharge Platinum akan menikmati diskaun 25% untuk pengecasan di lebih 1,000 tempat mengecas milik JomCharge di seluruh negara. Tawaran ini memberi nilai tambahan kepada pemilik Zeekr yang menggunakan rangkaian pengecas awam dalam perjalanan harian.

    Untuk mendapatkan keahlian Platinum percuma berkenaan, pemilik Zeekr perlu melengkapkan borang pendaftaran yang disediakan oleh Zeekr Malaysia. Mereka juga perlu memastikan alamat e-mel yang digunakan dalam borang tersebut adalah sama dengan alamat e-mel yang didaftarkan pada akaun JomCharge masing-masing.

    Pemilik Zeekr di Malaysia diberi keahlian JomCharge Platinum percuma sehingga 31 Dis, diskaun cas 25%

    Selepas borang dihantar, pihak JomCharge akan membuat pengesahan status pemilik Zeekr sebelum mengaktifkan keahlian Platinum percuma tersebut. Pengaktifan hanya akan dilakukan selepas proses pengesahan berjaya, membolehkan pemilik menikmati manfaat keahlian berkenaan sehingga tarikh yang ditetapkan.

    Menurut Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu, jumlah komuniti pemilik Zeekr di Malaysia kini telah melebihi 5,000 orang. Katanya, syarikat akan terus mencari kaedah untuk meningkatkan pengalaman pemilikan menerusi kerjasama strategik, sokongan selepas jualan serta pelbagai manfaat yang memberi nilai kepada pelanggan.

    Kerjasama terbaru dengan JomCharge ini menyusuli perkongsian Zeekr Malaysia dengan DC Handal sebelum ini. Menerusi kerjasama tersebut, pemilik Zeekr boleh mengecas kenderaan mereka di mana-mana lokasi pengecasan DC Handal pada kadar RM1.20 setiap kWh, berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan lokasi tertentu.

    Pemilik Zeekr di Malaysia diberi keahlian JomCharge Platinum percuma sehingga 31 Dis, diskaun cas 25%

    Dalam perkembangan berkaitan, JomCharge pada awal bulan ini memperkenalkan JomChargeX sebagai penjenamaan baru untuk rangkaian pengecas arus terus (DC) berkelajuan ultra pantas dengan kuasa melebihi 200 kW. Setakat bulan ini, terdapat dua lokasi yang menawarkan pengecas di bawah jenama tersebut.

    Lokasi pertama ialah di Litar Antarabangsa Sepang dalam kawasan SIC Motorsport Park, yang mempunyai tiga pengecas dengan kapasiti keseluruhan 360 kW menerusi enam soket pengecasan. Satu lagi lokasi terletak di Xpark Sunway Serene, menawarkan kapasiti sehingga 480 kW menerusi dua soket pengecasan.

     
  • Syarikat China hubungi MITI untuk uji kereta terbang

    Syarikat China hubungi MITI untuk uji kereta terbang

    Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin mendedahkan bahawa beberapa syarikat China telah menghubungi kementerian itu untuk menggunakan Malaysia sebagai tempat ujian bagi teknologi mobiliti udara bandar, termasuk kereta terbang, lapor The Sun.

    “Beberapa syarikat China telah pun bekerjasama dengan MITI, dan mereka mahu menjadikan Malaysia sebagai tempat ujian bagi mobiliti bandar, yang merujuk kepada kereta terbang,” katanya kepada pemberita ketika majlis pelancaran Pembangunan Hala Tuju Aeroangkasa Malaysia untuk ekonomi altitud rendah (LAE) dan pendigitalan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

    Perbincangan bagaimanapun masih di peringkat awal, dan syarikat-syarikat tersebut juga berminat untuk berpotensi mewujudkan operasi pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia, kata Sim.

    Syarikat China hubungi MITI untuk uji kereta terbang

    Malaysia sedang membangunkan pelan hala tuju LAE kebangsaan, dengan menjadikan China, UK, Jepun, Jerman dan Singapura sebagai penanda aras, yang merangkumi sistem pesawat tanpa pemandu, dron, mobiliti udara bandar serta penerbangan autonomi. Pelan hala tuju ini dijangka siap menjelang akhir tahun sebelum pelaksanaannya yang dijangka tahun depan.

