Ikuti kami:
Carian lanjutan
           
Jual kereta andaBayaran dalam 24 jam Jual sekarang Jadikan paultan.org sumber pilihan anda di Google Tambah
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam

Kandungan terkini

  • BMW iX3 L di China – varian 30L baru dengan bateri LFP sertai 40L dan 50L, CLTC sehingga 919 km, dari RM162k

    BMW iX3 L di China – varian 30L baru dengan bateri LFP sertai 40L dan 50L, CLTC sehingga 919 km, dari RM162k

    Lama ditunggu, BMW akhirnya melancarkan iX3 L generasi Neue Klasse di China semasa acara Chengdu Motor Show yang sedang berlangsung di sana. SUV elektrik jarak roda panjang itu turut diperkenalkan dengan varian baru 30L yang dibangunkan khusus untuk pasaran China, selain varian 40L dan 50L.

    BMW iX3 L 30L merupakan model asas dengan sistem pacuan roda belakang, menghasilkan kuasa 265 PS (195 kW) dan tork maksimum 500 Nm. Angka itu membolehkan SUV elektrik berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.8 saat, manakala bateri 77 kWh jenis LFP memberikan jarak sehingga 630 km berdasarkan kitaran CLTC.

    Bergerak kepada 40L xDrive, model ini berbeza daripada iX3 40 untuk pasaran global kerana menggunakan sistem pacuan semua roda dengan dua motor elektrik. Ia menghasilkan 374 PS (275 kW) dan 565 Nm, iaitu peningkatan 49 PS (36 kW) dan 65 Nm berbanding model global, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 5.6 saat.

    Sementara itu, iX3 50L xDrive merupakan varian paling berkuasa dalam rangkaian tersebut, dengan output 469 PS (345 kW) dan tork 645 Nm. Gabungan dua motor elektrik dan pacuan semua roda membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.9 saat, menjadikannya pilihan paling pantas dalam barisan iX3 L untuk pasaran China.

    BMW iX3 L di China – varian 30L baru dengan bateri LFP sertai 40L dan 50L, CLTC sehingga 919 km, dari RM162k

    Kapasiti bateri yang lebih besar pada kedua-dua varian berkenaan turut memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh. BMW mendakwa 40L dengan bateri 86.9 kWh mampu mencapai sehingga 702 km, manakala 50L menggunakan bateri 113.4 kWh dengan jarak maksimum sehingga 919 km mengikut kitaran CLTC.

    Sebagai perbandingan, iX3 40 dan 50 versi biasa masing-masing mempunyai jarak WLTP sehingga 636 km dan 805 km. Angka sebenar bagi model jarak roda panjang dijangka lebih rendah jika diukur menggunakan WLTP, memandangkan saiz dan beratnya yang lebih tinggi berbanding model standard.

    Kesemua varian iX3 L hadir dengan seni bina elektrik 800 volt secara standard. Untuk pengecasan DC, masa dari 10 hingga 80% mengambil kira-kira 22 minit bagi 30L, manakala 40L dan 50L masing-masing memerlukan sekitar 21 minit.

    Bagaimanapun, pengecasan AC menjadi antara kelemahan utama model ini. Varian 30L dan 40L masing-masing hanya menyokong pengecasan 7 kW, dengan masa pengecasan penuh sekitar 10.75 jam dan 13 jam. Varian 50L pula menyokong sehingga 11 kW dan mengambil masa sekitar 11.25 jam untuk dicas sepenuhnya.

    BMW iX3 L di China – varian 30L baru dengan bateri LFP sertai 40L dan 50L, CLTC sehingga 919 km, dari RM162k

    Dari segi dimensi, BMW iX3 L berukuran 4,885 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,634 mm tinggi, menjadikannya 103 mm lebih panjang berbanding iX3 standard. Jarak roda pula meningkat sebanyak 108 mm kepada 3,005 mm, dengan tambahan panjang itu dimanfaatkan khususnya pada ruang penumpang belakang.

    Selain pintu belakang yang lebih panjang, iX3 L turut menerima corak berbentuk L pada tingkap kecil belakang serta pilihan rim 22 inci baru. Pemegang pintu jenis tarik ke atas biasa turut digunakan menggantikan pemegang tersembunyi, selaras dengan peraturan baru China yang bakal mengehadkan penggunaan reka bentuk pemegang pintu tersembunyi.

    Bahagian kabin pula mengekalkan reka bentuk moden seperti iX3 standard, termasuk konsep paparan Panoramic iDrive. Ia terdiri daripada skrin infotainmen 17.9 inci berbentuk selari serta paparan Panoramic Vision 43.3 inci yang boleh dikonfigurasi dan membentang dari satu tiang A ke tiang A yang lain.

    Varian 40L dan 50L turut menerima head-up display 3D sebagai kelengkapan standard. Bagi membezakan model jarak roda panjang ini, tempat duduk hadapan direka dengan kusyen lebih tebal dan bahagian alas yang lebih panjang, manakala tempat duduk penumpang hadapan turut boleh dilengkapi perehat kaki binaan dalam untuk varian 50L.

    BMW iX3 L di China – varian 30L baru dengan bateri LFP sertai 40L dan 50L, CLTC sehingga 919 km, dari RM162k

    Tempat duduk belakang boleh dilaraskan sehingga sudut 121 darjah, sementara tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan ditawarkan sebagai kelengkapan standard dan merupakan ciri khusus untuk model pasaran China. Ia turut disertakan tempat duduk hadapan dan belakang yang dipanaskan serta tempat duduk pemandu dengan fungsi urutan.

    BMW turut menawarkan pilihan kemasan kulit tiruan Veganza yang khusus untuk pasaran China, termasuk warna Crystal Blue serta kemasan penuh Castanea yang turut meliputi bahagian stereng. Antara kelengkapan standard lain ialah pakej M Sport, sistem audio Harman Kardon 13 pembesar suara, pendingin hawa automatik tiga zon dan bumbung kaca panoramik.

    Turut ditawarkan ialah sistem pemanduan autonomous tahap tinggi untuk kegunaan dalam bandar dan lebuh raya, yang dibangunkan bersama Momenta. Pembeli menerima langganan selama tiga tahun untuk fungsi pemanduan bandar dan lapan tahun bagi fungsi lebuh raya sebagai sebahagian daripada harga pembelian.

    BMW iX3 L di China – varian 30L baru dengan bateri LFP sertai 40L dan 50L, CLTC sehingga 919 km, dari RM162k

    Di China, BMW iX3 L ditawarkan pada harga 269,900 yuan (sekitar RM162,300) bagi 30L, manakala 40L berharga 299,900 yuan (RM180,400) dan 50L pula berharga 339,900 yuan (RM204,400). BMW turut menggunakan struktur harga nasional yang seragam dengan pilihan tambahan yang lebih terhad serta tanpa rundingan harga oleh pelanggan.

    Dengan pelancaran rasmi di China, langkah seterusnya dijangka melibatkan persediaan kilang BMW di Shenyang untuk pengeluaran versi pemanduan sebelah kanan bagi tujuan eksport ke beberapa pasaran. Malaysia merupakan antara pasaran yang sudah dikenal pasti untuk menerima model ini, sekaligus membolehkan BMW memanfaatkan kadar cukai istimewa bagi EV yang dibina di China.

    Sekiranya tiba di Malaysia, iX3 L dijangka menggantikan model semasa yang dibina di Hungary, dengan 50 unit pertama model berkenaan dilaporkan sudah habis dijual. Dengan cukai yang lebih rendah serta spesifikasi yang mungkin sedikit berbeza, persoalannya kini ialah sama ada BMW iX3 L versi CBU China mampu ditawarkan di Malaysia pada harga di bawah RM300,000.

     
  • Touch ‘n Go eWallet sedia khidmat tempah servis kenderaan, bayaran bagi Tan Chong Ekspres Auto Servis

    Touch ‘n Go eWallet sedia khidmat tempah servis kenderaan, bayaran bagi Tan Chong Ekspres Auto Servis

    Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) kini bekerjasama dengan TNG Digital bagi menawarkan kemudahan tempahan servis kenderaan menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Menerusi kerjasama itu, pelanggan TCEAS boleh membuat janji temu servis, memilih pakej penyelenggaraan serta melakukan pembayaran terus melalui aplikasi berkenaan, sekaligus memudahkan urusan pengguna.

    Kemudahan ini ditawarkan menerusi program mini TCEAS dalam aplikasi TNG eWallet, yang kini boleh digunakan untuk membuat tempahan di lebih 50 lokasi TCEAS di seluruh negara. Beberapa pakej servis turut disediakan dengan harga bermula RM109 apabila tempahan dibuat menerusi aplikasi tersebut.

    Untuk membuat tempahan, pengguna hanya perlu membuka aplikasi TNG eWallet dan memasukkan “Tan Chong” pada ruangan carian di bahagian atas halaman utama. Selepas itu, pilih program mini Tan Chong Ekspres Auto Service (TCEAS) sebelum memilih pakej servis yang dikehendaki.

    Pengguna kemudiannya perlu memilih pusat servis TCEAS serta tarikh janji temu yang sesuai, sebelum membuat pembayaran menggunakan baki TNG eWallet. Selepas pembayaran disahkan, pihak pusat servis TCEAS yang dipilih akan menghubungi pelanggan bagi mengesahkan janji temu berkenaan.

    Menurut TCEAS, rangkaian pusat servisnya menawarkan perkhidmatan untuk pelbagai jenama kenderaan, termasuk Proton dan Perodua, selain Nissan, Toyota, Honda, Mitsubishi, Mazda, Subaru, Hyundai, Kia dan lain-lain.

    Ketua unit perniagaan TCEAS, Kay Fock Soon berkata, kerjasama dengan TNG Digital bukan sahaja bertujuan memberikan kemudahan kepada pelanggan sedia ada, malah membolehkan TCEAS mencapai lebih ramai pemilik kenderaan menerusi platform TNG eWallet.

    Beliau berkata, pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan daripada rangkaian pusat servis TCEAS di seluruh negara, yang disokong juruteknik bertauliah serta jaminan selama enam bulan untuk alat ganti dan kerja-kerja buruh.

    Dalam perkembangan berkaitan, TNG eWallet turut menambah ciri LPR Parking yang membolehkan pengguna membayar caj parkir menggunakan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan (LPR). Ciri tersebut ditawarkan di lebih 140 lokasi dan boleh diakses menerusi program mini LPR Parking yang terdapat dalam aplikasi TNG eWallet.

     
  • Ford akan guna platform GEA Geely untuk SUV baharu dengan dinamik pemanduan dan ‘DNA rali’ di Eropah

    Ford akan guna platform GEA Geely untuk SUV baharu dengan dinamik pemanduan dan ‘DNA rali’ di Eropah

    Susulan kerjasama yang diumumkan oleh Ford dan Geely bulan lalu, Automotive News melaporkan bahawa Ford bakal membangunkan SUV baharu untuk pasaran Eropah menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) milik Geely. Perkara ini disahkan sendiri oleh pengerusi baharu Geely Automobile Holdings (Geely Auto), An Conghui ketika sesi pembentangan pendapatan syarikat tersebut baru-baru ini.

    Platform GEA berkenaan kini sedang digunakan dengan meluas oleh Geely untuk model-model globalnya termasuk kembar Geely EX5 dan Proton eMas 7 serta kembar Geely EX2 dan Proton eMas 5. Bagi Ford, model-model baharu yang akan dibina berdasarkan platform GEA tersebut akan menampilkan rekaan dengan DNA jentera rali serta dinamik pemanduan yang melambang warisan sejarah sukan permotoran Ford Eropah.

    Menerusi pengumuman yang dibuat pada Julai lalu, kerjasama Ford dan Geely ini akan melibatkan kilang Ford di Valencia, Sepanyol yang akan menjadi pangkalan operasi pemasangan tempatan bagi Geely di Eropah.

    Perjanjian kerjasama ini dijangka akan dimuktamadkan pada tahun hadapan dengan Ford akan terus menjadi pemilik kilang berkenaan dengan pegangan kepentingan sebanyak 66%, dan 34% selebihnya adalah dipegang oleh Geely. Ia akan beroperasi bermula separa pertama 2027, dan model-model baharu dijangka akan keluar dari kilang berkenaan bermula pada 2028.

    Selain dari Ford, Geely turut sudah menjalin kerjasama dengan Renault bagi menubuhkan syarikat kerjasama Horse Powertrain untuk membangunkan dan membekalkan unit rangkaian kuasa, serta kerjasama lain termasuk memperolehi 34% kepentingan dalam Renault Korea Motors dan pegangan strategik dalam fasiliti produksi Renault di Brazil yang akan menyaksikan Renault turut dapat menggunakan platform GEA Geely bagi membangunkan kenderaannya.

     
  • Iklan Merdeka BHPetrol “Saya Taula” ringkas tapi penuh bermakna – inilah realiti kita sebagai 1Malaysia!

    Iklan Merdeka 2026 dari BHPetrol yang berjudul “Saya taula…” berjaya meraih perhatian ramai dan mendapat pelbagai komen positif dari netizen di laman media sosial kerana mengangkat semangat bangsa majmuk di Malaysia.

    “Kadangkala orang luar lebih tahu apa yang kita sendiri rasa biasa” bait yang dipaparkan pada awal pembukaan layar iklan ini dengan watak seorang atendan pam stesen bernama Shakoor Rahman, warga Bangladesh, lakonan mantap aktor tempatan Fikry Ibrahim. Pastinya ada di antara kita mungkin menganggap jalan cerita iklan ini pasti kelakar bila menatap wajah Shakoor terutamanya jika anda pernah menonton filem ‘Libang Libu’.

    Namun tanggapan meleset apabila babak demi babak dipertontonkan termasuk dua orang lelaki warga emas berbangsa Melayu dan Cina yang kononnya bergaduh pasal perlawanan bola sepak, dan beberapa adegan yang menyusul yang pada mulanya ‘nampak agak panas’ namun hakikatnya ia jalinan kemesraan antara satu sama lain tidak kira apa jua bangsa dan agama. Termasuklah adegan seorang pemuda berbangsa Cina tolong membayarkan barangan seorang wanita berbangsa Melayu di kaunter BHPetromart.

    Semua adegan ini sebenarnya melambangkan tingkah laku dan sifat saling menghormati antara satu sama lain, bak kata Shakoor, “Dia orang sayanglah…saya taula…” Pada saat, topik berbaur perkauman menyala-yala di laman media sosial termasuk yang diungkapkan oleh segelintir orang politik sendiri, namun hakikatnya, kehidupan realiti di Malaysia tidaklah sebegitu rupa. Kita… tidak kira apa jua bangsa mahu pun agama sebenarnya masih mempunyai semangat dan sikap majmuk dan saling menghormati sesama sendiri. Ya…kitalah bangsa 1Malaysia!

    Ternyata iklan yang diarahkan oleh Bobby Husaini dari syarikat penerbitan Tangerine Pictures ini sebenarnya berjaya ‘membedah pandangan orang luar’ terhadap rakyat di Malaysia. Ada perkara yang mereka nampak, sedangkan ada antara kita yang mungkin menidakkan realitinya.

    Moga Malaysia kekal aman dan sejahtera dengan adanya semangat perpaduan dan majmuk di kalangan kita semua. Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-69!

     
  • MG S5 EV Com CKD diperkenalkan – varian asas untuk pasaran Malaysia, 170 PS/250 Nm, 340 km WLTP, RM105k

    MG S5 EV Com CKD diperkenalkan – varian asas untuk pasaran Malaysia, 170 PS/250 Nm, 340 km WLTP, RM105k

    Ketika dilancarkan pada Mei tahun lalu dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari China, MG S5 ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Com dan juga varian tertinggi Lux. Namun apabila ia diperkenalkan dan versi pemasangan tempatan (CKD) dari kilang EPMB di Pegoh, Melaka pada Mac tahun ini, MG S5 hanya hadir dalam varian Lux. Dan kini, SAIC Motor Malaysia sudahpun mengumumkan MG S5 EV Com untuk versi CKD sudahpun ditawarkan di pasaran Malaysia.

    MG S5 EV Com (singkatan bagi Comfort) CKD ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM104,468 – RM3,432 lebih murah dari versi CBU dikemaskini pada Oktober tahun lalu yang dijual pada harga RM107,900, dan RM13,060 berbanding varian Lux CKD yang dijual pada harga RM117,528.

    Berbanding varian Lux yang diberikan bateri 62 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 446 km dalam kitaran ujian WLTP, varian Com ini pula menerima bateri lebih kecil berkapasiti 49 kWj yang menawarkan jarak gerak 340 km WLTP. Varian Lux juga boleh menerima pengecas DC sehingga 150 kW, manakala Com pula hanya 120 kW. Untuk pengecas AC, kedua-duanya boleh menampung sehingga 7 kW.

    Kedua-dua varian ini diberikan hanya satu motor elektrik untuk memacu roda belakang, namun varian Lux ditawarkan motor lebih berkuasa menghasilkan 203 PS dan tork maksima 350 Nm, manakala motor pada varian Com menghasilkan 170 PS dan tork maksima 250 Nm. Ini membolehkan MGS5 Lux memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7 saat, dan varian Com pula adalah 1 saat lebih perlahan iaitu 8 saat dalam pecutan sama.

    Dari segi kit pula, varian Com hanya menerima upholsteri fabrik untuk tempat duduk, larasan manual untuk tempat duduk hadapan (enam-hala pemandu dan empat hala penumpang) rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60R17. Sementara bagi varian Lux, ia diberikan upholsteri leatherette serta ada fungsi pengalir udara dan larasan elektrik pada tempat duduk hadapan, rim aloi 18-inci serta ditambah dengan bumbung suria panaromik.

    Lux juga menerima tambahan pintu tailgate bantuan kuasa dengan penderia kaki, kamera pandangan 360-darjah (hanya kamera undur pada Com), pengelap cermin automatik, lampu membaca dan perehat tangan untuk tempat duduk belakang serta pengecas telefon tanpa wayar.

    Perincian harga serta spesifikasi MG S5 EV CKD. Klik untuk besarkan

    Namun untuk keselamatan, Lux dan Com menerima kelengkapan yang sama iaitu tujuh-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2.5 MG Pilot yang merangkumi fungsi termasuk Bantuan Kesesakan Trafik dan Cruise Control pintar.

    Kedua-dua varian ini juga menerima perlindungan waranti yang sama iaitu waranti kenderaan selama tujuh-tahun atau 150,000 km, waranti pek bateri selama lapan-tahun atau 180,000 km dan juga waranti unit kawalan motor selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    Sebagai sebahagian dari promosi pelancaran, SAIC Motor Malaysia turut menawarkan rebat sebanyak RM3,000 untuk MG S5 EV ini dan juga pengecas wallbox yang akan diberikan secara percuma.

     
  • KTMB sediakan 8 tren tambahan KTM Komuter Utara sempena cuti sekolah dan Hari Kebangsaan, 27-31 Ogos

    KTMB sediakan 8 tren tambahan KTM Komuter Utara sempena cuti sekolah dan Hari Kebangsaan, 27-31 Ogos

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah lapan perkhidmatan KTM Komuter Utara bagi laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth bermula 27 hingga 31 Ogos 2026 sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan. Ia bertujuan bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh berkenaan.

    Menurut KTMB, menerusi penambahan tersebut, jumlah keseluruhan perkhidmatan bagi laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth akan meningkat daripada 38 kepada 46 perkhidmatan sehari.

    “Melalui inisiatif ini, KTMB menjangkakan peningkatan jumlah penumpang sebanyak 30% berbanding hari biasa. Penambahan perkhidmatan ini juga dijangka dapat meningkatkan kapasiti bagi menampung sehingga 5,000 penumpang tambahan sehari, menjadikan keseluruhan kapasiti tambahan sebanyak 25,000 penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan inisiatif ini.

    KTMB sediakan 8 tren tambahan KTM Komuter Utara sempena cuti sekolah dan Hari Kebangsaan, 27-31 Ogos

    “Daripada jumlah berkenaan, empat perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Padang Besar – Butterworth, menjadikan keseluruhan 23 perkhidmatan sehari berbanding 19 perkhidmatan pada jadual biasa. Bagi laluan Butterworth – Padang Besar, empat perkhidmatan tambahan turut disediakan, menjadikan keseluruhan 23 perkhidmatan sehari,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya lagi, penambahan perkhidmatan ini merupakan antara langkah proaktif KTMB dalam meningkatkan kapasiti pengangkutan awam serta memberi lebih banyak pilihan waktu perjalanan kepada penumpang, khususnya bagi pergerakan antara Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sepanjang musim cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan.

    Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal dan merujuk Jadual Waktu Khas KTM Komuter Sektor Utara yang akan berkuat kuasa sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan perjalanan lebih teratur serta maklumat tambang melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau saluran media sosial rasmi KTMB.

     
  • Polis Daerah Kulai tahan lapan suspek yang ‘tutup’ laluan di Lebuhraya Linkedua untuk berlumba

    Seramai lapan individu telah ditahan pihak polis kerana disyaki terlibat dalam perbuatan menahan pengguna Lebuhraya Linkedua semata-mata bagi membolehkan kumpulan mereka berlumba di lebuhraya berkenaan Sabtu lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Kamaluddin Othman, kesemua suspek termasuk salah seorang yang ditahan merupakan pempengaruh permotoran, direman selama empat hari bagi membantu siasatan, Harian Metro.

    Beliau berkata, perintah reman bagi kesemua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kelmarin tular video di media sosial yang memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya kira-kira jam 7 pagi. Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 33, susur tol Senai Utara hingga Kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO). Rakaman turut memaparkan beberapa individu ‘menutup’ jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan. Bahkan kumpulan terbabit turut membakar mercun ibarat meraikan tamatnya perlumbaan.

    Nampak gayanya dunia permotoran dua lejang ini agak tercemar dek sikap segelintir para pentaksub yang mungkin ‘mencari nama’ dengan melakukan perbuatan atau aktiviti tidak bermoral sebegini. Bukan setakat berlumba secara haram, boleh pulak selamba tahan pergerakan trafik di lebuhraya. Nak tanya…. korang yang terlibat dengan aktiviti sebegini memang spesis serebrum terletak kat patella ke?

     
  • Porsche Cayenne Electric 2026 di Malaysia — hingga 1,156 PS, 669 km WLTP, cas tanpa wayar, dari RM699k

    Porsche Cayenne Electric 2026 di Malaysia — hingga 1,156 PS, 669 km WLTP, cas tanpa wayar, dari RM699k

    Mula dipertontonkan pada bulan Jun lalu, Porsche Cayenne Electric kini telah dilancarkan secara rasmin di Malaysia. Ini selepas sembilan bulan model berkenaan tampil perdana di peringkat global pada November sebelumnya. Ini model elektrik sepenuhnya yang ketiga dikeluarkan oleh Porsche selepas Taycan dan Macan. Model SUV dari generasi keempatnya ini akan menjadi tambahan kepada versi petrol semasa, sebagai pilihan terbaru kepada pelanggan.

    Cayenne Electric ditawarkan dalam varian Coupé standard dan lebih menawan, dengan harga bermula dari RM699,000 bagi varian paling asas, hinggalah kepada RM759,000 bagi Cayenne S dan RM969,999 bagi Cayenne Turbo yang menjadi penawaran paling tinggi. Bagi versi Coupé, ia dijual dengan harga RM749,000 bagi varian peringkat permulaan, RM805,000 untuk versi S dan RM999,999 untuk Turbo.

    Dibangun menggunakan Premium Platform Electric (PPE) yang sama — dihasilkan bersama Audi — digunakan untuk Macan, Cayenne ini agak lebih besar berbanding sebelumnya. Bagi memuatkan ruang untuk bateri, jarak rodanya telah dipanjangkan kira-kira 128 mm berbanding model petrol, menjadi 3,023 mm.

    Porsche Cayenne Electric 2026 di Malaysia — hingga 1,156 PS, 669 km WLTP, cas tanpa wayar, dari RM699k

    Ini melibatkan pertambahan jarak sebanyak 55 mm bagi panjang keseluruhan model ini kepada 4,985 mm; ia juga tiga milimeter kurang lebar dengan 1,980 mm dan lima milimeter lebih rendah dengan 1,674 mm. Versi Coupé pula 24 mm lebih rendah dengan 1,650 mm — ini disebabkan oleh garis bumbungnya yang lebih rendah.

    Cayenne elektrik ini ditawarkan dalam tiga varian, semuanya dengan pacuan semua roda dengan dwi-motor tetapi tanpa transmisi belakang dua kelajuan yang ada untuk Taycan. Varian paling asasnya menghasilkan sebanyak 408 PS (300 kW) dan 835 Nm, atau 442 PS (325 kW) dalam fungsi launch control — yang turut membolehkan kereta ini memecut dari 0- 100 km/j dalam 4.8 saat dan mencapai laju maksimum 230 km/j.

    Cayenne S yang pertama kali diperkenalkan pada bulan Mac pula mampu menghasilkan sebanyak 544 PS (400 kW) dan tork yang banyak iaitu 1,080 Nm, meningkat sehingga 666 PS (490 kW) dengan launch control diaktifkan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 3.8 saat, manakala kelajuan maksimum meningkat kepada 250 km/j.

    Porsche Cayenne Electric 2026 di Malaysia — hingga 1,156 PS, 669 km WLTP, cas tanpa wayar, dari RM699k

    Cayenne Turbo meletakkan prestasi ke tahap baru. Dalam mod standard, ia menghasilkan sebanyak 857 PS (650 kW) dan 1,500 Nm yang di luar kebiasaan; dengan launch control pula ia menghasilkan 1,156 PS (850 kW), melonjakkannya kepada 100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat dan kepada 200 km/j dalam masa 7.4 saat. Laju maksimum dihadkan kepada 260 km/j, yang boleh dicapai dalam masa yang lebih singkat.

    Dengan berat sekitar 2.6 tan, Cayenne didatangkan sebagai standard dengan ciri suspensi udara dengan peredam adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM), serta brek regeneratif sehingga 600 kW — sama seperti kereta Formula E. Ciri Porsche Torque Vectoring (PTV) Plus, stereng roda belakang sehingga lima darjah dan brek seramik karbon ditawarkan dalam senarai pilihan.

    Porsche Active Ride yang turut ditawarkan pada Panamera generasi ketiga juga ditawarkan sebagai pilihan. Ditawarkan buat kali pertama untuk model SUV, ia menggantikan fungsi palang anti-guling konvensional dengan peredam hidraulik untuk menghapuskan olengan badan dan juga kecondongan di selekoh seperti motosikal, tanpa mengorbankan keselesaan.

    Porsche Cayenne Electric 2026 di Malaysia — hingga 1,156 PS, 669 km WLTP, cas tanpa wayar, dari RM699k

    Cayenne turut dilengkapi dengan kebolehan untuk dipandu secara off-road. Suspensi udaranya mampu meningkatkan jarak tanah kepada 245 mm, dan terdapat juga pakej off-road dengan bampar hadapan yang berbeza bertujuan meningkatkan sudut mendekat. Satu kekurangan kecil model ini ialah kemampuan meredah air hanya 550 mm — ini agak rendah berbanding pesaing lain.

    Walaupun hadir dengan prestasi yang mengkagumkan, Cayenne elektrik ini masih mampu memberikan jarak perjalanan yang baik, iaitu sehingga 642 km untuk varian asas, atau 652 km untuk S dan juga 624 km untuk versi Turbo. Ini dibolehkan kerena kapasiti bateri NMC yang digunakan adalah besar, dengan 113 kWh. Dan, disebabkan bentuk yang lebih aerodinamik, versi Coupé menawarkan jarak yang lebih jauh dengan 661 km untuk Cayenne, 669 km untuk Cayenne S dan 637 km untuk Cayenne Turbo.

    Sama seperti EV Porsche yang lain, Cayenne menampilkan seni bina elektrik 800 volt, yang membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 390 kW (sehingga 400 kW dalam keadaan ideal) dan menambah tenaga dalam SoC 10% hingga 80% dalam masa kurang daripada 16 minit. Ia juga akan menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW (22 kW ditawarkan sebagai pilihan) dan merupakan EV pertama di dunia yang menampilkan pilihan pengecasan tanpa wayar, juga sehingga 11 kW.

    Bagi aspek luaran, Cayenne kekal dengan penampilan sebuah Porsche, walaupun dengan reka bentuk yang sedikit bersegi dengan lampu hadapan LED matriks yang lebih ramping seperti Taycan dan Macan. Pandangan sisi dicirikan oleh rekaaan tingkap yang luas, manakala bahagian belakang diberikan rekaan yang agak sibuk dengan adanya jalur lampu belakang yang sangat lebar.

    Kecekapan aerodinamik merupakan pertimbangan yang penting, membolehkan Cayenne menerima penutup gril dan spoiler belakang aktif, serta tirai udara hadapan, rekaan rim aero (yang berdiameter antara 20 hingga 22 inci), bahagian bawah badan yang rata sepenuhnya dan diffuser belakang yang besar — dengan bacaan drag coefficient serendah 0.25. Untuk model Turbo, ia mendapat bilah aktif tambahan yang menonjol keluar dari sudut bampar belakang.

    Model Coupé pula mendapat “flyline” (garis bumbung) inspirasi daripada model 911 yang lebih ramping, yang juga lebih lebih panjang dan rata berbanding versi petrol, sekaligus memberikannya rupa yang sedikit seperti sedan. Ini telah menghasilkan pengurangan yang berguna bagi drag coefficient 0.23. Unit yang ditunjukkan ini juga hadir dengan ciri pintu kuasa yang pertama untuk model ini, yang akan ditawarkan sebagai pilihan kemudian.

    Di dalam, Cayenne dilengkapi skrin penuh, dengan susunan visual yang mengagumkan yang terdiri daripada paparan instrumen OLED melengkung 14.25-inci dan paparan penumpang pilihan 14.9-inci. Perhatian utama tentunya tertumpu kepada Flow Display yang ada — skrin sentuh infotainment OLED yang menarik dengan selekoh mendatar untuk memisahkan kawasan paparan dan kawalan. Dengan tempat letak tangan ergonomik, ini memudahkan operasi bahagian bawah.

    Cayenne masih mengekalkan penghawa dingin fizikal dan kawalan volume di hadapan tempat letak tangan tersebut. Terdapat juga augmented reality head-up display dengan saiz paparan 87-inci, kawalan suara diperkaya dengan AI, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan pad magnet untuk pengecas tanpa wayar Qi — yang terakhir ditempatkan di dalam ruang simpanan boleh laras yang besar dengan pemegang cawan boleh tanggal.

    Praktikaliti adalah sebahagian besar daripada daya tarikan Cayenne, jadi penumpang belakang mendapat tempat duduk bersandar berkuasa dan pelarasan hadapan/belakang (hanya untuk penyandar pada Coupé), serta banyak ruang kaki tambahan hasil daripada jarak roda yang panjang. Butnya juga besar dengan kapasiti 781 liter untuk Cayenne dan 584 liter untuk Coupé, serta terdapat juga but hadapan 90 liter, yang boleh dibuka dengan meleret bahagian atas bampar.

    GALERI: Porsche Cayenne Electric di Malaysia

    GALERI: Porsche Cayenne Turbo Coupé Electric di Malaysia

     
  • Leapmotor Johor Bahru kini dibuka – Pusat 3S wilayah Selatan diuruskan oleh Cycle & Carriage di Kempas

    Leapmotor Johor Bahru kini dibuka – Pusat 3S wilayah Selatan diuruskan oleh Cycle & Carriage di Kempas

    Pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) Leapmotor Johor Bahru kini secara rasmi telahpun dibuka. Fasilti yang terletak di Kempas berkenaan diuruskan oleh Cycle & Carriage, dan ia merupakan fasiliti jenama Leapmotor yang keenam di Malaysia milik syarikat tersebut.

    Kemudahan ini dibina dengan keluasan 10,000 kaki persegi di atas tanah seluas 3,783 meter persegi, dan ia menampilkan bilik pameran serta bengkel servis selepas jualan di aras bawah, manakala pejabat operasi pula terletak di tingkat mezzanine.

    Untuk bilik pameran, ia boleh menempatkan sehingga empat kenderaan untuk dipamerkan, dan turut dilengkapi dengan tempat khas untuk pelanggan berunding serta bilik tertutup khas untuk penyerahan kenderaan kepada pelanggan. Manakala bagi operasi servis selepas jualan pula, ia mempunyai empat ruang servis dan pembaikan, ruang cuci kereta serta satu fasiliti khas untuk kerja-kerja detailing kenderaan.

    “Pengembangan ke Kempas, Johor Bahru ini menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam membawa pengalaman Leapmotor yang luar biasa ke selatan, ke salah satu wilayah paling dinamik dan pesat berkembang di negara ini. Kami yakin bahawa rakyat Johor akan menikmati perjalanan pemilikan yang lancar yang menggabungkan inovasi Leapmotor dengan kepakaran Cycle & Carriage yang mengutamakan pelanggan,” kata pengarah urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo.

    CEO Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short pula berkata: “Kami teruja dengan pertumbuhan berterusan jenama ini terutamanya di wilayah Selatan dan berharap dapat menawarkan perkhidmatan terbaik kepada lebih ramai pelanggan melalui perkembangan menarik dan pencapaian penting dalam kerjasama kami dengan Stellantis Malaysia ini.”

    Untuk bilik pameran, ia buka dari pukul 8 Pagi hingga 6 Petang untuk Isnin hingga Sabtu, dan 11 Pagi hingga 5 Petang pada hari Ahad dan cuti kelepasan am. Manakala bagi servis selepas jualan pula, ia dibuka dari pukul 8 Pagi hingga 5 Petang untuk hari Isnin hingga Jumaat, 8 Pagi hingga 12 Tengah Hari pada hari Sabtu, dan tutup pada hari Ahad dan cuti kelepasan am.

    Cycle & Carriage juga telah membuka Pusat 3S lengkap pertama Leapmotor di Glenmarie pada bulan April tahun ini, dan juga bilik pameran di Plaza 33 di Seksyen 3 Petaling Jaya. Jun lalu, Cycle & Carriage telah memulakan operasi pengedar untuk Leapmotor di Malaysia, mengmbangkan kerjasama yang terjalin sejak tahun 2024 dan lebih banyak cawangan akan dibuka selepas ini.

     
  • JPJ eBid: TDJ dan VRQ dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu dan WP Kuala Lumpur dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu, TDJ sedang dibuka bidaan sejak semalam, 23 Ogos. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 27 Ogos ini. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 28 Ogos 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VRQ, bakal dibuka bidaan pada 25 Ogos ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 29 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 30 Ogos 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
  • Cyclone RT5 tiba di pasaran Malaysia – 247 cc, RM16,888

    Cyclone RT5 tiba di pasaran Malaysia – 247 cc, RM16,888

    Selain Cyclone RT2S, model lebih besar daripada jenama itu, Cyclone RT5, kini turut dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM16,888. Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Model ini diedarkan oleh Cyclone Malaysia di bawah MForce Bike Holdings dan diletakkan sebagai skuter yang menggabungkan praktikaliti untuk kegunaan harian, keselesaan perjalanan jauh serta pelbagai ciri teknologi.

    Untuk pasaran tempatan, Cyclone RT5 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Prestige Black, Strong Grey dan Alabaster White. Seperti RT2S, skuter ini hadir dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dahulu, bagi melindungi pemilik daripada kecacatan yang berpunca daripada proses pembuatan.

    Dari segi mekanikal, RT5 menggunakan konfigurasi enjin yang sama seperti RT2S, iaitu unit satu silinder 247 cc dengan penyejukan cecair, menghasilkan jumlah kuasa sama, 26 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 24.5 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat.

    Cyclone RT5 tiba di pasaran Malaysia – 247 cc, RM16,888

    Salah satu kelebihan utama RT5 berbanding RT2S ialah kapasiti tangki bahan api yang jauh lebih besar. Jika RT2S mempunyai tangki 12.6 liter, RT5 menggunakan tangki berkapasiti 18 liter, sekaligus membolehkan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan sekali isian. Berat keringnya pula ialah 190 kg, manakala ketinggian tempat duduk berada pada 780 mm.

    Dari aspek kelengkapan, RT5 hadir dengan pelbagai sistem bantuan tunggangan termasuk kawalan cengkaman, kamera hadapan dan belakang serta sistem pemerhati tekanan angin tayar. Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin TFT-LCD, sementara penghadang angin hadapan boleh dilaraskan secara automatik. Turut menjadi kelengkapan standard ialah tongkat tengah bermotor dan cermin sisi.

    RT5 turut dilengkapi sistem pengesanan titik buta, selain ciri sambungan telefon pintar Carbit Ride yang menggunakan Bluetooth. Di bahagian belakang, skuter ini sudah mempunyai tapak yang disediakan untuk pemasangan kotak barangan. Ia menggunakan roda 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar bersaiz 120/70 dan 140/60.

    Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan serta dua penyerap hentak di belakang. Sistem brek pula menggunakan cakera pada kedua-dua roda dengan sistem ABS dual-channel. Untuk aspek praktikaliti, RT5 turut menyediakan ruang simpanan di bawah tempat duduk serta ruang tambahan pada bahagian kiri dan kanan panel hadapan.

     
  • Cyclone RT2S dilancar di Malaysia – 247 cc, RM13,888

    Cyclone RT2S dilancar di Malaysia – 247 cc, RM13,888

    Cyclone RT2S 2026 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM13,888, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Skuter itu membuat kemunculan tempatan pada Malaysia Bike Show Mei lalu, sebelum pelancarannya diadakan sempena pembukaan pengedar Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor di Langgar, Alor Setar.

    RT2S dikuasakan enjin satu silinder 247 cc penyejukan cecair, DOHC empat injap yang menghasilkan kuasa maksimum 26 hp pada 8,500 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat, menjadikannya lebih mudah untuk tunggangan harian.

    Untuk perjalanan lebih jauh, skuter ini dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 12.6 liter. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, manakala sistem membrek menggunakan cakera hidraulik 270 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, lengkap dengan ABS dual-channel sebagai kelengkapan standard.

    RT2S menggunakan roda 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar 110/80 dan 140/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 750 mm, manakala berat keringnya ialah 179 kg. Kelengkapan standard termasuk paparan instrumen TFT, kunci pintar, lampu LED sepenuhnya, soket USB Type-A dan suis keselamatan tongkat sisi.

    Dari segi bantuan tunggangan, RT2S dilengkapi sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup mengikut keperluan penunggang, selain sistem pemantauan tekanan angin tayar. Ia turut menerima kamera hadapan dan belakang, cermin penghadang angin boleh laras serta tapak kotak barangan belakang.

    Sambungan telefon pintar turut disediakan menerusi aplikasi Cyclone Store, membolehkan beberapa fungsi berkaitan motosikal diakses melalui peranti pengguna. Untuk pasaran Malaysia, Cyclone RT2S ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Prestige Black dan Strong Grey.

     
  • Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

    Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

    Jardine Cycle & Carriage (JC&C) merancang untuk menjual perniagaan Cycle & Carriage miliknya di Malaysia dan Singapura kepada PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia dengan harga S$265 juta (RM844 juta), lapor The Edge Singapore.

    Setakat 30 Jun, Cycle & Carriage yang menjalankan pelbagai perniagaan termasuk pengedaran kenderaan pelbagai jenama, kini dinilai berharga US$292 juta (RM1.2 bilion), dan menyumbang kira-kira US$16 juta (RM65 juta) pada separuh pertama tahun fiskal 2026. Laporan itu turut menyebut bahawa hasil daripada penjualan yang akan dibuat ini bakal digunakan untuk mengurangkan hutang.

    Ketika mengumumkan pendapatan separuh tahunnya pada 30 Julai lalu, JC&C mengumumkan bahawa ia akan menukar namanya kepada Jardine Matheson Southeast Asia untuk mencerminkan fokusnya dengan lebih baik sebagai divisi Asia Tenggara bagi kumpulan Jardine yang berpangkalan di Hong Kong, dan perjanjian ini akan membolehkannya “menghablur nilai” daripada perniagaan Cycle & Carriage, seterusnya menumpukan pada pasaran teras Indonesia dan Vietnam serta “memberikan hasil positif kepada para pemegang saham”.

    Kumpulan Chandra Asri merupakan penyedia penyelesaian tenaga, kimia dan infrastruktur di Asia Tenggara, yang membekalkan produk dan perkhidmatan kepada industri perkilangan di pasaran domestik dan antarabangsa. Baru-baru ini syarikat itu memperoleh rangkaian stesen minyak runcit berjenama Esso di Singapura, dengan pemegang sahamnya termasuk PT Barito Pacific Tbk, SCG Chemicals Public Company dan Thai Oil Public Company.

    Cycle & Carriage dilaporkan bakal dijual ke PT Chandra Asri Pacific dari Indonesia pada harga RM844 juta

    “Kami berpandangan bahawa Cycle & Carriage akan berada pada kedudukan yang baik dalam ekosistem Chandra Asri Group untuk memanfaatkan sinergi dan peluang kerjasama yang dapat memperkukuh daya saing dan menyokong pertumbuhan masa depan,” kata JC&C.

    Presiden pengarah dan CEO Chandra Asri, Erwin Ciputra pula berkata, “cadangan pengambilalihan Cycle & Carriage akan mewakili satu lagi peristiwa penting dalam transformasi Chandra Asri Group menjadi penyedia penyelesaian tenaga dan kimia, infrastruktur dan mobiliti serantau yang terkemuka.”

    “Cycle & Carriage mempunyai warisan yang kukuh, jenama yang dipercayai dan pasukan yang berpengalaman. Kami berharap dapat menyokong perniagaan untuk fasa pertumbuhan seterusnya sambil terus melayani pelanggan dan rakan kongsi dengan kualiti dan kebolehpercayaan yang mereka harapkan,” tambahnya lagi.

    Cycle & Carriage yang berusia hampir 130 tahun dikenali di menerusi kerjasama selama 75 tahun dengan Mercedes-Benz (pernah memiliki 49% saham Mercedes-Benz Malaysia). Buat masa sekarang C&C juga turut menjual dan menyelenggara kenderaan dari jenama Fuso, Peugeot, Leapmotor dan Kia di Malaysia.

     
  • Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Genesis semakin serius untuk mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kereta mewah, dan usaha terbarunya hadir menerusi GV90. SUV perdana ini diperkenalkan sebagai model ultra-mewah yang bakal bersaing dengan nama besar seperti Mercedes-Benz GLS, BMW X7 dan Audi Q9, selain Bentley Bentayga serta Rolls-Royce Cullinan.

    Diperlihatkan terlebih dahulu menerusi Neolun Concept pada 2024, GV90 akan ditawarkan dalam versi standard dan Neolun. Versi Neolun hadir dengan kelengkapan lebih mewah serta ciri unik seperti pintu belakang jenis suicide yang dibuka secara elektrik. Berbeza daripada kebanyakan pesaingnya, GV90 menggunakan sistem pacuan elektrik sepenuhnya.

    Dari segi reka bentuk, Genesis memilih pendekatan yang lebih kemas berbanding penggunaan gril besar untuk menonjolkan saiz SUV ini. Reka bentuknya diinspirasikan daripada pasu porselin putih Korea, dengan grafik lampu Two-Line di hadapan yang membentuk reka bentuk segi tiga sebagai sebahagian daripada bahasa reka bentuk Wing Face baru Genesis.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Bahagian belakang pula tampil ringkas dengan bentuk badan yang membulat, lampu Two-Line, tulisan Genesis berukir dan sedikit kemasan krom. Lengkuk roda yang tidak terlalu menonjol menempatkan rim berukuran 22 atau 24 inci, manakala versi Neolun boleh dikenal pasti menerusi tiang B aluminium anodized yang menggantikan kemasan kaca hitam.

    Versi Neolun menjadi lebih istimewa menerusi pintu suicide berkuasa elektrik dengan tiang B bersepadu. Genesis turut mereka bentuk semula struktur badan untuk memastikan ketegaran yang mencukupi, termasuk penggunaan palang besi berkekuatan tinggi dan sangkar keselamatan yang lebih kukuh bagi mengekalkan tahap perlindungan penumpang.

    Dengan panjang 5,285 mm, lebar 2,030 mm dan tinggi 1,815 mm, GV90 sememangnya sebuah SUV yang besar. Jarak rodanya pula mencapai 3,245 mm, manakala ruang kabinnya mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang. Bagi versi Neolun, tempat duduk hadapan boleh dipusing 180 darjah ketika kenderaan tidak bergerak untuk mewujudkan suasana seperti ruang santai.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Kabin GV90 pula menampilkan kemasan mewah dengan papan pemuka berlapis, lampu suasana tersembunyi dan pilihan bahan seperti kayu, batu serta cashmere. Skrin OLED utama berukuran 23.6 inci menjalankan sistem Pleos Connect berasaskan Android Automotive, selain boleh dipanjangkan kepada 24.6 inci apabila kenderaan diparkir untuk kegunaan hiburan.

    Sistem hiburan turut merangkumi kawalan suara Gleo AI dan sistem audio 3D Bang & Olufsen Premier dengan 25 pembesar suara. Setiap tempat duduk mempunyai fungsi urutan 15 titik serta getaran berdenyut, manakala versi empat tempat duduk Executive Suite menerima kerusi kulit semi-aniline, peti sejuk dan meja lipat pada konsol belakang.

    GV90 juga tidak menggunakan butang penghidup seperti kebanyakan kereta moden. Pemilih gear dipasang pada tiang stereng dan akan berubah kedudukan selepas pintu ditutup, manakala sfera kristal pada konsol tengah berpusing untuk mendedahkan pengawal bersepadu. Kenderaan dihidupkan hanya dengan menekan pedal brek.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Dibina menggunakan platform elektrik khusus eMP, GV90 menggunakan sistem dua-motor, pacuan semua roda. Motor hadapan menghasilkan 326 PS (240 kW) dan 350 Nm, manakala motor belakang menghasilkan 340 PS (250 kW) dan 450 Nm. Jumlah keseluruhan ialah 666 PS (490 kW) dan 800 Nm, menjadikannya antara model paling berkuasa dalam rangkaian Hyundai.

    Kuasa elektrik itu dibekalkan bateri berkapasiti 123.5 kWh, iaitu yang terbesar pernah digunakan oleh Kumpulan Hyundai. Bagaimanapun, saiz dan berat GV90 mengehadkan jarak perjalanan kepada sekitar 500 km berdasarkan ujian pembangunan dalaman. Sistem 800 volt turut digunakan, dengan pengecasan 10 hingga 80% mengambil masa 22 minit menggunakan pengecas 350 kW.

    Bagi pengendalian, GV90 dilengkapi limited-slip differential elektronik di hadapan dan belakang, suspensi udara berbilang ruang, penyerap hentak adaptif serta sistem stereng roda belakang sehingga lima darjah. Sistem brek berkapasiti besar dengan angkup empat piston di hadapan turut digunakan, manakala kaca akustik dan penebat tambahan membantu memastikan kabin lebih senyap.

    Genesis GV90 diperkenal – SUV EV serba mewah pencabar Rolls-Royce, kuasa 666 PS, pintu suicide

    Aspek keselamatan pula merangkumi 12 beg udara, termasuk beg udara bumbung yang direka untuk melindungi penumpang sekiranya berlaku kemalangan terbalik. Terdapat juga beg udara pada kusyen tempat duduk bagi mengelakkan penumpang tergelincir di bawah tali pinggang keledar, selain sistem pemantauan kabin yang boleh mengenal pasti posisi penumpang.

    Dengan saiz besar, kuasa 666 PS, kabin ultra-mewah dan teknologi yang agak unik, GV90 jelas menjadi taruhan Genesis untuk mencabar pengeluar premium Eropah. Lebih menarik, versi Neolun menawarkan pendekatan yang berbeza menerusi pintu suicide dan kabin yang boleh diubah menjadi ruang lounge, menjadikannya antara SUV elektrik mewah paling unik setakat ini.

     
  • Rapid KL lanjut waktu operasi 24 jam perkhidmatan rel, bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Hari kebangsaan

    Rapid KL lanjut waktu operasi 24 jam perkhidmatan rel, bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Hari kebangsaan

    Sempena dengan Hari Kebangsaan 2026, Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih kepada 24 jam bermula 30 hingga 31 Ogos 2026 bagi memudahkan pergerakan orang ramai.

    Operasi 24 jam ini melibatkan semua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL, merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur. Pelanjutan waktu operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar, khususnya mereka yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos serta acara sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada pagi 31 Ogos 2026.

    “Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, kekerapan tren akan dipertingkatkan di beberapa laluan utama dan diselaraskan berdasarkan permintaan serta keadaan semasa di stesen. Tren tambahan juga akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan terhadap jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform.

    “Manakala perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand (ROD) turut beroperasi selama 24 jam, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada orang ramai sepanjang tempoh sambutan,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, bagi menyokong pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma melibatkan 103 buah bas menerusi dua laluan iaitu dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 yang beroperasi dari jam 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang pada keesokan harinya. Laluan kedua pula dari PICC ke Jalan Tun Hussein, Presint 3 yang beroperasi dari jam 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.

    “Perkhidmatan bas perantara percuma ini bertujuan memudahkan akses kepada orang ramai untuk ke kawasan sambutan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas
    di sekitar Putrajaya.

    “Bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh sambutan, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan pada 30 dan 31 Ogos mengikut syif bagi menyokong operasi perkhidmatan, mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan lokasi tumpuan berjalan lancar dan selamat,” katanya lagi.

    Rapid KL menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas. Penumpang turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi dan mematuhi arahan petugas, khususnya ketika berada di stesen dan kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi.

    Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, telah mengeluarkan kenyataan bahawa Prasarana akan perkhidmatan pengangkutan awam selama 24 jam iaitu bermula tengah malam 30 Ogos sehinggalah 31 Ogos sempena Hari Kebangsaan.

     
  • Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition dilancarkan – rai Merdeka ke-69, rupa lebih lasak, hanya 69 unit, RM168k

    Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition dilancarkan – rai Merdeka ke-69, rupa lebih lasak, hanya 69 unit, RM168k

    Jetour Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model edisi khas Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM167,600, atau RM10,800 lebih mahal dari versi biasa yang berharga RM156,800, dan hanya dihasilkan sebanyak 69 unit sahaja.

    Dengan harga lebih mahal, model edisi terhad ini menerima perincian unik termasuk gril hadapan baharu yang nampak lebih lasak bersama tambahan rel pelindung di bawahnya, skrip ‘Jetour’ hadapan di alih pada muncung bonet, rel dan rak bumbung bersama tangga modular berada pada cermin sisi belakang sebelah kanan, serta plat penyangkut sisi pada bahagian cermin sisi belakang kiri.

    Ia juga datang dengan angkup brek yang dilayangkan dengan warna merah, manakala warna badan hanya ditawarkan dengan satu pilihan iaitu hitam matte.

    Jetour T2 Dark Warrior Limited Edition dilancarkan – rai Merdeka ke-69, rupa lebih lasak, hanya 69 unit, RM168k

    Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa, di mana ia masih dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm, yang dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Kuasa dialirkan menerusi sistem pacuan semua roda yang memberikan lapan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, Rock dan X-Mode iaitu mod yang mengaktifkan sistem AWD pintar XWD. Ia juga datang dengan Hill Hold Control, Kawalan Menurun Cerun dan mod Crawl Control yang membolehkan SUV ini ‘merangkak’ kerita meredah laluan off-road.

    Kelengkapan kit juga masih sama dengan versi standard dengan diberikan lampu hadapan LED automatik, bumbung suria panaromik, paparan instrumen digital dengan skrin 10.3-inci, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan pengalir udara, sistem pendingin hawa dua zon, lampu suasana, skrin infotainmen 15.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara.

    Untuk keselamatan pula ia dilengkapi dengan enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan sistem pemantau tekanan angin tayar, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan kawalan stereng, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.

    Setiap pembelian diberikan perlindungan waranti tujuh tahun atau 150,000 km, waranti unit rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1,000,000 km serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos buruh sebanyak lima kali.

     
  • Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series diperkenal di M’sia – roadster 4.0L V8 biturbo; dijangka dari RM2.25j

    Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series diperkenal di M’sia – roadster 4.0L V8 biturbo; dijangka dari RM2.25j

    Sempena dengan pelancaran Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di TRX Exchange, Kuala Lumpur, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan model super mewah, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Serie. Untuk pasaran Malaysia, harga atas jalannya bermula RM2,250,000 tanpa insurans.

    Roadster dua-tempat duduk berprestasi tinggi ini menggabungkan gaya sporty SL dengan kemewahan ultra-premium Maybach. Ia merupakan model yang sangat eksklusif dan lebih menekankan kemewahan, gaya serta pengalaman pemanduan yang jitu. Dari segi mekanikal, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series berasaskan SL tetapi ditala khusus oleh Maybach untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.

    Ia diberikan enjin 4.0 liter V8 biturbo yang mampu menghamburkan kuasa hingga 585 hp (430 kW) dan tork maksima 800 Nm, dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift 9G-Tronic sembilan-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4MATIC+. Gabungan mekanikal yang padu ini membolehkan SL 680 Monogram Serie ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan mampu mencapai kelajuan maksima hingga 260 km/j.

    Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series diperkenal di M’sia – roadster 4.0L V8 biturbo; dijangka dari RM2.25j

    Apa yang menariknya tentang SL 680 ini, ia bukan sekadar SL 63 dengan logo Maybach. Sebaliknya sistem mekanikal dan talaan casisnya telah diubah untuk memberikan karakter yang lebih santai dan selesa. Maybach turut mengubah talaan suspensi, stereng dan sistem kawalan untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih lembut dan pengendalian yang cukup sporty.

    Ia digandingkan dengan sistem suspensi AMG Active Ride Control dengan penstabilan olengan, brek berprestasi tinggi AMG, dengan cakera komposit seramik serta AMG electronic rear-axle limited-slip differential.

    Dari sudut dimensi, SL 680 berukuran 4,705 mm panjang, 1,915 mm lebar, 1,359 mm tinggi dengan jarak roda pula 2,700 mm.

    Untuk reka bentuknya, ia ditampilkan gaya yang lebih elegan, eksklusif dan mewah berbanding SL biasa, tetapi masih mengekalkan bentuk sporty sebuah roadster. Wajahnya diberikan gril radiator spesifik Maybach dengan jalur krom menegak dan logo Maybach. Ia diserlahkan dengan lampu utama LED yang tajam, bampar hadapan yang lebih kemas dengan penggunaan elemen krom yang menyerlahkan identiti Maybach dan bonet dengan warna kontra.

    Imej luarannya lebih seksi pada bahagian sisi dengan siluet roadster yang rendah dan panjang. Memantapkan lagi gayanya, ia diberikan pemegang pintu rata dan rim tempaan Maybach 21-inci. Untuk belakangnya pula, rekaannya lebih rendah dan lebar, menampilkan lampu LED berbentuk nipis, paip ekzos berkembar dengan kemasan krom pada diffuser dan soft top.

    Istimewanya, ia juga diberikan corak monogram Maybach double-M (MM) yang menjadi elemen utama pada bahagian badan tertentu yang merupakan identiti utama bagi Monogram Series. Selain itu, model ini juga ditawarkan pilihan cat dua tona, yang memang sinonim dengan model Maybach. Kombinasi warna badan sama ada pilihan merah metalik atau putih metalik dengan bahagian hitam pada bonet dan beberapa elemen luaran memberikan rupa yang lebih eksklusif.

    Bagi bahagian kabinnya, bentangan kemewahan, eksklusiviti dan sporty yang dihamparkan pada segenap ruang. Eksklusif untuk model ini, corak monogram Maybach “MM” diadaptasikan pada beberapa bahagian kemasan kabin, malah kemasan logam dan krom juga digunakan untuk memberikan sentuhan premium.

    Pada bahagian papan pemukanya, diberikan skrin infotainmen tengah 11.9-inci yang menggunakan sistem MBUX dan boleh dilaraskan sudutnya untuk mengurangkan pantulan cahaya ketika bumbung dibuka, dan juga paparan instrumen digital 12.3-inci yang memberikan maklumat pemanduan secara digital. Ia juga diberikan roda stereng AMG Performance yang dibaluti material premium dan menampilkan kawalan pelbagai fungsi termasuk sistem bantuan, navigasi dan kawalan kelajuan.

    Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah tempat duduk kulit Nappa dengan kemasan dan jahitan khas Maybach, pencahayaan ambien yang membantu mewujudkan suasana kabin yang lebih mewah terutama pada waktu malam, sistem audio Burmester® 3D Surround Sound, penyaman udara automatik dengan kawalan suhu berasingan untuk pemandu dan penumpang, sistem Airscarf yang meningkatkan keselesaan ketika memandu dengan bumbung terbuka dan bumbung fabrik elektrik yang boleh dibuka atau ditutup dengan kawalan elektrik.

    Bagi sistem bantuan pemanduan dan ciri keselamatan, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series dilengkapi dengan ciri termasuk Bantuan Brek Aktif, Bantuan Jarak Aktif DISTRONIC, Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta, Bantuan Parkir Aktif, kamera 360, Bantuan Isyarat Trafik, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Bantuan Lampu Tinggi Adaptif, serta pelbagai sensor, kamera dan sistem bantuan pemanduan bersepadu untuk meningkatkan keselamatan ketika memandu.

     
  • JPJ eBid: DFS dan JF_J bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari nombor pendaftaran baharu untuk kenderaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri terkini dari Kelantan dan Johor bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DFS, bakal dibuka bidaan mulai 26 Ogos ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 30 Ogos. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Ogos 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JF_J, pula akan dibuka bidaan bermula 27 Ogos ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 31 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 1 September 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
  • Projek pelebaran Lebuh Raya KL-Karak akan disiapkan setahun lebih awal, tiada kenaikan tol dalam 2-3 tahun

    Projek pelebaran Lebuh Raya KL-Karak akan disiapkan setahun lebih awal, tiada kenaikan tol dalam 2-3 tahun

    Projek pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dijangka dapat disiapkan pada 2029, iaitu setahun lebih awal daripada jadual asal, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    Pada asalnya, projek berkenaan dijadualkan siap pada 2030 berdasarkan tempoh kontrak pembinaan selama empat tahun. Bagaimanapun, AFA Prime memberi jaminan bahawa kerja-kerja pelebaran lebuh raya itu boleh disiapkan lebih awal pada 2029, kata Nanta.

    Projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh AFA Prime dan melibatkan pelebaran jajaran sepanjang 45.3 km di antara Gombak dan Bentong. Ia turut merangkumi pembinaan terowong ketiga sepanjang 999 meter di Genting Sempah, menurut laporan berkenaan.

    Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), jumlah trafik di Lebuh Raya KL-Karak telah meningkat dengan ketara daripada sekitar 41,000 kenderaan sehari pada 1997 kepada lebih 135,000 kenderaan sehari pada masa kini. Peningkatan itu menjadi antara faktor yang mendorong pelaksanaan projek pelebaran berkenaan.

    Sebagai sebahagian daripada projek itu, jajaran antara Gombak dan Genting Sempah akan dilebarkan daripada tiga kepada empat lorong. Sementara itu, laluan antara Genting Sempah dan Bentong pula akan dilebarkan daripada dua kepada tiga lorong bagi meningkatkan kapasiti lebuh raya tersebut.

    Menurut Nanta, terowong baru berkenaan akan dibina menggunakan kaedah New Austrian Tunneling Method (NATM), yang lebih sesuai dengan keadaan fizikal di lokasi projek. Kaedah tersebut akan digunakan dalam pembinaan terowong ketiga sepanjang 999 meter di Genting Sempah.

    Dari segi kadar tol pula, Nanta berkata tiada kenaikan serta-merta akan dikenakan selepas projek berkenaan siap. “Ia tidak akan berlaku serta-merta. Akan ada kenaikan kemudian, tetapi kita masih belum tahu bila. Terma berkenaan telah diperuntukkan dalam kontrak, tetapi tiada kenaikan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,” kata Menteri Kerja Raya itu.

     
  • Proton S70 R3 kembali berlumba – Axle Sport bangunkan semula; enjin 1.5L 4-silinder turbo untuk MTCC dan S1K!

    Proton S70 R3 kembali berlumba – Axle Sport bangunkan semula; enjin 1.5L 4-silinder turbo untuk MTCC dan S1K!

    Ok, ini satu perkara yang mengejutkan untuk peminat-peminat sukan permotoran tempatan – kereta lumba Proton S70 yang dibina pada tahun 2024 sudah kembali ‘bernyawa’ dan bakal berlumba semula dalam Malaysian Touring Car Championship (MTCC) dan juga perlumbaan ketahanan Sepang 1000 km (S1K) tahun ini!

    Namun kereta yang hanya sempat berlumba di S1K 2024 ini bukan lagi berlumba di bawah pasukan R3 di mana pasukan lumba rasmi Proton berkenaan sudahpun dibubarkan pada 2025. Sebaliknya ia kini diambil alih oleh pasukan yang diasaskan bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong iaitu Axle Sport.

    Menurut Alex Yoong dalam video pendedahan jentera lumba berkenaan yang disiarkan mulai malam tadi di laman Facebook rasmi Axle Sport, Proton S70 ini akan bertanding dalam kategori tertinggi MTCC iaitu MT1600 bermula pusingan keempat yang akan berlangsung hujung minggu ini, dan seterusnya akan menyertai S1K yang dijadualkan pada bulan November nanti.

    Dan bagi membolehkan jentera ini bertanding menggunakan undang-undang baharu MT1600 yang telah mula digunakan sejak tahun lalu, S70 ini telah dibangunkan semula dengan menukar enjin Campro 1.6L NA yang digunakan pada S1K 2024 kepada enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang sememangnya digunakan oleh S70 yang dijual dibilik pameran!

    Menurut undang-undang baharu berkenaan, semua jentera yang berlumba dalam kelas MT1600 ini perlu menggunakan enjin turbo dengan kapasiti tidak melebihi 1,600 cc, dan enjin tersebut perlulah enjin produksi kilang dari jenama yang sama tanpa sebarang ubahsuai termasuk perlu mengguna sistem turbo standard dari kilang yang sama.

    Enjin-enjin produksi berkenaan masih perlu menggunakan restrictor udara pada pengecas turbo berdasarkan Balance of Performance (BoP) yang ditetapkan oleh penganjur, bagi memastikan prestasi semua kereta adalah setara walaupun berlainan kapasiti dan berat.

    Sebab itulah untuk kategori ini kita boleh lihat Honda City yang bertanding menggunakan enjin 1.5 liter turbo yang diambil dari Honda Civic, dan bagi pasukan Honda Malaysia Racing Team (HMRT) sendiri mereka berlumba dengan Honda Civic FE dengan enjin 1.5 liter turbo asal.

    Walaupun enjin yang digunakan adalah enjin produksi kilang, pasukan-pasukan lumba dalam kategori MT1600 ini masih boleh menggunakan kotak gear perlumbaan manual dengan gear straight-cut sehingga enam-kelajuan bersama LSD, dan penggunaan penukar gear jenis pedal pada stereng juga dibenarkan – namun S70 ini masih menggunakan tombol gear H-pattern.

    Proton S70 R3 kembali berlumba – Axle Sport bangunkan semula; enjin 1.5L 4-silinder turbo untuk MTCC dan S1K!

    Dan dengan undang-undang baharu ini juga kita boleh lihat kereta lumba S70 ini sudahpun menggunakan set rim 17-inci dengan tayar standard yang sama untuk semua pasukan iaitu tayar Hankook 225/45R17, berbanding rim 15-inci bersama tayar 195/50R15 ketika menggunakan enjin 1.6L NA sebelum ini. Ia juga ditambah dengan liang udara yang besar pada penutup bonet hadapan untuk pengudaraan lebih baik ruang enjin yang kini didesak dengan unit turbin.

    Lain-lain perincian aerodinamik seperti spoiler bawah bampar hadapan dan juga spoiler belakang nampaknya masih lagi sama. Pasukan Axle Sport juga mendapat sokongan teknikal sepenuhnya dari Proton ketika membangunkan semula kereta lumba ini, dan ia turut mendapat sokongan dari EON Berhad yang pastinya menaikkan nostalgia pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) sebelum wujudnya pasukan R3.

    Proton S70 MTC ini akan berlumba hujung minggu ini dengan dipandu oleh pelumba tempatan Azriel Azhar dan seorang lagi pelumba dari Filipina iaitu Inigo Anton. Alex Yoong turut memberitahu bahawa pasukannya akan membawa S70 ini untuk berlumba di Thailand tahun hadapan – walaupun masih belum diberitahu secara spesifik perlumbaan mana yang akan disertai, spesifikasi S70 ini sebenarnya sudah layak untuk bertanding dalam kelas Super Touring dalam siri perlumbaan Thailand Super Series.

     
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam