Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Anggota JPJ dirempuh penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban-PD

    Anggota JPJ dirempuh penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban-PD

    Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dirempuh oleh penunggang motosikal sewaktu sedang mengadakan sekatan jalan raya di KM 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson menghala Port Dickson.

    Menurut JPJ, insiden yang berlaku pada 11 pagi itu apabila penunggang Yamaha Y125ZR telag melanggar sekatan dan merempuh anggota berkenaan. “Hasil siasatan Bahagian Penguatkuasaan JPJ Negeri Sembilan mendapati penunggang motosikal berusia 25 tahun itu mempunyai dua kesalahan senarai hitam yang masih aktif.

    “Antaranya ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 18/07/2012 di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) di bawah Seksyen 26 (1) APJ 1987 dan sita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    JPJ turut berkata, akibat rempuhan tersebut, anggota terbabit hanya mengalami kecederaan di leher, kepala dan bengkak tangan serta kaki. Dia dirawat di Hospital Port Dickson dan dibenarkan pulang selepas rawatan.

    Susulan itu, laporan polis telah dibuat dan penunggang berkenaan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Difahamkan, penunggang motosikal terbabit turut memiliki rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

    “Sebagaimana sedia maklum, JPJ melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 bermula 1 hingga 30 September di seluruh negara dan objektifnya ke arah mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya.

    “Justeru, JPJ ingin menasihati orang ramai supaya tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan Operasi Penguatkuasaan SJR,” tambah JPJ.

    JPJ juga menyeru orang awam untuk melaporkan aduan kesalahan lalu lintas secara terus menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel [email protected] berserta butiran lengkap aduan.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 dipertonton di Malaysia – versi terbaru dengan skrin TFT, lancar hujung tahun, RM70k

    Yamaha Tenere 700 dipertonton di Malaysia – versi terbaru dengan skrin TFT, lancar hujung tahun, RM70k

    Hari ini telah berlangsungnya pra tonton awal model adventure Yamaha yang ditunggu ramai di Malaysia, iaitu Tenere 700. Harga yang dikeluarkan adalah RM69,988 tidak termasuk insurans, dan pelancaran rasmi serta penghantaran kepada pelanggan terawal akan berlaku hujung tahun ini.

    Dipasang oleh Hong Leong Yamaha Motor di kilang mereka di Sungai Buloh, Tenere 700 pasaran Malaysia ini merupakan versi terbaru yang dilengkapi dengan skrin TFT-LCD lima inci, yang jika dilihat seperti di negara luar, ia boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi khas Yamaha.

    Kemudiannya, penunggang model ini boleh menggunakan pilihan tiga mod iaitu On, Rear Off dan ABS Off untuk sistem ABS, manakala penukar gear pula sudah tersedia untuk dipadankan bersama quickshifter (akan disahkan semasa pelancaran nanti sama ada ia diberikan terus atau sebagai pilihan tambahan).

    Untuk enjin, unit yang digunakan masih lagi sama seperti model yang diperkenalkan sejak lebih empat tahun lepas, iaitu unit dua silinder selari DOHC 689 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 73.4 PS pada 8,750 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 16 liter.

    Memberikan kelebihan penggunaan offroad pada model ini adalah padanan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, serta suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork USD 43 mm dengan jarak gerak 210 mm (World Raid mempunyai jarak gerak 230 mm), dan monoshock dengan jarak gerak 200 mm di belakang. Berat keseluruhan Tenere 700 adalah 205 kg.

    GALERI: Yamaha Tenere 700

     
     
  • Vespa 946 10 Anniversario 2023 tiba di Malaysia – enjin empat strok 150 cc, satu tempat duduk, harga RM100k

    Vespa 946 10 Anniversario 2023 tiba di Malaysia – enjin empat strok 150 cc, satu tempat duduk, harga RM100k

    Vespa 946 10 Anniversario yang didedahkan kali pertama semasa pameran EICMA tahun lepas kini sudah tiba di Malaysia dan dijual pada harga RM99,900 tidak termasuk insurans. Daripada 1,000 unit yang dikeluarkan untuk seluruh dunia, hanya tidak sampai 20 unit tiba di negara kita.

    Selain membawa bentuk unik 946 termasuk pada badan, lampu serta tempat duduknya, model 946 10 Anniversario yang dibuat untuk menyambut ulang tahun ke-10 946 ini juga mendapat grafik karekter arnab simbolik kepada tahun arnab dalam kalendar China.

    Model ini juga dianggap sebagai sebuah model koleksi, dengan setiap satunya mempunyai plet nombor keluaran yang dilekatkan pada tempat simpanan barang di bawah bahagian pemegang. Melengkapkan penampilannya adalah warna hijau muda serta kemasan hitam di beberapa bahagian lain.

    Vespa 946 10 Anniversario pasaran Malaysia digerakkan oleh enjin empat strok satu silinder 150 cc, dan diberikan dengan ciri seperti panel paparan LCD, lampu depan dan belakang LED serta rim 12 inci di depan dan belakang. Walaupun dengan harga seperti yang diberitahu, ia masih menggunakan kunci biasa untuk dihidupkan.

    Kedua-dua brek depan dan belakang skuter istimewa ini menggunakan tetapan cakera dan ia diberi terus dengan sistem ABS dual-channel. Sistem keselamatan juga ditambah lagi dengan kawalan cengkaman yang dipanggil sebagai ASR.

     
     
  • Kurang 20% rakyat M’sia guna pengangkutan awam berbanding 40% yang disasarkan kerajaan – Loke

    Kurang 20% rakyat M’sia guna pengangkutan awam berbanding 40% yang disasarkan kerajaan – Loke

    Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk menaikkan peratusan bilangan pengguna pengangkutan awam ternyata masih belum cukup berhasil. Apakah faktor penyebab rakyat Malaysia masih kurang ‘berminat’ untuk menggunakan pengangkutan awam?

    Perkara ini turut menjadi perhatian Menteri MoT, Anthony Loke, yang berkata, tidak sampai 20% rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam berbanding 40% yang disasarkan oleh kerajaan, laporan Berita Harian.

    Katanya, disebabkan jauh lagi untuk mencapai sasaran tersebut telah mendorong kerajaan meningkatkan usaha dalam memastikan rangkaian pengangkutan ditambah baik.

    “Usaha itu juga adalah selaras objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk pelan kerangka Ekonomi Madani. Semuanya menjurus kepada pengangkutan awam dan ini satu hala tuju yang sangat penting. Semua kerangka dasar menyokong untuk menyasar 40% bertukar kepada pengangkutan awam dan sekarang ini tidak sampai pun 20%.

    Kurang 20% rakyat M’sia guna pengangkutan awam berbanding 40% yang disasarkan kerajaan – Loke

    “Jauh lagi perjalanan tambahan melihatkan masalah kesesakan di Lembah Klang setiap hari. Jadi kita akan pastikan rangkaian pengangkutan awam ditambah baik sekali gus dapat meyakinkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam bukan saja rel tetapi juga bas,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini MoT juga sedang memberi tumpuan kepada usaha menambah baik perkhidmatan bas kerana ia perlu dilakukan serentak.

    Katanya, menerusi tinjauan beliau dua hari lalu di Jalan Ampang berkenaan laluan bas, pihaknya menyasarkan 1,000 bas Rapid Bas akan beroperasi di Lembah Klang menjelang akhir tahun berbanding ketika ini sebanyak 766 bas yang sedang beroperasi.

    “Penyelenggaraan bas juga akan dititikberatkan selain turut akan memberi laluan kepada operator lain beroperasi kerana ini penting untuk menyakinkan memberikan perkhidmatan lebih baik. Kita juga akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk pastikan laluan bas supaya perjalanan lebih terjamin tanpa masalah,” katanya.

     
     
  • Indonesia minta bantuan Geely untuk R&D EV jenama tempatan, muncul selewat-lewatnya menjelang 2026

    Indonesia minta bantuan Geely untuk R&D EV jenama tempatan, muncul selewat-lewatnya menjelang 2026

    Indonesia dilaporkan meminta bantuan Geely untuk membangunkan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025 atau 2026, dan pembuat automotif dari China mungkin telah bersetuju dengan permintaan tersebut. Perkara ini disebut oleh menteri kanan Indonesia Luhut Pandjaitan, yang kini sedang mengkaji undang-undang pada sumber asli dan pelaburan dalam satu seminar di republik berkenaan awal minggu ini.

    “Saya telah membuat tawaran kepada Geely, adakah anda mahu membuat kereta di Indonesia, tetapi menjadi jenama Indonesia dan buat penyelidikan di Indonesia? Mereka kata ya,” kata menteri tersebut.

    Beliau menambah bahawa tawaran itu akan disertakan dengan Indonesia membekalkan nikel bagi menghasilkan bateri EV, tetapi penyelidikan itu perlu diterajui oleh Indonesia, lapor Reuters. Walau bagaimanapun agensi berita tersebut menyatakan bahawa Geely masih enggan memberikan sebarang komen berkenaan perkara ini.

    Model yang berpotensi untuk digunakan bagi projek berkeaan mungkin adalah Geely Panda Mini, iaitu EV kecil dua pintu yang mampu memuatkan empat orang, sama seperti model EV paling mampu milik yang dijual di Indonesia sekarang iaitu Wuling Air.

    Indonesia minta bantuan Geely untuk R&D EV jenama tempatan, muncul selewat-lewatnya menjelang 2026

    Berita berkenaan rancangan terbaharu ini muncul selepas Geely dilaporkan membatalkan pelannya bagi memproduksi EV di Thailand dan mengalihkan tumpuannya ke Malaysia.

    Indonesia semamangnya sedang berusaha untuk membawa pembuat-pembuat automotif melabur di negara berkenaan dan menawarkan akses kepada sumber nikel yang banyak, iaitu material utama bagi pembuatan bateri EV. Walau bagaimanapun usaha tersebut dilihat tidak terlalu berjaya.

    Bulan lalu jenama automotif China Hozon New Energy Automobile dan juga Mitsubishi Motors dari China memberikan isyarat untuk meneruskan komitmen dalam pelaburan mereka terhadap produksi EV di republik berkenaan, namun usaha kerajaan bagi membawa pemain utama EV seperti Tesla dan BYD masih lagi belum berjaya.

     
     
  • Allianz tawar insuran kereta komprehensif dan pihak ketiga Rahmah; ada perlindungan banjir, kematian dll

    Allianz tawar insuran kereta komprehensif dan pihak ketiga Rahmah; ada perlindungan banjir, kematian dll

    Selepas menawarkan pakej insuran Rahmah untuk motosikal Julai lalu, Allianz Malaysia hari ini melengkapkan pakej insuran Rahmah berkenaan untuk pemilik kereta persendirian pula menerusi pakej Insuran Motor Komprehensif dan juga Insuran Motor Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian.

    Bagi Insuran Motor Komprehensif ia ditawarkan secara automatik tanpa tambahan bayaran premium untuk kereta dengan jumlah yang diinsurankan sebanyak RM30,000 dan ke bawah, serta mempunyai kapasiti enjin tidak melebihi 1,500 cc.

    Jadi untuk kereta baharu, hanya Perodua Axia E 1.0L MT yang dilancarkan semula ke dalam pasaran pada Jun lalu. Walau bagaimanapun pakej insuran ini masih boleh diaplikasikan dengan lebih meluas pada kereta terpakai dan juga pemilik kereta-kereta lebih lama yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

    Manakala untuk Pakej Insuran Motor Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian pula, ia ditawarkan secara automatik untuk semua pemegang polisi insuran ini, juga tanpa sebarang tambahan premium.

    Kedua-dua insuran ini menawarkan faedah yang sama iaitu bantuan kemalangan peribadi RM5,000 apabila berlaku kematian atau kecacatan, elaun hospital sebanyak RM50 sehari untuk 60 hari jika dimasukkan ke hospital akibat kemalangan, serta manfaat bantuan banjir RM3,000 untuk satu kali dalam setahun.

    Allianz tawar insuran kereta komprehensif dan pihak ketiga Rahmah; ada perlindungan banjir, kematian dll

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang, Pakej Kereta Persendirian Rahmah ini adalah hasil dari penambahbaikkan penyelesaian insuran terbaik yang sedia ada untuk lebih merangkumi jarigan keselamatan kepada kereta dan pemandu.

    “Tiada siapa yang mengharapkan kemalangan atau kerosakan berlaku, tetapi anda tidak perlu risau sekiranya ia terjadi. Pemegang polisi komprehensif kami boleh mempercayai Allianz Road Rangers untuk mengambil alih, sama ada pembaikkan di tempat kejadian atau penundaan kereta kepada bengkel yang boleh dipercayai. Inilah pengalaman bersama Allianz yang sebenarnya, sangat profesional dan mudah.

    “Dengan Pakej Rahmah, kami mengambil langkah tambahan untuk menyediakan perlindungan kepada golongan yang kurang diinsurankan. Sebagai contoh, di Malaysia banjir semakin kerap berlaku dan kesannya memusnahkan banyak benda, termasuk kereta. Tetapi pada hakikatnya, banjir berlaku lebih kerap dan lebih dahsyat di kawasan luar bandar, yang merosakkan pelbagai benda termasuk kereta. Pakej Rahmah kami termasuk manfaat bantuan banjir yang memberi kemudahan sementara kepada pemegang polisi kami yang menghadapi bencana banjir,” tambahnya lagi.

     
     
  • Polis KL laksana Op Hormat Undang-undang Fasa 2 hingga 29 Sept – tumpu 16 lokasi di sekitar ibu kota

    Polis KL laksana Op Hormat Undang-undang Fasa 2 hingga 29 Sept – tumpu 16 lokasi di sekitar ibu kota

    Polis Kuala Lumpur menguatkuasakan semula Operasi Hormat Undang-Undang Fasa 2 dengan lebih tegas bermula hari ini, 15 sehingga 29 September 2023. Ia membabitkan 16 lokasi di sekitar ibu kota, termasuk Persimpangan Jalan Tun Razak, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Persimpangan Jalan Raja Laut dan Persimpangan Jalan Sultan Ismail.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata berkata, tujuan Op Hormat Undang-Undang yang dijalankan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar sentiasa patuh pada undang-undang trafik.

    “Pengguna jalan raya juga dinasihatkan tidak mengabaikan tanda lalu lintas dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pihak. Polis Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

    Tambahnya, operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik. Ia juga membabitkan pelbagai agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    “Seperti yang saya nyatakan kita bukan sahaja mahu warga kota selamat malah kita juga mahu warga kota patuh kepada peraturan. Operasi pada waktu puncak dilakukan adalah kerana waktu ini keadaan menjadi sesak berikutan banyak halangan. Disebabkan itu kita melakukannya bagi mengelakkan kesesakan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak mengabaikan tanda lalu lintas dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pihak.

    “Polis Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam melakukan kesalahan jalan raya. Sebanyak 157,000 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi yang lalu, memang kita tidak akan berkompromi,” katanya.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 EV 2023 di M’sia – Lite RWD pada RM219,888, RM249,888 untuk Plus RWD, jarak 429 km

    Hyundai Ioniq 6 EV 2023 di M’sia – Lite RWD pada RM219,888, RM249,888 untuk Plus RWD, jarak 429 km

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memperluaskan barisan Hyundai 6 untuk pasaran Malaysia dengan memperkenalkan dua lagi varian baharu bagi model elektrik sepenuhnya. Ioniq 6 Lite RWD dan Ioniq 6 Plus RWD menyertai Ioniq 6 Max RWD dan Ioniq 6 Max AWD , yang dilancarkan pada Julai lalu, menyaksikan sebanyak empat varian kini dijual di sini.

    Varian Ioniq 6 Lite RWD dan Plus RWD dilengkapi dengan motor-tunggal, dengan unit yang dipasang pada gandar belakang menawarkan 149 hp (151 PS, atau 111 kW) dan tork 350 Nm. Ia membolehkan kedua-dua varian dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.8 saat dengan kelajuan maksimum cecah 185 km/j, lebih kurang sama dengan varian tertinggi Max.

    Kedua-dua Lite dan Plus menampilkan bateri polimer lithium-ion 53 kWh, yang menawarkan jarak penuh EV hingga 429 km )mengikut kitaran WLTP) gai pengecasan tunggal. Berbanding dengan Max RWD dan MAX AWD yang menampilkan bateri polimer lithium-ion 77.4 kWh, dengan jarak penuh EV cecah 614 km untuk Max RWD dan 519 km bagi Max AWD.

    Berkongsi platfom E-GMP dan binaan 800-voltan yang sama dengan varian Max, Ioniq 6 Lite dan Plus juga boleh mendapat status pengecasan dari 10% hingga 80% dalam masa 18 minit apabila dicas menggunakan pengecas DC berkapasiti 350 kW.

    Hyundai Ioniq 6 EV 2023 di M’sia – Lite RWD pada RM219,888, RM249,888 untuk Plus RWD, jarak 429 km

    Kapasiti bateri yang lebih kecil ini bermakna masa pengecasannya juga lebih pendek berbanding varian Max apabila ia menggunakan pengecas yang kurang padu, iaitu 10% hingga 80% mengambil masa 58 minit dengan pengecas DC 50 kW dan 0% hingga 100% dalam 5.5 jam jika menggunakan pengecas AC 11 kW.

    Varian Lite dan Plus juga berkongsi banyak ciri seperti versi Max, termasuk dua skrin 12.3-inci, dengan ketersambunag Android Auto dan Apple CarPlay, pencahayaan ambien 64-warna, pengecas telefon tanpa wayar dan tailgate kuasa.

    Ia juga menampilkan Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go dan vehicle-to-load (V2L), di maba peranti elektrikal luaran boleh menjana kuasa hingga 3.68 kW. Ciri keselamatan juga lebih kurang sama dengan varian tertinggi, termasuk tujuh beg udara (termasuk beg udara tengah hadapan), bantuan kekal lorong dan bantuan mengelak pelanggaran hadapan.

    Sama seperti varian Max, terdapat lima warna badan ditawarkan untuk Lite RWD dan Plu RWDs, iaitu Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte.

    Hyundai Ioniq 6 Lite RWD ditawarkan pada harga RM219,888, sementara Ioniq 6 Plus RWD pula berharga RM249,888, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti bateri lapan-tahun/160,000 km.

    Juga seperti varian Max, waranti standard dua-tahun, 50,000 km boleh dinaiktaraf menjadi lima-tahun, 100,000 km dan pakej selenggara percuma selama tiga-tahun, 50,000 km dengan tambahan kos RM10,000. Juga diberikan keahlian Shell Recharge Gold selama setahun untuk 30 pembeli pertama.

    Kedua-dua varian baharu Ioniq 6 ini telah pun dibuka, dan HSDM berkata penghantaran bagi Lite dan Plus akan bermula pada suku ke-empat tahun ini.

    GALERI: Hyundai Ioniq 6 Max AWD

     
     
  • Lebuhraya GCE dan AKLEH laksana ujian rintis Sistem Pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    Lebuhraya GCE dan AKLEH laksana ujian rintis Sistem Pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) selaku syarikat konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) telah mengumumkan bahawa kedua-dua lebuhraya berkenaan telah memulakan ujian rintis bagi Sistem Pembayaran Terbuka (SPT).

    CEO Kumpulan PROLITAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata kaedah pembayaran kadar tol alternatif ini disediakan untuk pengguna lebuh raya kenderaan Kelas 1 (kereta) di lorong khusus yang ditandakan dengan papan tanda gantri baharu.

    “Sistem itu kini dilaksanakan di tiga plaza tol GCE iaitu di Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina dan Plaza Tol Lagong bermula 13 September lalu. Sementara itu, di AKLEH pula, Plaza Tol Datuk Keramat telah menerima pembayaran tol baharu itu sejak 9 September lalu. Satu lorong pada setiap plaza tol dikhususkan untuk sistem dalam percubaan yang mematuhi peraturan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.

    Tambah beliau, sistem ini adalah tambahan kepada kaedah pembayaran tol sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTag dan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID). “Inisiatif ini akan memberikan kemudahan yang lebih besar dan fleksibiliti untuk pemandu dengan pelbagai pilihan pembayaran tol yang akan menyumbang kepada keseluruhan penambahbaikan industri lebuh raya negara,” jelasnya.

    Sebelum ini, Lebuhraya MEX, SPRINT, LDP, Besraya, NPE dan DUKE telah pun memulakan ujian rintis bagi SPT di plaza tol kendalian masing-masing.

     
     
  • KTM Komuter Utara – tambang percuma perjalanan sehala dari Ipoh ke Butterworth pada 16-17 Sept

    KTM Komuter Utara – tambang percuma perjalanan sehala dari Ipoh ke Butterworth pada 16-17 Sept

    Kementerian Pengangkutan (MoT) menerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Kerajaan Negeri Perak sepakat untuk menawarkan tambang percuma untuk perjalanan sehala bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara dari Stesen Ipoh, Stesen Sungai Siput atau Stesen Kuala Kangsar ke laluan Butterworth pada 16 hingga 17 September 2023.

    Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, ia bertujuan untuk mempromosi dan menggalakkan orang ramai mencuba perkhidmatan KTM Komuter sempena pengoperasian laluan baharu ini.

    “Tawaran perkhidmatan percuma selama dua hari ini terhad bagi perjalanan sehala yang melibatkan tiga stesen sahaja iaitu Stesen Ipoh, Stesen Sungai Siput dan Stesen Kuala Kangsar ke stesen lain di antara laluan Komuter antara Ipoh dan Butterworth.

    “Sinergi dengan pihak-pihak ini bakal diteruskan bagi merancakkan industri pelancongan ‘rail tourism’ terutamanya dalam menjayakan Tahun Melawat Perak 2024 melalui pelbagai perancangan yang diaturkan untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri Perak,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    KTM Komuter Utara – tambang percuma perjalanan sehala dari Ipoh ke Butterworth pada 16-17 Sept

    Perjalanan dari Stesen Butterworth ke Ipoh mengambil masa selama satu jam 56 minit dengan kadar tambang RM12.80 bagi perjalanan sehala untuk penumpang dewaasa. Manakala untuk penumpang kanak-kanak, warga emas dan OKU hanya RM6.40 sehala. Pas MyRailLife yang diperkenalkan pada Februari lalu juga boleh digunakan untuk perkhidmatan Komuter Utara.

    Tren pertama dari Ipoh menuju ke utara akan bergerak mulai 4.40 pagi setiap hari, sementara tren pertama dari Butterworth akan bergerak pada jam 5.30 pagi. Tren terakhir dari Ipoh dan Butterworth masing-masing pada jam 6.35 petang dan 7.10 petang. Dengan lanjutan laluan hingga ke Ipoh, sektor ini akan mempunyai 20 perjalanan setiap hari, berbanding 16 sebelum ini. Selang waktu adalah setiap satu jam pada waktu puncak dan setiap dua jam di luar waktu puncak.

    Orang ramai boleh membeli tiket secara dalam talian dan merancang perjalanan menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan MyRailTime. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google PlayStore, App Store dan App Gallery.

     
     
  • Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    Ketika sambutan ulangtahun ke-125 tahun Goodyear bagi peringkat Asia Pasifik yang berlangsung di Malaysia tempoh hari, jenama tayar dari Amerika Syarikat tersebut turut memperkenalkan tayar baharu yang dibina khas untuk kenderaan elektrik penuh (EV) diberi nama Goodyear ElectricDrive yang bakal dijual pada pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Apa yang lain dengan tayar khas untuk EV dengan tayar-tayar biasa ditawarkan dalam pasaran selama ini? Adakah ini hanya gimik pengeluar untuk pemilik-pemilik EV bagi menjual produk mereka? Bagi menjawab persoalan ini, Goodyear telah menjalankan satu sesi bengkel penerangan kepada media berkenaan tayar ElectricDrive tersebut.

    Menurut Goodyear, ada empat faktor unik berbeza pada EV berbanding kereta dengan enjin pembakaran biasa yang memerlukan ia menggunakan tayar berbeza bagi memastikan tayar berkenaan tahan lama, memberikan prestasi cengkaman yang baik, selamat dan juga selesa untuk digunakan.

    Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    Empat faktor tersebut adalah berat kenderaan, kadar tork, jarak gerak EV dengan satu cas penuh bateri dan juga faktor NVH terutamanya bunyi.

    1. Berat Kenderaan

    Kenderaan elektrik sememangnya dibina jauh lebih berat dari kereta dengan enjin pembakaran biasa. Ia adalah kerana bateri untuk EV itu sendiri yang biasanya sangat besar meliputi keseluruhan lantai kereta. Sebagai contoh hactchback EV BYD Dolphin menampilkan berat sekitar 1.5 tan, sedangkan Honda Civic hatchback dengan saiz yang lebih kurang sama ditimbang hanya sekitar 1,100 kg.

    Manakala untuk model-model EV lebih mewah serta menampilkan bateri lebih besar untuk jarak gerak lebih jauh, ia sudah tentu dibina jauh lebih berat. Mercedes-Benz EQS 500 4Matic misalnya, EV dengan bateri lithium-ion pada 108.4 kWj pada sedan mewah ini yang membolehkan ia bergerak hampir 700 km dengan sekali cas, namun beratnya ditimbang mencecah 3 tan!

    Jadi sekiranya EV hanya menggunakan tayar biasa, ia sudah tentu habis dengan lebih cepat. Bagi tayar ElectricDrive ini, Goodyear telah membuat kejuruteraan unik pada rekaan bunga tayar bagi memastikan ia tidak haus dengan terlalu cepat, dan mendapatkan kawasan sentuhan antara tayar dan permukaan jalan yang baik walaupun membawa beban tinggi.

    Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    2. Kadar Tork

    Seperti yang kita tahu, EV biasanya datang dengan kadar tork yang lebih tinggi dari kereta dengan enjin biasa. Kadar tork yang dibekalkan oleh motor elektrik tersebut bukan hanya tinggi, malah tork puncaknya dicapai pada 0 rpm, berbanding tork maksimun pada enjin pembakaran dalaman yang hanya dapat dicapai pada kadar rpm tertentu.

    Sekali lagi mengambil contoh EV paling mampu milik di Malaysia iaitu BYD Dolphin, model dalam varian Premium hatchback ini dibekalkan dengan tork 310 Nm untuk mengasak kedua-dua roda hadapan pada bila-bila masa. Manakala model mewah seperti Mercedes-Benz EQS500 4Matic pula, tork yang dibekalkan adalah melebihi 800 Nm.

    Faktor ini biasanya akan ‘menyeksa’ tayar setiap kali EV mula bergerak, dan boleh menyebabkan getah pada bunga tayar rosak menjadi serpihan. Ia juga menjadi salah satu punca bunga tayar cepat haus.

    Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    Oleh itu, tayar ElectricDrive ini dihasilkan menggunakan kompaun generasi baharu dengan 100% resin pain asli, sama seperti tayar yang direka oleh Goodyear untuk kereta lumba Touring Car elektrik bagi siri perlumbaan Pure ETCR. Selain itu, bahagian bunga ‘rusuk’ di tengah tayar ini juga direka lebih lebar, sekali lagi menggunakan rekaan sama pada tayar kereta lumba ETCR.

    Dengan rekaan dan material yang digunakan ini, tayar Goodyear ElectricDrive ini bukan hanya tahan asakan menggila dari tork yang dihasilkan oleh motor elektrik, malah ia juga memberikan kawasan hubungan yang lebih luas antara tayar dan permukaan jalan, serta meningkatkan pekali geseran dan cengkaman di atas jalan tidak kira pada kawasan kering atau basah.

    3. Jarak gerak EV

    Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    Fasiliti untuk mengecas kereta EV tidak lagi banyak seperti stesen-stesen minyak. Malah untuk mengecas EV, masa yang diambil tidak sesingkat kita memenuhkan tangki petrol atau diesel. Oleh itu masalah range anxiety atau kegusaran berkenaan jarak gerak sebuah EV untuk satu cas penuh bateri masih lagi menghantui pengguna.

    Selain dari saiz kapasiti bateri, jarak gerak ini boleh ditambah lebih jauh menerusi faktor lain seperti aeodinamik. Bagi Goodyear, tayar juga boleh membantu EV bergerak lebih jauh untuk satu cas penuh bateri. Dan oleh itu, tayar ElectricDrive ini juga perlu direka secara aerodinamik.

    Bagi meningkatkan faktor ini, tayar ElectricDrive ini turut dibangunkan menggunakan terowong angin. Hasilnya Goodyear mendapati bahagian dinding tepi tayar perlulah rata bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Oleh itu segala tulisan yang berada pada dinding tepi tayar ini adalah dicop kedalam berbanding timbul keluar pada tayar-tayar biasa.

    4. Kadar kesenyapan

    Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    EV tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman. Oleh kerana ia lebih senyap, kabin EV juga akan menjadi lebih sensitif terhadap bunyi yang masuk ke dalam. Jadi sekiranya ia menggunakan tayar yang bising, sudah tentu penumpang dalam kabin akan terganggu dan tidak selesa.

    Ada pelbagai cara yang digunakan oleh Goodyear bagi menghasilkan tayar yang lebih senyap untuk EV ini. Pertama, dengan menggunakan bahan pelekat istimewa yang melekatkan tiga lapisan getah pada tayar ini. Bahan tersebut bukan sahaja mampu untuk menyerap getaran apabila tayar ini melalui jalan yang tidak rata, malah ia juga berfungsi sebagai penebat bunyi.

    Goodyear juga mendapati bahawa antara sumber bunyi yang dihasilkan oleh tayar adalah resonan rongga yang terjadi akibat pantulan udara di dalam tayar. Bagi mengurangkan bunyi ini, satu lapisan busa telah diberikan pada bahagian dalam tayar ini bagi menyerap bunyi resonan rongga yang terhasil.

    Kenapa EV perlu guna tayar berbeza dari kereta biasa?

    Kalau anda perhatikan, tayar ini juga mempunyai garisan-garisan sendeng yang halus dibuat pada bunga tayar, dan ini antara rekaan yang dibuat bagi mengurangkan bunyi ketika tayar ini bergolek.

    Jika dilihat secara keseluruhan tayar untuk EV ini nampak begitu sempurna kerana ia bukan sahaja mampu menerima asakan berkuasa tinggi, malah ia juga sangat selesa dan senyap berbanding tayar biasa. Jadi kami ajukan soalan, adakah tayar ini sesuai untuk digunakan pada kereta biasa?

    Menurut Goodyear, ia sudah tentu sangat sesuai untuk dipadankan pada kereta dengan enjin pembakaran dalaman, namun tayar ini kelak akan dijual pada harga lebih mahal dari tayar biasa. Walau bagaimanapun, Goodyear masih belum memperincikan berapa harga sebenar tayar ElectricDrive ini dan bila ia akan mula dijual pada pasaran tempatan.

     
     
  • Modenas Ninja ZX-25R SE dilancar di Malaysia – RM34k, dapat beberapa kelengkapan dari versi RR

    Modenas Ninja ZX-25R SE dilancar di Malaysia – RM34k, dapat beberapa kelengkapan dari versi RR

    Motosikal sports berenjin 250 cc empat silinder yang ditunggu ramai iaitu Ninja ZX-25R akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dalam versi SE pada harga RM33,900 tidak termasuk insurans. Dua pilihan warna diberi iaitu hitam matte atau hijau. Untuk pengetahuan ramai, ZX-25R ini di pasaran negara lain terdapat dalam tiga versi iaitu Standard, SE dan RR.

    Versi SE yang tiba di pasaran Malaysia ini sebenarnya mempunyai senarai kelengkapan yang istimewa berbanding pasaran lain, di mana ia mendapat beberapa barang daripada versi RR iaitu fork Showa SFF-BP 37 mm dengan pelarasan pra beban serta pilihan warna hijau KRT. Di pasaran lain, dua perkara ini hanya disediakan untuk versi RR.

    Sekarang, yang membezakan versi SE pasaran Malaysia dengan versi RR cuma adalah monoshock belakang, di mana RR mendapat monoshock Showa BFRC yang bukan setakat boleh dilaras untuk pra beban, tetapi juga mampatan. Kemudiannya, RR juga datang dengan soket pengecas USB.

    Enjin empat silinder DOHC 249.8 cc pada ZX-25R SE pasaran Malaysia mampu menghasilkan kuasa 46 hp pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm. Jumlah ini sebenarnya adalah lebih rendah berbanding model pasaran Indonesia (51 hp) kerana spesifikasi model Malaysia mengikut peraturan emisi Euro 4.

    ZX-25R dilengkapi transmisi enam kelajuan dan penukaran gear boleh dilakukan dengan mudah dengan bantuan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear (standard). Brek menggunakan unit cakera tunggal floating 310 mm berserta angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup dua piston di belakang.

    Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Berat keseluruhannya adalah 182 kg manakala tangki bahan api mempunyai kapasiti 15 liter.

     
     
  • Aplikasi Hello smart mula diperkenalkan di Malaysia

    Aplikasi Hello smart mula diperkenalkan di Malaysia

    smart #1 sudah pun ditunjuk untuk pasaran Malaysia, dengan beberapa maklumat tentang penawaran dan spesifikasinya juga sudah kita ketahui. Kini, menjelang pelancaran rasminya di sini yang dijangka bakal berlangsung pada suku keempat 2023, smart Malaysia memperkenalkan aplikasi Hello smart, sebuah aplikasi digital mudah alih inovatif yang akan memperkaya pengalaman kenderaan EV jenama itu kelak.

    Pengenalan aplikasi tersebut juga mengukuhkan lagi komitmen jenama itu untuk memberi yang terbaik kepada pelanggan smart #1 dengan cara menyelaraskan teknologi ke dalam rutin harian, dan meningkatkan keselesaan dan pengalaman pemilikan keseluruhan pelanggan.

    Aplikasi Hello smart menjanjikan pengalaman mesra pengguna dengan menampilkan susunan empat tab utama. Setiap tetingkap membawa kepada capaian kepada pelbagai pilihan. Tetingkap “Discover” memberi akses kepada berita, acara terkini, halaman komuniti serta brosur produk digital dan notifikasi.

    Melalui tetingkap “Vehicle” pula pengguna boleh membuat pilihan khusus untuk kenderaan, menganggarkan bayaran bulanan, memohon pinjaman bank, menempah perkhidmatan dan mencapai maklumat kenderaan dalam masa nyata.

    Aplikasi Hello smart mula diperkenalkan di Malaysia

    Maklumat ini termasuk status bateri, status pengecasan, jarak memandu, dan pengesan kenderaan. Selain itu, pengguna juga dapat mengawal penghawa dingin, pintu, tingkap dan menjadualkan masa pengecasan dengan mudah melalui aplikasi ini.

    Tetingkap e-Mall pula membawa kepada sebuah kedai maya untuk produk rasmi smart dan aksesori, serta menawarkan peluang kepada pengguna untuk mendapatkan mata ganjaran kesetiaan yang boleh ditebus untuk ganjaran menarik. Terakhir, tetingkap “Profile” akan merangkumkan semua fungsi aplikasi smart dan menawarkan pilihan pengesahan peribadi.

    Satu daripada ciri inovatif yang ada pada aplikasi ini ialah Peta Pengecasan Atas Talian. Dengan jumlah pemilik EV terus meningkat, kebimbangan tentang jarak perjalanan tetap menjadi masalah utama bagi sebahagian penggguna. Untuk itu, smart Malaysia menjalin bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan pengecasan EV bagi menjadikan aplikasi ini yang pertama oleh jenama automotif di Malaysia yang menawarkan peta pengecasan komprehensif.

    Maklumat langsung mengenai stesen pengecasan termasuk status penggunaan boleh dicapai melalui aplikasi Hello smart, dengan 70% daripada stesen pengecasan awam telah disepadukan maklumatnya setakat ini. Pengguna tidak perlu lagi menggunakan aplikasi yang berbeza untuk tujuan tersebut — semua keperluan berkaitannya ada di dalam satu aplikasi sahaja.

    Aplikasi Hello smart mula diperkenalkan di Malaysia

    Selain itu, pengguna juga boleh membuat permohonan pinjaman bank secara langsung. Perkhidmatan ini menetapkan standard baru untuk keselesaan dengan menyenangkan proses serta menghapuskan kaedah manual, menjadikan pemilikan EV lebih mudah.

    smart Malaysia juga telah memasukkan ciri “One-Stop Service Home Charging Solution” yang menyepadukan pembelian, pemasangan, dan penjadualan temu janji untuk alat pengecasan smartCharge. Ini memastikan penyelesaian yang mudah dan menjimatkan masa kepada pengguna.

    Versi pertama aplikasi Hello smart kini tersedia, dengan smart Malaysia akan memperkenalkan fungsi-fungsi lain dalam masa terdekat. Aplikasi Hello smart kini boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei App Gallery.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC300 4Matic CKD – RM51k lebih murah, ditambah bumbung suria, Handsfree Access

    Mercedes-Benz GLC300 4Matic CKD – RM51k lebih murah, ditambah bumbung suria, Handsfree Access

    Lima bulan selepas Mercedes-Benz GLC X254 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia kini memperkenalkan pula versi pemasangan tempatan (CKD) bagi SUV tersebut. Ia sekarang dijual pada harga RM378,888 tidak termasuk insurans, dan menjadikannya RM51k lebih murah berbanding RM429,888 yang ditetapkan untuk model import sepenuhnya (CBU) sebelum ini.

    Nama GLC300 tersebut menunjukkan model ini masih lagi menggunakan pakej enjin sama, iaitu unit petrol empat silinder 2.0 liter turbo, bersama sistem hibrid ringkas, mampu menghasilkan 258 PS pada 6,000 rpm dan tork 400 Nm dari 2,000 rpm hingga 3,200 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda.

    Kebanyakan senarai kelengkapan GLC300 CKD ini masih lagi sama seperti sebelum ini, cuma ia ditambah lagi dengan Handsfree Access, iaitu pintu but automatik yang boleh dibuka dengan hanya menghayunkan kaki di bawah bampar, serta bumbung panoramik boleh buka – dua barang ini tidak disediakan pada model import.

    Mercedes-Benz GLC300 4Matic CKD – RM51k lebih murah, ditambah bumbung suria, Handsfree Access

    Pada bahagian luar, ia masih lagi datang dengan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim AMG 20 inci (rekaan sama), rel bumbung aluminium berkilat, pemijak kaki tepi serta pakej cermin.

    Masuk ke dalam, ia masih mengekalkan pakej AMG Line, yang memberikan stereng sports pelbagai fungsi dibalut kulit Nappa, serta balutan kulit sintetik Artico pada bahagian lain termasuk tempat duduk.

    Juga sama seperti sebelum ini adalah alas kaki AMG, lapik bumbung hitam, kemasan besi, lampu pada bahagian tepi pintu, pakej Keyless Go, pakej Boot Comfort, kawalan suhu automatik, lampu suasana, cermin akustik serta soket 12V di bahagian ruang barangan.

    Sistem infotainmen terus menggunakan kit multimedia dan navigasi MBUX, skrin 12.3 inci di hadapan dan 11.9 inci di bahagian tengah, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut dikekalkan adalah sistem pengecas tanpa wayar di hadapan, sistem bunyi 15 pembesar suara Burmester 3D serta pakej USB.

    Bahagian keselamatan dan bantuan pemandu juga melihatkan kelengkapan sama, yang termasuk Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, kamera 360 darjah serta Active Parking Assist. Turut diberi adalah sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz, perlindungan kenderaan Guard 360, penggera anti kecurian, pemerhati tekanan angin tayar Pre-Safe, Tirefit dan pengimbas cap jari.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC300 4Matic AMG Line CBU

     
     
  • Pusat Cat dan Badan myTukar akan cat semula kereta anda dengan teknik halus oleh pakar dari Jepun

    Pusat Cat dan Badan myTukar akan cat semula kereta anda dengan teknik halus oleh pakar dari Jepun

    Sejak beberapa bulan lalu, kami telah menjalankan promosi untuk servis mengecat semula badan kenderaan di pusat Cat dan Badan myTukar yang terletak di USJ dan juga Ulu Tiram, Johor.

    Bahkan ketika ini ada promosi yang sedang berlangsung hingga hujung September nanti, yang membolehkan anda mengecat semula keseluruhan kereta dengan kos serendah RM2,250 — melibatkan potongan harga 25% berbanding biasa.

    Sebagai orang yang sangat menghargai kenderaan sendiri, sudah tentu anda tidak mahu sembarangan orang yang melalakukan kerja-kerja penting seperti mengecat semula kereta anda. Disebabkan itu, selalu muncul di media sosial tentang siapa yang mengendalikan kerja-kerja di pusat cat dan badan kenderaan, dan sama ada mereka ini benar-benar berkelayakan untuk menjalankan kerja berkenaan.

    Jadi, hari ini kami ingin memperkenalkan Jumpei Yamamoto, individu yang bertindak sebagai ketua di pusat Cat dan Badan myTukar. Lebih senang dikenali sebagai Yama-san dalam kalangan stafnya, beliau bertanggungjawab untuk melatih pasukan myTukar yang terlibat dalam kerja-kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian agar mahir dengan teknik-teknik semburan cat automotif.

    Pusat Cat dan Badan myTukar akan cat semula kereta anda dengan teknik halus oleh pakar dari Jepun

    Pengalaman kerja Yama-san, seperti yang tertera dalam Linkedin-nya, sangat mengagumkan. Beliau sudah berkecimpung dalam perniagaan semburan cat ini selama 25 tahun dengan pengkhususan di dalam baik pulih automotif.

    Beliau telah mengumpul banyak pengalaman bersama syarikat seperti Mitsubishi Motors dan Rock Paint Co. Ltd. Yama-san bahkan turut terlibat sebagai tenaga pengajar teknik mengecat bagi kursus khas di Advanced Technical College. Dan, di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, beliau telah berkhidmat sebagai ketua pemeriksa bagi kelayakan peringkat nasional di Jepun.

    Dengan bangganya beliau berkata: “Saya mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai pengajar teknik mengecat di seluruh Jepun dan saya belum pernah mendengar sesiapa pun di Jepun yang mempunyai pengalaman seperti saya.”

    Untuk mengecat semula seluruh kenderaan, ia bermula dengan kerja-kerja bahagian badannya. Sebelum dicat semula, badan kenderaan perlu diperhalus terlebih dahulu. Pasukan myTukar menggunakan pengukur ketebalan cat untuk menentukan ketebalan cat. Mereka juga dengan sangat teliti memeriksa badan kenderaan jika ada sebarang kecacatan, yang kemudian akan ditandai menggunakan marker pen. Ini adalah bagi mengenal pasti kawasan yang bermasalah untuk diperhalusi supaya pengecat pakar boleh melakukan kerjanya tanpa sebarang masalah.

    Selesai pemeriksaan, apa saja kecacatan, seperti kemek dan lekuk yang tidak sepatutnya akan diketuk untuk disamakan dengan permukaan badan kenderaan. Di kawasan yang tidak boleh ratakan, putty akan digunakan untuk mengisi rekahan atau kesan kemek.

    Sekarang, untuk memastikan permukaan benar-benar rata, cat primer digunakan sebagai lapisan asas bagi cat yang akan digunakan nanti. Permukaan itu kemudiannya diperhalusi sekali lagi melalui proses penghalusan kering (dry-sanding) untuk memastikannya bebas dariada bahan tidak sepatutnya seperti karat untuk mendapatkan hasil akhir yang licin. Proses penghalusan kering sangat penting berbanding yang basah kerana ia tidak menggunakan sebarang cecair. Ini penting kerana kelembapan boleh bereaksi ketika dan sesudah cat, dan akan mewujudkan gelembung kecil yang mencacatkan hasil akhir. Kesan calar yang dalam juga boleh dihilangkan selepas proses penghalusan kering yang dilakukan secara profesional.

    Cat automotif Jepun digunakan untuk proses mengecat. Tetapi sebelum itu, warna perlu mengikut spesifikasi, sama ada warna asal kereta tersebut atau warna pilihan pemiliknya. Untuk memastikan semuanya padan, pasukan terlibat perlu melakukan padanan warna terlebih dahulu. Ini dilakukan dengan mencampurkan sejumlah kecil cat dan membandingkannya dengan warna yang diminta. Ia dilakukan berulang kali sehinggalah contoh ujian yang diperoleh menyamai warna yang diinginkan. Selepas itu barulah pakar kami akan menghasilkan keseluruhan jumlah warna yang diperlukan untuk mengecat.

    Ini juga langkah penting dalam proses tersebut, terutama ketika melakukan baik pulih akibat kemalangan. Sekiranya tidak dilakukan dengan betul, anda mungkin akan menerima kereta yang warna bahagian depannya berbeza daripada bahagian lain. Seperti yang dikatakan Yama-san dalam satu daripada hantaran Linkedin-nya: “dengan latihan, semua orang boleh mengecat. Tetapi saya akan mengecatnya seperti keadaan asal. Saya akan mencipta semula warna yang asli.”

    Pertama, lapisan cat asas diberikan dahulu. Kemudian, lapisan cat lutsinar disembur untuk melindungi cat asas tersebut daripada calar dan sinaran UV. Di setiap peringkat, pengecat akan bergerak dengan sangat berhati-hati untuk memastikan lapisan yang terhasil adalah rata.

    Untuk mengekalkan kawalan kualiti yang ketat dan memastikan setiap kereta memenuhi spesifikasi, Yama-san selalu akan memeriksa kenderaan yang ada, untuk memastikan semuanya dicat dengan sempurna.

    Pusat Cat dan Badan myTukar akan cat semula kereta anda dengan teknik halus oleh pakar dari Jepun

    Kami sudah pernah melihat hasil kerja pasukan Yama-san secara dekat, dan anda mungkin sudah juga. Jika anda berkunjung di pameran EVX 2023 sebelum ini, mungkin anda pernah ternampak sebuah BMW X4 oren di booth myTukar. Kereta berkenaan tidak menggunakan pelekat badan, sebaliknya dicat semula dengan warna oren baru. Ramai yang tertarik dengan kemasan akhir kerja mengecat semula itu, dan ada juga yang ingin membeli terus kereta berkenaan. Oren merupakan warna yang menarik untuk X4 kerana ia memberikan imej “GTS”, seperti M3 GTS yang juga dalam warna oren.

    Jika anda ingin menyimpan kereta dalam tempoh yang lama, memberikannya cat baru adalah pilihan yang akan membuatkan anda jatuh hati sekali lagi dengan penampilannya yang sempurna, seperti ketika baru keluar kilang. Manfaatkan potongan harga 25% Pusat Cat dan Badan myTukar dengan pakej cat semula keseluruhan kenderaan sempena promosi Merdeka 2023.

    Apa yang perlu anda lakukan? Klik pautan ini dan isi borang. Pilih Body & Paint Services di bawah jenis servis yang diperlukan, dan kemudian pilih myTukar USJ atau myTukar Ulu Tiram (Johor) yang merupakan Pusat Cat dan Badan myTukar.

    Pusat Cat dan Badan myTukar akan cat semula kereta anda dengan teknik halus oleh pakar dari Jepun

    Ini beberapa video testimoni oleh pelanggan terdahulu yang pernah mengambil pakej cat semula seluruh kenderaan myTukar:

    VIDEO: Perodua Myvi cat semula seluruh kenderaan

    Wanita ini menghantar Perodua Myvi untuk servis cat semula seluruh kenderaan. Tonton video ini untuk lihat hasil akhir.

    VIDEO: Honda Civic FE cat semula sepenuhnya

    Tidak berpuas hati dengan padanan warna selepas baik pulih akibat kemalangan kereta Honda Civic FE, Zee ambil keputusan untuk menggunakan servis Pusat Cat dan Badan myTukar untuk cat semula keretanya. Dia juga berkongsi beberapa fakta menarik berkaitan iklan cat semula lain yang ditemukan dalam talian.

    VIDEO: Audi TT cat semula keseluruhan

    Audi TT ini dihantar untuk tukar warna menjadi kuning dan hitam!

    Daftar sekarang!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025