    “Ini adalah masa yang sangat menarik kerana LAE masih sangat baru. Malaysia merupakan antara beberapa negara pertama yang memulakan kajian dan pelan hala tuju ini. Kita ingin menanggapi corak dan trend masa depan. Kita tidak mahu ketinggalan,” katanya.

    “Terdapat banyak kerja kawal selia yang perlu dilakukan. Jika anda mahu melakukan semua penghantaran ini, ia mestilah selamat. Tidak ada siapa yang mahu sesuatu jatuh dari langit secara tiba-tiba dan menghempap anda, bukan?” ujarnya.

    Syarikat China hubungi MITI untuk uji kereta terbang

    “Kita boleh membuat unjuran dan bersikap optimistik, tetapi secara realistiknya kita memerlukan industri dan pengawal selia untuk bekerjasama sebaik mungkin,” tambahnya.

    Kira-kira tujuh tahun lalu, kereta terbang menjadi topik hangat di Malaysia apabila Menteri Pembangunan Usahawan ketika itu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan bahawa prototaip kereta terbang Malaysia sedang dibangunkan. Model skala kecilnya telah ditunjukkan di pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19).

    Pada November 2019, umum mula mengetahui bahawa kereta terbang yang dimaksudkan itu ialah EHang 216, sebuah dron penumpang yang dibangunkan oleh syarikat China, Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Bagaimanapun, sehari sebelum penerbangan ujian pertamanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan bahawa ia belum dibenarkan untuk melakukan penerbangan.

    Xpeng X2 di KLIMS 2026

    Ehang 216

     
  • Pemandu lori Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah akibatkan kematian tiga sekeluarga di Jalan Sultan Ismail

    Pemandu lori Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah akibatkan kematian tiga sekeluarga di Jalan Sultan Ismail

    Seorang pemandu lori Jabatan Imigresen (JIM) telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas lima pertuduhan, termasuk tiga pertuduhan menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ini berlaku susulan kemalangan maut pada hari Rabu (19 Ogos 2026) yang melibatkan salah sebuah lori jabatan itu yang dipandu oleh tertuduh, Mohd Akbar Zainol, 43 tahun, didakwa tidak mematuhi lampu merah dan melanggar sebuah Proton Saga di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur.

    Semasa kejadian, Proton Saga berkenaan dipandu oleh Shaik Mohd Firdaus Shaik Yahya, 53 tahun, yang sedang melalui persimpangan selepas lampu isyarat bertukar hijau. Kemalangan tersebut mengakibatkan kematian pemandu serta dua anak perempuannya yang berumur 25 dan 12 tahun yang ada bersama, manakala isterinya yang turut berada di dalam kereta mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki, lapor NST. Kemalangan itu juga menyebabkan lori terbabit tergelincir dan melanggar empat pejalan kaki serta sebuah Inokom Matrix.

    Sejurus selepas kejadian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jabatan itu untuk menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap kemalangan maut yang berlaku. “Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menjalankan siasatan segera dan menyeluruh. Jika kecuaian atau sebarang pelanggaran undang-undang dilakukan, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” tulisnya dalam satu catatan Facebook yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

    Tiga pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) membawa hukuman penjara antara lima dan 10 tahun dan denda antara RM20,000 dan RM50,000 jika sabit kesalahan. Selain itu, pemandu lori juga didakwa di bawah Seksyen 43(1) kerana memandu dengan cuai, mengakibatkan kecederaan kepada pejalan kaki.

    Ini membawa denda antara RM5,000 dan RM10,000, atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya. Sementara itu, pertuduhan kelima, di bawah Seksyen 79(2), mendakwa pemandu lori berkenaan gagal mematuhi lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Sultan Ismail, yang membawa hukuman denda antara RM300 dan RM2,000. Akbar mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan kepadanya, dengan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM60,000 untuk semua pertuduhan.

     
  • Touch n Go LPR Parking — pengesanan nombor plat di 140 lokasi, bayaran ditolak automatik dari TNG eWallet

    Touch n Go LPR Parking — pengesanan nombor plat di 140 lokasi, bayaran ditolak automatik dari TNG eWallet

    Jika anda pengguna aplikasi Touch n Go, sudah tahu mengenai ciri LPR Parking? Ciri berkenaan akan memudahkan pengalaman anda di tempat letak kereta melibatkan lebih 140 lokasi — tidak perlu lagi risau akan disaman parkir, beratur di mesin autopay atau mencari kod QR untuk diimbas untuk membayar. Pandu masuk, pandu keluar — itu saja yang perlu dilakukan.

    LPR bermaksud pengecaman plat lesen (atau, license plate recognition) dan LPR Parking TnG ini berfungsi hampir sama seperti versi yang ada pada Setel dan 1PAY di 1 Utama. Secara umumnya, nombor plat anda akan direkodkan ketika masuk-keluar tempat letak kereta. Kadar bayaran parkir kemudiannya akan ditolak secara automatik daripada baki TNG eWallet anda.

    Touch n Go LPR Parking — pengesanan nombor plat di 140 lokasi, bayaran ditolak automatik dari TNG eWallet

    Untuk mendaftar, LPR Parking dalam aplikasi TNG eWallet anda dan pilih “tambah kenderaan sekarang”. Anda hanya perlu memasukkan plat nombor anda, dengan jenama, model dan warna kenderaan sebagai pilihan. Ikuti arahan berikutnya dan, selesai. Anda boleh daftarkan sehingga 10 kereta. Ambil maklum juga, jika anda melakukan langkah ini selepas memasuki tempat letak kereta, LPR hanya akan berfungsi pada kemasukan seterusnya.

    Jika anda bimbang telefon kehabisan bateri, atau jika “offline”, jangan risau. LPR Parking tidak bergantung kepada sambungan telefon anda dan akan menolak bayaran secara automatik. Jika eWallet anda tidak mempunyai dana yang mencukupi, anda juga boleh keluar menggunakan kaedah pembayaran alternatif, seperti kad TNG fizikal. Walaupun tiada baki minimum kad yang disyaratkan untuk menggunakan LPR Parking, adalah lebih bijak untuk pastikan anda mempunyai kredit yang mencukupi untuk mengelakkan kesulitan.

    Touch n Go LPR Parking — pengesanan nombor plat di 140 lokasi, bayaran ditolak automatik dari TNG eWallet

    Turut tersedia ialah suis On/Off yang tertera di sebelah nombor plat dalam aplikasi, bertujuan sekiranya anda ingin mematikan LPR Parking buat sementara waktu untuk kenderaan tertentu. Selain itu, sedang berlangsung juga kempen berterusan yang menawarkan PIN tambah nilai TNG eWallet RM50. Aktifkan LPR Parking untuk satu penyertaan, dan dapatkan lebih banyak penyertaan ketika anda menggunakan fungsi tersebut.

    Jika tempat yang selalu anda kunjungi terlibat turut disertakan dalam ciri tersebut, maka ia akan menjadi sangat berguna dan memudahkan. Daripada semakan ringkas, 140 lokasi yang dinyatakan itu setakat ini belum lagi menyertakan pusat beli-belah utama seperti KLCC, Pavilion, Mid Valley, 1 Utama, Sunway Pyramid dan IOI City Mall. Selain itu, terdapat beberapa hotel dan hospital yang telah tersenarai.

     
  • PIAM beri penjelasan tentang perlindungan insurans susulan kebakaran rumah akibat EV di Cheras

    PIAM beri penjelasan tentang perlindungan insurans susulan kebakaran rumah akibat EV di Cheras

    Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) tampil memberikan penjelasan mengenai perlindungan insurans untuk pemilik kenderaan elektrik (EV) dan pemilik rumah susulan kejadian kebakaran di Alam Damai, Cheras pada Ahad lalu.

    Kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah teres dua tingkat itu dipercayai berlaku ketika sebuah EV sedang dicas. Susulan kejadian tersebut, PIAM menjelaskan perkara yang dilindungi di bawah polisi insurans rumah dan kenderaan, selain memberikan beberapa cadangan kepada pemilik EV bagi mengurangkan risiko serta memastikan perlindungan yang mencukupi.

    Apa yang dilindungi dan perkara yang perlu diketahui? Berikut adalah bahagian yang dijelaskan oleh PIAM.

    PIAM beri penjelasan tentang perlindungan insurans susulan kebakaran rumah akibat EV di Cheras

    Panduan utama dan penjelasan polisi

    • Perlindungan kebakaran dan rumah: Polisi Pemilik Rumah dan Kebakaran standard di Malaysia melindungi risiko tertentu, termasuk kerosakan akibat kebakaran tanpa mengira sumber nyalaan. Walaubagaimanapun, perlindungan ini tertakluk kepada terma, syarat dan pengecualian polisi, serta syarat bahawa tiada unsur penipuan, perbuatan sengaja atau pelanggaran syarat polisi yang berkaitan.
    • Pengecas EV sebagai sebahagian daripada rumah: Pengecas EV yang dipasang secara kekal dan disambungkan terus kepada sistem elektrik rumah boleh dikategorikan di bawah bahagian “bangunan” dalam polisi rumah sebagai lekapan dan kelengkapan. Kabel pengecas mudah alih atau tidak dipasang secara kekal pula lazimnya dilindungi menerusi polisi insurans kenderaan EV khusus atau pakej tambahan yang ditawarkan syarikat insurans.
    • Pentingnya pemasangan secara profesional: Pemilik rumah perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah dan memastikan sistem elektrik memenuhi piawaian keselamatan. Ketika menilai tuntutan, syarikat insurans akan melihat laporan rasmi seperti laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk menentukan punca kejadian serta menolak kemungkinan pembakaran sengaja, penipuan atau pemasangan elektrik yang tidak sah dan tidak mematuhi peraturan.
    • Maklumkan kepada syarikat insurans: Pemilik rumah disaran memaklumkan kepada syarikat insurans apabila memasang pengecas EV secara kekal. Pengisytiharan mengenai penambahbaikan sistem elektrik membolehkan jumlah perlindungan, atau Sum Insured, dikemas kini mengikut kos pembinaan semula semasa dan membantu menjelaskan skop perlindungan sekiranya tuntutan dibuat.

    PIAM beri penjelasan tentang perlindungan insurans susulan kebakaran rumah akibat EV di Cheras

    Cadangan insurans untuk pemilik EV

    • Pastikan jumlah perlindungan mencukupi: Pemilik rumah perlu menyemak Sum Insured supaya ia mencerminkan kos pembinaan semula terkini, termasuk pengubahsuaian rumah dan pemasangan kelengkapan moden. PIAM menyediakan Building Cost Calculator secara percuma di laman sesawangnya bagi membantu pemilik membuat anggaran kos pembinaan semula.
    • Semak perlindungan liabiliti pihak ketiga: Risiko kebakaran atau kejadian elektrik yang merebak ke rumah bersebelahan juga perlu diambil kira, terutama bagi kediaman jenis rumah teres dan bangunan bertingkat. Polisi Pemilik Rumah biasanya menawarkan had liabiliti awam sebanyak RM50,000, namun pemilik polisi boleh mendapatkan perlindungan tambahan untuk meningkatkan had tersebut.
    • Semak polisi motor dan rumah: Pemilik EV disaran menyemak kedua-dua polisi insurans kenderaan dan rumah bagi mengenal pasti sebarang jurang perlindungan. Ini bagi memastikan kenderaan, peralatan pengecasan serta struktur rumah mendapat perlindungan yang sesuai.

    PIAM turut menasihatkan pemilik rumah dan EV yang mempunyai persoalan mengenai terma polisi atau perlindungan tambahan supaya menghubungi mana-mana daripada 19 syarikat insurans am anggotanya. Bagi mereka yang merancang untuk beralih kepada EV, pemasangan pengecas rumah oleh juruelektrik atau pihak profesional yang bertauliah juga amat penting, dengan aspek keselamatan perlu diberi keutamaan.

     
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam