Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 31 Ogos-6 Sept – Tiada perubahan

    Harga minyak 31 Ogos-6 Sept – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel untuk minggu bertarikh 31 Ogos hingga 6 September 2023.

    Untuk itu, petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Chery Malaysia rai serahan pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang dipasang di kilang Inokom Kulim

    Chery Malaysia rai serahan pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang dipasang di kilang Inokom Kulim

    Chery Malaysia telah meraikan pencapaian bagi serahan pertama kereta pemasangan jenama itu — bukan kepada pelanggan, tetapi dari Inokom di Kulim selaku pihak yang bertanggungjawab memasang kenderaan tersebut kepada Chery Malaysia. Dua model yang terlibat ialah Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

    Majlis serahan tersebut, yang dilakukan selepas melakukan PDI untuk kelompok pertama, menyaksikan Pengarah Urusan Inokom Corporation, Sui Keng Huat menyerahkan replika kunci kepada Pengarah Operasi Kilang, Chery Malaysia, Xu Jing Zhong.

    “Pencapaian yang membanggakan ini menunjukkan komitmen kami untuk melakukan pemasangan tempatan bagi kenderaan kami serta kesungguhan kami untuk memberikan pengalaman pemanduan yang terbaik untuk pelanggan. Ini juga menandakan era baru dalam perjalanan automotif kami di sini,” jelas syarikat itu.

    “Melangkah ke depan, Chery Malaysia komited untuk memperkayakan lagi kemampuan pengilangan kami, melabur dalam teknologi canggih, dan melakukan lebih banyak kerja sama dengan pembekal tempatan untuk menyokong ekosistem automotif di Malaysia. Perkembangan ini tidak hanya memperkukuhkan kedudukan kami di dalam industri automotif tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau,” tambahnya.

    Di peringkat global, Chery telah mencatatkan jualan keseluruhan kumpulan sebanyak 741,400 unit kenderaan untuk separuh pertama 2023. Itu melibatkan peningkatan 56% bagi tempoh sama tahun lalu. Ia rekod setengah tahun paling tinggi untuk syarikat itu, dengan jualan melepasi 100k unit bagi 13 bulan berturut-turut. Bagi jenama Chery sahaja, jualan separuh pertama 2023 menyaksikan sebanyak 539,400 unit, meningkat 50.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • smart #1 boleh ditempah di Malaysia menggunakan aplikasi Hello – bayaran awal RM1k, pilihan dua varian

    smart #1 boleh ditempah di Malaysia menggunakan aplikasi Hello – bayaran awal RM1k, pilihan dua varian

    Model elektrik smart #1 nampaknya sudah boleh ditempah di Malaysia menggunakan aplikasi pintar Hello (Google Play Store, Apple App Store, Huawei AppGallery) yang dikendalikan oleh pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia, iaitu Proton New Energy Technology (Pro-Net).

    Secara rasminya, pembukaan tempahan ini tidak dihebahkan kepada umum, tetapi selepas mencuba sendiri, kami dapati tiada sebarang masalah untuk mendaftar, memilih spesifikasi kereta serta tiba di halaman akhir sebelum membuat bayaran di dalam aplikasi tersebut.

    Untuk melengkapkan tempahan, bayaran RM1,000 perlu dibuat (menggunakan kad debit atau kredit), dan pelanggan boleh memilih dua varian iaitu Premium dan Brabus. Harga rasmi masih belum didedahkan kerana smart #1 ini hanya akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

    Berkenaan spesifikasi, varian Premium dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Ia menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP.

    Versi Brabus pula lebih berkuasa, dengan mendapat tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork. Turut menggunakan bateri NMC 66-kWh, varian ini mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, tetapi laju maksimumnya masih sama seperti varian Premium. Jarak gerak pula menurun menjadi 400 km.

    Untuk pengecasan, #1 datang dengan pengecas AC 22 kW Type 2 yang boleh digunakan untuk meningkatkan kuasa bateri daripada 10% ke 80% dalam masa tiga jam. Apabila menggunakan pengecas pantas DC CCS2 dengan kuasa maksimum 150 kW, peningkatan cas sama boleh dilakukan dalam masa 30 minit.

    Melalui apa yang kami lihat semasa pra tonton smart #1 sebelum ini, varian Premium datang dengan lampu utama adaptif LED Matrix, lampu isyarat sequential, lampu di bahagian gril, pintu, logo lampu di cermin sisi, rim aloi 19-inci Rotor dengan tayar 235/45, bumbung panoramik, landasan bumbung, dan pintu belakang bebas operasi tangan.

    Kokpitnya pula hadir dalam rekaan T yang besar dan bersambung dengan konsol di tengah, dengan skrin 12.8-inci. Untuk pemandu, kluster instrumen 9.2-inci tersedia, serta head-up display (HUD) 10-inci. Ada juga sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara 640W.

    Kelengkapan lain adalah seperti kerusi balutan kulit, dengan larasan elektrik untuk kerusi depan dengan memori, pendingin hawa dua-zon, penapis udara N95 serta 64-warna lampu suasana ala Mercedes-Benz. Untuk ruang, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, ia mampu menyediakan ruang barangan antara 323 liter hingga 411 liter, atau 986 liter jika kerusi tersebut dilipat penuh. Ruang dalam hud depan pula ada 115 liter.

    smart #1 boleh ditempah di Malaysia menggunakan aplikasi Hello – bayaran awal RM1k, pilihan dua varian

    Untuk varian Brabus pula, perinciannya masih belum didedahkan secara rasmi, tetapi kita boleh menjangkakan kelengkapan sama, dengan beberapa perubahan. Dalam aplikasi itu, kami melihat rim 19 inci, kemasan papan pemuka warna gunmetal, tempat duduk gentian mikro serta tali pinggang warna merah. Bahagian luarnya dapat dikenali dengan terdapat lubang udara atas bonet, lencana Brabus serta spoiler belakang.

    Warna badan yang ditawarkan untuk versi Brabus ada tujuh, dengan hampir kesemuanya adalah dua tona, sementara versi Premium pula cuma menggunakan satu tona sahaja, dalam pilihan juga tujuh warna.

     
     
  • Perodua rancang pasang EV dalam negara, sedang berusaha keras tingkatkan kemampuan vendor

    Perodua rancang pasang EV dalam negara, sedang berusaha keras tingkatkan kemampuan vendor

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh The Edge, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahamad dikatakan memberitahu bahawa Perodua kini sedang merancang untuk memasang kenderaan elektrik dan memerhati cara untuk memperkenalkan EV ke pasaran terbuka. Beliau juga turut menambah bahawa EV ini perlu dijadikan mampu milik untuk kebanyakan pengguna Malaysia.

    “Kami percaya, menyertai pergerakan ke arah kenderaan elektrik ini bukan satu soalan ‘jika’, tetapi ‘bila’, memandangkan kerajaan sudah menetapkan KPI untuk kenderaan elektrik,” kata Zainal kepada The Edge.

    “Untuk mengatasi perkara ini, kami sedang berusaha dengan aktif untuk merapatkan jurang yang ada dengan sokongan penuh daripada rakan kongsi kami. Kami yakin dapat mengeluarkan sesuatu tidak lama lagi,” tambah beliau.

    Perodua rancang pasang EV dalam negara, sedang berusaha keras tingkatkan kemampuan vendor

    “Setakat ini, kami sedang melihat kepada pelbagai cara untuk membawa ekosistem automotif Malaysia lebih ke hadapan, berkenaan cara menghasilkan kereta dan menyampaikannya kepada pasaran dengan meningkatkan kemampuan vendor untuk mengeluarkan alat ganti berkaitan EV,” kata Zainal.

    Beliau turut menambah bahawa pada masa ini, Perodua melihat EV sebagai pelengkap kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman, tetapi EV akan memainkan peranan lebih penting dalam industri automotif tempatan memandangkan kerajaan Malaysia telah meletakkan komitmen terhadap agenda neutral karbon menjelang 2030, lapor The Edge.

    Zainal memberitahu, beberapa faktor menjadi penentu, dengan yang pertama adalah harga, di mana kerajaan telah mengambila langkah menawarkan insentif untuk meningkatkan penerimaan EV. Ini seterusnya dapat menjadi “ujian penentu” untuk infrastruktur mengecas, dan sementara pengecas EV tersedia di bandar-bandar besar, ia bagaimanapun masih lagi terhad di kawasan luar bandar, seterusnya menyusahkan pengguna.

     
     
  • Peraduan Gemilang Bersama Triton UGC – rai Merdeka dengan Mitsubishi Malaysia, menangi pelbagai hadiah

    Peraduan Gemilang Bersama Triton UGC – rai Merdeka dengan Mitsubishi Malaysia, menangi pelbagai hadiah

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan kempen terkini, peraduan Gemilang Bersama Triton UGC bagi meraikan Hari Kemerdekaan tahun ini. Peraduan yang berlangsung sejak 28 Ogos lalu sehingga 17 September 2023, mengajak rakyat Malaysia untuk mempamerkan semangat patriotik dan dalam masa yang sama menunjukkan keistimewaan Mitsubishi Triton.

    Tidak kurang daripada 50 hadiah menarik menanti pemenang, termasuk baucer dan produk bernilai sehingga RM15,000 dari rakan jenama seperti Philips Automotive Malaysia, A&W Malaysia, Bask Bear Coffee, Little Joe Malaysia dan Hypergear Malaysia untuk dimenangi.

    Peraduan Gemilang Bersama Triton UGC – rai Merdeka dengan Mitsubishi Malaysia, menangi pelbagai hadiah

    Untuk mengambil bahagian, anda perlukan merakamkan foto atau video bertemakan Merdeka dengan Triton dan muat naik imej/visual tersebut menerusi Facebook dan Instagram, dan jangan lupa untuk tag Mitsubishi Motors Malaysia (di Facebook) atau @mitsubishimotorsmalaysia (di Instagram), menggunakan hashtag #GemilangBersamaTriton.

    Peserta juga boleh mendaftar untuk memandu uji Triton Athlete dengan merakamkan foto atau video trak pikap berkenaan bagi menyertai peraduan ini. Anda boleh menetapkan jadual sesi pandu uji tersebut menerusi bilik pameran dalam talian MMM.

    Masih ada dua minggu lagi untuk anda menyertai peraduan ini. Manalah tahu, salah satu hadiah menarik tersebut bakal menjadi milik anda.

     
     
  • Guna MRT Persiaran KLCC selepas Ambang Merdeka untuk elak sesak di LRT – operasi tren hingga 2 pagi

    Klik untuk besarkan

    Bagi yang ingin bersama memeriahkan acara Ambang Merdeka 2023 di KLCC malam ini, anda juga boleh menggunakan MRT Laluan Putrajaya untuk ke sana melalui stesen MRT Persiaran KLCC, selain menaiki LRT Laluan Kelana Jaya.

    Menurut CEO Rapid Rail, Amir Hamdan, dengan menggunakan MRT, ia juga dapat membantu mengurangkan kesesakan di stesen LRT KLCC selepas acara Ambang Merdeka 2023 berakhir. Para penumpang juga diingatkan supaya memastikan baki kredit di dalam kad Touch ‘n Go mencukupi, tambahnya.

    Sebelum ini, Rapid Rail memaklumkan, sempena sambutan Ambang Merdeka 2023, Stesen LRT KLCC, Stesen MRT Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Stesen LRT Ampang Park, Stesen LRT/MRT Pasar Seni (Laluan Kelana Jaya & Laluan Kajang), Stesen MRT/Monorel Bukit Bintang dan Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya & Ampang/Sri Petaling) akan dilanjutkan perkhidmatan sehingga 2 pagi pada 31 Ogos ini.

    Malahan semua perkhidmatan rel akan mula beroperasi jam 4 pagi pada 31 Ogos ini bagi memberi kemudahan kepada pengunjung yang ingin ke acara Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya.

     
     
  • Cadangan naik taraf lesen B2 kepada B secara automatik boleh jadi implikasi serius – pakar

    Cadangan naik taraf lesen B2 kepada B secara automatik boleh jadi implikasi serius – pakar

    Penyokong keselamatan jalan raya menggesa Kementerian Pengangkutan (MoT) agar mengkaji cadangan menaik taraf secara automatik lesen motosikal kelas B2 Malaysia kepada lesen B penuh. Ini kerana ia melibatkan keselamatan penunggang motosikal dan juga masyarakat, laporan News Straits Times.

    Menurut Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, dengan menaik taraf secara automatik untuk lesen ini boleh mengakibatkan implikasi yang serius terutamanya dari aspek keselamatan. Memandangkan jumlah kematian yang tinggi dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal.

    “Hari ini, kami melihat kira-kira 6,000 hingga 7,000 kes kematian jalan raya setahun, di mana lebih 68% daripada kes ini melibatkan penunggang motosikal,” katanya.

    Beliau berkata ujian memandu semasa yang diperlukan untuk menaik taraf lesen motosikal adalah penting, kerana ia melengkapkan penunggang motosikal dengan pengetahuan yang lebih baik tentang cara mengendalikan motosikal yang lebih besar dan berkapasiti tinggi. “Justeru, kementerian pengangkutan perlu meneliti cadangan ini dengan teliti, lebih-lebih lagi ia melibatkan keselamatan orang ramai,” katanya kepada akhbar terbabit.

    Cadangan naik taraf lesen B2 kepada B secara automatik boleh jadi implikasi serius – pakar

    Profesor Madya Universiti Putra Malaysia Law Teik Hua yang turut bersetuju dengan Lee, juga berkata orang ramai akan berhadapan risiko lebih tinggi jika pihak berkuasa memutuskan untuk meneruskan naik taraf automatik.

    “Saya tidak melihat rasional atau faedah di sebalik perubahan dasar ini. Mungkin ia berita baik untuk penunggang motosikal, tetapi apakah faedahnya kepada masyarakat? Bagi memastikan penunggang motosikal tahu apa yang mereka kendalikan, adalah lebih baik melalui peperiksaan dan prosedur biasa dalam mendapatkan lesen B penuh,” kata ketua pusat penyelidikan keselamatan jalan raya universiti itu.

    Law berkata memandangkan negara sedang menghadapi banyak kematian jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal, menangani perkara itu adalah lebih mendesak. Beliau berkata, daripada memperkenalkan dasar sedemikian, kementerian perlu menyemak dan mengemas kini sukatan pelajaran pengangkutan jalan sedia ada yang diperlukan untuk lesen kereta dan motor.

    Tambahnya, sudah tiba masanya untuk memperkenalkan aspek baharu kepada sukatan pelajaran. “Sukatan pelajaran semasa hanya memastikan anda cukup baik untuk memandu kereta atau menunggang motosikal, tetapi masih tiada modul untuk memastikan anda cukup selamat untuk mengendalikannya. kenderaan,” katanya.

    Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti terlebih dahulu.

     
     
  • Penutupan jalan di KM20.8-KM24.5 di KESAS mulai hari ini hingga 10 Sept 2023, 11 malam-5 pagi

    Penutupan jalan di KM20.8-KM24.5 di KESAS mulai hari ini hingga 10 Sept 2023, 11 malam-5 pagi

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Shah Alam atau KESAS. Terdapat penutupan jalan akan dilaksanakan di lebuhraya berkenaan pada setiap hari bermula hari ini, 29 Ogos hingga 10 September 2023.

    Walau bagaimana pun penutupan jalan berkenaan hanya dilakukan pada jam 11 malam sehingga 5 pagi. Ia melibatkan laluan di KM20.8 (persimpangan Bandar Puteri) hingga KM24.5 (Persimpangan Kebun) menghala ke Kuala Lumpur. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penurapan jalan di laluan terlibat.

    Sehubungan itu, pengguna KESAS diminta untuk lebih berhati-hati dalam pemanduan dan patuhi arahan papan tanda dan petugas di lokasi terbabit.

     
     
  • Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaaan (NETR) sasar EV capai 80% TIV menjelang tahun 2050

    Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaaan (NETR) sasar EV capai 80% TIV menjelang tahun 2050

    Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (National Energy Transition Roadmap, NETR) yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah satu usaha untuk menetapkan komitmen Malaysia terhadap aspirasi untuk mencapai sifar pembebasan gas rumah hijau seawal tahun 2050.

    Bagi yang yang berkaitan sektor automotif dan pengangkutan awam, NETR bertujuan untuk menggariskan sasaran kebangsaan menurut pelan mobiliti rendah karbon (LCMB) dan dasar tenaga kebangsaan (DTN). Sebelum ini, sasaran kebangsaan adalah untuk mencapai kadar 15% jumlah pengeluaran industri (TIV) bagi kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030 dan 38% TIV menjelang 2040.

    NETR dihasratkan untuk memperluas penembusan penggunaan kenderaan elektrik dua dan empat-roda di negara ini, dengan 50% sasaran berkenaan diharap dapat dicapai menjelang tahun 2040. Menjelang 2050 pula, Malaysia ingin mencapai TIV sebanyak 80% bagi semua jenis EV dalam kategori ini masing-masing.

    Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaaan (NETR) sasar EV capai 80% TIV menjelang tahun 2050

    Malaysia juga mensasarkan untuk mempunyai tapak pengeluaran EV tempatan yang kukuh dengan 90% daripada pengeluarannya dilakukan di sini, serta perkongsian modal pengangkutan awam sebanyak 60% ketika itu nanti. Menariknya, pelan hala tuju berkenaan juga menyatakan, satu daripada sasarannya adalah untuk mencapai penambahbaikan berterusan dalam penjimatan bahan api bagi enjin pembakaran dalaman (ICE).

    Ini akan dicapai dengan cara Kementerian Pengangkutan memperkenalkan kaedah mapan untuk menilai kadar penggunaan bahan api dengan memperkukuh kaedah dasar fiskal yang berasaskan penjimatan bahan api tersebut. Inisiatif selanjutnya adalah untuk menentukan standard penjimatan bahan api bagi jangka masa panjang.

    Bagi kenderaan elektrikfikasi empat-roda — dengan usaha dan langkah yang diambil oleh MITI — adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi penembusan penggunaan EV dan dalam masa sama turut melibatkan usaha seperti menambah kemudahan pengecasan (yang memberi perhatian terhadap peraturan dan hak pengecasan, proses kelulusan untuk pengendali stesen pengecasan serta penilaian semula peraturan berkaitan bangunan).

    NETR juga merancang untuk meneruskan usaha pendanaan bersama bagi kemudahan pengecasan awam dan menyaksikan pelaksanaan standard emisi yang lebih ketat untuk menghadkan pengilangan kenderaan tidak cekap tenaga (EEV). Sebagai tambahan, MITI juga akan mengenal pasti peluang lokalisasi utama dalam EV dan memberi insentif terhadap pelaburan bagi mewujudkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran tempatan.

    Bagi EV dua-roda pula, NETR menggariskan rancangan untuk memberi insentif kepada pembelian kenderaan EV jenis itu atau kos sewaannya bagi mempercepat penerapan kos pemilikannya agar menjadi setara dengan kenderaan petrol dua-roda bagi isi rumah B40. Kemudahan pengecasan bagi EV dua-roda juga akan dibangunkan, dan standard pengecasan bateri diwujudkan bagi kedua-dua kegunaan awam dan persendirian.

    Sementara itu, rancangan untuk pengangkutan awam pula adalah untuk meneruskan pembangunan kemudahan dan memudahcara proses elektrifikasinya, dengan matlamat untuk meningkatkan perkongsian modalnya kepada 40% menjelang 2040 dan 60% menjelang 2050.

    Pelan hala tuju ini mengesahkan bahawa peralihan kepada mobiliti hijau dan bersih mempunyai cabarannya yang tersendiri ketika ini, dan ini termasuklah kekurangan model EV mampu milik dan kadar perluasan liputan bagi kemudahan pengecasan yang perlahan. Untuk motosikal, jurang antara kos EV dua-roda dengan model petrol biasa menjadi kekangan yang melambatkan peralihan tersebut.

     
     
  • Chery Omoda 5 EV dipasang di Indonesia pada 2024 – dilancar di Malaysia juga tahun depan, versi CBU

    Chery Omoda 5 EV dipasang di Indonesia pada 2024 – dilancar di Malaysia juga tahun depan, versi CBU

    Dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang berlangsung baru-baru ini, Chery telah mempertontonkan dua model SUV keluarannya yang juga telah dilancarkan di Malaysia iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro. Pada waktu yang sama juga, Chery turut mengumumkan bahawa Omoda 5 EV telah dibuka untuk tempahan.

    Malah sepanjang 11 hari penganjuran GIIAS, Chery Indonesia telah menerima 100 tempahan bagi Omoda 5 EV dengan harga tempahan RM10 juta (RM3,046). Presiden syarikat, Shawn Xu, yang juga merupakan presiden Chery Malaysia dan timbalan presiden bagi Chery International, berkata pada media tempatan bahawa Omoda 5 EV akan dipasang untuk versi pemasangan tempatan di Indonesia pada tahun hadapan.

    Difahamkan, Malaysia juga bakal menerima Omoda 5 EV pada tahun hadapan dan akan ditawarkan dengan versi import sepenuhnya (CBU), sebagai mengambil manfaat di atas insentif cukai percuma dari kerajaan Malaysia untuk model import EV. Ia berbeza dengan model CKD untuk Omoda 5 dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).

    Chery Omoda 5 EV dipasang di Indonesia pada 2024 – dilancar di Malaysia juga tahun depan, versi CBU

    Ketika muncul di Auto Shanghai 2023 pada April lalu, sewaktu Omoda 5 EV diperkenalkan secara rasmi, unit pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dipamerkan. Namun untuk GIIAS, unit pemanduan sebelah kanan (RHD) yang dipamerkan, ini bermakna transformasi antara LHD ke RHD telah pun selesai untuk tujuan dipasarkan di Indonesia dan Malaysia.

    Omoda 5 EV ini memiliki bateri 61 kWh yang terletak di bawah lantai yang menjanakan motor 221 hp (165 kW). Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa penjimatan kuasanya mencecah 15 kWh bagi setiap 100 km.

    Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas dalam tempoh 35 minit untuk mendapatkan status pengecasan 0-80%. Ia mampu memberikan jarak gerak hingga 450 km dalam pengecasan penut, mengikut kitaran domestik CLTC dari China.

    Chery Omoda 5 EV dipasang di Indonesia pada 2024 – dilancar di Malaysia juga tahun depan, versi CBU

    Berbanding dengan Omoda 5 dengan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), versi EV ini memiliki wajah yang berbeza. Imej yang diperagakan lebih ringkas dan konvensional. Tiada logo diberikan, sebaliknya perkataan Chery tertera pada hujung hadapannya. Roda aero dua-tona juga ditampilkan.

    Di dalamnya, ia diberikan skim warna yang menarik dengan rona biru sebagai warna utama, dikontraskan dengan jahitan kuning dan kemasan kayuan pucat. Roda sterengnya dipaparkan dengan logo Chery, dan papan pemuka yang tampil moden masih dikekalkan dengan skrin utama. Untuk versi ICE, tuil gear telah disingkirkan.

    Memandangkan Chery telah menguasai 20% untuk segmen EV di pasaran Malaysia, adakah Omoda 5 EV ini bakal menerima sambutan yang juga menggalakkan seperti mana yang versi ICE yang menerima tempahan sebanyak 3,000 unit dalam tempoh 10 hari dilancarkan. Kita tengok nasibnya nanti.

    GALERI: Chery Omoda 5 EV di GIIAS 2023

     
     
  • Toyota GR Corolla dapat peningkatan di Jepun – skru, bukaan udara bampar serta pilihan warna cyan baru

    Toyota GR Corolla dapat peningkatan di Jepun – skru, bukaan udara bampar serta pilihan warna cyan baru

    Toyota telah mengumumkan sedikit peningkatan pada model GR Corolla, yang akan dijual dalam jumlah terhad di Jepun melalui sistem cabutan yang sedang berlangsung sekarang sehingga 11 September 2023. Disebabkan masalah bekalan alat ganti berkaitan semikonduktor, hanya 550 unit dapat ditawarkan kepada pelanggan di negara itu.

    Antara perubahan yang diberi adalah skru baru yang dikatakan dapat meningkatkan kekuatan ikatan, dengan yang digunakan pada pemegang suspensi dan kotak gear stereng mempunyai bentuk berlekuk di atasnya. Sementara itu, skru yang memegang tapak suspensi kepada badan kenderaan dibesarkan, dari saiz 22 mm kepada 24 mm. Menurut Toyota, skru ini membantu meningkatkan maklum balas stereng.

    Satu lagi perubahan yang dibuat adalah pada bentuk bukaan udara pada bahagian bucu bampar hadapan, yang kini meningkatkan lagi aliran udara ke bahagian roda dan memperbaiki stabiliti stereng. Selain daripada itu, GR Corolla juga akan ditawarkan dalam warna Cyan Metallic baru yang dipadankan bersama kemasan dalam warna hitam dan biru – hanya ada 50 unit.

    Penggerak kereta ini masih tidak berubah, dan ia terus dipacu oleh enjin petrol tiga silinder 1.6 liter turbo yang mampu menghasilkan 304 PS (300 hp atau 224 kW) pada 6,500 rpm dan tork 370 Nm antara 3,000 hingga 5,550 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) enam kelajuan, pacuan semua roda dan limited-slip differential belakang. Di Jepun, GR Corolla dijual pada harga 5.25 juta yen (RM166,713).

     
     
  • JPJeBid: Siri nombor pendaftaran istimewa M_M ditawarkan sempena Merdeka – bidaan mulai 31 Ogos

    JPJeBid: Siri nombor pendaftaran istimewa M_M ditawarkan sempena Merdeka – bidaan mulai 31 Ogos

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan nombor pendaftaran istimewa, M_M yang bakal dibuka bidaan secara dalam talian melalui JPJ eBid. Nombor pendaftaran istimewa ini mempunyai prefiks M (hadapan) dan sufiks M (belakang) yang membawa maksud Malaysia Merdeka. Ia bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

    Bidaan untuk M_M ini akan dibuka mulai 31 Ogos ini. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir pada 4 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 5 September 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Harga bidaan bagi nombor biasa (running number) bermula RM300, manakala nombor popular pula bermula RM800. Jika ingin membida nombor menarik, bidaannya bermula dengan harga RN3,000. Manakala jika ada yang inginkan nombor bernilai utama (Golden), harga bidaannya bermula RM20,000.

    Menurut MoT, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida, mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

    Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mercedes-Benz EQB facelift diperkenal – peningkatan gaya dan kelengkapan, jarak gerak sehingga 536 km

    Mercedes-Benz EQB facelift diperkenal – peningkatan gaya dan kelengkapan, jarak gerak sehingga 536 km

    Selepas EQA, Mercedes-Benz kini memberikan peningkatan kepada EQB pula dan ia akan dijual di Eropah bermula awal tahun hadapan. Perubahan yang diberi kepada SUV dengan pilihan tempat duduk tiga baris ini adalah sama seperti EQA yang lebih kecil, bermula dengan muka yang kini dilengkapi panel hitam dengan corak logo bintang Mercedes-Benz kecil di seluruh permukaannya.

    Panel ini datang secara standard dalam warna hitam, tetapi pelanggan juga boleh mendapatkannya dalam warna krom dengan kemasan Electric Art atau AMG Line – melalui Night Package, panel ini berwarna hitam. Bampar juga mempunyai kemasan hitam di bahagian lampu kabus, sementara lampu belakang pula menerima bentuk pencahayaan baru. Rekaan rim juga adalah baru.

    Di bahagian dalam, perubahan yang diberi termasuk roda stereng dengan panel kawalan sesentuh, kemasan kayu, serta corak Mercedes-Benz yang boleh menyala (pilihan tambahan). EQB juga sekarang datang terus dengan skrin sesentuh 10.25 inci di tengah dan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang dikemas kini.

    Mercedes-Benz EQB facelift diperkenal – peningkatan gaya dan kelengkapan, jarak gerak sehingga 536 km

    Ruang simpanan di belakang masih lagi kekal antara 495 hingga 1,710 liter bagi versi lima tempat duduk, sementara versi tujuh tempat duduk menawarkan 465 hingga 1,620 liter. Penyandar tempat duduk baris kedua boleh dilaras pada beberapa kedudukan dan ia boleh dilungsur sehingga 140 mm untuk memberi lebih ruang kaki.

    Pilihan bagi SUV ini bermula dengan varian asas EQB250+ yang datang dengan motor elektrik di hadapan berkuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork 385 Nm. Sumber kuasanya datang daripada bateri lithium ion 70.5 kWh, dan boleh memberikan jarak gerak antara 463 ke 536 km.

    Di atasnya terdapat EQB300 4Matic yang ditambah dengan satu lagi motor elektrik di belakang, menjadikan kuasa keseluruhannya 228 PS (225 hp atau 168 kW) dan tork 390 Nm. Satu lagi pilihan adalah EQB350 4Matic, yang datang dengan kuasa 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan tork 520 Nm – varian inilah yang dijual di Malaysia.

    Model 4Matic mempunyai kapasiti boleh guna bateri yang lebih rendah, iaitu 66.5 kWh, menjadikan jarak geraknya antara 396-448 km. Beberapa perubahan kecil pada bahagian aerodinamik dan rintangan tayar turut memberi sumbangan kepada catatan jarak gerak yang lebih baik ini. Kapasiti mengecas semua varian adalah sama, iaitu sehingga 11 kW AC dan 100 kW DC.

     
     
  • Lebuhraya DUKE laksana ujian rintis Sistem Pembayaran Terbuka – guna kad debit/kredit bayar tol

    Lebuhraya DUKE laksana ujian rintis Sistem Pembayaran Terbuka – guna kad debit/kredit bayar tol

    Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) telah memulakan ujian rintis bagi Sistem Pembayaran Terbuka (SPT). Di mana menerusi SPT ini, pengguna lebuh raya boleh membayar kadar tol dengan menggunakan kad debit/kredit atau kad prabayar selain dari kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go (TnG), SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sekali gus memberi alternatif baharu kepada pengguna dalam proses pembayaran tol.

    Pelaksanaan ujian rintis ini juga selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kaedah pembayaran alternatif kepada pengguna lebuh raya.

    Sebelum ini, Lebuhraya MEX, SPRINT, LDP, Besraya dan NPE telah pun memulakan ujian rintis bagi SPT di plaza tol kendalian masing-masing.

    Pada Mac lalu, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan sebanyak 12 konsesi lebuhraya bersetuju untuk melaksanakan Sistem Pembayaran Terbuka ini mulai September 2023.

    Senarai syarikat konsesi lebuhraya yang bersetuju untuk pelaksanaan Sistem Pembayaran Terbuka:

    • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA atau E9)
    • Lebuhraya Pantai Baharu (NPE atau E10)
    • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH atau E12)
    • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE atau E35)
    • Jambatan Pulau Pinang (E36)
    • Lebuhraya Butterworth-Kulim (E15)
    • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP atau E11)
    • Lebuhraya SPRINT (E23)
    • Lebuhraya Shah Alam (E5)
    • Terowong SMART (E38)
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX atau E20)
    • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE atau E33)

    Menurut Alexander, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi Lane Free Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

     
     
  • Bas perantara percuma di Putrajaya pada 31 Ogos

    Klik untuk besarkan

    Hari Kemerdekaan bakal disambut lusa, dan pastinya ada di antara anda yang merancang untuk menyaksikan perarakan peringkat kebangsaan pada pagi 31 Ogos itu di Putrajaya. Polis menjangkakan seramai 100,000 orang akan membanjiri pusat pentadbiran kerajaan pada Khamis ini, ini bermakna kesesakan trafik juga bakal berlaku. Apatah lagi pada hari berkenaan, terdapat 22 jalan utama di sekitar Putrajaya yang bakal ditutup bagi kelancaran acara.

    Cara terbaik, pilihlah pengangkutan awam untuk ke sana, dan antara pilihan yang ada termasuklah menaiki MRT Laluan Putrajaya dan juga KLIA Transit yang mengenakan tambang RM15 untuk perjalanan dua hala pada 31 Ogos ini. Tapi dari stesen rel berkenaan, bagaimana hendak ke lokasi acara?

    Jangan risau, perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan pada hari tersebut dan anda boleh menaiki bas MS01 dari Putrajaya Sentral, di mana tren berhenti, untuk ke Dataran Putrajaya dan kembali semula ke stesen tren. Bas akan bergerak dari jam 4 pagi hingga 2 petang dan kekerapan setiap lima minit.

    Klik untuk besarkan

    Selain itu, terdapat tiga laluan lain yang menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma ini. Termasuklah bas laluan MS02 dan MS03 yang akan melalui lokasi menarik di sekitar Putrajaya. Manakala bas laluan MS04 pula antara Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan Jalan Tun Hussein di Presint 3. Klik peta laluan di atas.

    Tetapi jika yang ingin memandu kenderaan sendiri, antara kawasan parkir yang tersedia termasuklah di sekitar Masjid Tuanku Zainal Abidin (Masjid Besi), sekitar Jabatan Wilayah Persekutuan, Suasana PJH, sekitar Tugu Millenium, sekitar Myfarm di Presint 9, PICC, berhampiran bangunan Kementerian Pengangkutan, Putrajaya Sentral, dan parkir awam di bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

    Selain itu, kawasan parkir lain termasuk di sekitar bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Peguam Negara. Bas perantara percuma juga turut disediakan di PICC, Kompleks E dan Putrajaya Sentral. Untuk perkhidmatan E-hailing pula, anda dibenarkan menurunkan penumpang di sekitar Masjid Besi dan Jalan Tun Hussien (di belakang Istana Kehakiman).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025