Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia anjur promosi April 2024 – diskaun hingga RM30k; City, Civic, Accord, WR-V, HR-V

    Bagaimana dengan persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pertengahan minggu hadapan? Adakah anda masih berharap dapat bergaya dengan kereta raya? Mungkin sudah terlambat untuk memandu kereta baharu pulang ke kampung halaman, tetapi tawaran Honda Malaysia (HM) ini masih lagi dibuka.

    Bagi promosi bulan April ini, HM menawarkan diskaun sehingga RM30,000, dan anda boleh memilih sama ada kereta buatan tahun 2023 atau yang masih ‘hangat’ tahun 2024. Kedua-duanya diberikan diskaun, tetapi apa yang pasti kereta tahun 2023 dapat lebih banyak diskaun. Semuanya melibatkan model CKD, kecuali CR-V baharu.

    Bagi stok buatan tahun 2023, HM memutuskan untuk tidak menawarkan Accord baharu memandangkan produksi CKD bagi sedan segmen-D itu telah ditamatkan, tetapi diskaun terbesar cecah RM30,000 diberikan untuk kumpulan unit terakhir. Manakala untuk Civic, diskaun sebanyak RM10,000 ditawarkan bagi keempat-empat varian. Untuk City Hybrid RS, diskaun yang sama ditawarkan iaitu cecah RM10k.

    Klik untuk besarkan

    Jika anda mahukan stok kereta yang diproduksi pada tahun ini, diskaun sebanyak RM1,000 diberikan untuk kesemua varian City Hatchback dan juga WR-V. Manakala kesemua lima varian City sedan pula diberikan diskaun sebanyak RM3,000, dan RM2,000 bagi Civic. Hendak Civic yang lebih padu, varian 2.0L Hybrid RS menawarkan diskaun sebanyak RM3,500. Akhir sekali, HR-V Hybrid RS didatangkan dengan diskaun RM1,500.

    Seperti yang dinyatakan, tiada insentif bagi CR-V generasi-keenam yang baru dilancarkan. Dan semua promosi ini untuk kereta yang didaftarkan bermula sekarang hingga 30 April ini. Raya kan sebulan, sempatlah nak beli mana-mana model Honda yang anda berkenaan untuk digayakan pada Hari Raya walau pun dah pertengahan atau hujung bulan Syawal.

     
     
  • Team RX Racing dominasi pusingan pembukaan 5 Nation British Rally Cross Championship 2024!

    Team RX Racing dominasi pusingan pembukaan 5 Nation British Rally Cross Championship 2024!

    Dua pusingan awal 5 Nation British Rally Cross Championship sudah pun berlangsung di litar Lydden Hill, United Kingdom dari 30 Mac hingga 1 April lalu, dan untuk kategori tertinggi iaitu Supercar kedua-dua pusingan berkenaan didominasi sepenuhnya oleh Team RX Racing dari Ireland!

    Bagi pusingan pertama yang berlangsung pada hari Sabtu, ia dimenangi oleh Ollie O’Donovan yang memandu Proton Iriz RX Supercar, diikuti oleh pemandu kedua pasukan tersebut yang juga merupakan anaknya sendiri iaitu Patrick O’Donovan memandu Ford Fiesta RX Supercar.

    Proton Iriz RX berkuasa 600 hp yang dipandu oleh Ollie mempamerkan rentak yang baik ketika sesi kelayakan, membolehkan ia bermula di baris hadapan ketika peringkat separuh akhir dan memenangi perlumbaan tersebut. Ollie sekali lagi bermula di baris hadapan pada pusingan akhir dan berjaya memimpin perlumbaan sehingga tamat selepas Patrick menghadapi masalah pada kotak gear.

    Ini merupakan kemenangan pertama Ollie dengan memandu Proton Iriz berkenaan, dan juga yang pertama selepas enam tahun di mana kali terakhir juara British Rallycross Championship 2007 tersebut dinobatkan sebagai pemenang adalan pada musim 2018.

    Dalam perlumbaan pusingan kedua pada Isnin, Ollie sekali lagi berjaya masuk ke pusingan separuh akhir dan bermula di petak hadapan, namun perlumbaannya berakhir selepas Proton Iriz RX berkenaan menghadapi masalah sistem elektrikal. Namun Team RX Racing masih dapat membawa pulang jumlah mata yang banyak selepas Patrick menjadi juara bagi perlumbaan kedua tersebut.

    Pusingan ketiga dan keempat 5 Nation BRX ini akan berlangsung di Litar Mondello Park, Ireland bermula 25 hingga 26 Mei nanti.

     
     
  • Hyundai Santa Cruz facelift 2025 – luar dalam terima peningkatan, enjin 2.5L NA/turbo, transmisi 8AT/DCT

    Hyundai Santa Cruz facelift 2025 – luar dalam terima peningkatan, enjin 2.5L NA/turbo, transmisi 8AT/DCT

    Diperkenalkan kali pertama pada April tahun 2021, Hyundai Santa Cruz kini diberikan facelift dan akan mula dijual di Amerika Syarikat tahun ini. Trak pikap ini menerima beberapa perubahan gaya luaran, bahagian dalam yang disegarkan semula serta tambahan varian baru XRT yang lebih ranggi.

    Pada bahagian luar, pembaharuan yang dibuat bertujuan menjadikan Santa Cruz “nampak lebih berani dan gagah,” kata Hyundai dalam siaran akhbarnya. Di hadapan, paling jelas adalah gril yang menggunakan kemasan dalam lebih berpetak serta jumlah DRL LED melintang yang bertambah.

    Varian XRT yang dinyatakan tadi mendapat beberapa ciri eksklusif, termasuk rekaan bampar yang sedikit berlainan, gril hitam berbanding krom, cangkuk hadapan, rim 18 inci dengan tayar A/T 245/60 serta sudut menjunam yang lebih baik.

    Masuk ke dalam, papan pemuka Santa Cruz diubah sepenuhnya dengan kini menggunakan rekaan melengkung yang lebih kontemporari dan dua skrin 12.3 inci yang disediakan, iaitu untuk panel instrumen digital dan skrin sesentuh infotainmen bersambung sekali dalam satu perumah (sebelum ini cuma 10.25 inci).

    Penggunaan skrin berkembar ini juga menyebabkan corong pendingin hawa terpaksa diubah kepada kedudukan lebih rendah sekarang terdapat panel baru untuk mengawal audio, navigasi serta pendingin hawa. Bahagian lain yang diubah adalah seperti roda stereng serta perehat tangan belakang.

    Sistem infotainmen Santa Cruz turut mendapat peningkatan, dengan kini boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, kemas kini atas talian, telematik Bluelink+, pengimbas cap jari dan servis bayar dalam kereta Hyundai Pay.

    Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C serta Digital Key 2 Touch. Pada bahagian sistem bantuan pemandu, sistem sedia ada ditambah lagi dengan Forward Attention Warning, manakala versi XRT menerima kamera keliling kenderaan dan kamera titik buta.

    Penggerak trak pikap ini masih lagi sama, iaitu enjin petrol Smartstream 2.5L, yang disediakan dalam dua versi iaitu NA berkuasa 191 hp dan 245 Nm, manakala turbo mampu menghasilkan 281 hp dan 422 Nm. Versi NA cuma didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan dua roda, sementara versi turbo mendapat transmisi klac berkembar lapan kelajuan serta pacuan empat roda.


     
     
  • Skyworth EV masuk pasaran M’sia melalui NexV Auto Alliance — pengenalan Q3 2024, CKD di Chembong

    Skyworth EV masuk pasaran M’sia melalui NexV Auto Alliance — pengenalan Q3 2024, CKD di Chembong

    NexV Auto Alliance Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat yang baru ditubuhkan di bawah Careplus Group Berhad mengumumkan telah memperoleh hak pengedaran eksklusif bagi kenderaan elektrik Skyworth dari Jiangsu Skywell Automobile Co., Ltd., China untuk pasaran tempatan.

    Skyworth yang terkenal dengan inovasinya terhadap kenderaan elektrik dan industri elektronik melantik NexV sebagai pengedar tunggal untuk EV Skyworth, begitu juga untuk alat ganti dan khidmat lepas jualan di Malaysia berdasarkan keyakinan syarikat itu terhadap pendekatan serta kemampuan NexV dalam pengeluaran dan pemasangan produk automotif.

    Skyworth EV masuk pasaran M’sia melalui NexV Auto Alliance — pengenalan Q3 2024, CKD di Chembong

    “Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Skyworth untuk memperkenalkan EV inovatif mereka ke Malaysia. Usaha sama ini selari dengan visi kami untuk merancakkan lagi perkembangan mobiliti elektrik di Malaysia, dalam usaha kami untuk menyediakan pengangkutan pintar, mapan dan mudah akses kepada pelanggan di Malaysia,” ujar CEO Careplus Group Berhad, Lim Kwee Shyan.

    Lim yang juga bertindak selaku CEO NexV Manufacturing Sdn. Bhd. menambah; “Kami ada perancangan untuk melakukan CKD bagi Skyworth. Dengan kilang pemasangan kami di Chembong yang kini sedang dibina, kami berharap agar model pemasangan tempatan Skyworth kelak akan jadi lebih kompetitif dari segi harga berbanding unit CBU.”

    Skyworth EV masuk pasaran M’sia melalui NexV Auto Alliance — pengenalan Q3 2024, CKD di Chembong

    Dijangka akan mula memperkenalkan kenderaannya di sini pada suku ketiga tahun ini, pelancaran Skyworth EV akan diiringi oleh beberapa model yang dapat memenuhi selera dan keperluan yang pelbagai, termasuk kereta EV komak hinggalah kepada SUV.

     
     
  • Harga minyak 4-10 April – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 4-10 April – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel untuk minggu bertarikh 4 hingga 10 April 2024.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 25 Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, walaupun mekanisme untuk subsidi bersasar masih belum diumumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan pemindahan tunai bulanan sebagai cara untuk mengagihkan bantuan kewangan kepada mereka yang layak menerimanya.

    Sebelum ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pengapungan mengikut harga pasaran bagi petrol RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion, walau pun ini bermakna harganya dijangka meningkat hingga 64% bagi RON95 dan 61% bagi diesel.

     
     
  • GWM Ora 07 2024 dilancarkan di Malaysia – dua varian, jarak gerak hingga 550 km, harga RM170k-190k

    GWM Ora 07 2024 dilancarkan di Malaysia – dua varian,  jarak gerak hingga 550 km, harga RM170k-190k

    Selepas tempahannya dibuka sejak 1 Mac lalu, petang ini, Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) telah pun melancarkan model kenderaan elektrik (EV) Ora 07 (juga dikenali sebagai Lightning Cat) untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Long Range Ultra ditetapkan pada harga atas jalan (OTR) RM169,800 tanpa insurans dan Performace pula berharga RM189,800.

    Bagi varian Long Range Ultra, ia diberikan motor elektrik dengan pacuan roda-hadapan yang mampu memberikan kuasa 204 PS dan tork 340 Nm dengan jarak gerak sehingga 640 km (mengikut kitaran NEDC). Ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 170 km/j.

    Sementara itu, varian paling tinggi Performance pula dilengkapi dua motor elektrik menjadikannya pacuan AWD, dengan janaan kuasa 408 PS dan tork 680 Nm dengan jarak perjalanan mencecah 550 km (NEDC). Varian tertinggi ini juga diberikan mod pemanduan 5 + 1 iaitu Normal, Well Being, Individual, Eco, Sport dan Sport+ (Turbo Mode).

    GWM Ora 07 2024 dilancarkan di Malaysia – dua varian,  jarak gerak hingga 550 km, harga RM170k-190k

    Ora 07 boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan kelajuan maksimum mencapai 180 km/j. Bacaan daya rintangan kereta ini juga rendah, dengan 0.22 Cd. Dibangun menggunakan platform Lemon GWM, Ora 07 menggunakan bateri Ternary Lithium berkapasiti 83.5 kWh. Dengan menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan antara 30% hingga 80% boleh dicapai dalam 32 minit.

    EV ini berukuran 4,871 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,500 mm tinggi dengan jarak antara rodanya 2,870 mm. Bagi aspek rekaannya, Ora 07 diberikan sentuhan ala fastback yang diinspirasikan dari jentera sport. Ia dilengkapi dengan lampu utama LED bulat, lampu nyalaan siang LED, pintu tanpa bingkai, dan rim rim bersaiz 18-inci bagi Long Range dan 19-inci untuk Performance. Di belakangnya, ia digandingkan dengan lampu LED berbentuk bujur bersaiz besar, lampu kabus LED dan ciri yang menarik perhatian iaitu spoiler belakang electrik.

    Menjengah bahagian kabinnya, ia tampil cukup minimalis dan tidak banyak elemen yang diketengahkan. Ia diberikan dua paparan skrin iaitu meter kluster 10.25-inci dan skrin infotainmen 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Selain itu, ia diberikan rekaan bumbung panoramik 1.7 meter persegi ala kubah, konsol tengah yang menempatkan butang kawalan boleh pusing, 11-pembesar suara Infinity, penapis habuk PM 2.5, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, tempat duduk balutan kulit sintetik dengan ciri urut bagi bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

    GWM Ora 07 2024 dilancarkan di Malaysia – dua varian,  jarak gerak hingga 550 km, harga RM170k-190k

    Bagi ciri keselamatannya, ia diberikan sistem ADAS yang dibantu oleh 12 unit penderia ultrasonik, 2 unit millimeter wave radar dan kamera 360-darjah. Turut diberikan lebih 20 ciri keselamatan maju, antaranya ciri bantuan meletak kenderaan, kawalan kelajuan adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, pengesan papan tanda trafik, kawalan jarak parkir, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran ketibaan lorong, amaran pelanggaran belakang, program kestabilan elektronik dan banyak lagi.

    Ora 07 juga diberikan dua pilihan kemasan warna untuk ruang kabin iaitu hitam atau coklat (dengan kos tambahan RM2,500) untuk Long Range Ultra dan coklat yang khusus untuk varian Performance. Tiga pilihan warna badan ditawarkan iaitu Crystal Purple, Amethyst Grey dan Jade White.

    Setiap pembelian mana-mana varian Ora O7 ini, ia diberikan waranti sehingga enam-tahun/150,000 km dan juga waranti bateri, motor elektrik dan unit kawalan motor elektrik hingga lapan-tahun/180,000 km.

    GWM Malaysia juga menawarkan pertukaran bateri ‘one-to-one’ sekiranya tahap pengecasan bateri jatuh di bawah 70%. Untuk 500 pembeli pertama Ora O7 bakal menerima pengecas wallbox rumah secara percuma dengan tambahan waranti dua-tahun (lapan-tahun atau 180,000 km) mana yang tiba terlebih dahulu.

    GALERI: GWM Ora 07 Long Range

     
     
  • Zeekr 001 2024 catat rekod cas pantas DC – kadar cas 10-80% penuh dalam masa 11.5 minit, 432 km 10 minit

    Zeekr 001 2024 catat rekod cas pantas DC – kadar cas 10-80% penuh dalam masa 11.5 minit, 432 km 10 minit

    Geely menerusi divisi EV mewahnya iaitu Zeekr telah mencatatkan rekod pengecas pantas DC apabila model kemaskini untuk Zeekr 001 telah mampu bertahan menerima kadar cas 546.4 kW dalam demonstrasi yang dibuat baru-baru ini. Rekod berkenaan mengatasi rekod 521.2 kW yang dibuat sebulan sebelum itu di Li Auto Mega.

    Dalam video yang disiarkan oleh Zeekr menerusi akaun Weibo rasminya, 001 yang dibekalkan dengan bateri CATL Shenxing litium logam fosfat (LFP) 95 kWj mengambil masa hanya 11 minit dan 28 saat untuk mendapatkan cas 10-80% menggunakan pengecas Supercharger Zeekr V3 yang mampu memberikan kadar sehingga 600 kW.

    Demonstrasi tersebut dibuat di lokasi dengan suhu persekitran 26 darjah selsius dan pada kadar cas 80%, 001 mampu bergerak sejauh 473 km. Zeekr turut mendakwa bahawa kapasiti mengecas kekal pada kadar 540 kW apabila cas bateri berada pada kadar 10-35%. Berdasarkan rekod ini bermakna Zeekr 001 berkenaan mendapat jarak gerak 264 km tambahan hanya dalam masa lima minit, dan 432 km dalam masa 10-minit.

    Zeekr 001 2024 catat rekod cas pantas DC – kadar cas 10-80% penuh dalam masa 11.5 minit, 432 km 10 minit

    Zeekr 001 2024 ini menampilkan asas sistem elektrik 800V berbanding hanya 400V pada versi sebelumnya, membolehkan kadar pengecas lebih cepat ini dibuat. Selain bateri Shenxing LFP, 001 turut ditawarkan dengan satu lagi bateri CATL iaitu bateri Qilin nikel mangan kobalt (NMC).

    Sekali tengok, tiada perubahan besar dari segi rupa antara versi terkini 001 ini dengan versi sebelumnya, namun Zeekr mendedahkan bahawa ia adalah sedikit besar dengan ukuran panjang 4,977 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,545 mm bersama jarak roda 5 mm lebih panjang iaitu sejauh 3,005 mm.

    Zeekr 001 2024 catat rekod cas pantas DC – kadar cas 10-80% penuh dalam masa 11.5 minit, 432 km 10 minit

    Model ini telah dilancarkan di China pada Februari tahun ini, di mana hanya varian AWD We yang menerima bateri Shenxing 95-kWj berkenaan. Varian ini dijual pada harga 269,000 yuan (sekitar RM177k) bagi menawarkan jarak gerak 675 km berdasarkan ujian CLTC.

    Kedua-dua motor elektrik yang diletakkan masing-masing pada gandar hadapan dan belakang menghasilkan kuasa keseluruhn 789 PS dan tork maksima 810 Nm bagi membolehkan dia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat, dan mencapai kelajuan maksima 240 km/j.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro kini ditawarkan dalam warna Aurora Green – terhad 120 unit, harga masih RM159,800

    Chery Tiggo 8 Pro kini ditawarkan dalam warna Aurora Green – terhad 120 unit, harga masih RM159,800

    Chery Malaysia mengumumkan penawaran warna baru untuk Tiggo 8 Pro. SUV tersebut sekarang boleh didapati dalam warna Aurora Green, sama seperti gambar model import CBU yang kami ambil sebelum ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia Julai tahun lepas.

    Jika berminat dengan warna ini, anda perlu pantas kerana ia cuma ditawarkan sebanyak 120 unit sahaja bagi Tiggo 8 Pro. Harga tidak berubah, masih RM159,800 tidak termasuk insurans, dan ia datang bersama jaminan tujuh tahun atau 150,000 km, serta upah servis percuma lima tahun.

    Untuk pakej jaminan lanjutan, anda boleh menambah RM2,000 lagi, dan ia memberikan jaminan sehingga sepuluh tahun atau satu juta kilometer bagi enjin kenderaan tersebut. Chery juga ada menyediakan pakej ‘Extra Peace of Mind’, yang merangkumi jaminan enjin seperti di atas, dan ditambah lagi dengan penyelenggaraan selama tujuh tahun, pada harga RM11,600.

    SUV tiga baris tempat duduk yang dipasang dalam negara ini dipacu oleh enijn empat silinder 2.0L turbo berkuasa 256 hp dan tork 390 Nm, disampaikan kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal ataupun Sport.

    Bagi kelengkapan keselamatan pula, model ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju penuh yang memberikan fungsi termasuk amaran keluar dan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

     
     
  • Litar Pasir Gudang untuk Johor Racing (JMR), JDT Racing dan untuk rakyat – TTJ YAM Tunku Idris

    Litar Pasir Gudang untuk Johor Racing (JMR), JDT Racing dan untuk rakyat – TTJ YAM Tunku Idris

    Sejak kebelakangan ini, banyak cerita-cerita berkenaan pembukaan semula Johor Circuit atau turut dikenali sebagai Litar Pasir Gudang mula bertiup. Bagi memberikan gambaran lebih jelas berkenaan perkara itu, Tunku Temenggong Johor, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Sultan Ibrahim telah menaikkan satu hantaran menerusi akaun instagram miliknya berhubung status litar berkenaan.

    “Banyak khabar angin dan berita kebelakangan ini berkenaan Trek Pasir Gudang/Johor Circuit baru-baru ini jadi saya rasa saya perlu menjelaskan beberapa perkara. Saya telah mengusahakan projek ini secara senyap selama 8 tahun dan tiba-tiba saya melihat ada orang yang cuba menjadi penyelamat kepada litar tersebut. Sila buat kajian anda sebelum membuat kenyataan bodoh. Di manakah anda semua ketika litar ini runtuh sedekad yang lalu? Trek ini adalah untuk Johor Racing (JMR), JDT Racing dan yang paling penting untuk rakyat. Jadi tolonglah. Izinkan saya menyelesaikan ini dengan aman di bawah bimbingan ayah dan abang saya serta kerajaannya,” tulis Tunku Idris dalam hantaran tersebut.

    Dalam hantaran yang sama Tunku Idris turut berkongsi satu lakaran litar berkenaan, yang mungkin lakaran untuk litar yang akan dibangunkan semula tersebut.

    Buat masa sekarang Tunku Idris terlibat dengan pengurusan pasukan lumba Johor Racing yang berlumba dalam pelbagai siri perlumbaan antarabangsa seperti Asian LeMans Series dan Intercontinental GT Challenge, di mana adiknya Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ) merupakan salah seorang pelumba pasukan itu.

    Manakala abangnya, Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail selain sibuk dengan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), baginda turut sudah melancarkan pasukan lumba dua roda JDT Racing Team yang menampilkan pelumba negara Hafizh Syahrin. Pasukan itu sudahpun memulakan kempennya dalam siri perlumbaan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam perlumbaan Superbike World Championship pada masa hadapan.

    Baru-baru ini Prinsipal Pasukan JDT Racing Team Steven Tan sudahpun mengesahkan bahawa Petronas berminat bekerjasama dengan JDT Racing Team bukan hanya melibatkan jentera perlumbaan tetapi akan menjadi penajaan di skala yang lebih besar termasuk membangunkan semula Litar Pasir Gudang yang bakal menjadi hab permotoran serta pencarian bakat menerusi akademi JDT Racing Team.

    Litar berkenaan dikhabarkan hanya akan ditutup sementara pada 2016 untuk kerja-kerja naik taraf, namun ia terbiar selepas itu tanpa tanda-tanda bakal dibuka semula.

    Laporan berita bulan lalu menyatakan bahawa kerajaan Johor sememangnya berminat untuk membangunkan semula litar berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah mengesahkan bahawa beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Tunku Mahkota Ismail dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.

     
     
  • Mercedes-Benz Luxury Like No Other di NZ Wheels, Bangsar 3-7 April – pandu uji, pameran model baru

    Mercedes-Benz Luxury Like No Other di NZ Wheels, Bangsar 3-7 April – pandu uji, pameran model baru

    Hari ini Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan beberapa model mewah dan berprestasi untuk pasaran tempatan, termasuk Mercedes-AMG S 63 E Performance W223, GLS 450 4Matic, Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic dan Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition. Kemudiannya, pra tonton awal juga dibuat untuk Mercedes-AMG A 35 Sedan facelift, CLE 300 4Matic Coupé dan Mercedes-AMG C 43 4Matic.

    Jika berminat dengan model-model baru ini, anda juga boleh menyaksikannya terus di hadapan mata semasa acara yang dianjurkan oleh NZ Wheels di pusat pameran mereka di Bangsar, bermula hari ini hingga Ahad, 7 April dan dibuka kepada semua.

    Selain pameran model-model baru, mereka juga menyediakan unit pandu uji yang terdiri daripada model-model tertentu, sepanjang acara berlangsung. Ini termasuklah AMG SL 43, AMG EQE 53, AMG EQS 53, AMG A 45, AMG CLA 45, EQS 580 SUV, GLS 450 dan AMG GLE 53 Coupé.

     
     
  • Peugeot 408 2024 akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei – tiga varian, harga antara Civic dan Accord

    Peugeot 408 2024 akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei – tiga varian, harga antara Civic dan Accord

    Sebelum ini Stellantis Malaysia sudah mendedahkan Peugeot 408 akan tiba di negara kita tahun ini, dan sekarang kita mengetahui beberapa maklumat tambahan lain. Ia akan dilancarkan pada bulan Mei dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dan menggunakan enjin petrol 1.6 turbo.

    Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais memberitahu, 408 akan ditawarkan dalam tiga varian, mengikut seperti pasaran Vietnam, di mana crossover fastback tersebut disediakan dalam pilihan Allure, Premium dan GT.

    Kemudiannya, 408 pasaran Malaysia pula akan dipacu oleh enjin empat silinder 1.6 turbo, dengan kuasa 215 hp (218 PS atau 160 kw) dan tork 300 Nm, dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi automatik lapan kelajuan. Di Thailand terdapat versi plug-in hybrid.

    Peugeot 408 2024 akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei – tiga varian, harga antara Civic dan Accord

    Harga bagaimanapun masih belum diketahui. Tetapi apabila kami tanya kepada Morais sama ada ia akan berada dalam lingkungan yang hampir dengan Honda Civic atau tidak, jawapan beliau adalah seperti di bawah.

    “Secara rasminya, kereta ini tidak mempunyai pesaing, duduk dalam ruangnya sendiri, tetapi mengambil asas berdasarkan harga yang pelanggan akan dan sanggup bayar, besar kemungkinan kita melihat kepada pelanggan yang mensasarkan Civic atau Accord, antara dua model tersebut,” kata Morais.

    Memandangkan harga Civic berada antara RM132k ke RM166.5k dan Accord generasi ke-10 pula antara RM187k ke 197k, kami menjangkakan 408 diletakkan sebagai produk premium dengan versi asas mungkin berada antara RM140k-150k.

    Walaubagaimanapun, ia dijangka mempunyai senarai kelengkapan yang cukup, dan harga jangkaan paling tinggi yang dibuatg masih lebih rendah berbanding model PHEV di Thailand, iaitu 2,790,000 baht (RM362,000).

    Ketibaan model yang menggunakan platform sama dengan 308, 508 dan Citroen C5 X ini sudah tidak lama, dan sementara itu, saksikan dulu galeri gambar model pasaran Malaysia ini.

     
     
  • Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition 2024 tiba di Malaysia — 843 PS, harga dari RM2.1 juta

    Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition 2024 tiba di Malaysia — 843 PS, harga dari RM2.1 juta

    Turut diperkenalkan oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini ialah Mercedes-Benz GT63S E Performance F1 Edition. Model edisi khas ini tampil dengan rekaan luaran dan dalaman eksklusif dan dijual pada harga RM2,118,888 atas jalan tidak termasuk insurans. Ini RM30,000 lebih mahal berbanding GT63 E Performance yang dilancarkan di sini Mei tahun lalu.

    Yang membezakan model F1 Edition ini ialah warna yang digunakan — Manufaktur Alpine Grey dengan logi AMG serta warna kelabu dan hitam di bahagian sisinya. Banyak juga perincian kemasan merah yang digunakan, termasuk untuk rim 21-inci AMG yang ada, skirting sisi serta apron depan dan belakang.

    Sama seperti versi bukan F1 Edition, kereta ini hadir dengan pakej luaran AMG Carbon Fibre II (termasuk wing belakang), pakej AMG Aerodynamics, pakej AMG Night luaran dan AMG Night II (kemasan luaran hitam berkilat, termasuk gril, kemasan muncung ekzos, lencana model dan keliling tingkap) serta pakej AMG Dynamic Plus dengan mount enjin aktif.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition 2024 tiba di Malaysia — 843 PS, harga dari RM2.1 juta

    Di dalam, F1 Edition ini datang dengan kerusi AMG Performance dengan kulit hitam Nappa dan jahitan merah — juga dengan tali keledar merah dan elemen kemasan gentian karbon AMG. Begitu juga dengan sterengnya yang khusus AMG, yang dibalut dengan kulit Nappa dan microfibre Microcut dan sill plate bercahaya. Di papan pemuka juga terdapat logo “F1 E Performance” dan juga tikar eksklusif.

    Untuk enjin, ia menggunakan unit sama seperti model GT63S E Performance, iaitu unit M177 4.0 liter turbo berkembar V8 yang menjana sebanyak 639 PS (630 hp atau 470 kW) dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan 900 Nm tork dari 2,500 hingga 4,500 rpm.

    Ini digandingkan dengan transmisi automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ dengan belt-driven starter-generator (RSG) dengan kadar 14 PS (13 hp atau 10 kW) — yang bertindak menghidupkan enjin dan menyokong sistem sampingan lain seperti pendingin dan lampu.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition 2024 tiba di Malaysia — 843 PS, harga dari RM2.1 juta

    Di belakang, ada motor elektrik P3 dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 320 Nm. Ini disertai oleh limited-slip differential (LSD) elektronik dan transmisi dua-kelajuan yang akan masuk pada kelajuan sekitar 140 km/j untuk membolehkan motor tersebut terus memberikan kuasa gerakan dalam kelajuan tinggi.

    Kuasa dari motor elektrik berkenaan juga boleh dipindahkan ke roda depan melalui prop shaft tambahan dan klac yang terletak di belakang transmisi automatik. Ini membolehkan kuasa dari kedua-dua unit pemacu ini dipindahkan ke roda depan bila diperlukan, seperti dalam keadaan gelincir di gandar belakang.

    Semua ini menjadikan output keseluruhan sistemnya adalah 843 PS (831 hp atau 620 kW) dan 1,470 Nm, yang membolehkan kereta seberat 2.4 tan ini memecut 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dan mencapai laju maksimum 316 km/j. Untuk membantu ketika diselekoh, ciri suspensi udara multi-kebuk AMG Ride Control+ dengan penyerap hentak adaptif dan brek karbon seramik diberikan secara standard.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition 2024 tiba di Malaysia — 843 PS, harga dari RM2.1 juta

    Kelengkapan lain yang ada termasuk Keyless-Go, kawalan pendingin Thermotronic, bahagian belakang Easy-Pack, pelantar pengecasan tanpa wayar, telemetri AMG Track Pace, skrin 12.3-inci bersambung (kluster instrumen digital dan skrin infotainmen), head-up display, sistem bunyi Burmester dan Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

    Sistem bantuan pemandu pula termasuklah ciri Driving Assistance Package yang teridiri daripada Active Distance Assist, Active Steering Assist, sementara pakej Guard 360 Vehicle Protection Plus menyertakan penggerak anti-curi dan sistem peninjau ruang dalaman. Pakej Parking pula menyertakan Active Parking Assist dengan Parktronic dan sistem kamera 360-darjah.

     
     
  • GWM Ora 07 bakal dilancar 4pm ini — live di FB

    GWM Ora 07 bakal dilancar 4pm ini — <em>live</em> di FB

    Mula dipertontonkan bulan lalu, GWM Ora 07 bakal dilancarkan secara rasmi hari ini, pada pukul 4 petang. Majlis pelancara itu boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi GWM Malaysia dan juga paultan.org.

    Ora 07 ini akan ditawarkan dalam dua varian, iaitu versi Long Range dan Performance. Kedua-duanya menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) 83.5 kWh — untuk Long Range ia memberikan jarak perjalanan sejauh 640 km (kitaran NEDC) bagi satu cas penuh. Varian ini menampilkan sebuah motor elektrik yang membekalkan kuasa sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm tork, dengan laju maksimum 179 km/j.

    GWM Ora 07 bakal dilancar 4pm ini — <em>live</em> di FB

    Bagi varian Performance, ia mempunyai dua motor dengan tetap pacuan semua roda, dan memberikam sebanyak 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 680 Nm dengan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 180 km/j. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 4.3 saat. Jarak perjalanannya bagaimanapun sedikit kurang dengan 550 km.

    Spesifikasi pengecasan untuk unit di pasaran tempatan akan disahkan ketika pelancaran petang ini. Teruskan bersama kami untuk mengetahui perincian lebih lanjut termasuk harganya petang ini. Majlis pelancarannya boleh diikuti di laman rasmi Facebook GWM Malaysia atau paultan.org.

     
     
  • JPJ eBid: JXA dan VMK bersedia untuk dibida

    Bagi yang bakal menerima kenderaan baharu yang ditempah, bolehlah mencari siri nombor pendaftaran menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Ia melibatkan penawaran siri baharu dari Johor iaitu JXA, sudah boleh dibida sejak semalam 2 April lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 6 April ini. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 April 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, VMK, bidaannya dibuka mulai hari ini, 3 April dan akan berakhir jam 10 malam pada 7 April ini. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 April 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor pendaftaran yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

    Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

    Selain dari melancarkan beberapa koleksi Mercedes-Benz Dream Cars 2024 hari ini ketika berlangsungnya acara ‘Luxury Like No Other’ di Bangsar, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut membuat sesi pra-tonton bagi beberapa model baharu yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi. Salah satunya adalah versi prestasi AMG sebenar paling ‘rahmah’ dalam barisan model C-Class W206, iaitu Mercedes-AMG C43 4Matic.

    Masih lagi bakal ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 3.0L V6 Turbo seperti versi generasi sebelum ini, tetapi kini menerima enjin 2.0L Turbo empat-silinder yang lebih kecil. Walau bagaimanapun, enjin bagi C43 untuk generasi W206 ini sudahpun dihasilkan dalam cara AMG sebenar iaitu satu enjin dipasang sepenuhnya oleh seorang pakar pemasangan enjin, dan kuasa yang dihasilkan juga adalah jauh lebih besar dari sebelum ini.

    Menurut MBM, menerusi C43 W206 ini, Malaysia menjadi satu-satunya negara di luar Jerman yang memasang model AMG sebenar ini dengan kaedah tersebut.

    Enjin yang dimaksudkan adalah enjin M139l sama seperti pada model SL43, iaitu enjin M139 (seperti terdapat dalam perut Mercedes-AMG A45) tetapi diletakkan dalam posisi menegak ke belakang bagi memacu gandar belakang secara primari. M139l pada C43 ini turut menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti M139 A45 iaitu 408 PS (402 hp) dengan tork maksima 500 Nm.

    Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

    Walaupun dengan kapasiti 1.0 liter lebih kecil, enjin ini sebenarnya menjana jumlah kuasa yang lebih besar berbanding enjin V6 turbo sebelumnya yang hanya mengerah 367 PS (362 hp) dan tork maksima 520 Nm. Juga anda perlu tahu, M139l pada SL 43 hanya menghasilkan kuasa 381 PS (375 hp) pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 480 Nm.

    Juga sama seperti A45, enjin C43 ini turut menerima pengecas turbo yang dibantu oleh motor elektrik, didakwa sebagai siri produksi pertama di dunia yang menggunakan teknologi diambil terus dari perlumbaan Formula 1 itu. Menurut Mercedes-AMG, motor elektrik yang dihasilkan senipis 4 cm tersebut dipadankan secara bersepadu pada syaf tengah yang menghubungkan kipas turbin pada belah ekzos dan kipas pemampat pada belah ambilan udara.

    Motor tersebut akan memutarkan syaf berkenaan pada kadar putaran enjin rendah sebelum ia diputarkan oleh gas ekzos, yang bukan sahaja dapat menghilangkan turbo-lag, malah memberikan respon lebih baik bemula dari kelajuan pepura sehingga keseluruhan tahap rpm enjin.

    Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

    Motor ini juga dihubungkan kepada sistem hibrid ringkas 48-volt, yang turut termasuk unit stater generator pacuan tali sawat (RSG), memberikan kuasa tujahan tambahan 14 PS (13 hp) bergantung pada situasi. Secara alternatif, ia turut menyumbang kepada operasi yang lancar untuk fungsi start-stop dan juga mod gliding.

    Sama seperti SL43, C43 W206 ini juga menerima kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Dengan lencana 4Matic, sudah tentu model ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, dengan agihan tork lebih kepada gandar belakang (31% hadapan dan 69% belakang). Dengan semua kelengkapan unit rangkaian kuasa berkenaan, Mercedes-AMG C43 W206 ini mampu memecut 0-100 km/h dalam masa 4.6 saat.

    Menerusi spesifikasi yang dikeluarkan untuk pasaran global, C43 W206 ini mampu mencapai kelajuan maksima 250 km/j, tetapi jika pembeli memilih opsyen AMG Driver Package, ia mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 265 km/j. Ia juga ditawarkan dengan opsyen AMG Real Performance Sound, yang memberikan bunyi enjin yang lebih baik ke dalam kabin.

    Suspensi AMG Ride Control dibekalkan secara standard untuk C 43, dalam konfigurasi sistem double wishbone aluminium hadapan dan belakang, spring gegelung dan juga penggunaan penyerap hentak adaptif. Ia turut diberikan stereng gandar belakang dengan sudut putaran maksima 2.5 darjah.

    Untuk brek, sistem AMG Sports turut diberikan secara standard menampilkan cakera berdiameter 370 mm bersama angkup tetap empat omboh di hadapan dan cakera 320 mm digandingkan dengan angkup terapung omboh tunggal di belakang.

    Karekter sistem pada kereta ini boleh diolah sendiri oleh pemandu menerusi sistem AMG Dynamic Select, yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. AMG Dynamics juga menawarkan tiga mod untuk sistem program kestabilan elektronik (ESP) iaitu Basic, Advanced, Pro. Setiap sistem kenderaan ini turut boleh ditala lagi secara individu bagi mendapatkan tetapan yang sesuai dengan kehendak pemandu.

    MBM masih masih belum mengeluarkan sebarang senarai kelengkapan rasmi bagi C43 AMG pasaran Malaysia ini. Namun berdasarkan unit yang dipamerkan ini, ia nampaknya dibekalkan dengan lampu hadapan Digital Light, rim AMG 19-inci pelbagai jejari dibalut dengan tayar Continental SportContact 7 dan juga sistem brek yang lebih besar.

    Manakala dalam kabin, ia diberikan roda stereng AMG, tempat duduk sport balutan Alcantara, tali pinggang keledar berwarna merah, kemasan gentian karbon pada papan pemuka, set pedal aloi AMG, karpet kaki AMG, paparan head-up, sistem bunyi Burmerster dan juga bumbung panaromik.

    Pakej bantuan pemanduan Driver Assistance Package Plus juga disertakan untuk model pasaran Malaysia ini. Buat masa sekarang MBM masih belum menyebut sebarang harga untuk model ini. Namun kami difahamkan ada pengedar sah Mercedes-Benz menganggarkan ia akan dijual pada harga sekitar RM400k.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025