Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton serahkan X90 binaan khas pada YAM Tengku Sulaiman – warna dua-tona, kabin lebih mewah

    Proton serahkan X90 binaan khas pada YAM Tengku Sulaiman – warna dua-tona, kabin lebih mewah

    Proton hari ini menyiarkan satu video di mana pihaknya telah menyerahkan sebuah lagi kereta binaan khas untuk Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, kali ini ia diasaskan dari SUV segmen-D Proton X90.

    Paling menyerlah sudah tentu pilihan warna badan pada SUV ini di mana Tengku Sulaiman memilih untuk memadankan warna badan dua tona dengan warna perang pada kedua-dua sisi serta warna perak pada bahagian tengah badan. Selain itu X90 ini juga menerima logo ‘Harimau Malaya’ yang berdiri pada penutup bonet hadapan ala-Mercedes-Benz dengan tulisan “Proton X90 Special Edition” pada tapak logo tersebut.

    Selain itu penampilan luaran X90 ini disempurnakan dengan pemadanan set rim aloi istimewa dalam kemasan digilap, membuatkan stance X90 ini nampak lebih gagah dari asal.

    Sentuhan lebih istimewa turut diberikan pada bahagian dalaman di mana kabin SUV ini diberikan balutan upholsteri kulit baharu dengan gandingan warna putih dan merah gelap baharu termasuk pada tempat duduk dan panel pintu. Manakala roda stereng bukan hanya dibalut semula dengan upholsteri yang sama, malah gegelangnya juga dibuat semula menggunakan kayu walnut.

    Penumpang dibaris kedua pula bukan sahaja diberikan rasa mewah menerusi tempat duduk kapten asal X90 ini, malah kini ia turut ditambah dengan meja dengan pemegang cawan yang boleh dilipat, ‘disangkut’ pada bahagian belakang tempat duduk hadapan.

    Tidak disebut sebarang perubahan mekanikal yang dibuat pada X90 ini. Dalam keadaan standard SUV tersebut dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt yang menampilkan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

    Kuasa disampaikan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, disertakan bersama mod manual.

    Juga tidak dinyatakan siapa yang membina X90 terbaharu Y.A.M Tengku Sulaiman ini, namun untuk Proton Perdana, Proton X50 dan Proton X70 binaan khasnya sebelum ini disiapkan oleh subsidiari Proton sendiri untuk kenderaan custom sedemikian iaitu Automotive Conversion Engineering (ACE).

    Selain dari empat model Proton terbaharu berkenaan, Y.A.M Tengku Sulaiman turut mempunyai beberapa lagi model Proton binaan khas dalam koleksinya, termasuk Proton Saga generasi pertama dalam versi limosin, Saga sedan generasi pertama dengan kit badan tersendiri, dan juga Satria Neo dengan kit badan kereta lumba R3 Asia Touring Car Series (ATCS).

    GALERI: Proton X50 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

    GALERI: Proton X70 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

    GALERI: Proton Perdana 2.4 2016 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

     
     
  • Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Lapan bulan selepas dilancarkan, Mitsubishi Triton generasi ketiga yang berada dalam pasaran kini telah diberikan beberapa kemaskini dan naik taraf spesifikasi. Diperkenalkan sempena ulang tahun Mitsubishi Motors Malaysia yang ke-20, kemaskini berkenaan hanya untuk varian Athlete, yang tidak hanya melibatkan penurunan harga tetapi turut juga membawakan kesan visual yang lebih segar kepada trak pikap ini.

    Di depan, rekaan Beast Mode yang digunakan kini tampil dengan tambahan hiasan skid plate yang menampakkannya lebih bersegi. Kemasan perak dan hitam juga nampak serasi dengan bampar hitam Dynamic Shield serta memberikan kontras warna yang menarik (yang kurang kelihatan untuk warna Jet Blakc Mica yang ditampilkan ini).

    Selain itu, tambahan palang sports diberikan untuk trak ini tampil lebih lengkap dan penuh. Dengan dua kemaskini yang diberikan tersebut, Triton Athlete yang ada kini nampak sangat mirip dengan versi rasminya ketika mula diperkenalkan untuk umum pada 2023 dahulu — bagaimanapun, palang sport yang diberikan ini tidak mengenakan ejaan jenama Mitsubishi, mencadangkan bahawa ia keluaran tempatan.

    Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Perubahan lain termasuklah grafik hitam dan perak di bahagian sisi trak, yang nampak agak menonjol dan jelas. Selain itu, pintu ruangan kargo di belakang juga telah diberikan penyerap hentak/damper, dan boleh dibuka tanpa ia terhempas kerana berat.

    Dengan semua kemaskini tersebut, Mitsubishi Triton diturunkan harga sebanyak RM6,000, dan kini dijual dengan harga RM159,980 atas jalan belum termasuk insurans. Ini menjadikan Triton Athlete sebagai trak model flagship yang termurah bagi jenama-jenama utama yang ada — ia RM2,000 lebih murah daripada Isuzu D-Max X-Terrain, RM3,000 lebih murah dari Toyota Hilux Rogue dan RM11,000 lebih murah berbanding Ford Ranger Wildtrak.

    Mitsubishi Triton Athlete 2025 di Malaysia — trak pikap flagship kini lebih murah, diperkemas; RM160k

    Selain semua itu, Athlete kekal identikal seperti sebelumnya, dengan dilengkapi lampu utama LED automatik, rim aloi hitam berkilat 18-inci, landasan di bumbung, pemijak sisi, sistem tanpa kunci, butang Push Start, paparan multi-info tujuh-inci, skrin sentuh infotainmen PEM lapan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin dua zon, pengecas tanpa wayar Qi, kerusi pemandu larasan kuasa elektrik, kerusi balutan kulit dan suede buatan dengan benang oren, tujuh beg udara, AEB, kawalan melayar adaptif dan amaran penukaran lorong.

    Enjin juga kekal sama: unit 2.4 litre 4N16 MIVEC turbo berkembar diesel dengan janaan 204 PS/470 Nm dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Tidak ketinggalan, sistem Super Select 4WD-II dengan mod pacuan empat roda sepenuh masa dan Active Yaw Control (AYC) juga tersedia.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    VW Golf GTI Clubsport 25h & VW Golf GTI 50 auf der Nordschleife – Foto: Gruppe C Photography

    Bagi meraikan ulangtahun ke-50 untuk hot-hatch Golf GTI yang mula di jual di Jerman sejak 1976, Volkswagen memperkenal satu model edisi khas Golf GTI yang digelar sebagai Edition 50. Namun jangan keliru dengan Volkswagen Golf Edition 50 yang dilancarkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu, kerana Edition 50 yang dihasilkan di Jerman ini diasaskan dari versi facelift iaitu Golf Mk8.5 dan ia merupakan Golf GTI produksi paling berkuasa pernah dihasilkan sehingga kini.

    Untuk itu, Volkswagen telah menyumbat enjin 2.0 liter empat-silinder Turbo EA888 evo4 yang sama seperti pada Golf GTI Clubsport, kemudian ditala bagi menghasilkan lebih kuasa iaitu 325 PS dan tork maksima 420 Nm. Ini bermakna Golf GTI Edition 50 ini adalah 25 PS/20 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI Clubsport dan 60 PS/50 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI biasa.

    Selari dengan peningkatan kuasa, suspensi GTI 50 Edition ini turut ditala semula. Secara standard suspensi model istimewa ini adalah 15 mm lebih rendah dari versi biasa, dan sekiranya pembeli memilih untuk memadankan pakej GTI Performance, ia akan menberikan suspensi tersebut tambahan 5 mm lebih rendah dengan spring lebih keras, membolehkan frekuensi asli pada gandar hadapan dan belakang naik sekitar 20%.

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    VW Golf GTI Clubsport 25h & VW Golf GTI 50 auf der Nordschleife – Foto: Gruppe C Photography

    Menurut Volkswagen talaan semula yang dibuat ini memberikan karekteristik sokongan yang lebih baik, respon yang lebih terus dan juga mengurangkan gerakan olengan dan olah gerak. Pakej tersebut turut datang sekali pengadaptasi cagak suspensi, rim aloi forged ‘Warmenau’ 19-inci dan juga tayar jenis semi slick Bridgestone Potenza Race bersaiz 235/35R19.

    Volkswagen juga mendakwa bahawa setiap roda berkenaan ditimbang dengan berat 8 kg, atau 3 kg lebih ringan dari rim 19-inci standard. Manakala untuk tayar Volkswagen menyatakan bahawa ia bekerjasana rapat dengan Bridgestone bagi memastikan tayar Potenza Race berkenaan memberikan lebih cengkaman tetapi kurang rintangan golekan.

    Bagi mengurankan lagi berat kereta ini, Volkswagen turut menawarkan set ekzos titanium dari Akrapovic, membolehkan beratnya dikurangkan lagi sebanyak 11 kg.

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 2026 didedah – 325 PS/420 Nm, Golf produksi paling laju di Nürburgring!

    Dengan semua rombakan dibuat, Volkswagen Golf GTI Edition 50 ini berjaya mencatatkan masa lap terpantas 7 minit 46.13 saat di litar ‘The Green Hell’ Nurburgring Nordschleife, dipandu oleh pelumba Touring Car dan pemandu uji Volkswagen sendiri iaitu Benny Leuchter.

    Walaupun rekod berkenaan masih belum boleh memecahkan rekod kereta pacuan roda hadapan terpantas di litar berkenaan yang masih dipegang oleh Honda Civic Type R FL5, ia telah pun memecahkan rekod yang dibuat oleh Volkswagen Golf R juga dipandu oleh Leuchter dengan catatan 7 minit 47.31 saat pada 2022.

    Tak lengkap jika sesebuah model edisi terhad itu tidak hadir dengan perincian luaran dan dalaman istimewa bagi membezakannya dengan model biasa. Oleh itu Golf Edition 50 ini diberikan logo ‘GTI 50’ pada spoiler bumbung dan pada sebelah dalam cermin sisi dan pada kemasan bendul pintu, serta kemasan-kemasan hitam pada bumbung, penutup cermin sisi, kemasan tip ekzos serta jalur sisi badan.

    Volkswagen Golf GTI 50 ini ditawarkan dalam warna badan Pure White, Moonstone Grey dan Grenadilla Black, serta dua warna eksklusif khas iaitu Dark Moss Green dan Tornado Red. Manakala pada bahagian dalaman, Golf GTI istimewa ini diberikan tempat duduk dengan corak kotak-kotak ikonik, tali pinggang merah dan juga roda stereng rata di bawah dengan logo ‘GTI 50’ pada jejari bawah.

    Harga bagi Volkswagen Golf GTI Edition 50 ini masih belum diumumkan. Penghantaran kereta ini kepada pelanggan yang telah menempahnya hanya akan dibuat pada suku pertama 2026 bagi menggenapkan usia 50 tahun hot-hatch berkenaan.

     
     
  • Zeekr 009 Ultra Luxury di Malaysia – galeri MPV 6-tempat duduk berharga RM359,800, 582 km WLTP

    Zeekr 009 Ultra Luxury di Malaysia – galeri MPV 6-tempat duduk berharga RM359,800, 582 km WLTP

    Zeekr secara rasmi memasuki pasaran Malaysia enam bulan lalu dengan menawarkan dua model EV iaitu SUV X dan MPV mewah 009 yang anda lihat menerusi galeri foto mega ini. Pencabar Alphard/Vellfire ini memulakan langkah dengan baik dan kini merekodkan sebanyak 402 unit telah didaftarkan di Malaysia sehingga akhir Mei, menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekaligus menjadikannya MPV EV ketiga paling laris setakat tahun ini.

    Bagi 009 di pasaran Malaysia, ia hadir dengan tiga varian iaitu varian tujuh-tempat duduk Executive pada harga RM310,000, tujuh-tempat duduk Luxury pada RM350,000, dan enam-tempat duduk Ultra Luxury yang dipaparkan di sini yang berharga RM360,000. Varian Executive diberikan satu motor elektrik hadapan dengan 340 PS/373 Nm, manakala dua varian lagi menggunakan dua motor elektrik yang menghasilkan gabungan 612 PS/693 Nm. Namun, kesemua varian menggunakan pek bateri NMC 116 kWj yang sama, menjadikan varian Executive sebagai “raja jarak” dengan keupayaan 604 km mengikut piawaian WLTP.

    Manakala dua varian lebih tinggi masih menawarkan jarak 582 km iaitu hanya kurang 22 km dengan kuasa 80% lebih tinggi, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat. Kadar pengecasan maksimum ialah 11 kW (AC) dan 150 kW (DC), di mana pengecas DC mampu mencapai status pengecasan dari 10% ke 80% sekitar setengah jam.

    Zeekr 009 Ultra Luxury di Malaysia – galeri MPV 6-tempat duduk berharga RM359,800, 582 km WLTP

    Dari segi kelengkapan, ketiga-tiga varian menawarkan ciri hampir serupa – semuanya didatangkan dengan suspensi udara dua-ruang, rim aloi 19-inci, lampu utama LED matrix, serta panel sentuh pada pintu gelangsar kuasa untuk akses pantas bagi kawalan pintu dan pendingin hawa.

    Ciri standard lain termasuk sistem (ADAS) sepenuhnya dan tujuh beg udara, tempat duduk barisan hadapan dan tengah dengan fungsi urut dan pengudaraan, balutan kulit Nappa, peti sejuk 8.6-liter, bumbung suria panoramik, skrin siling OLED 17-inci dengan alat kawalan jauh, kamera di barisan tengah dan banyak lagi.

    Perbezaan kelengkapan antara varian hanyalah Executive tidak mempunyai pintu depan soft-close dan stereng boleh laras kuasa, manakala Ultra Luxury yang hanya mempunyai enam-tempat duduk menampilkan tempat duduk tengah yang lebih lebar, mmembuatkan ia tidak boleh dilalui untuk ke barisan ketiga.

    Selain itu, ia turut diberikan kluster instrumen digital 10.25-inci dan skrin sentuh OLED 15.05-inci, manakala konsol tengah menempatkan pad pengecas tanpa wayar 50W. Turut dilengkapi ialah paparan utama 39.95-inci dengan augmented reality (AR), sistem telematik, serta 30 unit pembesar suara Yamaha.

    Zeekr 009 berukuran 5,209 mm panjang, 2,024 mm lebar, 1,848 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 3,205 mm – menjadikannya 200 mm lebih panjang, 174 mm lebih lebar dan 205 mm jarak roda lebih panjang berbanding Vellfire (RM438k) dan Alphard (RM538k). Setiap unit 009 disertakan dengan waranti kenderaan lima-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km dan dua-tahun perkhidmatan sambungan percuma.

     
     
  • CFMoto 675NK dilancarkan di Malaysia – enjin tiga silinder 675 cc, suspensi Kayaba boleh laras, RM34k

    CFMoto 675NK dilancarkan di Malaysia – enjin tiga silinder 675 cc, suspensi Kayaba boleh laras, RM34k

    Satu lagi produk terbaru daripada CFMoto, iaitu 675NK kini tiba di pasaran Malaysia dengan dilancarkan pada harga RM33,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam dua warna, iaitu Glacier White dan Tundra Grey, bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Model ini sebenarnya berkongsi banyak persamaan dengan model sports 675 SR-R, tetapi ia datang dengan panel badan yang lebih ringkas sebagai versi naked. Walaubagaimanapun, prestasi masih lagi menjadi keutamaan.

    Menggerakkanya adalah enjin tiga silinder selari DOHC 675 cc berkemampuan 94 hp pada 11,000 rpm dan tork 70 Nm pada 8,250 rpm, disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan serta pacuan rantai. Turut diberi sekali adalah quickshifter yang boleh digunakan untuk menaikkan gear.

    Untuk pengendalian, motosikal ini datang dengan suspensi boleh laras daripada Kayaba, yang terdiri daripada fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang. Untuk menambahkan lagi stabiliti, di bahagian atas pemegang terdapat steering damper.

    Suspensi ini bersambung dengan rim 17 inci, bersama tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang, sementara tugas membrek pula dijalankan oleh kelengkapan daripada J.Juan, yang termasuk set berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan satu piston di belakang.

    Di bahagian elektronik, 675 NK datang terus dengan ABS dual-channel, sistem kawalan cengkaman dua tahap serta sistem pemerhati tekanan angin tayar, manakala panel instrumen pula terdiri daripada skrin TFT lima inci yang boleh disambung kepada telefon pintar.

    Berat keseluruhan 675NK adalah 189 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 15 liter. Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C dan USB-A.

     
     
  • Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Mitsubishi Indonesia mula menyiarkan teaser untuk sebuah model baru yang namanya masih dirahsiakan. Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, kelihatan sebuah helikopter (seperti pengangkut yang digunakan askar) membawa kotak misteri dengan tulisan yang bermaksud “sudah bersedia untuk destinasi baru anda?”

    Kemudiannya untuk keterangan mereka meletakkan pula “sesuatu yang besar akan tiba. Bersedia untuk keterujaannya. Apa kata anda?” Ini memberi pertunjuk bahawa model baru tersebut mungkin bersaiz besar dan dengan pameran Gaikindo Indonesia International Motor Show (GIIAS) bakal berlangsung bulan depan, besar kemungkinan ia akan membuat penampilan sulungnya di sana.

    Kita juga boleh menjangkakan bahawa model misteri ini adalah versi produksi kepada DST Concept, sebuah SUV bersaiz sederhana yang pernah ditampilkan di Pameran Motor Antarabangsa Filipina pada Oktober 2024. Menurut Mitsubishi Motors Corporation (MMC), DST Concept memberi bayangan kepada model SUV tiga baris tempat duduk yang akan dilancarkan di rantau ASEAN seawal tahun 2025, iaitu antara April 2025 hingga Mac 2026 – yang bermakna kita kini berada dalam jangka masa itu.

    Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Presiden dan CEO MMC, Takao Kato sebelum ini pernah berkata, “Mitsubishi DST Concept mewakili SUV tiga baris tempat duduk baru yang akan dilancarkan dalam pelan perniagaan pertengahan kami, Challenge 2025. Model produksi ini akan dipasarkan terutamanya di rantau ASEAN termasuk Filipina bermula tahun fiskal 2025.”

    Tambah beliau, SUV baru ini akan mengikut jejak langkah Xpander, MPV crossover yang berjaya di ASEAN dan kemudiannya mendapat sambutan global, serta Xforce, SUV kompak yang diterima baik sejak diperkenalkan pada tahun fiskal 2023. “Kami mahu menjadikan SUV baharu ini sebagai kenderaan strategik global dengan identiti Mitsubishi yang tersendiri dan mampu memperluaskan kebebasan mobiliti pelanggan kami,” kata Kato.

    Model produksi DST akan menggunakan platform monocoque (bukan berasaskan trak seperti Pajero Sport) dan bukan juga pengganti kepada Xpander atau Xpander Cross. Ia adalah tambahan baru dalam barisan kenderaan utiliti Mitsubishi “untuk pelanggan yang mencari SUV tujuh tempat duduk yang selesa untuk semua penumpang.”

    Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Dari segi rekaan, DST menampilkan elemen reka bentuk ‘Gravitas & Dynamism’ yang banyak berkongsi ciri dengan Mitsubishi Xforce, terutama pada bahagian hadapan dan belakang serta bentuk lampu. Kesan seperti kening pada lengkungan roda belakang yang terdapat pada Xforce kini juga kelihatan pada roda hadapan DST berikutan ketinggian badannya.

    Bahagian dalaman pula menampilkan kokpit luas dengan rekaan melengkung yang menghubungkan papan pemuka ke bahagian pintu. Tidak seperti Xforce, rekaan dalam DST ini lebih eksklusif dengan penggunaan bahan lembut premium serta bumbung panoramik besar yang membenarkan cahaya semula jadi masuk. Reka letak skrin berkembar, seperti yang ada pada Xforce, turut digunakan.

    Menariknya, walaupun Mitsubishi terkenal dengan sejarah kejayaan rali lasak seperti Dakar, model DST ini tidak dilengkapi pacuan semua roda (AWD). Sebaliknya, ia menggunakan pacuan roda hadapan (FWD) tetapi dikatakan masih mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan jalan. Lima mod pemanduan disediakan untuk menyesuaikan dengan keadaan jalan di ASEAN – Wet, Tarmac, Normal, Gravel dan Mud.

     
     
  • JKR semak laporan penilaian keadaan turapan sebelum mulakan baikpulih Lebuhraya Timur-Barat

    JKR semak laporan penilaian keadaan turapan sebelum mulakan baikpulih Lebuhraya Timur-Barat

    Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti laporan akhir Penilaian Keadaan Turapan (PCA) bagi perancangan kerja-kerja baikpulih jalan raya, termasuk laluan kritikal seperti Lebuhraya Timur-Barat (JRTB), laporan Bernama.

    PCA adalah penting bagi mengenal pasti bahagian turapan yang rosak dan menentukan kaedah penyelenggaraan yang paling sesuai demi memastikan peruntukan yang ada digunakan secara optimum, kata Ketua Pengarah JKR Datuk Roslan Ismail.

    Bagi laluan Gerik-Jeli di JRTB, PCA telah dijalankan sejak 13 Mac menggunakan teknologi canggih seperti Multi Laser Profiler dan Falling Weight Deflectometer. “Kami memulakan penilaian tersebut pada awal tahun ini, dan kini ia berada di peringkat akhir,” kata Roslan.

    JKR semak laporan penilaian keadaan turapan sebelum mulakan baikpulih Lebuhraya Timur-Barat

    Berdasarkan laporan PCA, JKR akan menggunakan peruntukan sedia ada sebanyak RM55 juta untuk kerja-kerja pembaikan, dan sekiranya jumlah itu tidak mencukupi, ia akan memohon peruntukan tambahan. Sementara itu, Roslan turut menambah bahawa adalah mustahil untuk membaiki keseluruhan laluan dalam tempoh yang singkat disebabkan kos yang tinggi dan kemungkinan gangguan terhadap projek infrastruktur lain.

    Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) sepanjang 215 km telah dikenal pasti sebagai laluan strategik yang sering rosak akibat keadaan cuaca dan trafik yang tinggi, dan Roslan turut menambah bahawa sebarang kerja pembaikan jalan akan dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan pertindihan atau gangguan terhadap projek pembangunan lain yang sedang berjalan.

    Awal bulan ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bahawa peruntukan sebanyak RM55 juta akan digunakan bagi menambah baik Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) tahun ini. Beberapa bahagian penting lebuh raya tersebut telah dikenal pasti untuk dinaik taraf, termasuk lokasi kemalangan bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

     
     
  • Aerotrain KLIA kembali beroperasi mulai 1 Julai

    Aerotrain KLIA kembali beroperasi mulai 1 Julai

    Mulai Julai ini, penumpang yang menaiki penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dapat bergerak antara terminal utama dan bangunan satelit dengan menaiki Aerotrain apabila perkhidmatan tren ini kembali beroperasi secara rasmi. Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut memaklumkan perkhidmatan Aerotrain kini sedang dalam fasa ujian terakhir laporan Malay Mail.

    “Saya gembira untuk mengumumkan bahawa kita sedang memasuki fasa akhir ujian dalam beberapa hari akan datang. Jika semuanya berjalan lancar, kami telah memutuskan untuk membuka semula perkhidmatan tren ini pada jam 10 pagi, 1 Julai,” katanya.

    Jelas beliau, sistem tersebut kini berada dalam fasa akhir ujian, yang melibatkan simulasi langsung pelan tindak balas kecemasan (ERP) dan kakitangan berkaitan. Beliau menambah bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan utama. “Keselamatan adalah sangat penting. Sebab itulah kami mengambil masa untuk menjalankan pelbagai ujian. Ujian-ujian ini dipantau sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

    Aerotrain KLIA kembali beroperasi mulai 1 Julai

    Loke turut berkata sistem bas perantara sedia ada akan terus beroperasi bagi menyokong sistem Aerotrain sehingga prestasinya mencapai tahap optimum. “Apabila semuanya beroperasi pada tahap optimum, pihak pengurusan (Malaysia Airports Holdings Berhad) akan menentukan sama ada untuk menghentikan atau mengekalkan perkhidmatan bas tersebut,” katanya.

    Beliau berkata Aerotrain, yang telah digantung operasinya sejak Mac 2023 susulan kerosakan, kini sedang menjalani fasa akhir ujian yang melibatkan simulasi langsung pelan tindak balas kecemasan (ERP) serta beberapa perkara berkaitan.

    Dengan masa perjalanan kurang daripada dua minit, setiap set Aerotrain terdiri daripada tiga gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 90 orang setiap satu, menjadikan jumlah kapasiti 270 orang bagi setiap perjalanan. Pada waktu puncak, dua tren akan beroperasi, manakala hanya satu tren akan beroperasi pada waktu bukan puncak antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi.

     
     
  • Lexus IS 500 Climax Edition 2025 dilancarkan di Jepun – edisi selamat tinggal hanya 500 unit, brek Brembo

    Lexus IS 500 Climax Edition 2025 dilancarkan di Jepun – edisi selamat tinggal hanya 500 unit, brek Brembo

    Model Lexus IS generasi sedia ada sudahpun berada sekitar 12 tahun dalam pasaran. Dan setelah beberapa fasa facelift diberikan kepada siri model yang masih belum beralih ke platform Toyota New Global Architecture (TNGA) itu, Lexus mengambil keputusan untuk menghentikan produksi untuk kedua-dua IS 500 dan IS 300 di Jepun pada November ini.

    Untuk itu, Lexus melancarkan model edisi khas sebagai ucapan selamat tinggal terhadap IS generasi ketiga ini, berasaskan IS 500 dan dikenali sebagai Climax Edition. Lexus IS 500 Climax Edition ini hanya akan dihasilkan sebanyak 500 unit, dan dijual pada harga 9.5 juta yen (sekitar RM277k), atau sejuta yen (RM29k) lebih mahal dari Lexus US 500 F Sport Performance biasa.

    Model ini masih dijana oleh enjin V8 2UR-GSE 5.0 liter NA berkuasa 481 PS dan tork maksima 535 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan SPDS (Sport Direct Shift) yang hanya memacu roda belakang. Namun apa yang berbeza, versi Climax Edition datang standard dengan sistem brek Brembo pada sebelah depan yang menampilkan cakera berdiameter 380 mm, angkup aluminium enam-omboh dalam kemasan merah dan juga pad brek dengan daya geseran tinggi.

    Selain itu model istimewa ini juga menerima set rim aloi forged 19-inci dari BBS dalam kemasan hitam matte dan juga badan yang dilayangkan dengan warna Neutrino Grey. Perincian-perincian ini semua sebenarnya sama dengan apa yang ditawarkan pada Lexus IS 500 Ultimate Edition yang telah dilancarkan di pasaran Amerika Utara.

    Pada bahagian dalaman pula IS 500 Climax Edition ini diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT-LCD lapan-inci yang menampilkan grafik selamat datang ‘Climax Edition’ isitimewa. Kabin model ini juga menerima tema hitam-merah dengan diberikan roda stereng dan tombol gear yang dibalut dengan kulit asli, serta upholsteri gandingan material Ultrasuede dan kulit sintetik L-tex pada tempat duduk dalam kemasan hitam-merah.

    Ia juga hadir dengan tali pinggang keledar merah, plat kemasan bendul pintu khas, jam analog berdasakan GPS dengan serlahan merah ukiran laser dan juga plak ‘Climax Edition’ yang dilekat pada konsol tengah.

     
     
  • Siri plat khas ‘PETRA’ yang masih berbaki dibuka untuk jualan melalui portal MySikap – JPJ

    Siri plat khas ‘PETRA’ yang masih berbaki dibuka untuk jualan melalui portal MySikap – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan baki jualan untuk Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ‘PETRA’ dibuka menerusi portal MySikap bermula hari ini.

    NPI PETRA ini pernah dibuka bidaan menerusi JPJeBid pada awal Oktober 2024. Ia merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong agenda sifar karbon melalui peralihan tenaga dan transformasi air menjelang 2050. Singkatan PETRA ini juga adalah sinonim dengan penjenamaan yang ingin diketengahkan melalui promosi dan kesedaran serta kepentingan agenda peralihan tenaga.

    Untuk mendapatkan NPI ‘PETRA’ ini, anda perlu mendaftar akaun di MySikap, namun bagi pengguna sedia ada, anda boleh log masuk ID anda dan kemudian pergi ke Menu ‘Kenderaan’. Seterusnya, klik pada Menu ‘Tempahan Nombor Pendaftaran’ dan pilih ‘Nombor Pendaftaran Istimewa’.

    Klik untuk besarkan

    Kemudian, klik pula bahagian ‘Siri dan Nombor’ untuk memilih baki nombor plat khas ‘PETRA’ ini. Senarai baki nombor boleh dilihat menerusi paparan ‘Nombor Pendaftaran Yang Ingin Dibeli’.

    Selepas anda membuat pilihan nombor yang berkenan, anda boleh terus ke bahagian pembayaran dan menggunakan transaksi tanpa tunai sama ada menggunakan kad debit/kredit atau pun pembankan dalam talian. Selesai sahaja membuat pembayaran, jangan lupa cetak resit pembayaran.

     
     
  • JPJ tangguh selenggara pusat data pada 20-22 Jun 2025 – semua perkhidmatan beroperasi seperti biasa

    JPJ tangguh selenggara pusat data pada 20-22 Jun 2025 – semua perkhidmatan beroperasi seperti biasa

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan kerja-kerja penyelenggaraan perkakasan keselamatan rangkaian di pusat data JPJ di Cyberjaya yang sepatutnya dilaksanakan pada 20 hingga 22 Jun, jam 10 malam hingga 6 pagi, ditangguhkan pada tarikh lain.

    Ini bermakna semua capaian ke sistem perkhidmatan JPJ beroperasi dan berjalan seperti biasa. Dan orang ramai boleh berurusan untuk perkhidmatan yang berkaitan di semua perkhidmatan di Kaunter JPJ Negeri, cawangan dan UTC, portal MySikap (awam & rakan niaga), Integrasi Bersama Agensi & Rakan Niaga, Vehicle Entry Permit(VEP) (portal serta pembayaran), Road Charge (RC) melalui e-Wallet, aplikasi MyJPJ, JPJ Mobile, JPJeBID dan juga kios JPJ yang akan beroperasi seperti sedia kala.

     
     
  • MBSA tawar diskaun saman parkir 30% pada 22 Jun dalam acara Hari Mesra MBSA di Elmina Lakeside Mall

    MBSA tawar diskaun saman parkir 30% pada 22 Jun dalam acara Hari Mesra MBSA di Elmina Lakeside Mall

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan diskaun 30% bagi saman parkir, yang akan ditawarkan pada hari Ahad ini (22 Jun) sempena acara Hari Mesra MBSA di Elmina Lakeside Mall, Elmina City. Acara ini akan berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

    MBSA juga bakal melancarkan program parkir percuma untuk warga emas dalam acara tersebut. Inisiatif ini yang dinamakan Golden Parking telah diumumkan pada akhir bulan lalu dan dikhaskan kepada individu berumur 60 tahun ke atas. Pemohon perlu merupakan pembayar cukai kepada MBSA dan hanya satu kenderaan (di bawah nama warga emas tersebut) dibenarkan untuk didaftarkan.

    Jika anda layak, anda boleh mengisi borang secara digital melalui kod QR yang disediakan, atau hadir sendiri ke Wisma MBSA, Seksyen 14, Shah Alam. Permohonan boleh dibuat dari pukul 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja, cuma jangan datang pada waktu rehat iaitu dari 1 tengah hari hingga 2 petang, atau 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang pada hari Jumaat.

    MBSA memaklumkan bahawa tiada tarikh tutup bagi pendaftaran – ini bukan tawaran terhad. Manakala bagi diskaun saman pada hari Ahad ini, ia merupakan peluang baik untuk menyelesaikan saman sekiranya anda berada di kawasan berhampiran.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV – lebih 800 unit telah terjual di Malaysia hanya selepas empat bulan dilancarkan

    Jaecoo J7 PHEV – lebih 800 unit telah terjual di Malaysia hanya selepas empat bulan dilancarkan

    Omoda | Jaecoo Malaysia hari ini mengumumkan bahawa lebih 800 SUV Jaecoo J7 PHEV telah terjual hanya dalam masa empat bulan selepas model berkenaan dilancarkan ke pasaran tempatan Februari lalu. Malah baru-baru ini juga jenama berkenaan telah meraikan 100 orang pelanggan yang menerima SUV masing-masing.

    “Kami menghargai pengguna awal kami dan berharap untuk menyampaikan lebih banyak unit Jaecoo J7 PHEV kepada isi rumah yang pandai menilai dalam mencari SUV premium yang boleh pergi jauh,” kata naib presiden Omoda | Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    “Dengan satu tangki penuh bahan api dan bateri yang dicas penuh, pemilik boleh membuat perjalanan lebih 1,300 km (NEDC) dengan mudah tanpa perlu berhenti untuk mengisi minyak atau mengecas semula. J7 PHEV mewakili yang terbaik dari kedua-dua dunia – membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya di bandar dengan jarak perjalanan elektrik yang luar biasa sejauh 106 km (NEDC) dan perjalanan jarak jauh yang sangat cekap,” tambahnya.

    Buat masa sekarang Jaecoo J7 PHEV merupakan model dengan sistem plug-in hybrid paling mampu milik dijual di Malaysia, dengan harga atas jalan ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM158,800.

    Jaecoo J7 PHEV – lebih 800 unit telah terjual di Malaysia hanya selepas empat bulan dilancarkan

    Berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, model dengan bantuan elektrikfikasi ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Super Hybrid System (SHS), menggandingkan enjin petrol 1.5 Turbo GDi kitaran Deep Miller yang menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 215 Nm, transmisi khusus hibrid (DHT) satu kelajuan, dan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm pada gandar roda hadapan.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 347 PS dan tork maksima 525 Nm. Dengan kuasa tork gergasi, SUV seberat 1,795 kg ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat.

    Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri Blade litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh BYD berkapasiti 18.3 kWj, dengan kemampuan menerima pengecas AC 6.6 kW (0-100% dalam masa 4 jam) dan juga pengecas pantas DC sehingga 40 kW (30%-80% dalam masa 20 minit).

    Ini membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 88 km dalam kitaran ujian WLTP, serta membekalkan kuasa untuk kegunaan lain menggunakan sistem V2L dengan menyediakan kapasiti sehingga 3.3 kW.

     
     
  • Kerajaan belum ada rancangan perkenalkan semula GST, kewangan rakyat belum bersedia — PM

    Kerajaan belum ada rancangan perkenalkan semula GST, kewangan rakyat belum bersedia — PM

    Kerajaan Madani sekali menegaskan bahawa tidak ada sebarang perancangan untuk memperkenalkan semual cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini adalah kerana julat pendapatan sebahagian besar rakyat Malaysia masih terlalu rendah, lapor New Straits Times.

    Mengulangi apa yang dikatakan pada Oktober lalu, beliau menjelaskan walaupun GST merupakan sistem yang cekap dan telus, adalah tidak sesuai untuk ia dilaksanakan semula sekarang, memandangkan ia akan menjadi beban kepada kelompok berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

    “Walaupun ada yang merasakan itu sebuah pendakatan yang adil, ramai warga berpendapatan rendah yang akan terkesan dengannya walaupun ada diberikan beberapa pengecualian. Walaupun kita mengecualikan barangan seperti beras dan gula, kelompok berkenaan masih perlu menanggung cukai bagi barangan dan perkhidmatan lain, termasuk pengangkutan awam. GST akan memberi kesan kepada semua aspek kehidupan harian mereka,” jelas beliau.

    Kerajaan belum ada rancangan perkenalkan semula GST, kewangan rakyat belum bersedia — PM

    Beliau yang juga menyandang jawatan Menteri Kewangan berkata tahun lalu, GST hanya akan dilaksanakan semula selepas julat gaji minimum beranjak sekitar RM3,000-RM4,000, yang mencadangkan bahawa ia mungkin akan dilaksanakan semula bukan dalam masa terdekat.

    GST pertama kali diperkenalkan pada April 2015 pada kadar 6% (yang telah mengurangkan harga bagi sesetengan kenderaan ketika itu) tetapi kemudiannya dihentikan pada 2018 selepas Pakaran Harapan mengambil alih kuasa, dan digantikan dengan cukai jualan dan cukai perkhidmatan 10%. Sejak itu, perlaksanaan semula GST selalu disebut-sebut.

     
     
  • Volkswagen pertimbang keluarkan ID2 R – versi prestasi AWD bagi hatch elektrik, motor dalam roda

    Volkswagen pertimbang keluarkan ID2 R – versi prestasi AWD bagi hatch elektrik, motor dalam roda

    Volkswagen kini sedang mempertimbangkan untuk membangunkan versi prestasi tinggi bagi model elektrik kompak ID 2, dikenali sebagai ID 2 R. Menurut laporan Autocar, model ini berkemungkinan menjadi yang pertama daripada Volkswagen menggunakan motor dalam roda (in-wheel motors) sebagai sebahagian daripada sistem pacuan semua roda (AWD).

    Model ID 2 R ini dijangka akan berada di atas ID 2 GTI – model konsep yang diperkenalkan pada tahun 2023 – dari aspek prestasi. Ia akan mengekalkan motor pacuan hadapan dan sistem elektronik kuasa dari ID 2 GTI, tetapi ditambah dengan dua motor kawalan bebas di roda belakang, memberikan sistem pacuan semua roda tanpa menjejaskan ruang but.

    Autocar turut memetik kata dari sumber dalaman Volkswagen Wolfsburg, yang memberitahu bahawa pembangunan model R ini sedang dilakukan dengan kerjasama rakan teknikal dari Balkan, dipercayai sebagai pakar dalam teknologi motor ringan berprestasi tinggi jenis in-wheel.

    Volkswagen pertimbang keluarkan ID2 R – versi prestasi AWD bagi hatch elektrik, motor dalam roda

    “Sistem ini bakal menggabungkan agihan tork pintar, kawalan yaw berasaskan brek dan mod pemanduan dinamik – memberikan “prestasi dan pengendalian seperti kereta hyper-hatch“, tanpa saiz besar dan kos tinggi sistem motor dwi-konvensional,” kata sumber itu kepada Autocar.

    Walaupun begitu, laporan tersebut menyebut bahawa modifikasi besar terhadap platform MEB Plus (asas ID 2) tidak diperlukan sekiranya Volkswagen memilih untuk menggunakan motor belakang konvensional sebagai alternatif. Sebagai perbandingan, ID 2 GTI dijangka menghasilkan sekitar 290 PS, manakala versi ID 2 R dengan tiga motor elektrik berkemungkinan melepasi 400 PS.

    Penggunaan motor dalam roda membolehkan sistem pacuan belakang dipasang terus dalam roda, menjadikan model AWD lebih kompak tanpa perlu pengorbanan ruang atau struktur. Teknologi ini juga membolehkan Volkswagen menghasilkan kereta dengan pacuan hadapan (FWD), belakang (RWD) atau semua roda (AWD) atas platform sama – dengan perubahan perkakasan yang minimum.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025