Ikuti kami:
Carian lanjutan
           
Jual kereta andaBayaran dalam 24 jam Jual sekarang Jadikan paultan.org sumber pilihan anda di Google Tambah
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam

Kandungan terkini

  • UMW Toyota Motor catat jualan 24,500 unit pada Q3 2026 – naik 3,700 unit berbanding Q2; YTD cecah 60,800 unit

    UMW Toyota Motor catat jualan 24,500 unit pada Q3 2026 – naik 3,700 unit berbanding Q2; YTD cecah 60,800 unit

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan jualan sebanyak 24,500 unit bagi tempoh Julai hingga September 2026, dengan rekod bagi suku ketiga (Q3) itu telah membawa ke angka cecah 60,800 jualan setakat ini (year-to-date / YTD). Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3,700 unit berbanding 20,800 unit yang diperoleh pada suku kedua (Q2) tahun ini. Sebagai maklumat tambahan, UMWT menjual sebanyak 102,417 unit pada 2025, sekali gus mencatatkan jualan melebihi paras 100,000 unit selama empat tahun berturut-turut.

    “Prestasi kami pada suku ketiga mencerminkan kepercayaan berterusan rakyat Malaysia terhadap Toyota serta kekuatan pengalaman pemilikan yang telah kami bina selama ini. Seiring dengan perubahan pasaran, fokus kami kekal jelas. Kami mahu setiap pelanggan berasa yakin dengan pilihan mereka, mendapat sokongan sepanjang perjalanan pemilikan kenderaan dan yakin bahawa Toyota terus menawarkan nilai yang baik selepas mereka meninggalkan bilik pameran.

    “Kami sedang memperkukuh pengalaman pelanggan Toyota dengan memberikan tumpuan kepada aspek kebolehpercayaan, kemudahan dan keyakinan pelanggan, yang merupakan perkara paling penting bagi mereka,” kata Presiden UMWT, Datuk Ravindran Kurusamy.

    Dalam kenyataan rasmi, syarikat itu berkata pihaknya turut memperkukuh akses praktikal kepada mobiliti elektrifikasi menerusi pendekatan pelbagai laluan (multi-pathway). Usaha ini termasuk kerjasama dengan pengendali poin pengecasan ChargEV dan JomCharge untuk memperluas ketersediaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam, termasuk di lokasi Toyota dan Lexus.

    Sebanyak 42 poin pengecasan di 21 lokasi akan disediakan menerusi pelaksanaan berperingkat yang dijadualkan pada separuh pertama 2027. ChargEV akan mengendalikan sebahagian besar pemasangan tersebut, melibatkan 38 poin pengecasan di 19 lokasi. Sementara itu, JomCharge akan menyediakan empat titik pengecasan di dua lokasi. Setakat ini, kerja-kerja di tujuh lokasi telah selesai, manakala baki lokasi akan disiapkan secara berperingkat.

     
  • BMW F 450 RR 2027 – enjin dua silinder 420 cc, varian tinggi dapat quickshifter, laptimer, Easy Ride Clutch

    BMW F 450 RR 2027 – enjin dua silinder 420 cc, varian tinggi dapat quickshifter, laptimer, Easy Ride Clutch

    Seperti yang dijangka, selepas model naked F 450 R, BMW kini kini memperkenalkan pula versi fairing penuh bagi siri 450 itu, melalui F 450 RR. Memberi fokus kepada pengendalian lincah, prestasi enjin dan berat yang rendah, model ini menggunakan enjin dua silinder selari berkapasiti 420 cc, dengan kuasa maksimum 48 hp, menjadikannya sesuai untuk kelas motosikal A2.

    Dari segi reka bentuk, F 450 RR menampilkan rekaan yang mengambil inspirasi daripada BMW S 1000 RR, namun dengan bahagian tengah muka yang menempatkan lampu LED utama dalam susunan menegak. Bahagian hadapan yang rendah, ekor yang tinggi dan winglet memberikan penampilan sporty, manakala panel badan dengan reka bentuk tidak simetri menyerlahkan identitinya.

    Meskipun enjin yang digunakan adalah sama dengan yang terdapat pada F 450 GS dan F 450 R, talaan khas dibuat dan ia menghasilkan kuasa 48 hp (35 kW) pada 8,750 rpm dan tork maksimum 43 Nm pada 6,750 rpm. Demi menghasilkan penghantaran kuasa yang lancar dan mengurangkan getaran, ia menggunakan crankshaft dengan offset crankpin 135 darjah serta pengimbang . BMW turut menggunakan bahan ringan pada beberapa komponen enjin, termasuk penutup klac dan transmisi daripada magnesium.

    Menariknya, sehingga 80% daripada tork maksimum tersedia pada 3,000 rpm, membolehkan motosikal ini memberikan tindak balas yang baik pada putaran enjin rendah. Penggunaan bahan api pula dinyatakan pada kadar 3.8 liter bagi setiap 100 km, dengan tangki berkapasiti 14 liter yang membolehkan jarak perjalanan melebihi 350 km. Sistem ekzos stainless steel ditempatkan di bawah enjin, manakala sela servis ditetapkan pada setiap 10,000 km.

    Kuasa enjin disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan rantai. Sistem Shift Assistant Pro disediakan pada semua varian kecuali model asas, membolehkan penukaran gear naik dan turun tanpa perlu menarik tuil klac. Sebagai pilihan tambahan, sistem Easy Ride Clutch (ERC) boleh mengawal operasi klac secara automatik mengikut putaran enjin, sekaligus memudahkan tunggangan dalam trafik perlahan dan ketika melakukan pergerakan pada kelajuan rendah.

    Dari segi casis, F 450 RR menggunakan rangka keluli jenis space frame dengan enjin bertindak sebagai sebahagian daripada struktur yang menanggung beban. Suspensi hadapan menggunakan fork USD KYB berdiameter 43 mm, manakala bahagian belakang menggunakan lengan ayun aluminium bersama monoshock KYB. Tetapan prabeban spring dan lantunan boleh dilaraskan pada suspensi belakang, sementara fork hadapan bagi varian dengan suspensi Sport turut membolehkan pelarasan mampatan dan lantunan.

    BMW F 450 RR 2027 – enjin dua silinder 420 cc, varian tinggi dapat quickshifter, laptimer, Easy Ride Clutch

    Motosikal ini menggunakan rim aluminium dengan tayar bersaiz 110/70 R17 di hadapan dan 150/60 R17 di belakang. Sistem brek hadapan terdiri daripada cakera tunggal 310 mm bersama angkup monoblock Brembo empat piston, manakala brek belakang menggunakan cakera 240 mm dengan angkup ByBre satu piston. Berat keseluruhan motosikal adalah 177 kg, memberikan nisbah kuasa kepada berat yang kompetitif bagi kelasnya.

    Kelengkapan keselamatan standard merangkumi ABS Pro yang membolehkan bantuan brek ABS berfungsi ketika motosikal berada dalam keadaan condong di selekoh. Turut disertakan ialah Dynamic Brake Control (DBC), Dynamic Traction Control (DTC) dan kawalan tork enjin (MSR). Tiga mod tunggangan, iaitu Rain, Road dan Race, turut disediakan untuk menyesuaikan tindak balas motosikal mengikut keadaan jalan dan pilihan penunggang.

    Dari segi ergonomik, F 450 RR menggunakan pemegang jenis clip-on yang dipasang pada triple clamp aluminium forged, menghasilkan kedudukan tunggangan sporty. Tempat duduk dua bahagian berada pada ketinggian 790 mm, manakala pilihan tempat duduk aksesori membolehkan ketinggian ditambah 20 mm atau direndahkan 15 mm. Tuil penukar gear, pedal brek belakang dan tongkat sisi turut diperbuat daripada aluminium forged bagi mengurangkan berat.

    Kelengkapan lain termasuk lampu LED penuh, pemanas hendal dan skrin TFT berwarna bersaiz 6.5 inci. Paparan ini menyediakan maklumat tunggangan serta fungsi sambungan untuk panggilan telefon, muzik dan navigasi. Varian M Sport dengan Riding Modes Pro turut mendapat paparan Sport tambahan yang menunjukkan maklumat seperti tahap campur tangan kawalan cengkaman, daya membrek dan sudut kecondongan, selain fungsi lap timer. Soket USB-C turut disediakan di bahagian kokpit.

    BMW F 450 RR ditawarkan dalam empat varian, iaitu Base, Sport, M Sport dan M Sport dengan Innovation Package. Varian Base hadir dalam warna Cosmic Black, manakala Sport menggunakan warna Racing Red serta dilengkapi Shift Assistant Pro dan suspensi Sport. Kedua-dua varian M Sport menggunakan kemasan Snaefell White dengan elemen warna M Motorsport, selain menerima Riding Modes Pro, Shift Assistant Pro dan suspensi Sport.

    Bagi varian M Sport dengan Innovation Package, ia mendapat tambahan sistem Easy Ride Clutch yang membantu mengendalikan klac secara automatik. Sistem ini juga boleh dipasang kemudian pada varian lain sebagai aksesori rasmi BMW Motorrad. Di Amerika Syarikat, BMW F 450 RR dijual pada harga bermula pada USD7,815 RM31,900 untuk versi Standard, iaitu lebih tinggi daripada F 450 GS yang juga versi Standard USD6,995 RM28,500.

     
  • Cubaan curi kebal jejaskan perkhidmatan MRT Laluan Kajang pagi ini- bekalan kuasa diputuskan sementara

    Cubaan curi kebal jejaskan perkhidmatan MRT Laluan Kajang pagi ini- bekalan kuasa diputuskan sementara

    Rapid KL memaklumkan bahawa satu insiden cubaan mencuri kabel telah dikesan pada jam 5.30 pagi tadi, di antara Stesen Phileo Damansara dan Stesen Pusat Bandar Damansara.

    “Susulan insiden pencerobohan kawasan landasan dan cubaan mencuri kabel, bekalan kuasa di kawasan terlibat telah diputuskan buat sementara waktu mengikut prosedur operasi dan keselamatan yang ditetapkan.

    “Langkah ini diambil bagi membolehkan Pasukan Polis Bantuan menjalankan pemeriksaan dan operasi mengesan suspek dengan selamat, di samping memastikan keselamatan penumpang, petugas serta kawasan landasan dan kelancaran operasi perkhidmatan tren,”kata Rapid KL dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Walau bagaimana pun, tambahnya, bekalan kuasa kemudiannya disambung semula pada jam 6.32 pagi selepas tindakan yang diperlukan dilaksanakan. Sepanjang operasi pemeriksaan dan pencarian dijalankan, perkhidmatan tren alternatif turut disediakan buat sementara waktu bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diteruskan dengan selamat.

    “Rapid KL memandang serius kejadian kecurian kabel yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan tren serta keselamatan penumpang dan petugas. Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Rapid KL akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya lagi.

     
  • Proton X50 Sport Edition 2026 dilancar di M’sia – berasas Flagship, hitam, kit badan, kemasan merah; RM102,299

    Proton X50 Sport Edition 2026 dilancar di M’sia – berasas Flagship, hitam, kit badan, kemasan merah; RM102,299

    Proton X50 Sport Edition 2026 kini telah pun dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Proton mengumumkan model edisi istimewa ini ditawarkan pada harga RM102,299. Kami telah mendedahkan ciri sepenuhnya yang diberikan pada X50 Sport Edition 2026 seperti yang dipertontonkan pada minggu lalu.

    Diasaskan dari varian Flagship, Proton berkata, terdapat 15 ciri eksklusif dengan nilai tambah mencecah RM7,000, yang ditampilkan untuk SUV X50 Sport Edition 2026 ini, yang pastinya bagi menampakkannya sedikit berbeza daripada versi asal. Ciri utamanya sudah tentu warna luaran Quartz Black yang ditampilkan pada varian ini, dengan kit badan dan kemasan merah. Ia juga ditampilkan dengan lencana khas Sport Edition pada bahagian bampar bawah dan juga tailgate, gril dan sudut bampar berbentuk-L dalam warna hitam berkilat dan juga rim aloi hitam 18-inci.

    Di dalamnya, kemasan serba hitam seperti yang diberikan pada varian Pfremium, dengan tambahan jahitan merah, logo Sport Edition pada tempat duduk hadapan, dua lapisan alas kaki TPE dengan yang bahagian atas juga rona hitam dan jahitan merah berserta logo SE, dan lapisan bawah hanya karpet hitam sahaja. Sport Edition scuff plate metal door kemasan perak juga diberikan untuk menampakkan efek yang sporty.

    Bahagian mekanikalnya tidak berubah dan dikekalkan dengan enjin 1.5 liter i-GT turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksimum 290 Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa sekitar 7.6 saat.

    Adakah penampilan Proton X50 Sport Edition 2026 ini menarik perhatian anda? Atau pun anda lebih tertarik dengan varian Flagship yang kini ditawarkan dengan rebat sehingga RM13k untuk bulan Oktober ini, menjadikan harganya sekitar EM100,300, berbanding harga asalnya RM113,300.

     
  • Proton Saga Cross/X30 AMA02 – bayangan digital dari Theophilius Chin berdasarkan prototaip terkini

    Proton Saga Cross/X30 AMA02 – bayangan digital dari Theophilius Chin berdasarkan prototaip terkini

    Minggu ini kita dikejutkan dengan sekumpulan prototaip ujian SUV terbaharu Proton yang kini dikenali dengan kod AMA02, keluar ke khalayak ramai dengan mengenakan penyamaran ringkas, singgah di sebuah pengedar jenama tersebut di Kuantan, Pahang.

    Ada yang cuba ‘merungkai’ rupa sebenar SUV yang dijangka akan diberi nama Saga Cross atau X30 berkenaan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), namun imej yang anda lihat ini adalah hasil tangan secara ‘manual’ yang dibuat oleh pakar manipulasi automotif tempatan iaitu Theophilius Chin, yang membuat lakaran digital model berkenaan berdasarkan unit prototaip terbaharu yang tular tersebut.

    Theo menghasilkan Saga Cross/X30 ini dengan berasaskan saingan sekelas SUV berkenaan apabila ia dilancarkan ke pasaran kelak, iaitu SUV segmen-A Honda WR-V. Semua garis-garis pintu, garis bahu, garis badan pada WR-V tersebut dibuang, kemudian ia digantikan dengan garis-garis baharu berdasarkan imej Proton AMA02 yang dilihat tempoh hari.

    Selepas itu Theo turut mengubah bentuk cermin tingkap, garis bumbung, rel bumbung, tiang-C yang membuatkan bumbungnya kelihatan seperti terapung, ruang roda, muka dan juga bahagian belakang WR-V berkenaan juga mengikut rekaan Saga Cross/X30 tersebut, yang seakan X50 dalam skala lebih kecil.

    Proton Saga Cross/X30 AMA02 – bayangan digital dari Theophilius Chin berdasarkan prototaip terkini

    Menerusi beberapa perincian yang telah Proton dedahkan sebelum ini, AMA02 turut akan digerakkan oleh enjin i-GT 1.5 liter empat silinder NA yang sama seperti Saga MC3, menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Untuk AMA02, enjin berkenaan hanya akan digandingkan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan 4AT dari Aisin, tanpa pilihan transmisi CVT dari Punch.

    Juga dijangka varian tertinggi SUV ini akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid Proton HEV yang telah didedahkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 dan juga Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2026.

    Unit rangkaian kuasa Proton HEV tersebut menggandingkan enjin 1.5 liter empat silinder NA kitaran Atkinson menghasilkan kuasa 111 PS dan tork maksima 136 Nm dan juga transmisi khusus hibrid (DHT) kelajuan tunggal 11-dalam-1 yang dilengkapi dua buah motor elektrik di dalamnya.

    Motor pertama yang lebih kecil dikenali sebagai motor P1, di mana motor ini berfungsi sebagai stater-generator iaitu untuk menghidupkan enjin petrol dengan lancar tanpa terasa sebarang getaran, dan juga untuk menjana semula tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri hibrid ketika kereta membrek atau nyahpecut.

    Manakala untuk motor utama dalam unit DHT unit rangkaian kuasa HEV berkenaan dikenali sebagai motor P3. Motor ini boleh memacu terus roda hadapan, dan dengan klac dan set gear yang disediakan, ia turut boleh bersambung dengan enjin petrol untuk memacu roda bersama.

    Proton belum memperincikan spesifikasi motor P3 yang dibekalkan. Namun sebelum ini Proton ada mengesahkan bahawa unit rangkaian kuasa HEV ini menerima DHT dalam varian DHT120, di mana angka ‘120’ berkenaan merujuk kepada kuasa yang dihasilkan iaitu 120 kW, atau 163 PS. Secara ringkas, unit rangkaian kuasa ini berfungsi seperti unit rangkaian kuasa eMas 7 PHEV, namun dibekalkan dengan bateri yang jauh lebih kecil dan tidak mempunyai port pengecas seperti EV.

    Selain Honda WR-V, Proton AMA02/Saga Cross/X30 ini sudah tentu disasarkan untuk memberikan saingan terus kepada Perodua Ativa, jadi boleh dijangka Proton akan meletakkan harga yang kompetitif berbanding lawannya itu. Salah satu vendor Proton sebelum ini ada menyebut bahawa SUV berkenaan akan mula diproduksi pada suku keempat tahun ini. Jadi dengan kemunculan unit prototaip yang seakan sengaja mendedahkan rupanya ini merupakan satu lagi petanda bahawa ia akan dilancarkan tidak lama lagi.

     
  • Mitsubishi Xforce Roving Cloud bawakan ‘cuaca hujan’ ke seluruh Lembah Klang, juga bakal berada di ACE 2026

    Ini adalah salah satu konsep siri jelajah yang boleh dikatakan ‘comel teramat’ yang pernah kami lihat. ‘Awan bergerak’ berserta ‘hujan’ yang dibawa oleh Mitsubishi Xforce berjaya menarik perhatian ramai. Apatah lagi sekarang ini dalam keadaan jerebu yang sedang melanda negara kita, pastinya ‘cuaca hujan’ sangat kita dambakan. Datanglah pula ‘hujan’ ala Xforce sebegini…

    Mitsubishi Xforce Roving Cloud digambarkan sebagai pengalaman interaktif yang diinspirasikan oleh keyakinan yang diberikan oleh Xforce ketika dipandu di jalan basah. SUV segmen-B keluaran Mitsubishi ini dilengkapi ciri unik Wet Mode, yang berfungsi bersama Active Yaw Control bagi “memberikan keyakinan lebih tinggi ketika memandu dalam keadaan jalan basah”.

    Berlangsung dari 16 hingga 29 Oktober, Xforce Roving Cloud akan mengunjungi beberapa lokasi tumpuan terpilih di Lembah Klang pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pandu uji turut disediakan di lokasi terpilih, termasuk menerusi acara paultan.org ACE 2026 yang akan berlangsung di Setia City Convention Centre dari 31 Oktober hingga 1 November.

    Mitsubishi Xforce Roving Cloud bawakan ‘cuaca hujan’ ke seluruh Lembah Klang, juga bakal berada di ACE 2026

    Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan peraduan Xforce Roving Cloud: Snap & Win, yang mengajak rakyat Malaysia mencari awan pada sebuah kereta, mengambil gambar dan berkongsi momen tersebut di media sosial. Perkongsian boleh dibuat menerusi Instagram Stories atau Facebook Stories dengan menggunakan tanda pagar #XforceRovingCloud. Peserta juga perlu mengikuti akaun rasmi Instagram atau Facebook MMM.

    Peraduan ini akan berlangsung dengan dua pusingan, iaitu dari 16 Oktober hingga 1 November, dan dari 13 hingga 30 November. Seramai 20 pemenang akan menerima hadiah bernilai sehingga RM10,000, termasuk kotak penyimpanan untuk perkhemahan, kotak penyejuk, troli perkhemahan, kerusi utiliti Poler, tilam angin perkhemahan serta tambah nilai Touch ‘n Go bernilai RM50. Pemenang bagi setiap pusingan akan diumumkan pada 6 November dan 3 Disember.

    Bagi mereka yang berkunjung ke ACE 2026, jangan lepaskan peluang untuk melihat pakej terbaharu ‘777’ bagi Xforce. Pakej ini merangkumi waranti tujuh tahun tanpa had perbatuan, servis buruh percuma selama tujuh tahun bagi penyelenggaraan berjadual, serta alat ganti percuma selama tujuh tahun.

     
  • ACE 2026: Beli Dongfeng Vigo dan nikmati diskaun segera RM8,888 – baucar RM3k, hadiah bernilai RM57k

    ACE 2026: Dongfeng Vigo dengan diskaun segera RM8,888, 31 Oktober-1 November 2026

    paultan.org Auto Car Expo (ACE), dikuasakan oleh Petronas Primax, kembali lagi tahun ini! Seperti edisi-edisi sebelumnya, pameran yang bakal berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November di Setia City Convention Centre (SCCC) ini menjanjikan pelbagai tawaran menarik untuk pelbagai jenis kenderaan.

    Salah satu model yang akan berada di pameran ini ialah Dongfeng Vigo, dan pembeli boleh menikmati diskaun segera RM8,888 untuk SUV elektrik sepenuhnya ini.

    Vigo digerakkan oleh motor elektrik yang dipasang di hadapan, menjana 163 PS (120 kW) dan 230 Nm tork. Bateri LFP 51.87 kWh pula memberikan jarak perjalanan sehingga 380 km mengikut kitaran WLTP, dan dengan kadar pengecasan DC maksimum 167 kW, baterinya boleh dicas dengan cukup pantas.

    Kelengkapannya termasuk skrin sesentuh 12.8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk hadapan dengan pelarasan kuasa enam hala, penyaman udara automatik dengan penapisan PM2.5, pengecas peranti tanpa wayar serta lampu ambien boleh ubah yang boleh diselaraskan dengan muzik.

    Aspek keselamatan juga tidak dilupakan, dengan enam beg udara dan pakej sistem bantuan pemandu Tahap 2.

    Ciri utamanya ialah pintu but dua bahagian. Bahagian bawahnya boleh dibuka menjadi bangku yang mampu menampung sehingga 150 kg, jadi ia boleh dijadikan tempat duduk ketika anda berkhemah, berkelah atau menukar kasut mendaki. Di belakangnya pula terdapat ruang but 500 liter.

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    ACE 2026 turut akan menghimpunkan Audi, BMW, BMW Motorrad, Chery, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Perodua, Proton, Proton eMas, smart, Volkswagen dan Zeekr, antara lain. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, manakala TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Selain promosi tersendiri daripada setiap jenama, paultan.org turut menyediakan baucar bernilai RM3,000 untuk 200 tempahan terawal yang disahkan di pameran ini. Setiap tempahan yang disahkan juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah dengan nilai keseluruhan RM57,000.

    Hadiahnya termasuk hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kemasan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu. Beg cenderahati turut disediakan, ihsan daripada V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Jadi, jika anda merancang untuk mendapatkan tawaran hebat bagi kereta baharu, ACE 2026 di SCCC pada 31 Oktober hingga 1 November ini adalah tempatnya. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026. Jumpa anda di sana!

     
  • MOT terima 9 unit model BYD dan Denza sebagai kenderaan rasmi Transport Expo Asia (TXA) 2026

    MOT terima 9 unit model BYD dan Denza sebagai kenderaan rasmi Transport Expo Asia (TXA) 2026

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah menerima sembilan kenderaan elektrik (EV) dari model BYD dan Denza sebagai kenderaan rasmi Transport Expo Asia (TXA) 2026.

    Majlis penyerahan tersebut dilaksanakan oleh Sime Darby Motors yang diangkat sebagai rakan kenderaan rasmi acara berkenaan dan diserahkan kepada Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan. Antara model kenderaan yang terpilih ialah BYD Sealion 7 dan Atto 3.

    Menurut MOT, kenderaan terbabit adalah bagi menyokong pergerakan delegasi antarabangsa, sekali gus mencerminkan komitmen kementerian terhadap mobiliti hijau, keselamatan jalan raya dan pengangkutan lestari.

    TXA 2026 akan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober 2026 di MITEC, Kuala Lumpur, bertemakan “Future on the Move: Accelerating Next-Gen Transport”.

     
  • ACE 2026: Proton eMas 7 dengan sokongan trade-in hingga RM10k, rebat RM7k; eMas 5 rebat hingga RM3k

    ACE 2026: Proton eMas 7 dengan sokongan trade-in sehingga RM10,000 dan rebat RM7,000, 31 Oktober-1 November 2026

    paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax, bakal berlangsung dalam masa dua minggu sahaja lagi! Dianjurkan dari 31 Oktober hingga 1 November bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC), acara ini akan menjadi tumpuan utama pengedar dan pembeli kenderaan kerana bakal menghidangkan pelbagai tawaran menarik yang tidak boleh dilepaskan. Jangan lupa datang, dan bawa keluarga dan rakan-rakan juga!

    Singgah juga ke ruang pameran Proton eMas di sana nanti. Jenama kenderaan tenaga baru (NEV) nasional ini akan diwakili oleh EON, dan bakal membawakan pelbagai tawaran menarik untuk semua pembelinya.

    Apa kata anda pandu uji eMas 7 versi pemasangan tempatan (CKD) di ACE 2026? EV pertama Proton ini ditawarkan dengan sokongan trade-in sehingga RM10,000, rebat tambahan RM7,000, rebat RM4,000 untuk pembeli korporat, wallbox 7 kW percuma bernilai RM1,500 dan adapter vehicle-to-load (V2L) percuma bernilai RM500.

    Bagi eMas 5 CKD pula, yang merupakam EV terlaris di Malaysia ketika ini, ia ditawarkan dengan rebat tambahan sehingga RM3,000, rebat korporat RM2,000 untuk varian Prime dan RM3,000 untuk Premium, serta wallbox dan adapter V2L yang sama seperti di atas. Kedua-dua EV ini disertakan dengan waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri voltan tinggi serta komponen lapan tahun/160,000 km.

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    ACE 2026 turut akan menghimpunkan Audi, BMW, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Perodua, Proton, smart, Volkswagen dan Zeekr, antara lain. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, manakala TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Selain promosi tersendiri daripada setiap jenama, paultan.org turut menyediakan baucar bernilai RM3,000 untuk 200 tempahan terawal yang disahkan di pameran ini. Setiap tempahan yang disahkan juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah dengan nilai keseluruhan RM57,000, termasuk hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kemasan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu.

    Beg cenderahati turut disediakan, ihsan daripada V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Jadi, jumpa anda di ACE 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax — dari 31 Oktober hingga 1 November, di Setia City Convention Centre (SCCC). Masukan adalah percuma. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026.

     
  • MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

    MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

    SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan bahawa ia akan melancarkan MG ZS generasi kedua dalam versi pemasangan tempatan (CKD) pada akhir Oktober ini. Model berkenaan sebelum ini telahpun dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung pada Jun lalu.

    SUV ini diumumkan akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 Turbo dan Hybrid+, di mana syarikat berkenaan terlebih dahulu membuka tempahan bagi varian hibrid. Manakala hari ini SAIC Motor Malaysia mengumumkan anggaran harga jualan bagi SUV ini akan bermula RM105,000 bagi varian Turbo dan RM115,000 bagi varian Hybrid+ (harga Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans)

    Syarikat itu juga mengumumkan promosi sempena pelancaran MG ZS CKD ini, di mana 1,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan bakal menikmati ganjaran eksklusif bernilai RM3,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Model ini ditawarkan dengan empat pilihan warna badan termasuk Flare Red, Silver, Andes Grey dan York White, manakala untuk kabin hanya disediakan dalam warna hitam.

    MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

    “Melihat sambutan hangat ketika pertunjukan di KLIMS 2026, kami amat teruja untuk melancarkan MG ZS serba baharu ini secara rasmi di Malaysia. Dibangunkan mengikut selera dan keperluan pengguna tempatan, MG ZS Hybrid+ menampilkan rangkaian kuasa hibrid khusus serta Transmisi Hibrid 3-Kelajuan yang bergandingan untuk mengekalkan prestasi pada tahap optimum, mengurangkan pembaziran tenaga, di samping menyampaikan pemanduan yang amat mulus dan responsif. Gabungan teknologi ini menawarkan pakej menarik yang menyatukan prestasi, kecekapan serta nilai keseluruhan yang luar biasa,“ kata Emory Qi, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia.

    MG ZS generasi terbaharu dalam versi CKD ini akan dipasang di Melaka, dan ia menampilkan saiz yang lebih besar berbanding model terdahulu dengan panjang keseluruhan 4,430 mm, lebar 1,818 mm serta jarak roda sejauh 2,610 mm. Jarak kelegaan tanah SUV ini pula adalah 161 mm. Manakala ruang but belakang menawarkan ruang seluas 443 liter, dan ia boleh dibesarkan kepada 1,457 liter sekiranya tempat duduk belakang (60:40) dilipat sepenuhnya.

    Bagi varian Hybrid+, ia menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin petrol 1.5 liter NA berkuasa 102 PS dan 128 Nm tork bersama motor elektrik berkuasa 136 PS dan 250 Nm. Sistem ini dipadankan dengan transmisi khusus hibrid (DHT) tiga kelajuan serta bateri berkapasiti 1.83 kWh.

    MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

    Gabungan keseluruhan sistem menghasilkan kuasa penuh 196 PS dan tork maksima 465 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat. MG turut mendakwa penggunaan bahan api berada pada kadar 5.1 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran ujian WLTP.

    Manakala bagi varian 1.5 Turbo pula, ia dibekalkan dengan enjin petrol 1.5 liter turbo yang menghasilkan 170 PS dan tork maksima 275 Nm, di mana kuasa tersebut ke disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi CVT. Kedua-dua varian ini menerima suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, bersama rim aloi 18-inci dengan tayar 215/50R18, serta brek cakera untuk ke empat-empat roda.

    Perincian-perincian lain yang dikongsi oleh kedua-dua varian ini termasuk lampu-lampu luaran semuanya dengan teknologi LED, kawalan lampu hadapan pintar, rel bumbung kemasan perak, bumbung suria panaromik elektronik, upholsteri leatherette, kemasan-kemasan PVC, tempat duduk pemandu kawalan kuasa, pemanas tempat duduk hadapan, paparan instrumen 12.3-inci, pendingin hawa automatik dengan liang udara kabin belakang, serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    MG ZS akan dilancarkan di Malaysia akhir Oktober ini – CKD, 1.5 Turbo dan Hybrid, anggaran RM105k-RM115k

    Kedua-duannya juga menerima tiga mod pemanduan (Eco, Sport Normal), skrin 12.3-inci untuk sistem infotainmen, sokongan Android Auto dan Apple Carplay dan enam pembesar suara. Pembeli SUV ini juga akan menerima akses kepada sistem telematik MG iSmart, manakala bagi varian Hybrid+, ia ditambah dengan tiga mod janaan semula kuasa serta amaran pejalan kaki berbunyi.

    Untuk keselamatan pula, MG ZS ini datang standard dengan enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang merangkumi fungsi seperti cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, brek kecemasan automatik, bantuan tukar lorong, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, bantuan cruise pintar, pemantau pemandu, pemantau tiitk buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu serta kamera 360 darjah.

    GALERI: MG ZS Hybrid+ di KLIMS 2026

     
  • ACE 2026: Zeekr 009 dengan wallbox percuma, sokongan insurans sehingga RM6k dan servis percuma 5-tahun

    ACE 2026: Zeekr 009 dengan wallbox percuma dan sokongan insurans sehingga RM6,000, 31 Oktober-1 November 2026

    paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax, akan menjadi acara wajib bagi bakal pembeli kereta. Berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November ini, pelbagai tawaran hebat menanti pengunjung di Setia City Convention Centre (SCCC), jadi tandakan kalendar anda!

    Sedang mencari MPV elektrik mewah? Zeekr 009 wajar berada dalam senarai pilihan anda. Ia ditawarkan dalam tiga varian, iaitu Executive (satu motor, tujuh-tempat duduk) dengan harga RM304,800, Luxury (dua motor, tujuh-tempat duduk) dengan harga RM349,800 dan Ultra Luxury (dua motor, enam-tempat duduk) dengan harga RM359,800.

    Tidak kira varian mana yang anda pilih, anda akan mendapatkan ciri suspensi udara dwi-kebuk, ADAS penuh dan tujuh-beg udara, serta kabin mewah dengan tempat duduk baris hadapan dan tengah berkuasa elektrik yang dilengkapi fungsi urutan dan pengudaraan, serta balutan Nappa/Ultrasuede.

    Tempah Zeekr 009 di ACE 2026 dan anda akan menerima wallbox percuma, sokongan insurans sehingga RM6,000, servis penyelenggaraan percuma lima tahun/100,000 km serta waranti lanjutan lapan tahun/160,000 km.

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    ACE 2026 turut menghimpunkan Audi, BMW, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Perodua, Proton, Proton eMas, smart dan Volkswagen, antara lain. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, manakala TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Selain promosi tersendiri daripada setiap jenama, paultan.org turut menyediakan baucar bernilai RM3,000 untuk 200 tempahan terawal yang disahkan di pameran ini. Setiap tempahan yang disahkan juga layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan RM57,000, termasuk hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu.

    Beg cenderahati turut disediakan, ihsan daripada V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Jadi, jumpa anda di ACE 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax dari 31 Oktober hingga 1 November, Setia City Convention Centre (SCCC). Masuk adalah percuma. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026.

     
  • JPJ N9 keluarkan 2,710 saman Op PEWA antara 1 Jan-11 Okt, 4 kereta mewah dipandu warga asing turut disita

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Negeri Sembilan telah mengeluarkan sebanyak 2,710 saman terhadap warga asing menerusi Op Pemandu Warga Asing (PEWA) di negeri tersebut yang menunggang motosikal atau memandu kenderaan tanpa lesen sah bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober lalu. Ini termasuklah warga asing yang memandu kenderaan mewah.

    Menurut Pengarah JPJ negeri, Jasyindar Singh Sidhu, dalam tempoh tersebut, sebanyak 3,741 kenderaan diperiksa sebelum 498 daripadanya diambil tindakan. Berbanding sepanjang tahun lalu, katanya, sebanyak 4,811 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 746 diambil tindakan dengan 3,588 notis dikeluarkan.

    “Pada tahun 2025, warga Pakistan mencatatkan pemandu warga asing paling ramai yang diambil tindakan membabitkan 244 kenderaan dengan 1,091 notis dikeluarkan. Berbanding tahun ini, sebanyak 197 daripada 1,683 kenderaan yang diperiksa diambil tindakan dengan 888 notis dikeluarkan membabitkan warga Pakistan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Tambahnya, kawasan Sikamat di Seremban dan Nilai menjadi lokasi panas warga asing yang dikesan kerap melanggar peraturan jalan raya.

    “Kebanyakan daripada mereka ini adalah warga Pakistan, Indonesia dan Bangladesh yang melakukan pelbagai kerja menggunakan kenderaan yang disita seperti motosikal roda tiga. Berdasarkan statistik pada 2025, sejumlah 374 kes membabitkan motosikal, 205 kes kereta, 121 kes kenderaan perkhidmatan awam dan 46 kes kenderaan perdagangan barangan. Bagi tempoh Januari hingga 11 Oktober tahun ini, jumlah yang direkodkan ialah 313 kes kategori motosikal, 149 kereta dan 36 kenderaan perdagangan barangan.

    “Pihak kami juga mengesan kenderaan mewah yang dipandu warga asing yang melanggar peraturan jalan raya dan disita, membabitkan sebuah Toyota Velfire dipandu warga Bangladesh, dua Mercedes-Benz A250 masing-masing dipandu warga Pakistan dan China serta sebuah BMW Limousine dipandu etnik Rohingya,” katanya.

    Beliau berkata, kebanyakan warga asing menggunakan kenderaan yang dipinjam daripada rakan atau menyewanya daripada warga tempatan.

    “Semua pemilik dan pengguna kenderaan diingatkan supaya memastikan setiap kenderaan yang digunakan di jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Bukan sahaja warga asing, pihak kami juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan sama ada majikan atau individu persendirian yang dikesan melanggar peraturan,” tegasnya.

     
  • Kawasaki Versys 900 diperkenal – enjin empat silinder 948 cc, Adaptive Cruise Control, QS datang standard

    Kawasaki Versys 900 diperkenal – enjin empat silinder 948 cc, Adaptive Cruise Control, QS datang standard

    Susulan daripada teaser sebelum ini, Kawasaki akhirnya memperkenalkan Versys 900 baru, yang akan mengisi ruang antara Versys 650 dan Versys 1100 dalam barisan model adventure tourer mereka. Model terbaru dalam keluarga Versys ini menggunakan enjin empat silinder sebaris 948 cc yang diambil daripada Z900, dan didakwa sebagai model Versys paling berorientasikan prestasi setakat ini.

    Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 122 PS pada 9,500 rpm dan tork 97.3 Nm pada 8,000 rpm. Kawasaki menyatakan enjin ini menawarkan tindak balas pendikit yang lancar dan mudah dikawal pada putaran rendah serta pertengahan, selain mampu menghasilkan kuasa secara berterusan apabila putaran enjin meningkat. Gabungan ini membolehkan Versys 900 digunakan untuk perjalanan harian, tunggangan di jalan berliku dan pengembaraan jarak jauh.

    Bagi menyokong prestasi tersebut, Kawasaki membangunkan rangka trellis baru dengan keseimbangan yang dioptimumkan untuk memberikan maklum balas lebih baik pada bahagian hadapan. Rangka belakang pula direka untuk menampung pembonceng serta bagasi tambahan seperti kotak sisi dan kotak belakang. Agihan berat hampir 50:50 antara roda hadapan dan belakang turut membantu menghasilkan pengendalian yang lebih ringan dan tangkas.

    Versys 900 menggunakan suspensi dengan jarak gerak panjang, ciri yang sinonim dengan keluarga Versys, bersama rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar Metzeler ROADTEC 01. Gabungan ini bertujuan memberikan keseimbangan antara pengendalian sporty dan keselesaan ketika menempuh pelbagai keadaan jalan.

    Dari segi ergonomik, motosikal ini mempunyai posisi tunggangan tegak untuk meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh. Cermin penghadang angin boleh dilaraskan kepada tujuh kedudukan, manakala ketinggian tempat duduk boleh diubah antara 825 mm hingga 845 mm. Bentuk tangki bahan api turut direka bagi memudahkan penunggang mencecah permukaan jalan dengan kaki serta memberikan cengkaman lutut yang lebih baik ketika menunggang.

    Antara kelengkapan utama Versys 900 ialah sistem bantuan penunggang termaju ARAS, yang diperkenalkan buat pertama kali pada model Versys. Sistem ini merangkumi Adaptive Cruise Control Lite (ACC Lite), Forward Collision Warning (FCW) serta Blind Spot Detection (BSD). Turut disertakan ialah Emergency Stop Signal (ESS).

    Kawasaki Versys 900 diperkenal – enjin empat silinder 948 cc, Adaptive Cruise Control, QS datang standard

    Bagi membantu penunggang mengawal motosikal dalam pelbagai keadaan, Versys 900 turut dilengkapi Kawasaki Cornering Management Function (KCMF), Kawasaki Traction Control (KTRC), sistem brek ABS yang dipertingkatkan serta pilihan mod kuasa dan mod tunggangan bersepadu. Sistem penukar gear Kawasaki Quick Shifter (KQS) juga disediakan secara standard.

    Panel meter TFT berwarna bersaiz lima inci menjadi pusat paparan maklumat motosikal, termasuk sokongan navigasi Turn-by-Turn. Penunggang boleh memilih antara dua susun atur paparan mengikut keutamaan, sama ada mengutamakan maklumat berkaitan enjin dan tunggangan atau memberikan penekanan lebih besar kepada navigasi serta maklumat kenderaan. Sambungan telefon pintar melalui aplikasi RIDEOLOGY turut disediakan untuk mengakses pelbagai fungsi.

    Untuk keperluan membawa bagasi, Kawasaki menawarkan kotak belakang berkapasiti 47 liter serta sepasang kotak sisi berkapasiti 32 liter setiap satu sebagai pilihan tambahan. Sistem bagasi ini direka supaya kelihatan serasi dengan badan motosikal dan mengekalkan penampilan sporty walaupun dilengkapi sepenuhnya untuk perjalanan jauh.

    Kawasaki Versys 900 diperkenal – enjin empat silinder 948 cc, Adaptive Cruise Control, QS datang standard

    Selain versi standard, Versys 900 turut ditawarkan dalam varian SE yang dilengkapi aksesori tulen Kawasaki, termasuk lampu kabus LED, pelindung tangan, pemanas pemegang, pelindung radiator, pelindung rangka, penutup bawah enjin dan tongkat tengah. Pakej aksesori Tourer dan Grand Tourer juga akan ditawarkan melalui pengedar Kawasaki untuk memenuhi keperluan penunggang yang mahukan kelengkapan tambahan bagi perjalanan jarak jauh.

    Bagi pasaran United Kingdom, Kawasaki Versys 900 akan mula ditawarkan pada April tahun depan dengan harga £10,899 (RM58,941), dalam pilihan warna Metallic Spark Black dan Pearl Robotic White. Versys 900 SE pula berharga £11,799 (RM63,800) dan ditawarkan dalam warna Plasma Lime Green/Metallic Spark Black serta Firecracker Red/Metallic Carbon Gray. Harga dan ketersediaan untuk pasaran lain masih bergantung pada pengumuman pengedar tempatan.

     
  • Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza – Stesen Bukit Jalil dilanjut operasi hingga 1 pagi pada 17 Okt

    Klik untuk besarkan

    Pasti ada di antara anda yang merancang untuk pergi menonton konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 8.30 malam Sabtu ini, 17 Oktober.

    Kalau anda malas hendak memandu ke sana atau pun bimbang tersekat dalam kesesakan lalu lintas, jangan risau kerana Rapid KL telah memaklumkan bahawa operasi Stesen Bukit Jalil yang melibatkan perkhidmatan tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan MRT Laluan Putrajaya, akan dilanjutkan pada Sabtu ini hingga jam 1 pagi (18 Okt).

    Sila rujuk poster Rapid KL di atas untuk mengetahui lokasi yang menyediakan kemudahan Park N Ride di sepanjang stesen-stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan MRT Laluan Putrajaya terbabit.

    Bagi melancarkan perjalanan, anda juga disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau kaedah pembayaran tanpa tunai. Pengguna token pula digalakkan membuat pembelian awal bagi perjalanan pergi dan balik.

     
  • BYD Malaysia lantik Sime Motors sebagai rakan pemasangan tempatan, pasang model CKD di Kulim

    BYD Malaysia lantik Sime Motors sebagai rakan pemasangan tempatan, pasang model CKD di Kulim

    Segala teka-teki berkenaan operasi pemasangan tempatan (CKD) kenderaan jenama BYD di Malaysia akhirnya terjawab – hari ini BYD Malaysia secara rasmi telah mengumumkan bahawa ia telah melantik Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom), anak syarikat Sime Motors yang berpangkalan di Kulim, Kedah, sebagai rakan pemasangan tempatannya di sini.

    “BYD Malaysia memilih Inokom selepas menilai pasaran tempatan serta keupayaan pengeluaran yang tersedia. Pengalaman Inokom dalam pemasangan kenderaan, tenaga kerja mahir dan prasarana sedia ada menyediakan asas yang kukuh untuk BYD Malaysia meneruskan perancangan pemasangan tempatan dengan memanfaatkan keupayaan industri automotif yang telah dibangunkan di Malaysia,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Pengumuman ini dibuat susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, yang menetapkan asas kerjasama antara kedua-dua pihak. MoU tersebut ditandatangani oleh Liu Xueliang, Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia Pasifik dan Dato’ Jeffri Salim Davidson,CEO Kumpulan Sime. Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh wakil kedua-dua pihak, termasuk Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia, dan Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors.

    “Pemasangan tempatan merupakan sebahagian penting daripada komitmen jangka panjang BYD terhadap Malaysia. Kerjasama dengan Sime untuk menjalankan pemasangan di Inokom membolehkan kami memanfaatkan keupayaan pembuatan automotif sedia ada dalam meneruskan perancangan pemasangan tempatan. Kami berhasrat untuk membawa kepakaran BYD dalam kenderaan tenaga baharu dan teknologi bateri lebih dekat kepada pengguna Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan berterusan industri automotif tempatan,” kata Jacob Ma.

    BYD Malaysia lantik Sime Motors sebagai rakan pemasangan tempatan, pasang model CKD di Kulim

    “Kerjasama ini merupakan satu lagi langkah dalam perkembangan BYD di Malaysia bersama BYD Sime Motors. Kami akan terus memperkukuh kehadiran tempatan dan meneroka peluang untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia melalui kerjasama dengan rakan industri tempatan,” tambah Ma.

    “Keputusan BYD untuk bekerjasama dengan Sime mencerminkan kekuatan industri pembuatan automotif Malaysia serta kepakaran yang telah kami bangunkan selama ini. Pengalaman kami dalam pemasangan kenderaan, disokong oleh tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan yang mantap, menyediakan asas yang kukuh bagi kerjasama ini,” kata CEO Kumpulan Sime, Dato’ Jeffri Salim Davidson pula.

    “Selain pemasangan kenderaan, kerjasama seperti ini membuka peluang untuk memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, menyokong perniagaan tempatan dan membangunkan kepakaran yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang industri ini. Kami berharap dapat bekerjasama dengan BYD Malaysia untuk memanfaatkan kekuatan sedia ada dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada sektor automotif Malaysia,” tambahnya.

    Pada Ogos 2025, BYD telah mengesahkan rancangannya untuk membina kilang CKD miliknya sendiri di Tanjong Malim, Perak, namun tiada sebarang perkembangan lanjut berkenaan perkara tersebut selepas itu.

    BYD Malaysia lantik Sime Motors sebagai rakan pemasangan tempatan, pasang model CKD di Kulim

    Khabar tentang kemungkinan BYD bakal memasang kenderaannya di Malaysia menerusi kerjasama dengan Sime Motors sebagai pemasang kontrak di sini mula bertiup susulan lawatan ke kilang Inokom milik Sime Motors di Kulim, Kedah yang dibuat oleh Liu pada Mei lalu.

    Kemungkinan tersebut semakin tinggi apabila pasukan kepimpinan Sime Motors dilaporkan telahpun melawat Ibu Pejabat BYD di Shenzen, China untuk untuk perbincangan mengenai “keutamaan strategik dan bidang kepentingan bersama” awal bulan lalu.

    Dengan termeterai MoU ini, kerjasama antara BYD dan Sime Motors tersebut nampaknya selari dengan polisi terbaharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang mahukan pengeluar-pengeluar EV untuk menjalankan lebih kerjasama dengan syarikat tempatan di Malaysia. Dalam pengumuman yang dibuat hari ini kedua-dua pihak masih belum memperincikan model mana yang akan dipasang terlebih dahulu menerusi kilang Inokom tersebut. Buat masa sekarang BYD mempunyai tujuh model yang dijual di pasaran Malaysia, manakala divisi mewahnya iaitu Denza sudahpun melancarkan satu model iaitu MPV Denza D9.

     
  • Pemandu BYD Seal terlibat dengan kemalangan maut di Jln Kuching berhadapan 3 pertuduhan di mahkamah

    Pemandu BYD Seal terlibat dengan kemalangan maut di Jln Kuching berhadapan 3 pertuduhan di mahkamah

    Pemandu BYD Seal yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada Sabtu lalu (10 Oktober 2026), akan didakwa di mahkamah majistret hari ini.

    Ini susulan penahanan suspek berusia 24 tahun itu sejurus selepas dia dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di Damansara. Suspek kemudian dibawa ke lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam (14 Oktober).

    NST melaporkan, suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya. Dia turut berdepan dua lagi pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 42(1) atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya, serta Seksyen 52(1) kerana gagal berhenti selepas kemalangan.

    Pemandu BYD Seal terlibat dengan kemalangan maut di Jln Kuching berhadapan 3 pertuduhan di mahkamah

    Kemaskini (11.50am): Mahkamah telah menetapkan jaminan sebanyak RM22,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 41(1), RM12,000 bagi Seksyen 42(1) dan RM2,000 bagi Seksyen 52(1), masing-masing dengan seorang penjamin warganegara Malaysia. Jumlah keseluruhan jaminan yang ditetapkan adalah sebanyak RM36,000. Mahkamah turut memerintahkan supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kejadian berlaku pada pukul 3.44 petang ketika trafik bergerak perlahan di Jalan Kuching. BYD Seal yang dipandu suspek merempuh bahagian belakang sebuah Perodua Bezza. Akibat impak itu, kanak-kanak perempuan berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

    Kemalangan itu turut membabitkan sebuah motosikal yang berada di hadapan Bezza tersebut. Bezza berkenaan dipercayai berpusing sebelum memasuki lorong kanan dan merempuh tiga lagi kenderaan, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi. Bapa mangsa yang berusia 30 tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala penunggang motosikal berusia 33 tahun mengalami kecederaan di kepala. Pemandu ketiga-tiga kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

     
  • Volkswagen ID. Tiguan diperkenal – ID. 4 yang diberi perubahan besar, kuasa sehingga 299 PS, WLTP 600 km

    Volkswagen ID. Tiguan diperkenal – ID. 4 yang diberi perubahan besar, kuasa sehingga 299 PS, WLTP 600 km

    Volkswagen ID.4 bakal digantikan oleh model baru dikenali sebagai ID. Tiguan selepas lima tahun berada di pasaran. SUV elektrik ini hadir dengan reka bentuk, ruang kabin dan teknologi yang diperbaharui bagi memulihkan reputasi Volkswagen, selain berdepan persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik China.

    Menggantikan ID.4 serta versi coupe, ID.5 bukanlah tugas mudah. Kedua-dua model itu mencatatkan jualan gabungan lebih 950,000 unit sejak 2021, namun pengalaman pengguna yang kurang memuaskan, khususnya dari segi kualiti dan kemudahan penggunaan, sedikit sebanyak menjejaskan imej Volkswagen. Justeru, syarikat itu mengambil maklum balas pelanggan untuk memperbaiki kelemahan berkenaan.

    Penggunaan nama Tiguan yang sudah sinonim dengan kejayaan Volkswagen dilihat sebagai langkah tepat untuk memulakan perubahan ini. Walaupun menggunakan nama baru, ID. Tiguan sebenarnya merupakan versi naik taraf besar kepada ID.4, sama seperti pendekatan yang digunakan pada ID.3 Neo. Jarak roda masih dikekalkan pada 2,765 mm, tetapi perubahan pada reka bentuk luar menjadikan model ini kelihatan jauh berbeza berbanding model sebelumnya.

    Volkswagen ID. Tiguan diperkenal – ID. 4 yang diberi perubahan besar, kuasa sehingga 299 PS, WLTP 600 km

    Dari segi dimensi, ID. Tiguan berukuran 4,618 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,619 mm tinggi. Ini menjadikannya 34 mm lebih panjang dan tiga milimeter lebih lebar berbanding ID.4, manakala ketinggiannya pula berkurangan 15 mm berbanding versi biasa sebelum ini.

    Reka bentuknya menggunakan bahasa rekaan Pure Positive terbaru Volkswagen, seperti yang turut dilihat pada ID.3 Neo, ID. Polo dan ID. Cross. Bahagian hadapan menampilkan panel seakan visor dengan jalur lampu LED merentasi keseluruhan lebar, selain lencana Volkswagen bercahaya yang ditawarkan sebagai pilihan. Di bawahnya terdapat saluran udara bersudut di kiri dan kanan, bukaan udara tengah yang nipis serta pengatup gril aktif.

    Penambahbaikan aerodinamik turut dilakukan menerusi cermin sisi yang lebih kemas, pengarah aliran udara pada roda, bahagian bawah badan yang rata dan spoiler belakang yang panjang. Hasilnya, daya rintangan angin dikurangkan sedikit kepada 0.26. Pada bahagian sisi, pintu baru dan tiang D berbentuk sirip menggantikan garisan tingkap beralun serta bumbung perak kontras pada ID.4.

    Volkswagen ID. Tiguan diperkenal – ID. 4 yang diberi perubahan besar, kuasa sehingga 299 PS, WLTP 600 km

    Rekaan badan turut dilengkapi garisan bahu yang halus, lekuk pada bahagian sisi dan jalur hitam yang mengingatkan kepada Volkswagen Scirocco generasi ketiga. Volkswagen juga kembali menggunakan pemegang pintu konvensional yang lebih besar, selaras dengan maklum balas pelanggan. Pilihan rim pula merangkumi saiz 19 hingga 21 inci, mengisi ruang lengkuk roda yang kini lebih bersegi.

    Di bahagian belakang, ID. Tiguan menerima lampu LED memanjang dengan elemen tiga dimensi berbentuk segi empat yang diinspirasikan daripada gelas wiski. Lencana Volkswagen bercahaya melengkapkan penampilan tersebut. Buat pertama kali bagi model ID, varian R-Line turut ditawarkan dengan gaya lebih sporty, termasuk bukaan udara hadapan berwarna hitam berkilat, jalur lampu menegak, reflektor belakang khusus, kemasan bampar belakang berbeza dan rim 20 inci sebagai saiz permulaan.

    Ruang kabin juga direka semula secara menyeluruh, dengan hanya suis pengelap cermin dan lampu isyarat serta pemilih gear pada tiang stereng dikekalkan daripada model terdahulu. Volkswagen memberi perhatian kepada penggunaan bahan yang lebih berkualiti dan menambah bilangan kawalan fizikal, termasuk butang baru pada stereng, suis penghawa dingin dan tombol pelaras kelantangan audio. Malah, empat suis tingkap berasingan kini disediakan, menggantikan susunan yang sebelum ini menerima kritikan pengguna.

    Sistem paparan turut dinaik taraf dengan panel instrumen digital bersaiz 10 inci dan skrin sesentuh infotainmen 15 inci. Seperti model ID terbaru lain, ID. Tiguan turut menawarkan mod paparan Retro yang memaparkan meter berwarna biru dan merah daripada Volkswagen Golf Mk4. Sistem ini juga mempunyai paparan seperti pemain kaset, lengkap dengan ruang untuk memaparkan model seperti Golf generasi pertama, Golf Country, Golf Mk4, Tiguan generasi pertama, Race Touareg versi Dakar atau Beetle klasik.

    Buat pertama kali bagi model Volkswagen di Eropah, skrin penumpang hadapan bersaiz 12 inci turut ditawarkan sebagai pilihan. Skrin ini menggunakan penapis privasi polarized bagi mengelakkan gangguan kepada pemandu, manakala penumpang boleh menyambungkan fon kepala Bluetooth sendiri untuk menonton video, bermain permainan atau mendengar muzik. Sistem ini boleh dipadankan dengan sistem audio Harman Kardon berkuasa 480 watt, dengan kemasan jalur logam dan corong pendingin hawa menegak melengkapkan susun atur papan pemuka.

    Konsol tengah yang lebar menggunakan reka bentuk dua tingkat, dengan dua pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi2 bermagnet yang dilengkapi pencahayaan. Terdapat juga ruang simpanan bertutup dan perehat tangan dengan bukaan berasingan. Selain stereng dua jejari baru, varian R-Line menerima penanda kedudukan jam 12 pada stereng serta tempat duduk sport, manakala model lebih tinggi menawarkan jahitan kemas pada kemasan kabin. Sistem lampu suasana ID. Light turut disediakan untuk menyampaikan maklumat dan amaran kepada pemandu.

    Volkswagen ID. Tiguan diperkenal – ID. 4 yang diberi perubahan besar, kuasa sehingga 299 PS, WLTP 600 km

    Walaupun badan lebih panjang, kapasiti ruang kargo belakang sebenarnya berkurangan sedikit kepada 534 liter. Angka itu boleh ditingkatkan kepada 1,577 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Bagaimanapun, satu penambahan yang dialu-alukan ialah ruang simpanan hadapan atau frunk, meskipun kapasiti yang disediakan agak kecil pada 32 liter.

    Dari segi prestasi, Volkswagen mengekalkan sebahagian besar output kuasa seperti ID.4 kerana prestasi bukan kelemahan utama model terdahulu. Versi pacuan roda belakang ditawarkan dengan kuasa 190 PS (140 kW) atau 286 PS (210 kW), manakala sistem pacuan semua roda 4Motion menggunakan dua motor elektrik yang menghasilkan 299 PS (220 kW). Varian berprestasi tinggi GTX dengan kuasa 340 PS (250 kW) pula tidak lagi disenaraikan buat masa ini.

    Bagaimanapun, penggunaan motor elektrik baru jenis APP350 pada gandar belakang dan AKA pada gandar hadapan membantu meningkatkan jarak gerak. Nama APP350 merujuk kepada angka tork maksimum 350 Nm yang mampu dihasilkan motor tersebut. Walaupun masih menggunakan bateri berkapasiti 58 kWj bagi versi asas dan 77 kWj untuk varian lebih tinggi, kedua-dua pek bateri itu kini menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh.

    Volkswagen ID. Tiguan diperkenal – ID. 4 yang diberi perubahan besar, kuasa sehingga 299 PS, WLTP 600 km

    Berdasarkan kitaran ujian WLTP, versi asas dengan bateri 58 kWj mampu mencapai jarak sehingga 450 km, iaitu peningkatan 12 km berbanding sebelum ini. Bagi versi dengan bateri 77 kWj, jarak gerak maksimum meningkat kepada 600 km, bertambah 28 km. Namun, versi 4Motion mencatatkan sedikit penurunan jarak perjalanan sebanyak tiga kilometer kepada 560 km.

    Satu kekurangan yang masih dikekalkan ialah seni bina elektrik 400 volt, menjadikan keupayaan pengecasan pantas DC kurang kompetitif berbanding beberapa pesaing dari China. Bateri 58 kWj menyokong pengecasan DC maksimum 105 kW dan mengambil masa 25 minit untuk dicas daripada 10% kepada 80%. Sementara itu, bateri 77 kWj menyokong pengecasan sehingga 165 kW, tetapi memerlukan 29 minit untuk mencapai tahap cas yang sama. Pengecasan AC 11 kW pula disediakan sebagai kelengkapan standard.

    Volkswagen ID. Tiguan diperkenal – ID. 4 yang diberi perubahan besar, kuasa sehingga 299 PS, WLTP 600 km

    Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, ID. Tiguan dilengkapi sistem Connected Travel Assist yang menawarkan fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 2. Sistem ini bukan sahaja membantu mengawal pergerakan kenderaan, malah mampu memberhentikannya apabila lampu isyarat bertukar merah. Ciri lain termasuk mod pemanduan satu pedal, kunci digital dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan bateri kenderaan membekalkan tenaga kepada peralatan elektrik luaran.

    Menariknya, ID. Tiguan berpotensi menjadi model EV pertama Volkswagen yang ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Sebelum ini, ID.4 pernah dirancang untuk pasaran tempatan pada 2022, namun pelancarannya ditangguhkan tanpa tarikh baru. Tahun lalu, Volkswagen Group Malaysia turut mengesahkan bahawa kilang pemasangan tempatan secara CKD di Pekan, Pahang akan dilengkapi kemudahan untuk menghasilkan kenderaan elektrik, termasuk bagi tujuan eksport. Sekiranya dibawa masuk ke pasaran tempatan, adakah ID. Tiguan mampu menjadi pilihan pembeli SUV elektrik di Malaysia?

     
  • Harga minyak 15-21 Okt – RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen, diesel turun 10 sen

    Harga minyak 15-21 Okt – RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen, diesel turun 10 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober 2026, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM5.10 seliter.

    Begitu juga RON95 tanpa subsidi yang diturunkan sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM4.62 seliter. Walau bagaimana pun, harga bersubsidi di bawah program Budi95 tetap dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel tanpa subsidi pula diturunkan sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM5.17 seliter. Manakala diesel di bawah program subsidi Budi Diesel masih berharga RM2.10 seliter. Bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula, ia masih ditetapkan pada RM2.15 seliter.

    Harga minyak 15-21 Okt – RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen, diesel turun 10 sen

    Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (15 Oktober) sehingga jam 11.59 malam pada 21 Oktober 2026. Ini merupakan edisi ke-43 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-346 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.

    MoF berkata, walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menunjukkan tanda pemulihan. China telah membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober, manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau. Perkembangan ini membantu meredakan tekanan terhadap bekalan.

    Namun begitu, MoF menambah, konflik di Asia Barat yang semakin meluas, termasuk serangan di Arab Saudi pada minggu lalu, meningkatkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga petroleum. Ketidaktentuan harga dijangka berterusan dalam jangka sederhana

     
  • Chery Malaysia panggil balik 8,878 unit Omoda 5 varian C dan H untuk pemeriksaan dan ganti komponen terjejas

    Chery Malaysia panggil balik 8,878 unit Omoda 5 varian C dan H untuk pemeriksaan dan ganti komponen terjejas

    Pada 12 Oktober laly, Chery Auto Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan kempen panggil balik bagi Chery Omoda 5 susulan penggantungan sementara kelulusan jenis kenderaan (VTA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selepas insiden gandar belakang tertanggal daripada sebuah SUV berkenaan ketika dipandu di jalan raya.

    Terkini, syarikat itu mengumumkan butiran lanjut mengenai kempen panggil balik tersebut, yang melibatkan keseluruhan 8,878 unit Omoda 5, merangkumi varian C dan H. Chery berkata pihaknya telah mengenal pasti kenderaan yang terjejas dan akan menghubungi pemilik masing-masing secara proaktif.

    Syarikat itu memaklumkan bahawa semua kenderaan yang terlibat dalam kempen ini layak menjalani pemeriksaan dan penggantian komponen secara percuma di mana-mana pusat servis sah Chery di seluruh negara. Chery turut menyatakan bahawa pihaknya sedang berusaha mempercepatkan penghantaran komponen gantian ke pusat servis secara berperingkat.

    Chery Malaysia panggil balik 8,878 unit Omoda 5 varian C dan H untuk pemeriksaan dan ganti komponen terjejas

    Ini bukanlah kempen panggil balik pertama yang melibatkan SUV tersebut atau komponen berkenaan. Pada tahun 2024, gandar belakang sebuah Omoda 5 tertanggal ketika kenderaan itu sedang dipandu. Susulan insiden berkenaan, Chery Malaysia kemudian memanggil balik 600 unit, malah sebelum JPJ mengeluarkan kenyataannya.

    Ketika itu, pengeluar kereta berkenaan berkata punca utama masalah tersebut ialah hujung kimpalan yang tidak ditentukur dengan betul. Pemeriksaan mendapati 60 unit yang dihasilkan pada 15 Ogos 2023 dilengkapi komponen yang terjejas. Hanya seminggu kemudian, janji temu untuk penggantian gandar telah diatur dengan kesemua 60 pemilik kenderaan berkenaan. Kes itu kemudiannya diisytiharkan selesai pada Jun 2024, kira-kira tiga bulan selepas ia bermula.

    Untuk makluman, Omoda 5 berkenaan ialah model yang telah dihentikan pengeluarannya dan digantikan oleh Chery O5 pada September 2025. Model yang dikemas kini itu menggunakan sistem suspensi belakang multi-link, berbanding suspensi torsion beam pada Omoda 5 sebelum versi pra-facelift.

     
  • Geely Emgrand generasi keempat terima kemaskini di China – ini rupa sebenar Proton S70 MC2 facelift Turbo?

    Geely Emgrand generasi keempat terima kemaskini di China – ini rupa sebenar Proton S70 MC2 facelift Turbo?

    Seperti yang kita ketahui, Geely telahpun memperkenalkan model generasi kelima untuk sedan Emgrand di China. Ramai yang sangka dengan adanya model generasi baharu tersebut, Emgrand generasi keempat iaitu kembar Proton S70 berkenaan akan dihentikan jualannya di sana.

    Tapi nampaknya jangkaan tersebut silap. Geely baru sahaja mendedahkan Emgrand generasi keempat dengan rupa yang dikemaskini, di mana model ini akan dijual bersama Emgrand generasi kelima di China. Dan jika anda lihat dengan teliti, perincian-perincian luaran bagi Emgrand generasi keempat yang disegarkan tersebut ada persamaan dengan Proton S70 MC2 Turbo facelift yang kini sedang giat diuji oleh Proton di Malaysia!

    Pertama sekali kita boleh lihat pada bahagian muka di mana Emgrand yang dikemaskini berkenaan menerima lampu hadapan yang digelapkan, bersama bampar hadapan yang kini mempunyai kemasan liang udara palsu pada setiap sisi – serupa dengan unit prototaip S70 facelift yang dijumpai di sini. Cuma kita boleh jangkakan, Proton akan hadir dengan gril hadapan baharu yang lebih tersendiri.

    Geely Emgrand generasi keempat terima kemaskini di China – ini rupa sebenar Proton S70 MC2 facelift Turbo?

    Di belakang pula Emgrand yang dikemaskini ini menampilkan rupa yang masih nampak sama, kecuali pada bampar yang kini diberikan jalur krom dan kemasan seakan diffuser di bawah yang sedikit dirombak. Namun Proton S70 Turbo mungkin akan menerima rombakan lebih besar di belakang melibatkan pemadanan lampu belakang baharu dan ada varian yang akan menerima sepasang tip ekzos krom berkembar seperti yang diberikan pada SUV Proton X50.

    Imej yang didedahkan ini juga menunjukkan bahawa Emgrand kemaskini pasaran China ini masih dipadankan dengan set rim 17-inci yang sama seperti Proton S70 MC1 sedia ada. Manakala untuk Proton S70 MC2 Turbo facelift, prototaip ujian yang dilihat ada varian yang dilihat akan menerima set rim aloi baharu dengan jejari ala-BBS, siap dengan angkup brek dalam kemasan merah

    Manakala untuk bahagian dalaman, Emgrand di China ini menerima beberapa perubahan pada papan pemuka dengan diberikan skrin infotainmen lebih besar. Ini menyebabkan liang pendingin hawa tengah dan juga suis fizikal diletakkan lebih ke bawah.

    Geely Emgrand generasi keempat terima kemaskini di China – ini rupa sebenar Proton S70 MC2 facelift Turbo?

    Ia juga kini menerima serlahan balutan berwarna Tan, seiring dengan upholsteri baharu pada tempat duduk, panel pintu dan lain-lain bahagian. Adakah Proton S70 facelift Turbo akan menerima kemaskini dalaman yang sama dengan Emgrand ini atau lebih menyeluruh rekaan Proton sendiri seperti yang diterima X50 facelift? Sama-sama kita tunggu nanti.

    Dijangkakan Geely Emgrand generasi keempat pasaran China ini akan terus ditawarkan hanya dengan enjin 1.5 liter empat-slinder NA bersama pilihan kotak gear CVT automatik atau lima-kelajuan manual – padanan ini (hanya dengan kotak gear CVT) baru sahaja diperkenalkan pada Proton S70 baru-baru ini.

    Manakala untuk rupa baharu ini dijangka hanya akan diberikan pada versi facelift MC2 S70 Turbo sahaja. Mungkin ada yang belum mengetahui, padanan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 181 PS/290 Nm dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan hanya eksklusif diberikan pada Proton S70, dan tidak diberikan pada Emgrand di mana-mana pasaran termasuk China.

    Proton telah mengesahkan bahawa ia akan melancarkan dua lagi model baharu sebelum berakhir tahun ini, dan S70 MC2 Turbo facelift ini adalah salah satu daripadanya, selain satu lagi SUV yang diasaskan dari platform AMA yang dijangka akan dikenali sebagai Saga Cross atau X30.

    GALERI: Spyshot Proton S70 facelift MC2 Turbo di Malaysia

     
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam